“Adik, kenapa adik jadi begini?”
“Saya terkena periuk api ammu, di padang sebelah sana semasa cuba melarikan diri dari serangan Zionis,” jawab gadis cilik ini, petah kata-katanya.
Dia kemudiannya menyambung tanpa dipinta: “Tidak mengapa ammu, kaki saya ini sudah mendahului saya ke syurga. Insya-Allah kami akan berjumpa kelak.”
Berkaca mata Ustaz Abdul Kadir seraya matanya melirik kepada anak gadis yang hanya berusia 5 tahun di depannya itu tidak berkaki sebelah kanan. Namun hati, semangat dan jiwa anak kecil ini dan orang-orang mereka begitu kental. Sekental jiwa para syuhada’ yang sudah mendahului mereka zaman berzaman. Kagum sekali.
“Kenapa Ustaz?” tanya Amir, salah seorang anggota sukarelawan yang menyertai ekspedisi kemanusiaan kali ini. Seorang jurutera yang begitu cenderung kepada ilmu agama. Malah mampu membahaskan isu-isu agama dengan baik sambil menyatakan rujukannya dalam kitab dan pengarangnya sekali. Itulah yang menyebabkan mereka sangat mudah mesra, berkat ukhwah Islamiyyah dan terbiyyah yang sememangnya sudah tersemat di sanubari masing-masing, bila sahaja bertemu seakan magnet yang menghasilkan tenaga magnetik yang menarik di antara satu sama lain lantas terbinalah ukhwah.
Golongan professional yang faham agama, walaupun mereka tidak belajar secara formal dalam jurusan agama, namun atas inisiatif dan semangat menuntut agama yang tinggi maka mereka terus menerus menimba ilmu. Paling kurang pun menuju ke peringkat ittiba’, keluar dari kepompong taklid yang hanya membantutkan keluasan dan kesyumulan Islam itu sendiri.
“Ana duk ingat kat Syuaibah, anak kecil yang kita jumpa petang tadi.” Ustaz berhenti sejenak sambil menarik nafas dan memanjangkan pandangan ke luar tingkap memandang langit bumi abiya’ itu. Amir menunggu dengan penuh tumpuan, menanti untaian kata Ustaz yang dihormatinya itu.
“Ana tanya dia, macamna dia jadi begitu..”
“Kaki dia ke Ustaz?” Amir mencelah.
“A’ah, anta tahu dia jawab apa? Takpe ammu, kaki saya sudah mendahului saya ke syurga, insya-Allah kami akan bertemu kelak. Tiada rasa kesal langsung pada riak wajah Syuaibah.” Ustaz Abdul Kadir sekali lagi terhenti, termanggu seketika. Seakan berat untuk meneruskan, berbalah perasaannya. Sedih, kagum dan kasihan seakan berkumpul menjadi satu dalam dirinya.
“Ana kagum pada Syuaibah, betapa kerdilnya dan betapa naifnya iman kita berbanding Syuaibah, anak kecil yang kudung kakinya, Allah..” air muka Ustaz Abdul Kadir berubah. Tiba-tiba untaian mutiara iman berderai dari kelopak matanya, air mata insaf. Air mata pejuang yang rebah dengan semangat dan keimanan yang ditunjukkan oleh anak gadis tadi sangat terkesan pada dirinya, meresap ke segenap lorong liang jiwanya.
Memang menjadi resam pejuang, mudah terkesan dan sangat sensitif dalam urusan iman. Kerana Imanlah yang membezakan kita dengan orang kafir, malah orang munafik juga. Walaupun mereka Islam dan mengerjakan semua rukun Islam, namun belum tentu merek ini beriman. Kerana Iman dan Islam adalah dua elemen yang berbeza.
Ustaz Abdul Kadir pernah mensyarahkan dalam kuliahnya tentang perbezaan Iman dan Islam. Katanya: “Orang yang mengaku Islam atau muslim tidak semestinya dari kalangan orang yang beriman yakni mukmin, namun orang yang beriman itu secara sendirinya adalah orang Islam.”
“Pabila datang seorang Arab badwi dan berkata kepada Rasulullah: “Aku sudah beriman,” Allah meminta Baginda Rasulullah SAW supaya memberitahunya supaya berkata: “Aku sudah Islam” ini kerana Iman itu perkara yang hakikatnya di dalam hati, dan hanya Allah yang paling alim lagi arif tentang hati manusia,” Ustaz Abdul Kadir menerangkan.
“Namun dalam ayat lain Allah mengatakan: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.” Makanya di sini, boleh dibuat kesimpulan bahawa Imanlah yang lebih menyatukan umat Islam keseluruhannya. Bagaimana generasi para sahabat dan salafus soleh begitu sekali bersatu hati dalam mempertahankan agama Allah, bagaiman ukhwah dan akhlak mereka terbentuk. Semuanya didasarkan kepada keimanan, tidak cukup dengan hanya kita menjadi orang Islam namun dalam masa yang masa kita tidak beriman kepada Allah, Malaiakat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Nabi-nabi dan Rasul-rasulNya, Hari Kiamat dan Qada’ dan QadarNya.”
“Kalu begitu Ustaz, tiada gunanya orang yang mengucap syahadah, sembahyang, berpuasa, bezakat dan pergi haji di sisi Allah?” soal seorang murid Ustaz Abdul Kadir di dalam kelas kuliah Tamaddun Islam dan Asia.
“Sebab itu komponen Akidah Islamiyyah itu perlu konsep 3 serangkai. Apa dia, 3 i yang kita belajar pada minggu sudah?” soalnya balik kepada anak muridnya yang kyusuk menantikan pelajaran dan pengajaran dari ustaz mereka itu.
“Islam, Iman dan Ihsan Ustaz. Kalau tak silap ini merujuk kepada hadith Jibril dari Abu Hurairah r.a ataupun Umar r.a,” seorang anak muridnya menjawab.
“Alhamdulillah, masih ada yang ingat. Dan Ustaz yakin kamu semua ingat cuma malu untuk bersuara, maklumlah bulan puasa ni ye. Lagipun kita seorang je yang puasa atas dunia ni?” gurau Ustaz Abdul Kadir mengundang gelak semua yang ada di dalam kelas. Muslimat pula sekadar tersenyum panjang, ada yang menundukkan muka, malu jika dilihat dalam keadaan itu mungkin.
“Baik, kita sambung perbahasan kita,” terus berubah air muka Ustaz Abdul Kadir. Barangkali prinsipnya yang meletakkan pendidikan agama anak bangsanya adalah jihad yang paling aula dalam uruf Negara kita. Hendak diajak berperang mengangkat senjata jauh sekali sudah.
“Antara Islam, Iman dan Ihsan tentunya mempunyai ciri-ciri tersendiri yang berbeza antara satu sama lain. Jika kita lihat rukun Islam, ianya lebih bersifat amalan zahir dengan anggota badan. Mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, berpuasa, zakat dan haji semuanya memerlukan kudrat tenaga. Namun dalam bab Iman, bermula dengan maksudnya sendiri ialah percaya. Percaya dengan sungguh-sungguh di dalam hati lantas mengasimilasikan dalam kehidupan terutamanya dalam amalan ibadat kepada Allah.”
“Maksudnya, jika kita mengaku sebagai seorang islam dan mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, berpuasa, membayar zakat dan pergi haji tanpa ada sifat percaya yang sebenar-benar percaya kepada Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya, nabi dan rasulNya, qada’ dan qadar dan hari akhirat apakah sempurna ibadat kita?” lantang, jelas dan panjang syarahan Ustaz, provokasi berbentuk soalan di hujung syarahnya mengundang kecut anak muridnya.
“Antum sembahyang, namun dalam masa yang sama tidak redha dengan qada’ dan qadar Allah. Antum puasa tapi antum melakukan maksiat seolah Allah tiada, tak nampak apa yang antum buat, seakan malaikat yang ditugaskan untuk menulis amalan kita iaitu Rakib dan Atib terlepas pandang dan tidak mencatitkan urusan amalan kita. Antum pergi haji namun berfikiran adalah mustahil manusia akan dibangkitkan semula malah dikumpulkan di padang Mahsyar dan banyak lagi contoh yang saling berkait antara Islam dan Iman ini,” Ustaz Abdul Kadir menarik nafas, matanya melirik raut wajah anak muridnya satu persatu.
“Ah...kenapa semua diam?”
“Ada soalan setakat ni, atau kepala duk fikir pasal raya je?” senyum simpul anak-anak muridnya. Seakan terkena pada batang hidung masing-masingnya.
“Makanya, mustahil untuk dipisahkan Islam, Iman dan Ihsan. Kerana ketiga-ketiga elemen inilah tunjang akidah umat Baginda Rasulullah SAW. Tolak satu rukun dari ketiga-ketiganya maka terkeluarlah seseorang itu dari agama Allah, inilah pandapat jumhur Ulama’ dan mereka tidak berkhilaf dalam urusan akidah ini.” Sambungnya lagi.
“Maka saya menyeru kita bangunkan satu gagasan baru yang dipanggil Ukhwah Imaniyyah yang lebih tinggi nilainya dari Ukhwah Islamiyyah. Kalau kita mahu menjadi secemerlang para sahabat dan salafus soleh maka tidak cukup dengan ukhwah Islamiyyah. Kerana sudah terbukti dalam sejarah 1400 sudah, banyak sekali penyelewengan dan kekejaman yang dilakukan atas nama Islam, perang saudara, diktatorship, munafik dan banyak lagi dilakukan oleh mereka yang bernama dengan nama orang Islam. Ya, kita mengakui yang mereka mengamalkan malah konsisten melakukan ibadah ritual, sembahyang, puasa, zakat dan haji merekalah juara. Namun yang benarnya ialah mereka melakukan itu semua bukan atas dasar keimanan kepada Allah. Kiblat mereke bukan Allah, kerana keimanan itu di dalam hati.”
“Abdullah bin Ubay bin Salul juga seorang Islam. Namun dia digelar sebagai bapa munafik kerana sikapnya yang menjadi duri dalam daging kepada kaum muslimin Madinah di waktu Rasulullah SAW menjadi Ketuanya. Banyak lagi contoh lain seperti kekejaman raja-raja dan sultan-sultan daulah Islam terhadap orang-orang Islam sendiri, malah ulama’-ulama’ diseksa, dicerca dan sebagainya semata kerana perbedaan pandangan politik dan masalah agama.
Bacalah sejarah Imam Ahmad bin Hambal, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan ramai lagi yang dipenjarakan oleh pemerintah daulah Islam sendiri. Kalau ditanya apakah mereka ini Islam, jawapannya ialah ya. Namun apakah mereka beriman, wallahu a’lam. Kita serahkan pada Allah, perihal syurga neraka dan perkara ghaibiyyah dan tak termampu akal kita nak congak kira kita serah total pada Allah, itulah sifat orang mukmin,” bertenaga sekali Ustaz Abdul Kadir menyelesaikan syarahannya.
Seperi biasa anak-anak muridnya hanya terlopong sambil yang sebahagiannya sibuk mencatit tiap kalam ilmu ustaz mereka itu.
“Jam pun dah menunjukkan pukul 6 petang, masing-masing pun dah kelat muka tuh, nak pergi bazaar Ramadhan lagi kan? Ana rasa kita sambung di kelas lain insya-Allah, sebelum tu ada apa-apa soalan boleh SMS ana dan kita bincang kelak ye, wassalamualaikum, selamat berbuka puasa.”
“Wa’alaikumussalam..”sahut pelajar sekalian sambil bangun dari dari kerusi masing-masing.
Belum pun sempat Ustaz Abdul Kadir sampai ke pejabatnya, telefon bimbitnya bergetar menandakan ada SMS menjengah ke kotak simpan pesanan ringkasnya: “Ustaz, harap Ustaz jelaskan tentang Ihsan pula nanti. Macam tak lengkap Islam, Iman tanpa penjelasan Ihsan.”
Ustaz Abdul Kadir tersenyum. Sebenarnya di sengaja menggantung perbincangan mereka tadi, sebabnya? Dia sendiri pun kurang pasti.
Kini Ustaz Abdul Kadir di perbatasan perang, antara tentera kuffar dan tentera akidah. Namun masih dia merasakan keimanan tehadap Allah tidak mampu menjaminnya untuk ke bertemu Allah di akhirat kelak apatah lagi memasuki syurganya.
“Allahumma ahyi na bil iman, waamit na bil iman, wahsyur na bil iman, waadkhil na jannata ma’al iman, birahmatika ya arhamar rahimin.” Ustaz Kadir meraup mukanya kembali dia tenggelam dalam kegelisahan dan kegembiraan mencari manis Iman.
Dia mengambil kitab Soheh Muslim lantas membelek ke helaian bab iman, dia lantas membaca hadis yang ke-40, maksudnya: “Anas bin Malik berkata: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.”
Zahiruddin Zabidi
No comments:
Post a Comment