07 August 2010

Penulis dan Penulisan


Alhamdulillah, saat saya menulis catatan ini penulisan novel sejarah saya yang ketiga sudah pun bermula. Apa yang menarik ianya mungkin seiring dengan yang keempat juga. Pada minggu sudah manuskrip kedua saya serahkan kepada tuan editor, Tuan Bahruddin Bekri bagi diuruskan.
Sehari selepas selesai penulisan mengenai kisah cinta antara Aminah dan Abdullah itu, saya diserang demam yang agak teruk sehinggakan terpaksa memohon cuti sakit malah tidak boleh bertugas di masjid. Walau apapun, saya yakin ada hikmah yang Allah mahu nyatakan di sebalik hal-hal yang berlaku itu.

Menulis. Ya, menulis. Kini saya sudah merealisasikan salah satu impian saya bagi bergelar seorang penulis, alhamdulillah. Saya hamburkan kesyukuran yang total kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Kedua ibu bapa saya, adik beradik, pakcik makcik dan yang terutamanya juga isteri dan anak tersayang serta keluarga mentua.

Saya juga sanggup melepaskan jawatan tetap sebagai pegawai kerajaan yang saya galas selama tiga tahun kerana mahu terjun ke lapangan penulisan dengan nilaian 100%. Alhamdulillah, kini saya adalah salah seorang editor pengurusan di PTS Islamika Sdn. Bhd. Sebuah syarikat yang berdiri di atas prinsip perjuangan yang tersendiri.

Tiga tonggak yang menjadi dasar perjuangan dalam dunia penerbitan buku bahasa Melayu benar-benar memikat saya. Dasar Orientasi/ Patuh Syariah (Syariah Compliant), Bahasa Melayu Tinggi (BMT) dan bebas rasuah inilah yang meyakinkan saya bagi bersama mereka.

Semenjak bersama PTS juga satu persepsi baharu terbina dalam diri saya iaitu kerjaya sebagai penulis mampu memberikan kehidupan yang selesa. Ini sudah terbukti apabila sudah ada penulis PTS yang mendapat jumlah royalti yang melebihi RM100k dalam masa setahun.

Ya, jika ada yang bertanya, apakah kamu berkarya kerana duit. Saya jawab sekali lagi, ya. Ini adalah kerana duit bukan segala-galanya, namun hampir segala-galanya memerlukan duit mutakhir ini. Royalti yang banyak itu terhasil apabila jumlah buku kita terjual dengan laku keras atau istilahnya bestseller.

Dan yakinilah, indikator bagi sebuah karya yang bermanfaat kepada pembaca adalah buku yang laku keras dalam pasaran. Maksudnya buku yang paling laku adalah buku yang paling ramai pembacanya dan secara automatiknya adalah buku yang paling banyak memberikan manfaat kepada ummah.

Sasaran saya

Saya sudah menulis dalam genre sejarah Islam dan akan terus menulis dalam genre ini, insya Allah. Sudah terbukti juga novel sejarah Islam menepati ciri-ciri buku yang laku keras dan evergreen. Pasarannya masih amat luas dengan jumlah penulisnya yang amat sedikit. Dahulu genre sejarah agak popular dengan buku-bukunya dikeluarkan oleh Dewan Pustaka dan Bahasa (DBP), namun kini ianya kembali suram dalam jangka yang sudah panjang.

Cuma semenjak kemunculan Abdul Latip Talib @ Pak Latip, genre sejarah Islam mahupun sejarah nasional kembali menjadi tumpuan pembaca. Malah para penulis lama mahupun baru sudah mula cuba-cuba bagi menulis dalam genre ini, saya juga tidak ketinggalan menjadi salah seorang daripada mereka.

Kini saya berani bercita-cita, saya yakin jika saya istiqamah dan tidak lari daripada niat menulis itu bagi berdakwah, Allah akan limpahkan rezekinya kepada saya dalam bentuk royalti yang banyak, insya Allah.

Apa yang saya akan buat jika saya mendapat royalti yang banyak ini? Dua tiga malam lepas saya ada terfikir mengenainya dan kemudian menetapkannya mengikut keperluan.

Perkara yang akan saya buat dengan duit royalti itu kelak mengikut susunan kepentingan adalah:

1. Melangsaikan semua hutang-piutang.
2. Menunaikan umrah dan haji.
3. Menyara yuran pengajian.
4. Perkara-perkara lain yang sepatutnya.

Mungkin terlalu awal bagi saya berkata-kata mengenainya, namun ini adalah impian dan bukan khayalan semata-mata. Ianya akan mampu dilaksanakan jika saya bersungguh-sungguh dan merancang dengan sebaik mungkin gerak kerja saya mulai daripada hari ini.

Sasaran yang jelas perlu diletakkan di hadapan, agar nanti sejarah adalah milik kita. Dengan nama Allah saya berimpian, dengan nama Allah juga saya akan berusaha dan berikhtiar, dengan nama Allah juga saya reda apakah natijahnya kelak.

Man jadda wa jada, man zara'a hasada.
_______________________________________

Zahiruddin Zabidi

4 comments:

ABDUL LATIP said...

Assalamualaikum Tuan Zahiruddin Zabidi...

Tahniah kerana tuan telah terpilih untuk menjadi penulis novel sejarah Islam. Tahniah dan syabas diucapkan kerana sudah berjaya menerbitkan dua buah dan sedang mengusahakan yang ketiga...keempat dan seterusnya...

Penerbitan novel sejarah Islam semakin rancak...

Zahiruddin Zabidi said...

Waalaikumussalam Tuan Abdul Latip Talib @ Pak Latip.

Terima kasih tidak terhingga, namuni ini semua tidak akan berlaku tanpa kebenaran daripada Allah. Pelajaran dan peluang daripada PTS melalui Puan Ainon, rujukan bahan daripada semua buku Pak Latip yang saya miliki dahulu.

Dan yang utamanya juga sokongan daripada insan yang tersayang, isteri, anak, ibu bapa kami dan adik beradik serta semua ahli keluarga.

Insya Allah, saya mahu lebih banyak belajar daripada Pak Latip.

Zahiruddin Zabidi

nurrun said...

Salam... alhamdulillah, perkongsian yang bermakna. Semoga terus bekarya kerana Allah dan dilimpahi ilmu, hidayah dan rezeki...

Zahiruddin Zabidi said...

Terima kasih tidak terhingga kepada Cikpuan Nurrun, hanya kepada Allah segala harap, hanya kepada Allah segala tetap.

Kita usaha lantas reda. Sebab kita hamba.