23 June 2010

Inilah Perjuangan

Antara nikmat dalam hidup ini ialah mempunyai sahabat perjuangan yang mempunyai fikrah dan matlamat yang sama walaupun dengan cara yang berbeza.

Alhamdulillah, jodoh saya dengan sahabat-sahabat ini memberikan kesinambungan dalam perjuangan penulisan. Malah kami juga sudah mula merangka pelan gerak kerja lima tahun dari sekarang. Semua ini adalah kerana aspirasi dan inspirasi dari puan guru kami, Puan Ainon Mohd.

Tuan Zamri Mohamad selalu ketua tim ibarat abang besar kepada kami semua yang masih pucuk ini, beliau yang sudah menulis hampir 18 buah buku sama ada secara solo mahupun berduet di PTS tidak pernah 'makan gaji' semenjak graduasi daripada UIAM. Satu tindakan yang patut dikagumi.

Beliau secara sepenuh masa menumpukan perhatian dalam industri penulisan. Sebagai penulis, pelatih penulisan dan kini mula berjinak-jinak dalam penulisan kreatif kanak-kanak pula. Saya mengakui banyak belajar daripada beliau.

Selain daripada beliau, terdapat lagi beberapa orang yang terlibat dalam kumpulan ini, ianya kumpulan yang unik. Masing-masing daripada latar keluarga dan pendidikan yang berbeza, namun impian dan matlamat kami sama. Berjuang memandaikan dan memantapkan akidah bangsa melalui penulisan.

Didoakan kepada Allah agar gerak kerja ini berkesinambungan dan diredai Allah. Sasaran kami pada tahun ini adalah membukukan nota-nota Teori Teknik Surah Yusuf yang menjadi panduan kepada para penulis PTS semenjak ia ditubuhkan.

Dalam tempoh hampir sepuluh tahun ini sudah ada penulis yang menerima royalti melebihi RM100 ribu, ini sudah terbukti. Jumlah keseluruhan royalti yang perlu dibayar kepada penulis bagi jualan tahun 2009 adalah RM1,898,569.45 sen. Kebanyakan penulis yang menerima royalti yang tinggi pula adalah penulis genre fiksyen samaada sejarah, cinta Islami, kanak-kanak, remaja dan lain-lain.

Pasti ada sebabnya. Insya-Allah kami akan kongsikan kepada kalian nanti. Semuanya akan termuat dalam buku yang sedang kami kerjakan ini. Insya-Allah, doakan kami dan impian kami menjadi kenyataan. Ini juga sebagai tanda penghargaan kami kepada puan guru kami.
_____________________________________________

Nota-nota Teori dan Teknik Surah Yusuf akan Dibukukan


Foto di atas menunjukkan sekumpulan anak muda yang mengikuti siri bengkel teknik menulis genre kreatif dengan menggunakan teknik penulisan yang digali dari surah Yusuf sedang menggunakan teknik KJ-Method bagi menyusun nota-nota yang saya tulis dalam blog .(JavaScript must be enabled to view this email address) bagi diterbitkan sebagai buku.

KJ-Method adalah teknik berfikir yang menggunakan logik non-linear bagi tujuan menghasilkan dokumen yang panjang dan kompleks, seperti sebuah novel. Teknologi lembut yang digunakan dalam KJ-Method adalah apa yang disebut "card-and-stroyline".

Idea membukukan nota-nota surah Yusuf itu adalah idea anak-anak muda itu. Objektif utama mereka adalah bagi membolehkan teori tersebut dibaca oleh lebih banyak khalayak dan dijadikan modul latihan penulisan.

Menurut Tn. Firdaus Ariff, apabila buku itu sudah terbit nanti, mereka akan memasarkan modul trainingnya dalam negara dan sehingga dapat diterima di Indonesia.

Dari kiri: Tetuan Zamri, Zahiruddin, Asyraf, Izwan, Azree. Tiada dalam foto: Firdaus dan Irfan.

Lokasi: Apartmen Putra Villa, Gombak.

Sumber: Universiti PTS
___________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: