30 January 2010

Khusyuk: Mengikut pandangan ulama muktabar berlainan zaman

Kyusuk adalah salah satu empati yang sangat didambakan oleh insan yang bertauhidkan kalimah La ilaha illa Allah. Kemuncak keseronokan ibadah itu adalah kekhusyukan yang mendatangkan kemanisan dan kerinduan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Nyatalah khusyuk itu adalah anugerah Allah kepada mereka yang terpilih dek kerana usaha jitu mereka dalam mendatangi Allah.

Sesetengah orang berpendapat khusyuk itu hanya mampu dicapai melalui jalan kesufian yakni dengan meninggalkan langsung dunia dan hal-hal di dalamnya. Sehingga terkenal dan tercatit dalam lembaran sejarah kehebatan khusyuk yang dimilki oleh wali-wali Allah seperti Rabiatul Adawiyah, Sufian al-Tsauri, Malik bin Dinar, Syeikh Abdul Kadir al-Jailani dan ramai lagi. Ini telah memberikan gambaran bahawa nilai kekhusyukan itu seolahnya hanya didapati di dalam aliran sufi yang pelbagai itu.

Namun sebenarnya, sifat khusyuk itu tidak patut dianggap hak eksklusif golongan sufi atau pengikut tariqat sahaja. Ini adalah kerana sebelum munculnya aliran-aliran sufi dan tariqat-tariqat yang pelbagai itu, terlebih dahulu sifat khusyuk dalam konteks ibadah Islamiyyah sudah dipelopori dan diajar oleh raja segala sufi dan tariqat penyucian hati (tazkiatun nafs), tiada lain manikam kalbu segala makhluk di bumi dan di langit, yang terdahulu mahupun yang mendatang bahkan dirinya adalah kecintaan Tuhan yang menciptakannya, baginda ialah Nabi Muhammad SAW.

Pendapat sepanjang zaman

Selain dari kalam-kalam Allah yang membicarakan secara tuntas mengenai khsusyuk, pendapat-pendapat sepanjang zaman juga telah dititipkan oleh ulama-ulama yang alim lagi faqeh sebagai pedoman dan panduan kita semua. Amatlah rugi jika permata-permata hikmah ini tidak digunapakai oleh kita yang sangat jauh dari memahami tuntutan agama apatah lagi dalam mengamalkannya.

Saidina Ali krwjh yang merupakan kanak-kanak pertama masuk Islam, sahabat, menantu baginda Rasulullah SAW dan khalifah Islam yang keempat itu telah melontarkan pendapatnya tentang khusyuk dengan mengungkapkan, “Khusyuk itu adalah khusyuk hati. Maksudnya khusyuk itu tempatnya di dalam hati dan yang mesti khusyuk adalah hati itu sendiri.”

Abdullah ibnu Abbas yang terkenal dengan kefaqehannya dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran bahkan didoakan secara khusus oleh Rasulullah dengan lafaz yang bermaksud: “Ya Allah Engkau faqehkan dirinya (Ibnu Abbas) darihal agama dan alimkanlah dia dengan hujah balas (takwil).” Beliau dalam memberi pandangannya tentang khusyuk telah berkata, “Khusyuk itu maknanya orang yang takut dan tenang anggota (anggota badan dan hati).”

Perekod hadith dan athar yang pertama dan pemula mazhab Maliki, al-Imam Maliki pula berpendapat dengan katanya, “Khusyuk itu maknanya menghadap dengan penuh perhatian ke atas solat itu.” Beliau adalah pengarang kita agung yang diberi judul al-Muwatta.

Manakala Imam mujtahid yang juga merupakan anak murid kepada al-Imam Malik, pengasas ilmu Usul al-Fiqh dan Mazhab Al-Syafi’e telah didapati berkata tentang khusyuk seperti berikut, “Khusyuk itu ialah orang yang bersembahyang itu haruslah menitikberatkan pandangan matanya di tempat sujud, sebab itu lebih menghadir dan memusatkan fikiran.”

Hujjatul Islam, ahli falsafah dan pengarang kitab agung berjudul Ihya Ulumuddin, al-Imam al-Ghazali pula didapati berkata, “Khusyuk atau pun ingat kepada Allah dalam solat adalah wajib hukumnya berdasarkan pengertian ayat: “…dan dirikan solat itu untuk mengingati-Ku.”(Surah To Ha: 14)

Mufassir dan sejarawan Islam yang agung, pengarang Tafsir al-Quran al-‘Azhim dan al-Bidayah wan Nihayah pula telah memberikan komentar seperti berikut, “Khusyuk di dalam solat itu dapat dihasilkan oleh orang yang membulatkan hatinya untuk bersolat dan menghindari soal-soal yang lain iaitu dengan mengutamakan hal solat dari hal-hal dunia. Dengan itu solat akan menjadi kecintaan dan kesenangan hati.”

Ibnu ‘Arabi dalam kitabnya Ahkamul Quran menjelaskan, “Khusyuk ialah tunduk merendah dan menghinakan diri di hadapan Allah SWT.”

Pendapat yang sungguh bernas dan jitu juga dilontarkan oleh pengarang Tafsir Fi Zilalil Quran dan Ma’allim fi al-Tariq. Al-Syahid Syeikh Syed Qutb di dalam tafsirnya itu menyatakan, “Khusyuk itu maknanya hati orang yang melakukan solat itu berasa gentar dan takut di hadapan Allah hingga lahir ketenangan dan kekhusyukan. Lalu khusyuk yang ada di dalam itu menjalar kepada anggota badan. Terbayang pada paras muka dan nampak pada gerak geri solatnya. Hilang gangguan dalam fikiran dan tidak terganggu dengan persoalan dunia.”

Syeikh Tantawi al-Jauhari pula berkomentar mengenai khusyuk dengan katanya, “Khusyuk itu ertinya merendah diri dan tunduk, tidak berpaling kanan dan kiri, tidak menggerakkan tangan semasa solat. Hanya memusatkan kemahuan (himmahnya) yakni hati kepada Allah SWT. Dan merenungkan maksudnya, dari apa yang diucapkan iaitu bacaan, zikir serta doa.”

Kesimpulan

Khusyuk itu tempatnya di hati. Hati yang khusyuk akan terzahir dengan anggota. Solat adalah kayu pengukur yang paling sesuai untuk mengetahui sejauh mana kekhusyukan sekaligus keikhlasan kita kepada Allah.

Khusyuk dan ikhlas itu adalah sangat bertepatan dengan sifat ehsan yang telah dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW semasa berdialog dengan Jibril di dalam hadith Jibril sepertimana yang direkod oleh Bukhari dan Muslim. Apabila baginda ditanya oleh Jibril, “Apakah ehsan?”. Rasulullah menjawab, “Mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jikapun tidak mampu melihat-Nya maka yakinlah Allah sentiasa melihat kamu.”

Dan Allah SWT juga menegaskan bahawa antara cirri orang yang beriman ialah mereka yang khusyuk di dalam solatnya. Firman Allah: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, (yakni) mereka yang khusyuk di dalam solat mereka.”(al-Mukminun: 1-2)
________________________________________________
Rujukan: Majalah Anis, keluaran Januari 2010, halaman 15.


Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Seksyen 2, Wangsa Maju.

22 January 2010

Penggunaan hadith-hadith da’if dalam karya Sastera

Fenomena yang sangat positif sedang melanda industri penerbitan buku negara apabila meningkatnya bilangan penerbitan buku-buku bercorak Islami terutama dalam lapangan sastera. Samada karya penulis tersebut benar-benar menunjukkan latar keislamannya dengan meletakkan watak ustaz atau pelajar lulusan universiti Timur Tengah sebagai pemain utama, atau mungkin juga dengan membawa latar tempat di sekitar Kaabah, Madinah, Universiti Al-Azhar dan sebagainya.

Fenomena ini juga mendorong penulis-penulis baharu mahupun yang sudah mapan untuk bereksperimentasi bagi menghasilkan karya-karya yang mempunyai biasan ciri-ciri Islami itu tadi. Mungkin pada sesetengah pengkarya, mereka berpendapat bahawa tidak lengkap jika sesebuah karya Islami itu tidak diperkemaskan dengan ayat-ayat al-Quran atau hadith-hadith Rasulullah SAW yang dianggap rencah rasa dalam menghasilkan karya Islami. Mereka lantas berusaha untuk menggunakan kata-kata dan kalimah-kalimah yang disandarkan kepada al-Quran, hadith dan petikan kata-kata para ulama dan cendikiawan Islam.

Pada kita, ini juga satu perkembangan yang sangat menarik kerana secara tidak langsung, penulisan karya sastera juga telah melibatkan penulisan yang bersifat rentas ilmu serta memasukkan elemen-elemen fundamental Islam tersebut dengan begitu rencam sekali. Ini bukan sahaja akan memesrakan pembaca dengan sumber-sumber utama dalam Islam itu malah ilmu-ilmu yang jarang diberi perhatian itu akan lebih memberi kesan kepada pembaca, proses ini malah mampu merapatkan lagi jurang ilmu-ilmu Islam tersebut dengan lapangan sastera tanah air. Ini adalah kerana kita sedar bahawasanya menjadi kebiasaan ilmu-ilmu seperti ‘Ulum al-Hadith’ dan ‘Usul al-Tafsir’ hanya akan dipelajari oleh pelajar Pengajian Islam aliran Usuluddin tidak lebih di universiti-universiti terpilih sahaja.

Pengenalan; Hadith Da’if
Guru saya, Profesor Madya Dr Fauzi bin Deraman selaku pensyarah kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) di dalam bukunya yang bertajuk Siri warisan Nabawi; ‘Ulum al-Hadith, (2009, Kuala Lumpur: Warisan Nabawi Enterprise) telah memasukkan perihal Hadith da’if di dalam bab 5 di bawah fasal Hadith Mardud (tertolak).

Beliau telah memetik kata-kata al-Imam al-Nawawi dalam mentakrifkan hadith da’if dengan katanya: “Hadith yang tidak mengumpul padanya sifat hadith soheh dan juga sifat hadith hasan.” (Lihat al-Suyuti, Taqrib Ma’a al-Tadrib, hlm 179.)

Ibn Daqiq al-‘Id pula berpendapat bahawa hadith da’if ialah hadith yang kurang darjatnya berbanding hadith hasan. (Lihat Taqiuddin ibn al-Daqiq al-‘Id, Al-Itqtirah fi Bayan al-Istilah, (t.t), Baghdad: Maktab al-Irshad, hlm 177)

Berdasarkan penyataan di atas maka boleh dirumuskan bahawa sihat hadith itu menjadi da’if adalah kerana ianya tidak menepati syarat atau sifat-sifat hadith yang boleh diterima (hadith soheh atau hasan). (Lihat Ibnu Hajar al-Asqalani, Nukhbat al-Fiqar.)

Pembahagian; Tahap kelemahan hadith da’if
1.Hadith mawdu’ (palsu) merupakan hadith da’if yang paling buruk.
2.Hadith da’if yang sangat lemah.
3.Hadith da’if yang sederhana.
4.Hadith da’if yang mempunyai hadith da’if lain bagi menampungnya.
Sebab-sebab; Hadith menjadi da’if

Perlu dilihat pada dua faktor utama dalam merujuk kepada sebab sesebuah hadith itu menjadi da’if. Pertama dari sudut dirayah atau sanad (rantaian orang-orang yang meriwayatkan hadith tersebut) dan keduanya dari sudut riwayah atau matan (periwayatan teks-teks hadith tersebut).

Sesebuah matan atau teks hadith itu akan tertolak jika mempunyai paling kurang 10 kriteria berikut: Dusta, tuduhan berdusta, kesalahan yang teruk, cuai, ragu-ragu, terdapat percanggahan, fasiq, jahil, dan bid’ah (Lihat Tahir al-Jaza’iri, Tawjih al-Nazar, Madinah al-Munawwarah, hlm 242).

Hadith yang diriwayatkan juga akan terjerumus ke dalam pengelasan hadith da’if jika perawinya atau periwayatnya itu mempunyai kriteria seperti berikut: Hadith yang dibawanya terputus sanad (rantaian periwayatannya), keadilan dirinya dipertikai, terdapat kelemahan dari sudut ingatan dan hafalan serta terdapat syaz (kejanggalan) dan ‘illah (kecacatan) pada hadith yang diriwayatkannya.

Hukum periwayatan hadith da’if (termasuk dalam karya sastera)
Boleh dirumuskan bahawa hukum meriwayatkan hadith da’if itu mempunyai 2 bahagian:

1.Boleh diriwayatkan bagi mengambil pengajaran namun bersyarat.
2.Tidak boleh diriwayatkan walaupun sebagai pengajaran kerana tersangat lemah. Namun ada yang berpendapat bahawa tersangat lemah ini boleh dikuatkan di antara satu sama lain.

Maka di sini boleh dikatakan ulama terbahagi kepada pelbagai pendapat dalam periwayatan hadith-hadith da’if ini. Hanyalah boleh kita mengambil atau meriwayatkan hadith da’if yang bersifat dengan sanadnya tidak terputus seperti; fada’il al-a’mal, targhib wa tarhib, kisah-kisah sahabat atau selainnya.

Kebanyakan ulama juga berpendapat adalah harus bagi meriwayatkan hadith da’if bersifat fada’il al-a’mal dan seumpanya walaupun tanpa menjelaskan kedudukan sanad hadith tersebut. Namun perlu diingati bahawa meriwayatkan hadith da’if ini adalah berbeza dengan mengamalkannya. Malah sebenarnya hadith-hadith da’if ini amat popular digunakan di dalam karya-karya agung Islam dek kerana kurang cakna pengarangnya mengenai kesohehan hadith-hadith yang diriwayat mereka itu (lihat Abu Hasan al-Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Luknawi, al-Ajwibah al-Fadilah).

Bagi penerangan lanjut mengenai pendapat-pendapat para ulama yang muktabar lainnya sila rujuk buku karangan Profesor Madya Dr Fauzi bin Deraman, 2009, Siri warisan Nabawi; ‘Ulum al-Hadith’, Kuala Lumpur: Warisan Nabawi Enterprise, hlm 100-111. Saya mengesyorkan buku ini adalah kerana ianya begitu praktikal, menggunakan bahasa yang mudah dan senang dibaca, tidak terlampau sarat dengan istilah beserta huraian yang tidak terlalu meleret.

Berkenaan hadith-hadith da’if lagi mawdu’ (lemah, palsu lagi batil)
Walaupun ada hadith da’if yang boleh diriwayatkan namun kita seharusnya berhati-hati dengan hadith da’if yang bertaraf mawdu’ (palsu lagi batil). Ini adalah kerana hadith-hadith tersebut adalah dilarang sama sekali diriwayatkan dengan sandaran pada Rasulullah apatah lagi mengamalkannya. Di bawah di antara contoh hadith da’if bertaraf mawdu’ (palsu lagi batil) yang popular di kalangan pengarang dan penceramah dunia Melayu.

Contoh hadith mawdu’ yang popular:

1.“Tuntutlah ilmu walau ke negeri China.” Tidak ada satupun riwayat yang membuktikan bahawa kata-kata ini daripada Rasulullah SAW.

2.“Siapa yang mengenal dirinya maka dia telah mengenali Tuhannya.” Ibnu Taimiyyah, al-Nawawi, Abu al-Muzaffar al-Sam’ani, al-Sayuti dan al-‘Allamah al-Fairuz Abadi semuanya bersepakat hadith ini bukan dari Rasulullah SAW (dengan lafaz masing-masing).

3.“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.” Menurut al-Imam al-Zahabi di dalam Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal mengatakan bahawa hadith palsu ini telah direka oleh Ibn Jadam. Beliau merupakan seorang guru sufi di Mekah, meninggal pada tahun 414H. Beliau juga menerima tuduhan mereka hadith palsu mengenai solat Raghaib (solat pada Jumaat pertama bulan Rejab).

4.“Sesiapa yang berjabat tangan denganku atau dengan orang yang berjabat tangan denganku sehingga kiamat akan masuk syurga.” Menurut al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Lisan al-Mizan: “Riwayat berjabat tangan Mu’ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal.”

Saya hanya sertakan beberapa contoh yang diambil dari dalam buku bertajuk ‘Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-tokohnya’ karangan Dr Asri Zainul Abidin terbitan Alaf21 Sdn. Bhd (untuk penerangan lanjut sila rujuk hlm 43-54 buku tersebut).

Namun sebenarnya masih banyak lagi hadith-hadith yang direka dan disandarkan kepada Rasulullah SAW dengan sengaja mahupun tidak sengaja di dalam masyarakat kita samada melalui jalan penceramah mahupun penulisan (fiksi atau bukan fiksi).

Makanya menjadi tanggungjawab sebagai sasterawan dan penulis muda untuk memastikan pemurniaan hadith-hadith Rasulullah SAW dijaga dengan tingginya bagi menjauhkan diri dari kalangan ahli neraka sepertimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Resolusi kepada karyawan
1.Tidak salah menggunakan hadith da’if dalam beberapa hal seperti fada’il al-‘amal, tarhib wa targhib, kisah-kisah namun perlu dijelaskan kedudukannya samada da’if, maudu’ dan sebagainya dengan merujuk kepada kitab-kitab yang khusus.

2.Rujuklah kepada kitab-kitab soheh yang muktabar jika ingin menggunakan hadith-hadith Rasulullah SAW terutamanya soheh Bukhari dan Muslim (ada transilasinya di dalam Bahasa Melayu). Seterusnya boleh rujuk juga kepada sunan Ibnu Majah, al-Nasa’ie, Abu Daud dan Tirmizi.

3.Jika ingin juga menggunakan kata-kata yang dikhuatiri samada ianya hadith soheh ataupun bukan, maka naratifkan penggunaannya dengan tidak menyandarkannya kepada Rasulullah SAW. Katakan bahawa ianya kata-kata hikmah, kata-kata hukama dan sebagainya.

4.Tidak boleh menggunakan hadith mawdu’ (palsu lagi batil) dengan menyandarkannya kepada Rasulullah SAW dalam apa jua keadaan.

Rumusan
Para penulis dan pengkarya sastera mahupun akedemik diingatkan supaya berhati-hati dalam menggunakan hadith-hadith yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Ini adalah kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku maka tempahlah tempatnya di dalam neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada seorang penulis mapan bertanyakan pendapat saya tentang perkara ini, maka dengan tegas saya menjawab bahawa adalah tidak digalakkan menggunakan hadith-hadith da’if dalam karya sastera kerana dikhuatiri hadith tersebut sebenarnya adalah bertaraf mawdu’ (palsu lagi batil, haram meriwayat dan mengamalkannya) dan penulis yang melakarkannya pada lembaran karya mereka pula tidak menyatakan kedudukan makam hadith tersebut, maka adalah tidak mustahil mereka mungkin tergolong dalam golongan yang berdusta dengan menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.

Sebenarnya sudah dikira mengcukupi jika para pengkarya merujuk kepada kitab soheh karangan Bukhari dan Muslim yang memiliki 100% hadith-hadith yang soheh dalam segenap bidang untuk nilai tambah karya mereka. Rujuklah kepada kitab-kitab yang muktabar dari kalangan ulama’-ulama’ yang alim lagi faqih, jangan jadikan imbalan ingatan kita sebagai 100% buah fikir untuk berkarya, begitu juga dengan mengambil kata-kata orang yang tidak diketahui asal pangkal diambil perkataan-perkataan itu kerana adalah mustahil otak kita yang dengkel ini mampu untuk mengingati semua hadith-hadith Rasulullah SAW dengan sempurna.

Semoga dengan kecermatan kita dalam menggunakan hadith-hadith mengundang berkat dan melambangkan kecintaan yang tulus terhadap baginda Rasulullah SAW seterusnya karya-karya kita juga bukan sahaja bermanfaat kepada diri kita bahkan seluruh umat yang membacanya dan dikira ibadat di sisi Allah SWT.

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

20 January 2010

Cerpen di akhbar: Siasah

Alhamdulillah, buat julung kalinya cerpen saya diterbitkan di akhbar. Akhbar yang dimaksudkan ialah Siasah. Namun bila dibaca kembali saya merasakan sangat banyak kekurangan pada cerpen tersebut. malu pula rasanya bila digandingkan dengan nama besar saudara Haji Faisal Tehrani pada bahagian (sastera) yang sama. Dia mengulas tentang sebuah filem Bangla ala Hollywood katanya, klik di sini untuk paparan lanjut.

Saya terbayangkan mungkin dia akan terbaca dan tertawa pada penulisan saya itu, wa-Allahu-a'lam. Namun apapun saya sedar saya mengarang cerpen itu dengan kadar pengetahuan saya yang cetek dan teknik yang sangat lemah, saya akui. Kerana cerpen 'Wardatul Iman' merupakan cerpen saya yang terawal. Dan ianya diinspirasikan apabila mendengar kuliah Subuh di Masjid tempat saya bertugas.

Kuliah disampaikan oleh Ustaz Syed Abdul Kadir al-Joofre, salah seorang ulama muda yang baharu pulang ke tanah air setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjananya di Mesir. Di dalam kuliah tersebut dia ada menceritakan tentang pengalamannya semasa menyertai misi kemanusiaan di Palestin dan dari situlah tercetusnya idea untuk melakar cerpen 'Wardatul Iman' dalam rupa yang kreatif itu.

Saya akan membaiki mutu penulisan saya kelak dan saya sedar antara caranya ialah memperbanyakkan bacaan dan hadirkan diri ke bengkel serta kelas bimbingan tanpa jemu. Pada pengamatan saya itulah antara rahsia kejayaan penulis-penulis mapan pada hari ini, mereka sentiasa mengamalkan 2 perkara tersebut dengan istiqamah sekali.

Saya berazam untuk membaca buku fiksi dan bukan fiksi sebanyak yang mungkin pada tahun ini selain menghadirkan diri juga sebanyak yang termampu ke bengkel-bengkel penulisan apa jurusan sekalipun. Insya-Allah.

Untuk membaca versi asal cerpen 'Wardatul Iman' sila klik di bawah, cerpen ini telah diterbitkan oleh akhbar Siasah edisi 17-23 Januari 2010. Terima kasih Siasah.


1. http://kalamkhalifah.blogspot.com/2009/09/wardatul-iman.html
2. http://kalamkhalifah.blogspot.com/2009/09/wardatul-iman-ii.html
3. http://kalamkhalifah.blogspot.com/2009/10/wardatul-iman-iii.html

Zahiruddin Zabidi

14 January 2010

Anak muda bercerai: Siapa yang terkena?

Dalam sebuah risalah yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid yang bertajuk ‘Berwaspada!!!Perceraian Di Usia Muda; Anak Menderita’ dengan jelas mendatangkan butiran-butiran dan fakta-fakta yang berkaitan dengan statistik perceraian di kalangan pasangan Melayu Islam di Malaysia yang semakin parah.

Apa yang lebih mengejutkkan ialah peningkatan mendadak jumlah perceraian di kalangan pemuda-pemudi yang baharu dan dianggap pucuk sahaja dalam arena berumahtangga. Belum pun habis mengenal hati budi masing-masing sebahagian daripada mereka terpaksa mengambil langkah drastik iaitu bercerai bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Nyata kesan akibat perceraian itu akan memalitkan luka yang dalam kepada mereka yang terlibat.

Pada penulis perceraian adalah satu jenayah terhadap anak-anak yang masih kecil serta memerlukan sepenuh kasih sayang daripada kedua orang tua mereka. Anak-anak yang tidak mempunyai ibu atau ayah ketika membesar akan lebih berisiko untuk terdedah kepada masalah psikologi yang serius lantas mengakibatkan rantaian kepada gejala-gejala sosial lain.


Statistik perceraian di Malaysia
Merujuk kepada risalah yang dinyatakan di atas, statistik semasa daripada JAKIM menunjukkan bahawa kadar perceraian di Malaysia adalah amat membimbangkan.

Dengan jumlah keseluruhan perkahwinan antara tahun 2005 hingga 2008 yakni sebanyak 491,470, jumlah perceraian pula adalah sebanyak 80,564 kes seluruh negara.

Jumlah perceraian saban tahun jelas menunjukkan peningkatan, bermula 2005 dengan 17,749 diikuti tahun 2006, 19,475. Pada tahun 2007 pula telah meningkat kepada 21,051 kes dan ianya terus meningkat pada tahun berikutnya dengan jumlah sebanyak 22,289.

Data juga menunjukkan bahawa perkahwinan kurang dari 10 tahun paling banyak menghadapi kes perceraian saban tahun. Lingkungan umur individu yang terlibat dalam kes perceraian usia rumah tangga yang setahun jagung ini adalah dalam lingkungan 31-35 tahun.

Ini jelas menunjukkan bahawa dalam umur perkahwinan yang kurang 10 tahun itu jugalah zuriat daripada ibu bapa masing-masing sedang memerlukan sepenuh perhatian dan kasih sayang dalam membentuk dan mendidik mereka.

Tidak terbayang kesannya kepada mereka ini dek kerana terpaksa memikul bebanan psikologi di usia yang masih amat hijau itu akibat daripada perceraian kedua orang tua mereka. Akhirnya kerana terlepas mereka dari menerima curahan kasih sayang dan perhatian dari kedua orang tua mereka akan lebih mudah terdedah dengan anasir-anasir bobrok sosial semasa.

Elakkan perceraian dengan…
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubat, falsafah klise ini seakan sangat sinonim dengan rakyat Malaysia amnya. Malah ada ungkapan yang serupa dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab, walaupun kita kurang pasti hak milik siapa sebenarnya perumpaan tersebut. Namun nilainya tetap wajar untuk diambil sebagai iktibar.

Persiapan untuk menghadapi sepak terajang dalam berumah tangga sepatutnya telah dibuat sebelum berada di dalam arena itu lagi. Kita sangat memuji pihak kerajaan kerana telah memperkenalkan kursus kahwin yang wajib dihadiri oleh bakal pasangan pengantin, dengan bayaran RM80 seorang peserta akan didedahkan dengan pelbagai perkara untuk persiapan ke alam berumahtangga dalam masa dua hari.

Sebenarnya ianya dikira tidak mengcukupi kerana ilmu berkenaan ibadat rumahtangga ini perlu sentiasa dipelajari dan dihayati oleh pasangan dari masa ke semasa. Modulnya juga harus sentiasa dipanatau dan ditambah baik bersesuaian dengan kepesatan dan kemajuan semasa.

Pihak penganjur tidak boleh memandang keuntungan semata-mata kerana di sinilah ruang dakwah secara langsung terbentang luas. Penceramah seharusnya memainkan peranan seoptimum mungkin, pengalaman kita mengatakan bahawa peserta kursus akan datang secara berpasangan kebiasaannya kerana kelas dijalankan secara unisex. Penceramah pula tidak lebih dari berlawak jenaka yang berbau lucah sahaja. Akhirnya peserta hanya akan mendapat sekeping sijil pengesahan perkahwinan untuk mengcukupkan syarat perkahwinan mereka yang ditetapkan oleh jabatan agama.

Arahan mewajibkan pasangan yang bakal berkahwin untuk mengambil ujian HIV juga amat digalakkan dan harus diberi pujian kepada jabatan agama sekaligus pihak kerajaan. Pada peringkat awalnya, hanya beberapa negeri sahaja yang menjalankan dasar itu namun kini ianya adalah diwajibkan ke seluruh negeri di dalam negara Malaysia. Ini adalah teknik pengcegahan yang

Mad’u-mad’u yang sedia datang menyerah diri ini jika dibelai dengan penuh hikmah maka akan terjalinlah ikatan berpanjangan dengan para penganjur dan tawarkanlah khidmat kaunseling dari masa ke semasa bahkan sehingga mereka menjejak ke alam rumah tangga sekalipun.

10 persiapan individual; bakal suami mahupun isteri
Apabila diperhatikan secara dalam, antara punca kepada perceraian di usia perkahwinan dan usia pasangan yang muda adalah kerana mereka boleh dianggap sedikit terburu-buru dengan berkahiwin tanpa persediaan yang sepatutnya dari sudut fizikal, mental dan mungkin juga material.

1.Pasangan yang bakal berkahwin perlu tahu dan faham skop tanggungjawab masing-masing dalam memainkan peranan sebagai suami mahupun isteri. Kewajipan melaksanakan amanah tersebut adalah kewajioan dan menjadi tuntutan agama, malah ianya akan dihisab di padang Mahsyar kelak.

2.Pasangan yang bakal berkahwin juga mesti mendalami ilmu agama secara berterusan terutama untuk bakal suami, kerana menjadi kewajipan suami kelak untuk mendidik isteri dengan ilmu agama. Jika tidak mampu cadangkan dan doronglah mereka untuk menghadiri kuliah-kuliah agama. Jangan pula kita menghalang mereka daripada menuntut ilmu agama tersebut.

3.Perlu adanya satu ketetapan sebelum perkahwinan bahawa walau apapun yang terjadi di dalam rumahtangga (selagi tidak memudaratkan keselamatan) maka jangan sampai ianya melibatkan orang ketiga termasuk kedua ibu bapa atau mentua sekalipun. Berdepanlah secara lemah lembut dann berhikmah dengan pasangan, insya-Allah keharmonian rumahtangga menjadi habuan.

4.Perlunya pasangan itu memahami adapt resam budaya tempatan pasangannya jika perkahwinan mereka berbentuk rentas budaya. Sentiasa menghormati dan cuba salami da asimilasikan adat resam budaya belah pasangan, anda tentu akan menjadi kebanggaan bakal mentua.

5.Keterbukaan dan perbincangan tuntas secara berterus terang mampu untuk memahamkan pasangan masing-masing jika bakal pengantin tersebut menghadapi masalah seksual. Kerana adalah lebih baik berterus terang dan bagi hak untuk diri pasangan memilih samada untuk terus bersama atau sebaliknya kerana jika hal ini hanya diketahui selepas berkahwin maka pasangan akan rasa tertipu dan yakinlah implikasinya akan bertambah buruk.

6.Buat persediaan yang mantap dari sudut ekonomi, kita tidak nafikan Allah menjamin rezeki kita apabila kita sudah berkahwin dan ini sudah dinukilkan di dalam lembaran kalamnya. Namun janganlah pula tunggu sehingga masalah ekonomi memangkin kepada punca krisis rumahtangga. Sebenarnya sikap bertanggungjawab dan berusaha yang paling penting, dan yakinlah Allah tidak akan sia-siakan usaha kita untuk melakukan perkata yang disuruh oleh-Nya.

7.Kerjaya yang merujuk kepada pangkat, pada hari menjadi kebiasaan wanita yang lebih bekerjaya mengahwini lelaki yang berjawatan biasa. Di sini sifat sabar pihak suami perlu dioptimumkan dan sifat ego pihak perempuan perlu diminimumkan. Hormatlah pasangan sebagai suami atau isteri kita nescaya kehidupan kita akan harmoni.

8.Kesihatan adalah faktor yang agak penting dalam proses pembinaan rumahtangga kerana penyakit kronik hanya akan dianggap menyusahkan pihak yang satu lagi. Jagalah kesihatan untuk orang yang tersayang, jauhilah amalan merokok dan pemakanan serta gaya hidup yang merisikokan diri kita kepada penyakit kronik. Jika penyakit itu terjadi selepas perkahwinan hanyasalah kepada pasangan perlu bersabar dengan sebenarnya, yakinlah Allah tidak akan menguji hambanya jika ujian tersebut tidak mampu kita tanggung.

9.Hiasilah diri kita dengan akhlak dan perangai yang dianjurkan oleh Islam. Mampirkanlah sikap-sikap yang mahmudah yang tempiskanlah bersikap dengan perangai mazmumah. Sungguh tidak rugi jika kita menjadi orang yang baik-baik kerana kelak orang juga akan baik-baik sahaja dengan kita, ‘what you give you get back’ adalah kata-kata yang sesuai untuk motivasi dalam kehidupan.

10.Cubalah belajar untuk berkomunikasi dengan cara yang betul. Hampir 80% peratus kegagalan rumahtangga berpunca pada asalanya kerana masalah komunikasi. Krisis ini muncul apabila pasangan mendapati dirinya tidak difahami oleh pasangannya dan ini akan menimbulkan rasa tidak diambil berat lantas mencetuskan pemberintakan dalaman. Ini jelas boleh dilihat dan didengar, bacalah buku motivasi komunikasi rumahtangga yang bertajuk ‘Mens Are From Mars, Womens Are From Venus’ dan sambungannya ‘When Mars and Venus Collide’ karangan John Gray.

Kesimpulan
Bahagia atau tidak adalah pilihan kita sendiri. Kita berhak utuk ,membuat pulihan samada ingin bahagia dan gembira atau sebaliknya. Allah sendiri sudah nyatakan bahawa tidak akan diubah sesuatu kaum itu sehingga mereka merubah diri mereka sendiri. Ini bermaksud walaupun qada dan qadar kita sudah ditetapkan, namun kerana ianya bersifat ghaibiyah dan tidak diketahui kesudahannya maka menjadi kewajipan kita sebagai hambanya untuk sentiasa berusaha mengikut lunas-lunas agama Islam yang benar.

Dan yakinlah hanya kembali kepada al-Quran dan Sunnah yang sebebnar-benarnya akan menjamin ketenanganm kebadian, kegembiraan, keindahan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Seksyen 2, Wangsa Maju

12 January 2010

Sajak kedua di Berita Harian

Sedang saya membelek-belek halaman sanggar kreatif Berita Harian secara 'atas talian' tiba-tiba terjumpa dengan sajak yang saya hantar lebih kurang sebulan sudah.

Namun tidak pula saya perasan bila disiarkan di akhbar cetak. Atau mungkin ada perbedaan antara terbitan Berita Harian edisi cetakan dengan laman sesawang. Siapa yang boleh tolong saya jelaskan, saya persilakan.

Pautan untuk melihat di Berita Harian ialah di sini http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/SanggarKreatif/20091206122348/Article/

Zahiruddin Zabidi
Seksyen 2, Wangsa Maju
_____________________________

YA

Ilahi ya Ilahi ya Rabbi
ratap rayu pada yang suci
agar golonganku ke atas nikmati
pada reda-Mu kuharap pasti.

Ilahi ya Ilahi ya Jabbar
perkasa-Mu pada zat yang besar
hanya untuk hambamu yang sedar
sesatnya iblis kau tidak sasar.

Ilahi ya Ilahi ya Kadim
ada-Mu bukan dari silam
bukan jua pada yang ragam
sesungguhnya termaktub
di dalam kalam.

Ilahi ya Ilahi Rabbal Alamin
hanya-Mu layak sembahan mukmin
tuan hak milik-Mu laut daratan
bukan terbiar sejak ciptaan.

Ilahi ya Ilahi ya Malik al-Yaumiddin
hari yang tiada sebarang ingin
bahkan bayangan pada tabi’in
diharap syafaat golongan solihin.

AHMAD ZAHIRUDDIN MOHD ZABIDI
Wangsa Maju,
Kuala Lumpur

10 January 2010

Kempen kurangkan perceraian di usia muda

Terasa begitu sendat kepala dan badan tatkala hampir sahaja sampai ke puncak klimaks itu, namun ianya juga adalah merupakan satu garisan mula yang baharu kepada individu-individu yang terlibat. Hampir semua lelaki dan perempuan yang akan berkahwin merasai situasi ini. Bahkan ada yang terlampau gugup sehingga tertukar sebutan syahadah dengan surah al-Ikhlas bila ditanya oleh jurunikah.

Itulah ragam anak-anak muda yang bakal mendirikan rumah tangga dengan termeterainya satu ikatan janji (akad) yang sah mengikut syarak Islam untuk hidup bersama dengan memahami tanggungjawab dan hak masing-masing. Ikatan suci ini akan selesai setelah mereka diijab dan dikabulkan mengikut syarat-syarat yang dikehendaki oleh syarak. Majlis akad nikah menjadi kemuncak sebuah penantian dan pemula sebuah kebertanggungjawaban.

Pengalaman sebagai salah seorang pegawai yang bertugas di Bahagian Pengurusan Kariah dan ditempatkan di sebuah masjid memberi peluang kepada saya untuk berjumpa dan berhadapan dengan perkara-perkara sebenar yang berkaitan nikah kahwin, cerai-berai dan sebagainya.

Antara keperluan bagi sepasang bakal pengantin ialah mendapatkan khidmat Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik dengan tauliah yang sah dari jabatan agama negeri masing-masing. Jadi berbondong-bondonglah pasangan yang sudah merancang untuk berkahwin dalam masa yang terdekat berjumpa dengan ketua Imam yang juga Penolong Pendaftar Perkahwinan tadi untuk mendapatkan cop pengesan kebenaran berkahwin.

Kebiasaannya lelaki dan perempuan dalam lingkungan 20an ke atas adalah pengunjung teramai yang datang mengambil cop kebenaran berkahwin. Tidak pula menjadi kejutan jika datang pasangan emas yang sangka kami dia mahu dapatkan cop kebenaran kahwin untuk anaknya, sebaliknya bila ditanya ternyata untuk dirinya sendiri.

Sesekali diminta untuk menjadi saksi kepada pasangan juga menyebabkan saya berada di dalam dan terasa bahang majlis akad nikah itu. Walaupun diri saya sendiri sudah terlepas dari azab yang penuh nikmat itu, namun apabila tibanya saat khutbah nikah dibacakan hati ini tetap juga berdengup kencang. Apatah lagi kepada pengantin lelaki yang memang gelisahnya dari semalam lagi mungkin.

Saat itu sungguh indah. Hadirnya emak dan ayah, sanak saudara yang berpakaian serba indah malah ada yang ditempah khas semata-mata untuk majlis tersebut tentu sahaja menyerikan lagi majlis. Si pengantin perempuan yang tertunduk malu juga sedang menghitung di dalam hati yang menguntum, bilakah acara ini akan berakhir.


Kecewa
Lewat hari-hari yang dilalui di pejabat masjid juga, kami pernah didatangi dengan perempuan-perempuan lingkungan 20-30an yang datang untuk mendapatkan cop dan surat pemngesahan mastautin. Namun bila ditanya adakah tujuannya untuk berkahwin, ternyata jawapan yang diterima adalah sebaliknya. Kami tidak akan bertanya lagi.


Maksudnya mereka datang untuk mendapatkan cop bagi kelulusan prosiding cerai mereka samada cerai secara baik atau fasakh dan sebagainya. Dan apa yang menyedihkan saya ialah mereka ini amat muda untuk menghadapi ujian putus ikatan perkahwinan yang baru sahaja setahun jagung.

Perceraian di kala usia antara 20 dan 30 adalah satu tamparan dan kegagalan sosial kepada individu terbabit. Namun di negara kita ia seakan menjadi fesyen, perkahwinan dan perceraian dikaitkan juga dengan keperluan peredaran masa. Perceraian seakan tidak dilihat sebagai perkara yang berat malah sudah dienteng-entengkan sahaja. Mungkin kerana terbiasa dengan suapan racun-racun budaya dan minda dari barat yang menyaksikan perkahwinan dan perceraian tidak lebih dari menukar kereta atau baju sahaja mungkin.

Akibatnya yang terbesar adalah kepada anak-anak, mereka akan membesar tanpa kasih sayang yang menjadi ruji asas dalam tumbesaran sosial mereka. Akhirnya memutiklah benih-benih kerosakan dan kebobrokan sosial satu persatu dan terus berangkai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap anak itu lahir dalam keadaan fitrah, kedua ibu bapalah yang mencorakkan mereka untuk menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”(Riwayat Muslim)

Muhasabah
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud: “Talaq (cerai yang boleh dirujuk kembali itu) dua kali. Sesudah itu boleh ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik…”

Rasulullah SAW direkodkan pernah bersabda yang bermaksud: “Sesuatu perkara yang halal namun amat dibenci oleh Allah SWT ialah talaq”(Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan kepada ayat al-Quran dan hadith di atas maka tahulah kita bahawa cerai sesuatu yang tidak dilarang di dalam agama Islam, namun ianya sesuatu perkara yang amat tidak digalakkan kerana ianya melibatkan implikasi yang besar dabn berpenjangan kepada individu-individu yang terlibat.

Dengan pemisahan yang berlaku atas nama talaq ianya bermaksud mengharamkan apa yang halal sebelumnya. Ianya juga jalan untuk memisahkan hubungan dan kasih sayang. Ianya bukan sahaja terus merenggangkan interaksi dan komunikasi antara ibu bapa yang bercerai, namun anak merekalah yang bakal menjadi mangsa utama jenayah kasih sayang itu.

Tanpa menafikan bahawa talaq juga adalah jalan yang terbaik jika tidak lagi ada persefahaman dan keharmonian rumahtangga yang menyebabkan masing-masing bertambah derita. Akhirnya apa yang kita boleh lihat hari ini ialah, menjadi agak biasa anak-anak generasi baru membesar tanpa kasih sayang salah seorang orang tua mereka.

Hukum
Talaq antara masalah feqah yang boleh menggunakan semua kaedah hukum yang diperuntukkan di dalam Islam. Bermula dengan wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Ianya akan berubah mengikut suasana atau situasi semasa mereka yang terlibat.

Sebagai contoh yang pertama, talaq akan menjadi wajib jika diarahkan oleh Kadi atau Hakim apabila masalah rumahtangga mereka yang terlibat dirujuk dan jalan penyelesaian mengikut kadar pemerhatian Kadi atau Hakim yang terlibat sudah tertutup. Mereka akan digalakkan bercerai atau akan diwajibkan bercerai.

Yang keduanya talaq akan menjadi sunat apabila si suami tidak lagi mampu untuk melaksanakan tugas atau tanggungjawab sebagai seorang suami sebagai pembimbing kepada isteri kerana sikap isteri yang tidak menjaga kehormatan diri, lalai dalam menunaikan tanggungjawab kepada Allah, suami dan diri sendiri. Dalam keadaan ini si suami adalah disunatkan untuk menceraikan isterinya itu.

Yang ketiga, talaq menjadi harus apabila suami tidak lagi mampu untuk menyukai isterinya kerana sebab-sebab yang tertentu malah tidak mampu lagi memberi nafkah serta tidak memperolehi kenikmatan (istimta’) berumah tangga daripada isterinya.

Yang keempat ialah makruh hukumnya apabila seorang suami itu menceraikan isterinya yang baik tingkah laku akhlaknya, serta tiada cacat celanya dari sudut agama. Atau diceraikan tanpa sebab musabab yang membolehkan suami menceraikan isterinya itu.

Yang terakhir adalah haram bagi seorang suami itu menceraikan isterinya apabila isteri berada di dalam keadaan haid atau nifas kerana implikasinya ialah ia akan memanjangkan tempoh iddah (tempoh menunggu) isteri yang dicerai dan sekaligus seakan menganiayainya. Begitu juga adalah haram menceraikan isteri ketika dirinya di dalam keadaan suci malah si suami teah pun menyetubuhinya.

Kesimpulan
Perceraian di usia muda mahupun tua adalah diantara gejala yang perlu dibendung dengan segera. Semua peringkat masyarakat samada di kalangan tertinggi hieraki ataupun yang paling rendah adalah bertanggungjawab untuk memastikan gejala ini dapat dikurangkan.

Pendedahan tentang akibat perceraian di usia muda perlu diperjelaskan kepada masyarakat terutama anak muda yang bakal berkahwin agar mereka tahu bahawa perkahwinan bukan hanya untuk berseronok semata namun penuh dengan tuntutan tanggungjawab.

Kursus perkahwinan yang diwajibkan kepada bakal pasangan yang ingin berkahwin adalah satu langkah bijak yang perlu dipuji. Ianya dilihat sebagai satu medium untuk menyalurkan maklumat dan membekalkan mereka sedikit ilmu kepada bakal pengantin.

Namun modul dan pengisian adalah perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa dan para penganjur diingatkan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata kerana mungkin dari situlah para pasangan ini akan terbuka hati untuk lebih memahami Islam yang sebenar, kerana kita yakin hanya pemahaman Islam yang soheh dan jitu antara suami dan isteri akan menjamin kebahagiaan kehidupan di dunia dan akhirat.

Pihak kerajaan diharap dapat mengambil berat masalah ini dengan melancarkan kempen rasmi dengan kerjasama JAKIM dan organisasi di bawahnya, Kementerian Penerangan, Kementerian Kesihatan dan kementerian-kementerian yang berkepentingan lainnya untuk menganjurkan kempen kesedaran besar-besaran untuk mengurangkan statistik perceraian usia muda di kalangan pasangan di Malaysia.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi

07 January 2010

Peri pentingnya ilmu usul

Masih saya ingat ketika berada di dalam kelas Usul al-Tafsir yang dikemudi oleh Prof Madya Dr Mustafa Abdullah, Ketua Jabatan al-Quran dan al-Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Mata pelajaran yang membahaskan dasar-dasar atau asas kepada ilmu pentafsiran al-Quran ini amat membuka mata kami sekelas tentang kaedah pentafsiran al-Quran yang digunakan pakai oleh para ulama dari awal hijrah sehinggalah pada mutaakhir ini. Malah kami akhirnya juga lebih terbuka dan faham mengapa terjadinya khilafiyah dalam urusan syariah berkaitan fiqh dan usul fiqh kemudiannya.

Pengajian yang membawa kami jauh untuk mengenali sejarah para mufassir dan kitab-kitab mereka yang muktabar ini amat bermanfaat untuk kami gunakan di hari muka. Daripada situlah kami sekelas lebih berlapang dada dalam memahami perbezaan empat mazhab utama yang disepakati secara ijmak sebagai aliran rasmi ahli sunnah wal jamaah. Oleh yang demikian Usul al-Tafsir diletakkan di bawah aliran Usuluddin selari dengan Ulum al-Hadith.

Sebagaimana yang pernah disebut oleh murabbi saya, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil http://www.saifulislam.com/. Jika seseorang ibu bapa mahu anak mereka nanti menjadi seorang ustaz maka pastikan bahawa mereka tidak akan terlepas untuk menghadami beberapa ilmu asas yang utama. Pertama Bahasa Arab, kedua Usul al-Tafsir dan yang ketiga Ulum al-Hadith. Ini adalah kerana punca atau rujukan kepada apa yang kita panggil sebagai agama Islam ialah al-Quran dan al-Hadith.

Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Malik di dalam al-Muwatta’, Baginda Rasulullah SAW telah bersabda: “Tiada yang ku tinggalkan kepada kamu (umat) melainkan dua perkara, jika kamu berpegang teguh kepadanya nescaya tidak sesat olehmu, ianya kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul (hadith).

Kedua-dua elemen ini memerlukan bahasa Arab untuk lebih dijiwai. Malah bukan sahaja dengan membaca al-Quran dan terjemahan sahaja. Kita malah perlu untuk menghadami syarahnya, tahu metod-metod pembahagian kitab-kitab tafsir itu, kaedah yang digunakan oleh mufassir-mufassir itu, asbab al-nuzul sesebuah surah dan ayat, sejarah pembukuan al-Quran, mahir untuk menafsirkan perkataan yang ganjil merujuk kepada perumpaan (tamsil) atau perbuatan (ta’til), mengetahui secara jelas jika ada riwayat palsu (mawdu’) atau rekaan seperti unsur Israeliyat dan sebagainya.

Begitu juga dalam memahami al-Hadith, kita bukan sahaja perlu membaca secara literal perkataan (matan) yang diriwayatkan itu. Kita juga perlu untuk memahami apa yang tersurat dan tersirat di sebalik sumber kedua terbesar agama Islam selepas al-Quran ini. Kita perlu mempelajari kedua-dua bahagian Ulum al-Hadith iaitu ilmu dirayah dan ilmu riwayah. Mengetahui asbab al-wurut (sebab musabab) ianya diriwayatkan. Mengetahui istilah-istilah dan cabang dalam ilmu ini serta tidak salah guna untuk mengaitkan apa yang mahu disandarkan kepada satu-satu hadith itu.

Dan awas dalam menggunakan hadith kerana ianya sudah terdedah kepada pemalsuan, ianya sudah berleluasa di dalam dunia ini sejak kurun pertama hijrah lagi. Rasulullah SAW telah bersabda sebagaimana yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku, maka tempahlah tempat untuk dirinya di neraka.”

Dengan itu adalah tertolak sesuatu hujah itu jika ianya disandarkan kepada hadith palsu. Hujah itu dianggap lemah bahkan mungkin akan dituduh bid’ah kerana mengada-ngadakan perkara yang tiada bahkan menyandarkan kepada Rasulullah SAW. Apakah tidak cukup dengan mencari hujah dan dalil dengan meyandarkannya kepada al-Quran dan hadith-hadith soheh? Sudah tersusun rapi di dalam kitab Soheh Bukhari dan Muslim serta kitab Sunan Imam empat yang lain dengan pengelasan mengikut aturan masalah fiqh. Hanya perlukan sedikit kerajinan untuk menyemak dan merujuk dari masa ke semasa sahaja.

Tidak cukup dengan itu, al-Hafidz Imam Ibnu Hajar al-Asqalani juga telah mensyarahkan secara ditir dan panjang lebar di dalam kitabnya yang berjudul Fathul-Bari untuk himpunan hadith Soheh Bukhari. Al-Imam al-Nawawi juga tidak ketinggalan dalam mensyarahkan Soheh Muslim di dalam Bulughul Maram yang juga berderetan dan berjilid-jilid itu. Di dunia Melayu siapa tidak kenal al-Marbawi, seorang tokoh ilmuan Islam besar tanah air yang telah berjaya menterjemah syarah Sunan Tirmizi ke dalam Bahasa Melayu dengan menggunakan perkataan Jawi, kitab itu kemudiannya dinamakan Bahrul Mazi yang bermaksud ‘lautan madu’.

Maka dengan itu, adalah wajar untuk setiap pelajar aliran agama yang telah disekularkan dengan doktrin Usuluddin dan Syariah adalah berbeza untuk mengetahui paling kurang semua ilmu ‘usul’ ini. Saya merasakan adalah tidak wajar sistem pendidikan kita di peringkat pengajian tinggi meletakkan kedua perkara yang saling berkaitan ini sebagai aliran yang berbeza malah diletakkan di bawah entiti yang berbeza. Silibus ini wajar dirombak semula dengan meletakkan semua pelajar aliran agama peringkat ijazah sarjana muda di bawah satu aliran sahaja, mungkin dengan menggunakan label ‘Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam’.

Bermula dengan mengadunkan bahasa Arab, Usul al-Tafsir, Ulum al-Hadith, Usul al-Fiqh, Fiqh dan beberapa subjek asas lain sebagai subjek wajib. Kemudian di peringkat sarjana baharulah para graduasi ini berhak untuk melangkah jauh dengan mencari subjek takhassus dalam apa jua bidang ranting yang seterusnya.

Dengan ini saya percaya bahawa produk fakulti atau jabatan pengajian Islam peringkat sarjana muda sekalipun mampu untuk menghuraikan masalah dari sudut mana sekalipun persoalan itu timbul. Kita tidak ingin bila mereka ditanya tentang soalan yang berkaitan dengan Fiqh yang ringkas sekalipun maka jawapan yang diberi berbunyi, “Maaf, saya dulu belajar jurusan Usuluddin.” Begitulah sebaliknya jika soalan yang diajukan oleh ustaz itu berkenaan dengan pembatalan akidah, dikhuatiri jawapannya juga berbunyi, “Maaf, saya dulu pelajar syariah.”

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Seksyen 2, Wangsa Maju.

04 January 2010

Ada apa dengan Syiah?

Hanya kerana tidak berpuas hati di atas perlantikan Saidina Abu Bakar r.ha sebagai khalifah pertama selepas kewafatan nabi Muhammad SAW, maka telah muncul kumpulan yang telah menisbahkan diri mereka sebagai penyokong kuat Ali k.wjh. Mereka melahirkan rasa tidak puas hati dengan proses lantikan yang berjalan tanpa melibatkan Saidina Ali yang sedang sibuk menguruskan mayat Rasulullah SAW.

Mereka berpendapat bahawa hanya dari kalangan kerabat Rasulullah SAW sendirilah yang paling layak menggantikan Baginda sebagai pemimpin kamu muslimin. Sedangkan sikap Saidina Ali dalam hal ini adalah berlapang dada dan menghormati keputusan syura yang secara ijmaknya mengisytiharkan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama kaum muslimin.

Perlantikan Saidina Umar al-Khattab sebagai khalifah kedua kaum muslimin juga tidak disenangi mereka. Ini adalah kerana mereka berpegang kepada prinsip orang yang paling layak mewarisi kepimpinan Rasulullah SAW adalah ahlul-bait sahaja. Namun segala-galanya terzahir apabila Saidina Ali yang akhirnya menjadi khalifah kaum muslimin keempat telah diremehkan oleh Saidina Muawiyyah yang menjadi gabenor di Syria pada masa itu.

Tentangan ini berlangsung kerana Muawiyyah yang mempunyai pertalian darah dengan khalifah Saidina Uthman telah mendakwa bahawa Saidina Ali melengah-lengahkan proses siasatan dan hukuman terhadap peristiwa pembunuhan Saidina Uthman.

Khilaf siasi atau politik dalam urusan pentadbiran ini tidak terhenti di situ sahaja, bahkan kelompok yang sedikit taksub dengan ahlul-bait terutamanya Saidina Ali memendam perasaan selama bertahun-tahun sehinggalah mereka menzahirkannya dengan melakukan pemberontakan demi pemberontakan dan kemuncaknya adalah tercetusnya perang saudara antara sesama muslim.

Kumpulan ini dinamakan Syiah kemudiannya mengikut apa yang dinukilkan oleh al-Imam Abu Hasan al-Asy’ari di dalam kitabnya yang berjudul Maqalaat Islamiyyin dan al-Syarastani di dalam al-Milal wal Nihal.

Akhirnya masalah khilaf politik itu telah bereceran menjadi doktrin akidah kumpulan-kumpulan yang tidak berpuas hati itu. Maka timbullah aliran Syiah yang mengagungkan Saidina Ali dengan mengkafirkan sebilangan sahabat yang lain dalam iktikad mereka, antara yang dikafirkan mereka adalah Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab. Mereka juga melancar perang terhadap Muawiyyah yang dikatakan merampas takhta khalifah dengan cara yang batil daripada Saidina Ali k.wjh.

Kemudian timbul pula Khawarij yang tidak bersetuju terhadap keduanya. Mereka malah mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka. Fahaman Jabbariah pula meletakkan segala natijah dan sebab musabab itu total daripada Allah. Manusia hanya menjalankan apa yang telah dirancang tanpa perlu berusaha untuk mengubahnya samada kebaikan mahupun keburukan. Ini juga merupakan salah satu cabang yang lari dari hakikat akidah Islam itu sendiri.

Jenis-jenis Syiah

Fahaman Syiah juga akhirnya telah berpecah mengikut faham aliran masing-masing. Mereka boleh dikatakan berpecah mengikut kadar ketetapan iktikad mereka. Ada yang melampau dengan menidakkan kerasulan Nabi Muhammad SAW, menganggap Saidina Ali itu tuhan, para imam yang diangkat dari kalangan ahlul-bait adalah maksum, al-Quran mempunyai surah yang tertinggal iaitu surah Fatimah, menambahkan kalimah pada seruan azan dan banyak lagi kebatilan yang bukan sahaja bid’ah bahkan secara nyata bercanggah sama sekali dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Namun ada juga yang sebaliknya, aliran ini tidak beriktikad dengan apa yang diiktikadkan aliran diatas. Mereka lebih bersederhana dan jika dilihat secara halus sebenarnya doktrin akidah dan syariat mereka tidak banyak bezanya dengan ahli sunnah wal jamaah.

Antara fahaman Syiah yang utama ialah Zaidiyyah yang kemudiannya telah berpecah kepada tiga kumpulan iaitu Jarudiyyah, Sulaimaniyyah dan Battariyyah.

Diikuti dengan kumpulan kedua terbesar yang dinamakan sebagai Imamiah, diikuti dengan kumpulan yang dinamakan sebagai Baqirah dan Jaafariyyah. Kumpulan ini kemudiannya berpecah kepada tiga golongan iaitu Nawusiah, al-Ifthahiah atau al-A’mariah serta al-Sumaitiah.

Aliran al-Musawiyah dan al-Mafadliah juga terpecah kepada tiga aliran yang berbeza seperti al-Maaturah, al-Quda’yah dan al-Waqifah. Isna Ashariah (Imam 12) juga punya pengaruh yang besar terhadap penganut Syiah namun dilihat sangat banyak percanggahan dari sudut akidah dan syariat berbanding ahli Sunnah wal Jamaah.

Al-Ismailiah al-Waqifah dan Ghulah al-Syiah yang kemudiannya terpecah kepada al-Saba’iah dan Ismailiah adalah golongan yang tertolak dari akidah Islam secara terang. Begitu juga al-Batiniah, Qaranitah dan Duruz.

Kemudian kita akan dapati ada kumpulan bernama Rawafid, Kisaniah, al-Hasyimiah, al-Bayaniah, al-Rizamiah, al-Karrabiah, al-Kalimiah. Ada juga Muhammadiah, Hisyamiah, al-Zirariah, al-Yunusiah dan al-Syaitaniah. (Rujuk: Fahaman dan Ideologi Umat Islam (2008). Kuala Lumpur: PTS Publication & Distribution)

Syiah masa kini

Prof Dr H. M Rasjidi di dalam bukunya yang bertajuk ‘Apa Itu Syiah’ telah mendedahkan aliran Syiah yang dianuti oleh pihak berkuasa di Iran sekarang ialah Syiah Imamiyyah. Di antara ciri-ciri khas aliran itu ialah:

1. Aliran ini menganggap Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar telah merampas jawatan daripada pemiliknya iaitu Saidina Ali. Mereka telah mengutuk dan memaki kedua sahabat besar tersebut seakan perbuatan tersebut adalah sebahagian daripada tugas mereka.

2. Mereka telah memberi kedudukan setingkat lebih tinggi daripada manusia biasa. Mereka seolah penghubung antara manusia dan Tuhan.

3. Ramai penganut aliran ini percaya bahkan bahawa Saidina Ali dan Imam-imam yang lain mempunyai sifat-sifat ketuhanan.

4. Penganut aliran ini percaya bahawa imam-imam mereka adalah maksum dan terjaga dari segala dosa kecil mahupun besar. Apa sahaja yang dilakukan mereka adalah benar dan yang ditinggalkan mereka adalah salah.

5. Mereka tidak mengakui bersepakatan atau ijmak ulama Islam sebagai salah satu sumber untuk mengistinbadkan hukum. Mereka akan menerima ijmak apabila imam mereka sendiri yang menyetujui ijmak tersebut. Dengan itu ijtihad dan penggunaan waras akal intelek adalah tidak dipraktikkan kerana segala kata dua adalah daripada imam.

6. Menghalalkan nikah mut’ah iaitu nikah sementara waktu samada sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun. Pernikahan ini amat ketara bezanya berbanding nikah yang disyariatkan melalui subbah Rasulullah SAW:

i) Dalam akad nikah pasangan mesti menyebut jangka masa yang dipersetujui bersama misalannya. Samada sehari, sebulan dan seterusnya.
ii) Nikah ini juga tidak memerlukan saksi dan tidak perlu juga dihebohkan kepada orang ramai.
iii) Antara suami isteri tidak ada yang boleh diwarisi.
iv) Untuk memutuskan ikatan pernikahan itu tidak memerlukan talak kerana perkaheinan akan terhenti dengan sendirinya apabila kontrak tempoh waktu yang dipersetujui bersama talah tamat.
v) Waktu edah bagi janda ialah dua kali haid atau 45 hari bagi yang sudah manopous. Manakala edah bagi kematian adalah sama dengan nikah biasa.

7. Mereka juga meyakini bahawa imam-imam yang sudah meninggal dunia akan kembali ke dunia pada akhir zaman dan membanteras segala perbuatan jahat dan khianat serta menghukum lawan kepada kumpulan Syiah. Kemudian baharulah datang Imam Mahdi ke dunia dan kiamat pun akan berlaku. (Prof Dr H. M. Rasjidi (2005). Apa Itu Syiah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers. Mukasurat 57-60)

Kesimpulan

Secara terang dan jelas ajaran, pemikiran, doktrin serta akidah sebahagian besar daripada kumpulan Syiah yang bercabang dan beranting itu adalah bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Adalah tidak wajar kita yang berjijak pada sirat Ahli Sunnah wal Jamaah perlu mengiakan apa yang direncanakan oleh fahaman Syiah zaman berzaman itu. Pengaruh-pengaruh Syiah ini juga akhirnya hanya akan mendatangkan pecah belah di dalam masyarakat kita yang sedia harmoni dan aman damai. Berpegang kepada manhaj Fiqh al-Imam al-Syafie, manhaj akidah Abu Mansur al-Matrudi dan Abu Musa al-Asya’arie.

Namun untuk menidakkan peranan mereka sebagai satu-satunya gergasi dunia Islam yang berani untuk menentang negara barat seperti Israel dan Amerika secara berdepan adalah tidak patut. Hanya Iran dilihat sebagai satu-satunya negara yang tidak pernah tunduk kepada desakan dan arahan polis dunia itu. Maka alangkah indahnya jika ada penyelesaian antara isu Syiah dan Sunnah yang menatijahkan penggabungan besar orang Islam khususnya bangsa Arab dalam memerangi musuh yang lebih nyata iaitu Yahudi dan Nasrani, Israel dan Amerika.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Timbalan Ketua Pemuda PUM http://www.islamon9.com/
Penasihat iluvislam.com http://www.iluvislam.com/