16 June 2010

Ulasan Kedua Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah; Perindu Cinta Abadi oleh Cikpuan Norakmal Jasni

Alhamdulillah, sekalung tahniah kepada Cikpuan Norakmal Jasni atas kesudiannya mengulas karya sulung saya. Beliau mendapatkan buku tersebut melalui saya sendiri. Saya dengan berbesar hati membantu beliau mendapatkan buku tersebut dengan sedikit diskaun kemudian menghantarnya menggunakan Pos Ekspress.

Saya agak terharu apabila beliau menyatakan akan menyokong dan membeli karya saya yang seterusnya. Saya juga mengkhabarkan kepadanya yang saya sedang menulis novel sejarah srikandi Islam dengan mengangkat watak Aminah, ibunda Rasulullah SAW.

Seterusnya saya akan meneruskan penulisan dalam genre yang sama dengan memilih tokoh as-syahidah yang pertama dalam Islam pada zaman awal Islam (golongan mustadafin), Sumayyah binti Khayyath, isteri kepada Yasir bin Amar.

Di bawah ini saya panjangkan catatan ulasan beliau. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih, semoga Allah mecatatkan semua aktiviti kita sebagai pahala di akhirat kelak insya-Allah.
_________________________________________________________


Novel Sejarah Srikandi Islam : Rabiatul Adawiyah

Alhamdulillah. Saya sudah khatam membaca Novel Sejarah Srikandi Islam : Rabiatul Adawiyah. Buku ini saya beli terus dari penulisnya, Tuan Zahiruddin Zabidi. Sekarang, para sahabat yang saya sayangi, capailah naskah Rabiatul Adawiyah ini dan baca.

Saya menulis ulasan ini berdasarkan untaian-untaian kata yang saya nukilkan melalui ruang Facebook saya.

"Kisah Rabiatul Adawiyah, harus dibaca, difikirkan, dijadikan pengajaran buat sahabat-sahabat wanita saya (termasuk saya).... Ia manis dan meruntun air mata pada jiwa perempuan"

Ada sebab peribadi atas untaian kata ini. Kita (termasuk saya), sering bermegah jika mampu bercerita tentang fulan si fulan, dia dan mereka. Mereka yang ada nama itu, kita julang tinggi, kita berbangga dengan pencapaian duniawi mereka. Hebatnya mereka. Hebatnya pemikiran mereka. Hebatnya usaha mereka.

Jika datang anak-anak kita di masa hadapan dan bertanya, "Adakah cerita srikandi Islam yang boleh ibu ceritakan kepada kami?"

Apakah jawapan yang dapat kita berikan? Kita tiada jawapan kerana kita terlalu sibuk mengutip cerita sejarah, pengalaman mereka,mereka dan mereka. Sekarang, sekali lagi, para sahabat yang saya sayangi, capailah naskah Rabiatul Adawiyah ini dan baca.

Kisah Rabiatul Adawiyah adalah kisah yang wajib kita khabarkan kepada sahabat muslimah kita semua. Buat iktibar, diambil pengajaran yang baik, diamalkan dalam kehidupan. Usah persoal mengapa itu terjadi pada kita, mengapa ini terjadi pada kita. Itu tanda kita tidak kenal ALLAH, tidak yakin padaNya, kita tidak kenal diri kita dan apa tujuan kita di dunia.

Capailah naskah Rabiatul Adawiyah ini dan baca. Saya percaya, jiwa wanita yang lembut itu akan bergetar kerana asyik membaca kisah seorang wanita lain yang cuma mempunyai satu cinta. Cinta kepada ALLAH.

Bacalah juga apa usaha yang Rabiatul Adawiyah usahakan untuk memastikan beliau kekal dalam cintanya... Ia manis dibaca oleh gadis-gadis buat pedoman. Manis dibaca ibu-ibu, sebagai peringatan dan dikhabarkan semula kepada anak-anak.

Mengapa Rabiatul Adawiyah?

Kisah Rabiatul Adawiyah memberi peringatan kepada wanita. Saya melihat kepada tujuan kita hidup di dunia ini. Untuk apa? Untuk siapa? Untuk mengerjakan apa?

Rabiatul Adawiyah menyebabkan air mata dalam jiwa saya gugur satu persatu. Betapa Wali ALLAH ini sentiasa bersangka baik kepadaNya, walau apa pun yang mendatang. Bukan sedikit kepayahan (kita memandang sebagai kepayahan, tidak bagi beliau), yang beliau tempuhi.

Beliau juga ditimpakan sakit, permasalahan dalam hidup, pernah menjadi hamba bertahun-tahun. Apakah tidak berat ujian itu? Berat. Tetapi Rabiah masih merasai manisya itu semua kerana YAKIN KEPADA ALLAH. Yakin semua yang berlaku itu, ialah aturan ALLAH dan terbaik untuk dirinya. Walaupun pada pandangan manusia biasa ia adalah kepayahan. Yang terlihat olehnya ialah kemanisan dalam penantian. Kemanisan dalam penantian sebelum tiba waktunya bertemu cinta teragung.

Jiwa Rabiatul Adawiyah, hanya kepada ALLAH. Segala perilaku beliau, untuk mendapatkan keredhaanNya. Justeru itu, tidak pelik mengapa beliau menolak tawaran, bantuan malahan pinangan dari semua. Kerana kehidupannya, hanya untuk ALLAH. Dan jika sesuatu itu terjadi juga adalah dengan kehendak dan izin ALLAH. Dengan pegangan ini, Rabiatul Adawiyah tidak berasa yang lain melainkan MANISNYA cinta kepada ALLAH.

M/s 63

"ALLAH tidak mengubah nasib seseorang itu melainkan mereka sendiri yang memulakan perubahan itu. Kamu lakukan perubahan itu, nescaya ALLAH lorongkan kepadamu jalan menuju cintaNya."
Benar. Bermulanya satu langkah menuju cintaNya, akan membuka terlalu banyak kemanisan yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Ia cuma boleh dirasai dalam hati. Manis, manis, manis. Oleh itu, bukakan langkah pertama kita, yakinlah ALLAH akan bersama kita.

Ada sedikit petikan menarik dari novel ini buat tatapan semua:

Pernah juga terjadi perbincangan antara Rabiah dan Sufian al-Tsauri berkenaan makna pemurah.

Rabiah bertanya, "Mengikut pandangan kamu, apakah yang dimaksudkan dengan pemurah?"

Lama berfikir, baru Sufian al-Tsauri menjawab.

"Pemurah itu maksudnya tidak bakhil dalam berkongsi harta yang dikurniakan ALLAH."

"Salah!"

Sufian al-Tsauri terkedu, lalu dia terus bertanya, "Sekiranya begitu, apakah maksud pemurah pada pandangan kamu?"

"Pemurah itu maksudnya apabila kita mengabdikan diri semata-mata kerana mengharapkan cinta daripada ALLAH. Pada masa yang sama, kita tidak sekalipun mengharap sebarang balasan daripadaNya."

"Maksudnya kita hanya perlu beribadah kerana mengharapkan keredhaanNya dan bukan balasanNya?"

"Benar," jawab Rabiah ringkas.

"Sekiranya begitu, apakah pula landasan yang menjadi dasar kecintaan kamu kepada ALLAH?"

"Sesungguhnya saya menyembah dan mengabdikan diri kepada ALLAH bukan kerana mahukan syurgaNya dan juga bukan kerana takutkan nerakaNya."
Akhir kata, jadikan buku ini sebagai koleksi peribadi kita. Biarkan ia menghiasi ruang utama almari buku kita. Berkongsilah kisah yang indah ini dengan sahabat-sahabat kita. Mudah-mudahan mendatangkan manfaat kepada semua.

Terima kasih juga kepada penulis buku ini dan usahanya. Semoga selepas ini lebih banyak lagi novel sejarah srikandi Islam yang terhasil. Semoga dipermudahkan urusan penulis, Tuan Zahiruddin Zabidi.

Sekian.
_________________________________________

Lihat catatan asal di sini http://tintari.blogspot.com/.

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

7 comments:

rahmahmokhtaruddin said...

Hebatnya ulasan ini.. Saya suka membacanya.

Zahiruddin Zabidi said...

Ulasan cikpuan juga tidak kurang hebatnya....

Cik Mal said...

Subhanallah.

Terima kasih.

Semoga dipermudahkan perjuangan penulisan tuan. Amin.

Zahiruddin Zabidi said...

Terima kasih tidak terhingga Cikpuan Norakmal Jasni.

Syamila said...

sungguh. kali pertama saya capai novel ni, saya dah jatuh cinta:) terima kasih kerana menghasilkan sebuah karya yg hebat. moga lebih byk karya2 begini dihasilkan supaya lebih ramai tertarik utk mengenal sejarah, sejarah Islam terutamanya. Sejarah bukan lg sesuatu yg bosan dgn karya2 begini:)

Zahiruddin Zabidi said...

Terima kasih kepada Allah kerana taufik dan hidayahnya.

Terima kasih juga kepada saudari kerana sudi membaca naskah karya ini.

Insya Allah dengan segala kekuasaannya semoga kita mendapat belas kasihan daripadam Nya di akhirat kelak.

Amin.

Anonymous said...

saya dah baca buku ni.. tulisan tuan sangat hebat sehingga saya tidak ingin melepaskan setiap bait-bait patah perkataan pun.. saya harap karya seterusnya seindah buku ini..