30 September 2009

Wardatul Iman II

“Ustaz, ustaz dah dapat berita?” tanya Amir, cemas sahaja riak wajahnya diselangi dengan suara yang seakan tersekat di kerongkong.

“Ada apa Amir, ana tak dapat apa-apa berita lagi melainkan Zionis laknatullah telah menghujani kita dengan bom semalam.” Ustaz Abdul Kadir menjelaskan.

“Ha..itulah, Ustaz tahu berapa orang yang terkorban? Hampir 100 orang termasuk orang tua dan kanak-kanak, kerana yang mereka serang adalah hospital awam di Ghaza.Allah...zalim sungguh mereka ini ustaz,” Amir menerangkan dengan panjang lebar sambil mukanya menunjukkan ammarah seraya tangannya dikepal dan menumbuk-numbuk ke tanah.

“Dan...” sambung Amir, Ustaz Abdul Kadir yang menunduk bertafakur sebentar tadi mengangkat kepala tepat memaku matanya ke muka Amir.

“Syuaibah..ustaz, dia juga sudah mendahului kita untuk berjumpa kakinya di syurga.” Mereka berdua berpelukan. Menenangkan diri dan hati masing-masing. Anak gadis manis yang mereka kenali telah mendahului mereka untuk syahid, suatu kerinduan kepada para mukminin dan mukminat.

“Bertuahnya engkau hai adikku, kau menghadap Allah dengan syahid. Tanpa ada noktah dosa, di saat tanah air dan agamamu dicela. Doakan ammu juga menyusurimu, semoga Allah merahmatimu dan kami di sini, bergembiralah adikku dengan segala nikmat syurga yang Allah janjikan kepadamu, amin.” Tanpa sedar air mata hangat membasahi pipi ustaz muda itu.
Doanya di dalam hati dan benak fikirannya, sambil terngiang-ngiang ingatannya bersama adik kecil bernama Syuaibah.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

“Ustaz, saya ada baca buku Prof Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang bertajuk “Iman dan Kehidupan” dan beliau menjelaskan Iman dan kehidupan adalah elemen yang saling memerlukan. Mana mungkin seseorang yang mengaku Islam namun tidak beriman. Dan Iman jugalah yang menjadi panduan akhlak seorang mukmin dalam erti kata keimananlah yang menjadi dasar dan panduan kehidupan kita ini.”

“Apakah dengan Islam, seseorang itu tidak mampu untuk membina akhlak yang baik ustaz?” tanya Kauthar, salah seorang murid Ustaz Abdul Kadir yang aktif dalam jemaah.

“Bukankah semua yang Islam itu sudah dijamin syurga, ustaz?” belum pun sempat Ustaz Abdul Kadir menjawab soalan kedua menyusul sudah.

“Baiklah, sebelum kita lebih jauh membicarakan tentang Islam, Iman dan Ihsan ini. Ustaz nak tanyakan dahulu satu persoalan. Apa itu akidah?” Ustaz Abdul Kadir akhirnya memulakan bicara dengan persoalan.

Soalan dijawab dengan soalan. Kaget murid-murid sekaliannya.

“Rauf..anta, sila kongsikan,” tunding Ustaz Abdul Kadir pada muridnya yang seorang itu. Agak cerdik budaknya tapi sedikit perlukan dorongan dan motivasi kerana ada padanya gejala-gejala penyakit malas.

“Err..akidah ni ustaz, setahu ana kalau ikut perkataan asalnya iaitu akad yang bermaksud perjanjian atau ikatan. Sebab tu kalau nak kahwin kita kena akad nikah dulu ustaz kan...hehe,” berderai tawa sekalian rakan kelasnya.

“Anta ni duk fikir nak kahwin je ye? Patutla Ustaz Hassan puji anta, katanya markah subjek Fiqh Munaqahat anta yang champion.” Sindir Ustaz Abdul Kadir dalam gurau.

Rauf hanya tersenyum kelat malu diiringi hilai tawa rakan-rakannya. Muslimah hanya tertunduk menahan tawa, ada yang tidak mampu menahan sehingga terlihat di wajah masing-masing barisan gigi-gigi yang menggambarkan kelucuan Rauf tadi.

Ustaz Abdul Kadir segera menenangkan keadaan.

“Syukran Rauf,” sambungnya lagi.

“Benar seperti yang dikatakan Rauf, akidah ialah ikatan atau perjanjian yang menjadi tunjang dan asas kepercayaan seseorang mengaku muslim. Dengan itu, asas utama bagi Akidah Islamiyyah ialah 3 i yang telah kita pelajari iaitu...”

“Islam, Iman dan Ihsan...” hampir serentak dijawab oleh siding kelas.

“Akidah Islam itu dari Nabi Adam a.s lagi tidak akan berubah sehinggalah ke akhirat kelak yakni mengesakan Allah. Malah orang-orang yang secara zahirnya tidak berakidahkan Islam secara tidak langsung sebenarnya mengakui tentang kewujudan Allah.”

“Dalam erti kata mudahnya, mereka ini semua percaya perlunya kepada satu kuasa yang mengatasi segala kekuasaan yang ada yakni Allah. Yang menciptakan bumi, yang mengawal dan mentadbir alam semesta, langit, bintang , matahari, seluruh ekosistem alam, diri mereka malah tuhan-tuhan mereka itu sendiri. Namun mereka tersesat kerana menyekutukan Allah. Menyamakan Allah dengan selain-Nya.”

“Hal ini direkod dalam al-Quran, apabila ditanya kepada orang-orang kafir siapakah yang menjadikan langit dan bumi maka mereka akan menjawab, Allah. Bahkan apabila ditanya siapa yang menjadikan mereka nescaya mereka juga akan mejawab, Allah.”

“Adakah mereka dikira Islam dan beriman kepada Allah Ustaz?” Jamil mencelah, tidak sabar mahukan jawapan.

“Ya..adakah mereka dikira Islam dan beriman? Kita tengok dulu beberapa fakta dari Sirah Nabawi.”

“Siapa nama ayah Baginda Rasulullah?”

“Abdullah bin Abdul Muthalib.”

“Apa maksud Abdullah? Bukan ke hamba Allah?”

“Siapa pula Abdullah bin Salam?”

“Seorang Yahudi yang akhirnya memeluk Islam dengan Rasulullah,”

“Abdullah bin Ubai bin Salul dan Abdullah bin Saba’?”

Ustaz Abdul Kadir memanjangkan lagi dialog mereka.

“Dalam perjanjian Aqabah, perjanjian yang ingin ditulis dengan kalimah Basmallah tidak disetujui oleh pihak kafir Quraish kerana mereka mengatakan itu buka kebiasaan mereka. Lalu ditukar dengan kalimah Bismika-Allahumma yang bermaksud Dengan nama-Mu yang Allah.”

“Satu lagi kisah yang bersejarah berlaku ialah semasa tentera Abrahah menyerang Kota Mekah. Tentera Abrahah telah merampas unta-unta dan kambing-kambing milik penduduk Mekah dan antara unta yang dirampas adalah milik Abdul Muthalib.”

“Apa yang berlaku ialah, Abdul Muthalib dating bersemuka dengan Abrahah dan meminta untuk dipulangkan kembali unta-untanya. Ini menimbulkan kehairanan Abrahah apabila mendapati Abdul Muthalib selaku penjaga Kaabah tidak sedikit pun risau berkenaan dengan serangannya yang ingin meruntuhkan Kaabah sebaliknya lebih risau tentang unta-unta yang dirampa. Abdul Muthalib berkata, unta-unta itu adalah miliknya manakala Kaabah ada pemiliknya yang akan mejaganya sendiri yakni Allah.”

Kelas senyap sunyi tanpa suara dan bahasa kerana segala mata dan telinga kini tertumpu kepada Ustaz Abdul Kadir seorang sahaja.

“ Kita ambik contoh moden, apabila seorang pemain bola sepak dalam pasukan-pasukan bertaraf dunia yang biasa kita tengok secara langsung dalam televisyen. Apakah reaksi mereka setelah menjaringkan gol? Seolahnya kita melihat mereka mengekpresikan rasa syukur dan gembira, namun kepada siapa sebenarnya? Dengan aksi sujud, mengdongak ke langit dan macam-macam lagi. Bagaimana pula dengan seorang yang mengaku Atheis namun apabila melatah perkataan ‘oh my god’ yang terkeluar dari bibir mereka.”

“Maknanya di sini orang-orang bukan Islam juga sebenarnya mengakui tentang kewujudan Allah ye ustaz? Jika begitu apa bezanya akidah kita sebagai orang muslim dengan orang yang malah digelar kafir ustaz?” Tanya pula Azman, sedikit keliru.

Ah, harus dijelaskan seditirnya kepada bakal Ustaz dan Ustazah di sini. Salah faham mengundang sesat.

Ustaz Abdul Kadir cuba menyusun kata, ditariknya nafas dalam-dalam lantas memulakan semula bicaranya: “Pembahagian Akidah mengikut jumhur ulama’ Ahli Sunnah Wal Jamaah sekurang-kurangnya terbahagi kepada tiga bahagian, yang pertama Tauhid Rububiyyah, yang kedua Tauhid Uluhiyyat dan yang ketiga Tauhid Asma’ Wa Sifat. Ada sesetengah Ulama’ memasukkan Tauhid Hakimiyyah sebagai salah satu cabang Tauhid namun ianya tidak secara jumhur.”

Pantas masa berlalu dan waktu kelas mereka juga tamat.

“Oklah, insya-Allah kita sambung selepas kelas seterusnya iaitu....?” soal Ustaz Abdul Kadir, menjadi kebiasaan Ustaz-ustaz lama untuk tidak begitu teliti mengenai jadula hariannya, banyak maslahah lain yang perlu diingatkan agaknya.

“Esok petang Ustaz, pukul 2.30 petang.” Jawab sebahagian dari murid-murid.

“Alhamdulillah, saya sebenarnya dah tahu.Saja nak test market,” sambil tersenyum Ustaz Abdul Kadir memalingkan muka.

“Insya-Allah esok kita habiskan bab Islam, Iman dan Ihsan sekaligus dengan pembahagian Akidah Islamiyyah tersebut. Apabila antum semua dah faham apa itu Akidah Islamiyyah makanya insya-Allah tiada masalah untuk antum semua nak faham Islam, Iman dan Ihsan...Wallahu a’lam,wassalam.”

“Wa’alaikumusslam...” Hampir serentak murid-murid menjawab.

Zahiruddin Zabidi

18 September 2009

Wardatul Iman

“Adik, kenapa adik jadi begini?”

“Saya terkena periuk api ammu, di padang sebelah sana semasa cuba melarikan diri dari serangan Zionis,” jawab gadis cilik ini, petah kata-katanya.

Dia kemudiannya menyambung tanpa dipinta: “Tidak mengapa ammu, kaki saya ini sudah mendahului saya ke syurga. Insya-Allah kami akan berjumpa kelak.”

Berkaca mata Ustaz Abdul Kadir seraya matanya melirik kepada anak gadis yang hanya berusia 5 tahun di depannya itu tidak berkaki sebelah kanan. Namun hati, semangat dan jiwa anak kecil ini dan orang-orang mereka begitu kental. Sekental jiwa para syuhada’ yang sudah mendahului mereka zaman berzaman. Kagum sekali.

“Kenapa Ustaz?” tanya Amir, salah seorang anggota sukarelawan yang menyertai ekspedisi kemanusiaan kali ini. Seorang jurutera yang begitu cenderung kepada ilmu agama. Malah mampu membahaskan isu-isu agama dengan baik sambil menyatakan rujukannya dalam kitab dan pengarangnya sekali. Itulah yang menyebabkan mereka sangat mudah mesra, berkat ukhwah Islamiyyah dan terbiyyah yang sememangnya sudah tersemat di sanubari masing-masing, bila sahaja bertemu seakan magnet yang menghasilkan tenaga magnetik yang menarik di antara satu sama lain lantas terbinalah ukhwah.

Golongan professional yang faham agama, walaupun mereka tidak belajar secara formal dalam jurusan agama, namun atas inisiatif dan semangat menuntut agama yang tinggi maka mereka terus menerus menimba ilmu. Paling kurang pun menuju ke peringkat ittiba’, keluar dari kepompong taklid yang hanya membantutkan keluasan dan kesyumulan Islam itu sendiri.

“Ana duk ingat kat Syuaibah, anak kecil yang kita jumpa petang tadi.” Ustaz berhenti sejenak sambil menarik nafas dan memanjangkan pandangan ke luar tingkap memandang langit bumi abiya’ itu. Amir menunggu dengan penuh tumpuan, menanti untaian kata Ustaz yang dihormatinya itu.

“Ana tanya dia, macamna dia jadi begitu..”

“Kaki dia ke Ustaz?” Amir mencelah.

“A’ah, anta tahu dia jawab apa? Takpe ammu, kaki saya sudah mendahului saya ke syurga, insya-Allah kami akan bertemu kelak. Tiada rasa kesal langsung pada riak wajah Syuaibah.” Ustaz Abdul Kadir sekali lagi terhenti, termanggu seketika. Seakan berat untuk meneruskan, berbalah perasaannya. Sedih, kagum dan kasihan seakan berkumpul menjadi satu dalam dirinya.

“Ana kagum pada Syuaibah, betapa kerdilnya dan betapa naifnya iman kita berbanding Syuaibah, anak kecil yang kudung kakinya, Allah..” air muka Ustaz Abdul Kadir berubah. Tiba-tiba untaian mutiara iman berderai dari kelopak matanya, air mata insaf. Air mata pejuang yang rebah dengan semangat dan keimanan yang ditunjukkan oleh anak gadis tadi sangat terkesan pada dirinya, meresap ke segenap lorong liang jiwanya.

Memang menjadi resam pejuang, mudah terkesan dan sangat sensitif dalam urusan iman. Kerana Imanlah yang membezakan kita dengan orang kafir, malah orang munafik juga. Walaupun mereka Islam dan mengerjakan semua rukun Islam, namun belum tentu merek ini beriman. Kerana Iman dan Islam adalah dua elemen yang berbeza.

Ustaz Abdul Kadir pernah mensyarahkan dalam kuliahnya tentang perbezaan Iman dan Islam. Katanya: “Orang yang mengaku Islam atau muslim tidak semestinya dari kalangan orang yang beriman yakni mukmin, namun orang yang beriman itu secara sendirinya adalah orang Islam.”
“Pabila datang seorang Arab badwi dan berkata kepada Rasulullah: “Aku sudah beriman,” Allah meminta Baginda Rasulullah SAW supaya memberitahunya supaya berkata: “Aku sudah Islam” ini kerana Iman itu perkara yang hakikatnya di dalam hati, dan hanya Allah yang paling alim lagi arif tentang hati manusia,” Ustaz Abdul Kadir menerangkan.

“Namun dalam ayat lain Allah mengatakan: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.” Makanya di sini, boleh dibuat kesimpulan bahawa Imanlah yang lebih menyatukan umat Islam keseluruhannya. Bagaimana generasi para sahabat dan salafus soleh begitu sekali bersatu hati dalam mempertahankan agama Allah, bagaiman ukhwah dan akhlak mereka terbentuk. Semuanya didasarkan kepada keimanan, tidak cukup dengan hanya kita menjadi orang Islam namun dalam masa yang masa kita tidak beriman kepada Allah, Malaiakat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Nabi-nabi dan Rasul-rasulNya, Hari Kiamat dan Qada’ dan QadarNya.”

“Kalu begitu Ustaz, tiada gunanya orang yang mengucap syahadah, sembahyang, berpuasa, bezakat dan pergi haji di sisi Allah?” soal seorang murid Ustaz Abdul Kadir di dalam kelas kuliah Tamaddun Islam dan Asia.

“Sebab itu komponen Akidah Islamiyyah itu perlu konsep 3 serangkai. Apa dia, 3 i yang kita belajar pada minggu sudah?” soalnya balik kepada anak muridnya yang kyusuk menantikan pelajaran dan pengajaran dari ustaz mereka itu.

“Islam, Iman dan Ihsan Ustaz. Kalau tak silap ini merujuk kepada hadith Jibril dari Abu Hurairah r.a ataupun Umar r.a,” seorang anak muridnya menjawab.

“Alhamdulillah, masih ada yang ingat. Dan Ustaz yakin kamu semua ingat cuma malu untuk bersuara, maklumlah bulan puasa ni ye. Lagipun kita seorang je yang puasa atas dunia ni?” gurau Ustaz Abdul Kadir mengundang gelak semua yang ada di dalam kelas. Muslimat pula sekadar tersenyum panjang, ada yang menundukkan muka, malu jika dilihat dalam keadaan itu mungkin.

“Baik, kita sambung perbahasan kita,” terus berubah air muka Ustaz Abdul Kadir. Barangkali prinsipnya yang meletakkan pendidikan agama anak bangsanya adalah jihad yang paling aula dalam uruf Negara kita. Hendak diajak berperang mengangkat senjata jauh sekali sudah.

“Antara Islam, Iman dan Ihsan tentunya mempunyai ciri-ciri tersendiri yang berbeza antara satu sama lain. Jika kita lihat rukun Islam, ianya lebih bersifat amalan zahir dengan anggota badan. Mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, berpuasa, zakat dan haji semuanya memerlukan kudrat tenaga. Namun dalam bab Iman, bermula dengan maksudnya sendiri ialah percaya. Percaya dengan sungguh-sungguh di dalam hati lantas mengasimilasikan dalam kehidupan terutamanya dalam amalan ibadat kepada Allah.”

“Maksudnya, jika kita mengaku sebagai seorang islam dan mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, berpuasa, membayar zakat dan pergi haji tanpa ada sifat percaya yang sebenar-benar percaya kepada Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya, nabi dan rasulNya, qada’ dan qadar dan hari akhirat apakah sempurna ibadat kita?” lantang, jelas dan panjang syarahan Ustaz, provokasi berbentuk soalan di hujung syarahnya mengundang kecut anak muridnya.

“Antum sembahyang, namun dalam masa yang sama tidak redha dengan qada’ dan qadar Allah. Antum puasa tapi antum melakukan maksiat seolah Allah tiada, tak nampak apa yang antum buat, seakan malaikat yang ditugaskan untuk menulis amalan kita iaitu Rakib dan Atib terlepas pandang dan tidak mencatitkan urusan amalan kita. Antum pergi haji namun berfikiran adalah mustahil manusia akan dibangkitkan semula malah dikumpulkan di padang Mahsyar dan banyak lagi contoh yang saling berkait antara Islam dan Iman ini,” Ustaz Abdul Kadir menarik nafas, matanya melirik raut wajah anak muridnya satu persatu.

“Ah...kenapa semua diam?”

“Ada soalan setakat ni, atau kepala duk fikir pasal raya je?” senyum simpul anak-anak muridnya. Seakan terkena pada batang hidung masing-masingnya.

“Makanya, mustahil untuk dipisahkan Islam, Iman dan Ihsan. Kerana ketiga-ketiga elemen inilah tunjang akidah umat Baginda Rasulullah SAW. Tolak satu rukun dari ketiga-ketiganya maka terkeluarlah seseorang itu dari agama Allah, inilah pandapat jumhur Ulama’ dan mereka tidak berkhilaf dalam urusan akidah ini.” Sambungnya lagi.

“Maka saya menyeru kita bangunkan satu gagasan baru yang dipanggil Ukhwah Imaniyyah yang lebih tinggi nilainya dari Ukhwah Islamiyyah. Kalau kita mahu menjadi secemerlang para sahabat dan salafus soleh maka tidak cukup dengan ukhwah Islamiyyah. Kerana sudah terbukti dalam sejarah 1400 sudah, banyak sekali penyelewengan dan kekejaman yang dilakukan atas nama Islam, perang saudara, diktatorship, munafik dan banyak lagi dilakukan oleh mereka yang bernama dengan nama orang Islam. Ya, kita mengakui yang mereka mengamalkan malah konsisten melakukan ibadah ritual, sembahyang, puasa, zakat dan haji merekalah juara. Namun yang benarnya ialah mereka melakukan itu semua bukan atas dasar keimanan kepada Allah. Kiblat mereke bukan Allah, kerana keimanan itu di dalam hati.”

“Abdullah bin Ubay bin Salul juga seorang Islam. Namun dia digelar sebagai bapa munafik kerana sikapnya yang menjadi duri dalam daging kepada kaum muslimin Madinah di waktu Rasulullah SAW menjadi Ketuanya. Banyak lagi contoh lain seperti kekejaman raja-raja dan sultan-sultan daulah Islam terhadap orang-orang Islam sendiri, malah ulama’-ulama’ diseksa, dicerca dan sebagainya semata kerana perbedaan pandangan politik dan masalah agama.

Bacalah sejarah Imam Ahmad bin Hambal, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan ramai lagi yang dipenjarakan oleh pemerintah daulah Islam sendiri. Kalau ditanya apakah mereka ini Islam, jawapannya ialah ya. Namun apakah mereka beriman, wallahu a’lam. Kita serahkan pada Allah, perihal syurga neraka dan perkara ghaibiyyah dan tak termampu akal kita nak congak kira kita serah total pada Allah, itulah sifat orang mukmin,” bertenaga sekali Ustaz Abdul Kadir menyelesaikan syarahannya.

Seperi biasa anak-anak muridnya hanya terlopong sambil yang sebahagiannya sibuk mencatit tiap kalam ilmu ustaz mereka itu.

“Jam pun dah menunjukkan pukul 6 petang, masing-masing pun dah kelat muka tuh, nak pergi bazaar Ramadhan lagi kan? Ana rasa kita sambung di kelas lain insya-Allah, sebelum tu ada apa-apa soalan boleh SMS ana dan kita bincang kelak ye, wassalamualaikum, selamat berbuka puasa.”

“Wa’alaikumussalam..”sahut pelajar sekalian sambil bangun dari dari kerusi masing-masing.

Belum pun sempat Ustaz Abdul Kadir sampai ke pejabatnya, telefon bimbitnya bergetar menandakan ada SMS menjengah ke kotak simpan pesanan ringkasnya: “Ustaz, harap Ustaz jelaskan tentang Ihsan pula nanti. Macam tak lengkap Islam, Iman tanpa penjelasan Ihsan.”

Ustaz Abdul Kadir tersenyum. Sebenarnya di sengaja menggantung perbincangan mereka tadi, sebabnya? Dia sendiri pun kurang pasti.

Kini Ustaz Abdul Kadir di perbatasan perang, antara tentera kuffar dan tentera akidah. Namun masih dia merasakan keimanan tehadap Allah tidak mampu menjaminnya untuk ke bertemu Allah di akhirat kelak apatah lagi memasuki syurganya.

“Allahumma ahyi na bil iman, waamit na bil iman, wahsyur na bil iman, waadkhil na jannata ma’al iman, birahmatika ya arhamar rahimin.” Ustaz Kadir meraup mukanya kembali dia tenggelam dalam kegelisahan dan kegembiraan mencari manis Iman.

Dia mengambil kitab Soheh Muslim lantas membelek ke helaian bab iman, dia lantas membaca hadis yang ke-40, maksudnya: “Anas bin Malik berkata: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.”

Zahiruddin Zabidi

16 September 2009

TAKABBALA-ALLAHU MINNA WA MINKUM, INSYA-ALLAH.

Dari kami suami isteri:

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi

Umi Mawar binti Abdul Razak

Ibnu Ahmad Zahiruddin (insya-Allah)

Kepada:

Semua yang mengenali diri kami berdua

2009/1430

15 September 2009

Kalam Hikmah 20

BERSYUKURLAH KEPADA ALLAH ATAS NIKMAT AGAMA, AQAL, KESIHATAN, PAKAIAN, PENDENGARAN, PENGLIHATAN, REZEKI, KELUARGA, SERTA SEGALA NIKMATNYA YANG LAIN


Salah satu sifat hamba Allah yang soleh ialah bersyukur. Dengan kata lain mereka yang tidak pandai dan mahu bersyukur ialah mereka yang boleh digelar sebagai golongan yang kufur nikmat.

Baginda Rasulullag SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.ha telah bersembahyang sehingga bengkak kedua kaki Baginda, pabila ditanya mengapa Baginda bersusah payah bersembahyang sunat sedangkan Baginda adalah kekasih Allah yang maksum dari segala cela dosa maka katanya: "Salahkah aku menjadi hambanya Tuhanku yang bersyukur?"

Apakah mampu kita menandingi akhlak manusia agung ini, jawapannya tidak. Namun apakah tidak boleh langsung kita cuba untuk mengikut dan mencontohi sunnah Baginda SAW. Sememangnya itulah yang dituntut. Sebab itu Rasulullah juga diutuskan dari kalangan manusia, supaya kita sebagai umatnya sedar yang baginda juga seperti kita dari sudut fitrah kemanusiaan.

Baginda makan, tidur, beristeri, berehat, bersosial, sedih dan tidak terlepas dari segala sifat sebagai seorang manusia. Namun yang paling ketara perbedaan sifat Baginda sebagai seorang Rasul dengan kita sebagai umatnya ialah sifat syukur Baginda.

Apakah tidak mampu untuk Baginda doakan supaya orang Islam menjadi kaya raya, bahkan pernah ditawarkan kepadanya agar ditukar bukit itu kepada emas-emas namun ditolak. Apakah tidak boleh didoakan agar dilaknat dan dihancurkan kaum kuffar Quraish Mekah seperti kaum Nabi Lut, diazad seperti kaum A'ad dan Tsamud malah Firaun dan konco-konconya. Jawapannya boleh, namun tidak dilakukan kerana Baginda tetap sahaja sebagai hamba yang bersyukur dan redha dengan mehnah ujian dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

Saya pernah mengajukan soalan tanpa mengharapkan jawapan kepada para pendengar kuliah saya, saya kata: "Agak-agaknya kalau Allah swastakan segala nikmat yang Dia bagi pada kita, terutama nyawa yakni nafas yang kita duk sedut hari-hari ni, agak-agak mampu ke tidak kita bayar?" tambah saya lagi: "Kalu kata sekali sedut 1 sen sahaja, sehari kita bernafas berapa kali, bagaimana pula dengan tunggakan selama kita hidup dulu? Kalau saya 25 tahun, tuan-tuan yang dah berumur 30, 40, 50 malah 60 tahun berapa agaknya yang perlu dijelaskan?"

Muka pendengar agak kelat mendengar analogi itu, kebetulan pada masa itu tarif eletrik oleh TNB (Tenaga Nasional Berhad) baru dinaikkan selain minyak petrol yang hangat diperkatakan, itu pun sudah cukup merimaskan malah menyesakkan lantas menyeksakan rakyat sekaliannya. Makanya, jika nafas yang disedut setiap saat ini yang telah diberikan samada kepada yang beriman atau kufur, yang soleh atau derhaka adalah dengan percuma, apakah lagi alasan kita untuk tidak bersyukur!

Direkodkan dari Anas bin Malik r.a:

‏ينا رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏ذات يوم بين أظهرنا إذ أغفى إغفاءة ثم رفع رأسه متبسما فقلنا ما أضحكك يا رسول الله قال ‏ ‏أنزلت علي ‏ ‏آنفا ‏ ‏سورة فقرأ ‏
(‏بسم الله الرحمن الرحيم ‏إنا أعطيناك الكوثر فصل لربك وانحر إن ‏ ‏شانئك ‏ ‏هو ‏ ‏الأبتر)
‏ثم قال أتدرون ما الكوثر فقلنا الله ورسوله أعلم قال فإنه نهر وعدنيه ربي عز وجل عليه خير كثير هو حوض ترد عليه أمتي يوم القيامة آنيته عدد النجوم ‏ ‏فيختلج ‏ ‏العبد منهم فأقول رب إنه من أمتي فيقول ما تدري ما أحدثت بعدك

Maksudnya:

Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w bersama-sama kami, tiba-tiba baginda tersengguk-sengguk seperti mengantuk, kemudian baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Kami bertanya: Apakah yang melucukan kamu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Baru seketika aku diturunkan satu surah, lalu baginda membaca: بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ Yang bermaksud: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingininya. Kemudian baginda bertanya: Kamu tahukah, apa yang dimaksudkan dengan Al-Kausar? Kami menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Ia adalah sungai yang dijanjikan oleh Tuhanku, ianya mempunyai berbagai kebaikan. Ianya juga berbentuk sebuah kolam yang dikunjungi oleh umatku pada Hari Kiamat nanti iaitu untuk mengambil airnya. Disediakan bekas sebanyak bintang di langit. Kemudian salah seorang dari umatku ditarik dari kumpulan mereka. Lantas aku berkata: Wahai Tuhanku, dia adalah salah seorang umatku. Lalu Allah berfirman: Kamu tidak mengetahui apakah yang telah dilakukannya selepas kewafatanmu.

Banyak sekali perkataan syukur di dalam al-Quran, kadang maksudnya berbunyi: "...semoga kamu bersyukur," ada pula yang berbentuk menyoal: "..apakah kamu tidak mahu bersyukur?" dan banyak lagi.

Di sini saya kepilkan salah satu ayat lengkap mengenai syukur, Allah SWT berfirman dalam surah Ali-'Imran ayat 144 dan 145 yang berbunyi:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ۬ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِهِ ٱلرُّسُلُ‌ۚ أَفَإِيْن مَّاتَ أَوۡ قُتِلَ ٱنقَلَبۡتُمۡ عَلَىٰٓ أَعۡقَـٰبِكُمۡ‌ۚ وَمَن
يَنقَلِبۡ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِ فَلَن يَضُرَّ ٱللَّهَ شَيۡـًٔ۬ا‌ۗ وَسَيَجۡزِى ٱللَّهُ ٱلشَّـٰڪِرِينَ (١٤٤) وَمَا ڪَانَ لِنَفۡسٍ أَن
تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَـٰبً۬ا مُّؤَجَّلاً۬‌ۗ وَمَن يُرِدۡ ثَوَابَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡہَا وَمَن يُرِدۡ ثَوَابَ ٱلۡأَخِرَةِ نُؤۡتِهِ
ۦ مِنۡہَا‌ۚ وَسَنَجۡزِى ٱلشَّـٰكِرِينَ (١٤٥
Maksudnya:
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu). (144)
Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah) dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur. (145)

09 September 2009

Kalam Hikmah 19


INGATLAH, BAHAWA TUHAN MAHA LUAS KEAMPUNANNYA, MAHA MENERIMA TAUBAT DAN MAHA MENGAMPUNI DOSA-DOSA HAMBANYA. DAN BERKENAN MENGGANTI AMAL BURUK HAMBANYA
DENGAN KEBAIKAN.


Pernah kita baca atau dengar kisah masyhur yang diuntaikan dari bait-bait hadith Baginda Rasulullah SAW, yang menceritakan tentang seorang lelaki di zaman dahulu yang telah membunuh 99 orang, lantas dia mahu bertaubat dan telah merujuk kepada seorang alim.

Namun orang alim itu telah memberikan jawapan yang kurang berhikmah dengan terus menghukumnya seolah tiada guna lagi dia bertaubat, kerana dosa-dosanya tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Natijahnya orang alim itu adalah mangsanya yang ke-100.

Namun kesungguhan si fulan itu untuk bertaubat dan berubah tidak terhenti di situ sahaja, maka didatangi pula orang alim yang lainnya. Kali ini, jawapan yang diterimanya amat berhikmah. Setelah memberitahu keadaannya yang telah membunuh genap 100 orang termasuk orang alim sebelumnya, maka orang alim yang baru ditemui dengan penuh hikmah menerangkan bahawa pintu taubat dan keampunan Allah adalah amat luas. Tiada siapa yang boleh menghalang Allah dari memberi keampunan kepada hamba-Nya yang bebar-benar ingin bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Namun si fulan itu dinasihatkan agar ke satu daerah di mana penduduknya merupakan mereka yang soleh yang taat kepada perintah Allah, ini adalah kerana suasana dan keadaan di tempat asalnya adalah tidak sesuai dan mendorong untuk sesiapa sahaja melakukan kejahatan.

Berpuas hati dengan jawapan dan saranan orang alim tadi maka dia pun dengan segera berangkat menuju ke tempat yang dimaksdukan, takdir Allah SWT menentukan bahawa dia akan mati dalam perjalanan, maka si fulan menghembuskan nafasnya yang terakhir di tengah perjalanannya menuju daerah taubatnya.

Konflik kemudiannya timbul antara 2 malaikat yang datang untuk mengambil roh si fulan. Kedua malaikat itu berebut untuk membawa roh si fulan samada ke syurga atau neraka. Masing-masing dengan hujah masing-masing. Yang pertama katanya si fulan terlampau banyak dan besar dosanya, maka selayaknya hanya ke neraka. Yang kedua berhujah bahawa si fulan sudah bertaubat dan dosanya yang lampau sudah terhapus maka selayaknya dia ke syurga.

Ketidaksefahaman antara dua malaikat ini menyebabkan Allah SWT memerintah malaikat Jibril turun kepada mereka dan menjadi penimbang tara.

Sebagai jalan penyelesaian, kedua malaikat diminta untuk mengukur jarak tempat si fulan itu menghembuskan nafas terakhir dan manakah yang lebih dekat. Makanya dengan takdir qada' dan qadar Allah ta'ala roh si fulan telah dijemput oleh malaikat ke syurga dek kerana keinginan taubatnya, walaupun belum dia melakukan amal ibadat lain yang disyariatkan.

Umar al-Khattab sebelum memeluk Islam amat terkenal dengan kebengisan dan kegarangannya bahkan paling dahsyat dalam memerangi golongan yang mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW, namun setelah memeluk Islam segalanya ditumpahkan dalam memperjuangkan Islam secara total. Serta pernah direkodkan yang dia menimbus hidup-hidup anak perempuannya, walaupun fakta ini disanggah oleh sesetengah pihak, namun al-Quran menjelaskan bahawa memang menjadi perangai Arab Jahiliyyah untuk menanam anak perempuan hidup-hidup untuk tidak mengaibkan keluarganya, namun kesohehan cerita Umar al-Khattab masih diragui.

Bagaimana pula Ikrimah bin Abu Jahal, Khalid bin al-Walid, Abdullah bin Salam dan ramai lagi telah menerima dakapan rahmah dan keampunan Allah setelah mendapat hidayah dan petunjuk dari-Nya.

Persoalannya, kita mahu diampunkan Allah atau tidak? Tepuk dada tanya iman kita wahai umat akhir zaman.

Allah SWT telah berfirman dalam surah 'Ali-'Imran ayat 133 yang berbunyi:

۞ وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ
Maksudnya:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.
Di dalam surah Al-Tahrim ayat ke 8 dengan begitu ditir sekali Allah SWT menggambarkan betapa taubat itu adalah akhlak dan amalan orang-orang yang beriman malah Allah menggesa orang-orang beriman untuk bertaubat kepada-Nya dengan sebenar-benar taubat yakni taubat Nasuha.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ تَوۡبَةً۬ نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمۡ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَيُدۡخِلَڪُمۡ
جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ يَوۡمَ لَا يُخۡزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ‌ۖ نُورُهُمۡ يَسۡعَىٰ بَيۡنَ
أَيۡدِيہِمۡ وَبِأَيۡمَـٰنِہِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتۡمِمۡ لَنَا نُورَنَا وَٱغۡفِرۡ لَنَآ‌ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Zahiruddin Zabidi

07 September 2009

Kalam Hikmah 18


JANGAN SEKALI-KALI MEMBACA BUKU-BUKU YANG BOLEH MENIMBULKAN PRASANGKA BURUK, PUTUS ASA DAN HILANG HARAPAN

Wahyu pertama dari Allah SWT kepada kekasih-Nya ialah 'iqra' yakni bacalah. Sehingga diulang-ulang sebanyak tiga kali, dan setiap kali ditanya Baginda hanya akan menjawab: "Aku tidak tahu membaca." Sehinggalah kemudiannya Rasulullah SAW mengikut apa yang dituturkan oleh Sayyidina Jibril dengan keadaan yang amat ketakutan kerana Baginda telah didatangi dan dipeluk dari belakang oleh sesusuk tubuh yang Baginda sendiri tidak kenal, amat asing baginya keadaan itu. Sesak nafas Baginda dipeluk si fulan yang tidak dikenalinya pada waktu itu.

Kemudiannya, dalam keadaan gementar yang amat sangat Baginda terus sahaja berlari turun dari Gua Hirak menuju ke rumah isteri Baginda yang tercinta, Sayyidatina Khatijah binti Khuwailid r.ha. Begitulah coretan sirah penurunan wahyu pertama yang telah diwahyukan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW sekaligus sebagai watikah pengisytiran kerasulan Baginda sebagai Nabi dan Rasul Allah yang terakhir dan untuk sekalian alam.

Maka dapat kita singkapkan pengajaran di sebalik penurunan wahyu yang pertama ialah perintah untuk membaca, disusuli dengan ayat yang menggambarkan pengiktirafan kita kepada Allah sebagai pencipta, lantas pula dinyatakan di situ kejadian manusia yang hanya merupakan segumpal darah pada peringkat awalnya.

Ulama' tafsir menjelaskan bahawa yang diperintah untuk kita baca itu ialah tidak lain tidak bukan melainkan al-Quran itu sendiri. Malah bukan hanya baca, maksud 'iqra' itu juga ditafsirkan sebagai faham, perhati, kaji lantas menterjemahkannya dan seterusnya mengamalkannya dan menyampaikannya.

Maka benarlah al-Quran itu perlu:

1. Dibaca dan faham maksudnya.
2. Difaham dan diamalkan isinya.
3. Diamal dan disampaikan isinya.

Maka sehingga itu, apakah masih perlu kita membaca bahan-bahan bacaan yang melaghakan kita dengan citra warna maksiat yang membusut di dalamnya. Apakah perlu kita tenggelam dalam metafora khayalan para novelis yang telah menyalahgunakan fitrah cinta sebagai modal karya mereka.

Digambarkan dengan hebat dan agung sekali watak-watak khayalan mereka sehingga para pembaca terpaksa membaca lantas memerah otak untuk membayangkan ke alam realiti jalan cerita yang begitu sekali mengusik hati dan perasaan malah kadang tersampai ke peringkat menjolok-jolok nafsu syahwat pembacanya.

Tiba-tiba pembaca tersedar dari lamunan dan kembali ke dunia nyata dan mendapati segala khayalan yang digambarkan begitu sekali telah membohongi kota minda akal dan perasaan mereka. Mereka lantas kecewa, kerana tahu kesempurnaan yang didapati dalam ceritera adalah mustahil untuk diasimilasikan dalam kenyataan hidup mereka, akhirnya tinggallah kelompok ini sebagai kelompok yang hampa dan sentiasa terus suka yang selesa dibuai khayalan buana, dunia mereka sendiri.

Namun sebenarnya adalah mereka telah hampa. Dalam mengejar kesempurnaan yang tiada. Makanya kembalilah kita kepada keindahan dan kemukjizatan malah kerealitian kalimah-kalimah Allah. Bacalah, fahamilah, hayatilah setiap bait kalam-kalam itu. Nescaya akhirnya bukan sahaja kita mengenal diri kita sendiri malah Allah juga akan dekat dengan kita kerana kita sentiasa mendekatkan diri kita kepda Allah SWT.

Manisnya, indahnya, asyiknya bilamana Allah sudah kita kenal. Apatah lagi bila kita yakin dan sedar bahawa Allah sentiasa dekat dengan kita. Allahu-Akbar.

Firman Allah SWT:


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ(٣

( ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥

Maksudnya:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)


Zahiruddin Zabidi

04 September 2009

Kalam Hikmah 17

PERHATIKANLAH KEBERSIHAN PAKAIAN, KEHARUMAN TUBUH DAN KERAPIAN PENAMPILAN ANDA. JANGAN LUPA SELALU MENGGOSOK GIGI DAN MEMAKAI WANGI-WANGIAN.

Islam adalah agama yang selari dan seiring dengan fitrah manusia. Tidak boleh dinafikan sudah, banyak sekali bukti-bukti secara aqli dan naqli diprsembahkan kepada kita saban hari. Namun tidak dinafikan ada beberapa golongan dan kelompok yang salah menafsirkan Islam itu.

Kesalahfahaman ini sedikit sebanyak telah mencalarkan imej Islam sebagai agama yang suci dan murni. Beberapa amalan yang ditakrifkan sebagai ajaran Islam telah menyebabkab orang bukan Islam malah orang Islam sendiri memandang serong sekaligus menjauhkan lagi para mad'u-mad'u ini dari jalan Allah.

Pernahkah kita tertanya kenapa jurujual jualan langsung di jalanan sehingga kepada jurujual yang bertaraf profesional sentiasa menjaga penampilan mereka. Bahkan kita pelik, jurujual yang hanya menjual pisau cukur di jalanan sekalipun sanggup berpeluh basah untuk memakai baju kemeja lengan panjang siap bertali leher serta berseluar panjang dan berkasut. Begitu sekali mereka menjaga penampilan walhal produk mereka hanyalah berharga RM1.

Ini adalah kerana pandangan pertama (first impresstion) adalah sangat penting. Justeru yang dilihat orang adalah penampilan kita, sebelum mendengar penjelasan dan mengenali hati budi kita.

Maka bayangkan kalau yang datang untuk menawarkan produk mereka itu seorang yang kusut masai, bau mulut yang busuk, baju dan seluar yang berbau kerana sudah lama tidak dibasuh, rambut yang tidak terurus dan sebagainya. Apakah reaksi kita? Sudikah kita untuk memberi perhatian untuk mendengar penjelasan daripada jurujual tersebut. Jawapannya ada pada kita.

Namun bayangkan juga jurujual tadi adalah seorang pendakwah yang ingin mengajak manusia kepada Islam. Apa pandangan kita yang sudah Islam ini bila dia mendatangi kita untuk menceritakan tentang keindahan Islam sedangkan dirinya jauh tersimpang dari fitrah islam itu sendiri? Bagaimana pula dengan persepsi orang bukan Islam.

Janganlah mengambil kesemptan di atas nama Islam. Menggunakan jenama Islam dalam menghalalkan cara kita yang akhirnya merugikan Islam sendiri. Bukankah banyak ayat Quran dan hadith yang menggambarkan tentang kesukaan Allah kepada kecantikan, kebersihan dan kesucian. Bukankan begitu sekali cantik dan indahnya bumi dan segala isinya, makhkluk ciptaan Allah yang dapat kita lihat dengan butir mata kita sendiri.

Janganlah salah memahami konsep zuhud dan dengan perkataan itulah ada golongan menyandarkan alasan mereka berpakaian compang comping, busuk, tidak terurus dan sebagainya. Adapun maksud sebenarnya zuhud itu ialah tidak tertipu dengan keindahan dunia. Maknanya tidak melebihkan dunia daripada akhirat, bukanlah bermaksud Islam menyuruh umat hidup miskin dan melarat, makan minum hanya dengan meminta walaupun mampu untuk bekerja. Salah, sangat salah anggapan itu.

Malah kadang-kadang mengdahulukan yang sunat melebihi yang wajib. Perlu ada kefahaman tentang Islam yang syumul, Islam bukan agama yang menyalahi adat fitrah manusia. Tidak sama sekali, malah amat cocok dengan keperluan, kemahuan dan kehendak manusia itu sendiri.

Makanya bersiap-sedia wahai para da'ie, lengkapkanlah dirinya dengan ilmu yang berhikmah dan amal yang istiqamah. Hiaskanlah dirimu dengan kecantikan dunia agar tertawan musuh-musuh Allah dengan ketokohan dan perwatakan serta personalitimu, agar mereka sedar Islamlah agama yang terbaik di dunia mahupun akhirat.

Zahiruddin Zabidi

01 September 2009

Kalam Hikmah 16

JAUHI DAN KURANGI MAKANAN YANG MENEGANGKAN SARAF, SEPERTI; KOPI DAN TEH DAN TINGGALKANLAH KEBIASAAN MEROKOK.

Punca penyakit ialah perut yakni makanan ataupun lebih tepat lagi cara pemakanan kita sendiri.

Rokok pula telah menjadi perbahasan zaman berzaman dan terus silih berganti. Banyak sudah fatwa mufti, kajian dan pandangan dari sudut sains dan teknologi. Semuanya menunjukkan bahawa rokok itu adalah memudaratkan, samada masih ada yang mahu berhelah dengan hukum makruh menurut setengah pendapat, namun keharaman rokok telah mendapat pandangan secara ijmak dari kalangan ulama' dunia khususnya Malaysia.

Antara yang mengeluarkan fatwa merokok itu HARAM ialah:

1. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwan Islam Malaysia kali ke 37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 di Kuala Lumpur.

2. Fatwa yang termasyur di seluruh dunia iaitu Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz

3. Fatwa Al-Azhar terdahulu iaitu Syeikh Abdullah Al-Masyd (Ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr. Ahmad ‘Umar Hashim’ (Naib Canselor Al-Azhar) dan lain lain.

Tidak dapat dinafikan bahawa tubuh badan yang dahulunya sempurna dari sudut penggunaan dan kegunaannya ini akhirnya menghadapi masalah demi masalah setelah beberapa lama dimiliki oleh kita, tuan kepada badan ini.

Ini tidak lain kerana kecuaian kita sendiri dalam menjaga amanah Allah ini kepada kita. Tubuh badan merupakan nikmat dan amanah kepada kita, malah disebut dalam al-Quran tatkala mulut dikunci rapat dari persaksian di akhirat kelak, maka anggota tubuh badan yang lainlah akan memberikan pengakuan.

Samada mereka diarahkan oleh tuan mereka untuk melakukan yang makruf atau terus tenggelam dalam kemungkaran. Semuanya akan dipersoalkan kelak. Persoalannya bersediakah kita?

Baru-baru ini saya dan isteri telah terlibat dalam kemalangan yang agak teruk. Kereta kami dilanggar oleh kereta yang datang dari arah yang berlawanan. Hasilnya kepala isteri saya dihempap dan menyebabkan dan menyebabkan tulang belakangnya menghadapi masalah yang agak serius kerana telah berlaku lantunan (reflek) pada saraf tunjangnya. Alhamdulillah segala puji bagi-Nya tiada keretakan mahupun patah tapi itu sudah cukup untuk isteri saya menanggung kesakitan yang hanya dia dan Allah arif sakitnya dek kemalangan itu.

Sehingga hari ini, isteri saya masih bercuti dan berdepan kesakitan yang tidak menentu di bahagian tulang belakangnya. Duduk tak kena, baring tak kena, berdiri apatah lagi. Kerap juga mengadu kebas-kebas kaki dan kakinya sentiasa kesejukan, akibat sistem urat dan saraf yang bermasalah. Malah acap juga dia susah untuk tidur malam. Hanya kesabaran dan ketabahan yang menemani kami berdua.

Namun, maha suci Allah yang jiwa kita pada-Nya. Banyak hikmah yang tercerna di sebalik kejadian seawal perkahwinan kami hanya berusia 3 bulan ini. Saya tetap bersyukur pada Allah kerana saya yakin, hanya yang terbaik dari Allah untuk kami, kerana dialah yang lebih memahami apa yang kita tidak akan faham. Kerana Allah sentiasa melangsaikan apa yang kita perlukan walaupun tidak semua kemahuan Allah tunaikan, kerana Dia adalah Allah tuhan sekalian alam.

Ternyata sakit ini bukan kami sengaja cari. Justeru bagi memastikan isteri saya pulih seperti sediakala terutama kecedaraan yang melibatkan saraf dalaman tang tidak nampak dek mata kasar maka beberapa pantang larang dari sudut pemakanan terutamanya perlu dijaga selain dari kena menggunakan khidmat tukang urut tradisional yang profesioanal.

Antaranya ialah minuman berais, sayur-sayuran dan buah-buahan yang sejuk kerana itu semua mampu menyumbang kesakitan kepada urat saraf dia. Kerana kesejukan itu menyebabkan urat kembang dan dimasuki angin lantas menyebabkan kesakitan dan ketegangan.

Saya juga diminta sentiasa melumurkan minyak panas ke kaki isteri saya di samping dia juga kena sentiasa pakai stokin. Sekali tengok persis orang baru lepas bersalin dalam pantang. Insya-Allah, segala kebaikan-Nya bersama kami.

Tiba-tiba, beberapa minggu selepas itu satu berita gembira mengiringi sedikit ujian pada awalnya.

"Abang, abang bakal jadi walid..." tutur isteri dari kampung melalui telefon tangan kerana balik mengurut sehari sebelumnya.

Saya hanya mampu tersenyum sambil meluruskan haluan syukur saya pada Rabbul Izzati. Hampir sahaja menitiskan air mata gembira di tengah-tengah dewan solat Masjid Usamah bin Zaid, tatkala bersama para sahabat yang sedang bertadarrus selepas sembahyang Tarawih malam itu.

Zahiruddin Zabidi