29 August 2010

Zaid Akhtar: Novelis Dakwah Sebagai Kewajipan



Pada 26 Julai 2010 yang lalu, saya dijemput oleh Ustaz Zaid Akhtar ke program Bengkel Kreatif 2 Jam anjuran Pusat Persuratan Bahasa Melayu UKM, program tersebut adalah inisiatif Dr. Mawar Syafii selaku Ketua PPBM UKM.

Kali ini Ustaz Zaid Akhtar yang akan membuat perkongsian, sebelum ini sudah ramai penulis mapan seperti Faisal Tehrani, S. M. Zakir, Nisah Haron, Salina Ibrahim dan ramai lagi. Program yang dianjurkan saban bulan ini adalah bagi memberikan khalayak khususnya para pelajar jurusan persuratan Melayu kepada dunia sastera perdana di samping belajar melalui pengalaman dan proses kreatif para sasterawan itu.

Bengkel yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 hingga 10.30 pagi itu disertai bersama kurang lebih 30 orang pelajar Dr. Mawar Syafii. Saya juga tidak mahu melepaskan peluang ini mengenangkan saya sendiri belum pernah hadir dan mendengar perkongsian daripada Ustaz Zaid Akhtar yang tersohor dengan novel masterpiece bestsellernya, Salju Sakinah terbitan PTS Publication & Distributors.

Saya teringat sewaktu menghadiri satu sesi forum sastera di Rumah Gapena di mana Faisal tehrani yang menjadi salah seorang penelnya selain Puan Ainon Mohd (pengerusi PTS) dan Dr. Irwan Abu Bakar (pensyarah UM dan pengelola E-Sasterawan), Faisal Tehrani dengan jelas memberitahu bahawa novel Salju Sakinah jika dibandingkan dengan Ayat-Ayat Cinta, ternyata Salju Sakinah jauh lebih bermutu.

Mukadimah bengkel pada pagi itu dimulakan dengan pengenalan dan latar belakang Ustaz Zaid Akhtar kemudian disusuli dengan sejarah penglibatan beliau dalam dunia penulisan selain beliau berkongsikan penulis-penulis yang banyak mempengaruhi gaya dan cara penulisannya di awal pembabitan beliau.

Beliau pada awalnya, mula berkarya pada tahun 1994 memulakan penulisan dengan memilih genre cerpen sehingga tersiarnya dalam majalah Dewan Siswa, cerpen yang bertajuk ‘Juara Yang Tewas’. Namun apabila beliau menyambung pengajian dalam bidang bahasa dan Kesusasteraan Arab di Jordan, beliau berhadapan dengan musim kemarau karya dan menyebabkan dirinya langsung tidak menulis dalam beberapa tahun kemudian.

Hal ini berlanjutan sehinggalah beliau dilantik menjadi editor bagi sebuah majalah pelajar yang kembali membangkitkan ghairahnya dalam penulisan terutamnya penulisan kreatif. Selepas tamat belajar, beliau kembali ke Tanah Air dan terus sahaja menyambung pengajian dalam Diploma Pendidikan di UIAM.

Ketika inilah, oleh kerana Kuala Lumpur menghidangkan pelbagai program dan bengkel serta peluang penulisan. Beliau dengan serius terjun kembali ke dalam dunia sastera dan mula menghasilkan karya sehingga terhasilnya karya-karya yang ada pada hari ini.

Beliau merupakan alumni Kelab Penulisan Zaharah Nawawi (Kapezi) dan pernah menghadiri bengkel anjuran Kumpulan Utusan Publication Sdn. Bhd. yang diselenggara oleh Allahyarham Dr. Othman Puteh dan anaknya Hizairi. Para peserta diminta bagi menyediakan sebuah sinopsis novel sebelum menghadiri bengkel dan tanpa jangkaan, sinopsis beliau mendapat perhatian daripada Dr. Othman Puteh dan beliau diminta mengembangkan cerita tersebut yang akhirnya menyebabkan beliau menjadi penulis ketiga terpilih bagi siaran novel bersiri ruangan agama akhbar Utusan Malaysia selepas Faisal Tehrani dan Aminah Mokhtar.

Rentetan daripada penulisan novel bersiri inilah maka lahirnya karya bestseller beliau, Salju Sakinah yang sehingga hari ini sudah terjual lebih 30 ribu naskah dalam masa dua tahun.

Selain daripada itu, tiga lagi novel kelahiran beliau adalah novel yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan seperti Sesegar Nailofar (ke-3 kategori remaja, 2000), Rona Bosphorus (ke-2 kategori remaja, 2002) dan Justeru Impian di Jaring (Tempat pertama kategori remaja, 2006).

Saya pernah berseloroh kepadanya, “Ustaz, adakah ustaz menulis hanya untuk menang…?”

Beliau tergelak kecil.

Mengapa penulis wajib berdakwah?

Antara mutiara perkongsian yang dapat dikutip sepanjang sesi itu adalah, apabila beliau menyatakan bahawa penulis wajib berdakwah melalui mata pena mereka. Dia mengakui dirinya juga tidak jelas matlamat pada peringkat awalnya, namun selepas melihat betapa penulisan itu memberi dan mampu meninggalkan bekas dalam hati pembaca samada baik mahupun buruk, beliau memutuskan bahawa penulisan kreatif sebenarnya juga adalah salah satu medium dakwah yang sangat berkesan.

Ini adalah kerana menurut beliau, yang pertamanya kita adalah khaira ummah sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam surah ali-Imran, ayat 110: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)….”

Yang kedua, beliau menegaskan bahawa antara tugas penulis dan pendakwah adalah membentuk generasi ‘ulul albab sebagaimana Allah menyatakan dalam surah ali-Imran, ayat 190-191 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Antara alat atau modal bagi dakwah ini adalah penulisan kreatif dalam erti kata novel dakwah. Dengan penciptaan watak yang memenuhi kriteria qudwah hasanah iaitu suri teladan yang sempurna mengikut lunas Islam dan sunnah.

Antara ciri wataknya adalah bercita-cita tinggi, kuat semangat dan roh Islamnya, memiliki sifat-sifat mahmudah, bijak bertindak dalam apa jua situasi, peka dan sensitif akan hal sekeliling terutamanya isu-isu berkaitan dengan dunia Islam.

Selain daripada itu, beliau juga menyatakan bahawa novel-novel dakwah ini mampu menjadi alternatif kepada novel-novel cinta picisan yang sememangnya terbukti menyumbangkan persen kepada gejala-gejala sosial pada hari ini. Penyeimbangan daripada sudut bentuk dan makna juga mesti menjadi tema penulisan dakwah.

Bagi memesrakan penulisan dakwah agar ia tidak menjadi satu prejudis baru kepada khalayak sasaran iaitu pembaca remaja terutamanya, sesebuah karya kreatif dakwah itu haruslah seimbang dengan memilih jalan tengah antara pengajaran dan hiburan. Adalah mustahil sesebuah karya dakwah mahu dibaca oleh khalayak sasar jika pakejnya kelihatan ekslusif untuk pembaca yang beraliran agama sahaja.

Ustaz Zaid Akhtar juga melontarkan pandangan dengan menyatakan novel dakwah seharusnya menjadi perisai kepada agama dengan pengisian wacana, wahana dan maklumat sekaligus sebagai senjata perang halus bagi menentang dakyah-dakyah semasa musuh Islam.

Kesimpulan

Di akhir sesi bengkel singkat ini, Ustaz Zaid Akhtar menyimpulkan:

1. Dakwah kreatif melalui penulisan adalah satu kewajipan dakwah dan ianya adalah ibadah serta satu taklifan.

2. Setiap penulisan semestinya diniatkan dan diiringi dengan pengharapan kepada reda Allah.

3. Sebuah penulisan yang baik dan berkesan harus dirancang dengan dengan teliti, berstrategi dan bersepadu agar apabila ia dilepas ianya menjadi bak panah yang dilepaskan dari busur lantas tepat kepada sasarannya.
___________________________________________________________

Nota: Sebahagian daripada artikel ini sudah diterbitkan dalam ruangan Sastera Budaya, Harakah, edisi 30 Ogos - 2 September 2010. Sebarang cuplikan atau pautan perlu juga dikreditkan kepada Harakah.
___________________________________________________________

Zahiruddin Zabidi

No comments: