30 September 2010

Sedekah Ilmu Melalui Buku; Pengganti Sedekah Wang dan Barangan

http://www.bookcafe.com.my/my/senarai-wakaf-ramadan-2010-my/
Bulan Ramadan yang berlalu pergi mencatatkan 1001 kenangan dalam ingatan. Selain daripada dapat lagi bertemu dengan ibadah-ibadah sunat dan wajib yang hanya didapati dalam bulan Ramadan seperti berpuasa dan bertarawih, amalan-amalan sunat lain juga rancak berlangsung.

Masing-masing daripada kalangan umat Islam berebut-rebut menggondol ganjaran pahala dengan tawaran yang hebat daripada Allah sehinggakan pahala ibadah sunat diganjarkan dengan pahala ibadah wajib dan sebagainya. Ini tidak termasuk jika seseorang itu dipilih Allah bertamu kepada malam lailatul-qadr, malam seribu bulan.

Tidak salah jika dikatakan bulan Ramadan adalah bulan yang paling dinanti-nantikan oleh anak-anak yatim yang kurang bernasib baik dan sebagainya. Semoga bulan Ramadan juga menjadi bulan hiburan buat mereka walaupun agak tidak patut mereka hanya diberi perhatian pada bulan Ramadan sahaja.

Sedekah

Antara amalan sunat yang sangat dituntut dalam bulan Ramadan antaranya adalah sedekah. Rasulullah sendiri sebagaimana yang dilaporkan oleh isterinya Aisyah, menjadi sangat pemurah dalam bulan Ramadan.

Rasulullah menjelaskan melalui katanya yang direkod Imam Bukhari yang diambil daripada Abu Dzar yang bermaksud, Beberapa orang sahabat Nabi Muhammad pernah berkata kepada beliau, ‘Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.’
Jawab Rasulullah, “Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.”
Mereka bertanya, ‘Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?’
Jawab Rasulullah, “Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.””
Beberapa ayat al-Quran juga menjelaskan mengenai kelebihan bersedekah.
Allah menjelaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Dalam surah yang sama ayat 261 pula Allah menjelaskan kelebihan bersedekah dengan firmannya yang bermaksud, “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan Nya.”
Banyak lagi ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah yang menjelaskan tentang kelebihan bersedekah. Ini ditambah pula dengan kehadiran Ramadan yang menjanjikan segala amalan dinilai dengan nialaian yang berganda-ganda.

Di Malaysia juga tidak dinafikan ramai individu dan kumpulan-kumpulan tertentu yang mengambil peluang mengadakan program infaq mereka sendiri kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan lain-lain. Kebiasaannya sedekah ini adalah berbentuk makanan dan pakaian dan perkara yang berkaitan dengannya. Tidak kurang juga dengan membiayai perbelanjaan mereka menyambung pelajaran, membayar bil-bil tempat mereka dan sebagainya.

Namun, tanpa sedar masih ada sisi sedekah yang sangat penting kurang mendapat perhatian daripada masyarakat kita. Ianya adalah sejenis sedekah yang mampu menjana pahala yang berpanjangan sekaligus memberi mereka ilmu bagi digunakan di dunia dan akhirat.

Sedekah Ilmu

Beberapa pemerhatian dan soal selidik dibuat sekitar rumah anak yatim Lembah Kelang dan pihak kami mendapati hampir 90% daripada rumah anak-anak yatim ini tidak mempunyai perpustakaan bahkan sudut membaca sekalipun. Apatah lagi buku-buku bagi mengisi gizi tumbesaran minda dan sakhsiah mereka itu sendiri.

Ini adalah satu kerugian yang besar kerana peluang bagi anak-anak ini diasuh minat membaca adalah sangat besar.Mereka yang menginap di asrama mempunyai banyak lebihan masa yag wajar dididik agar lebih berminat membaca buku daripada asyik menonton televisyen dan sebagainya.

Justeru, pihak rumah penerbitan PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd. bersetuju menjalankan program infaq Ramadan dengan menyedekahkan buku-buku yerpilih kepada rumah-rumah anak yatim tersebut.

Penyerahan yang dilakukan secara berperingkat mengikut rumah sukan masing-masing bebas memilih lokasi rumah anak yatim yang mahu mereka serahkan buku-buku beserta sebuah rak. Selain buku, pihak pengurusan juga berbesar hati memberikan sejumlah wang RM800 kepada setiap rumah sukan bagi digunakan sewajarnya bertujuan juga disedekahkan kepada rumah anak yatim tersebut. RM800 itu juga boleh ditukar dengan buku tambahan bagi mereka yang tidka mahu memberikan selain daripada buku dalam proses infaq mereka itu.

Berkongsi Program Sedekah Ilmu

Berita baik kepada sesiapa sahaja di luar sana yang berminat memberikan infaq ilmu yang diyakini pahalanya berpanjangan ini adalah pihak PTS juga sudah membuka penyertaan kepada mereka yang berminat bagi turut menyumbang sama dalam program ‘Wakaf Buku PTS 2010’ ini.

Dengan hanya bermodalkan RM200, para penyumbang boleh memilih sendiri pakej yang mereka ingini serta lokasi yang mahu dihantarkan buku-buku tersebut. Buku-buku tersebut juga sudah didiskaunkan sebanyak 20% bagi setiap pakej. Ini dilihat sebagai satu peluang kepada mereka di luar sana turut berpeluang menyumbang dalam program wakaf ini.

Program yang bermula 17 Ogos lalu dan akan berakhir pada 31 Disember 2010 ini dijangka akan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat di luar sana yang mencintai kebajikan dan ilmu.

Bagi maklumat lanjut, tuan puan boleh melayari alamat: http://www.bookcafe.com.my/my/senarai-wakaf-ramadan-2010-my/ atau terus menghubungi pejabat PTS di nombor 03-6188 0316.

28 September 2010

Sebuah Sinopsis

Naurah Salsabila binti Abdul Ghafar, anak sulung daripada 5 adik-beradik yang sederhana taraf sosial mereka. Ayahnya bekas polis yang bekerja sebagai Ketua Pegawai Keselamatan dan emaknya pula masih menjawat sebagai kakitangan kerajaan. Beliau yang kemudiannya melanjutkan pelajaran peringkat Diploma Kejururawatan Universiti Malaya kemudian terjumpa satu permulaan baharu dalam hidupnya. Bermula dengan usrah, beliau kemudian aktif melakukan kerja dakwah sehingga dilantik menjadi orang penting dan pengarah program kemasyarakatan organisasi dakwah yang disertainya. Dalam masa yang sama beliau juga dihambat dengan isu-isu cinta kawannya dan dirinya sendiri yang belum menemukan cinta hati. Konflik demi konflik membantai namun dirempuh dengan jiwa yang utuh sebagai seorang yang membawa mesej dakwah.
Naurah mula cenderung kepada dakwah selepas berpeluang mendekati dan akrab dengan Ustazah Humairah yang mengajar subjek Pengajian Agama Islam kelasnya. Keakraban mereka membawa kepada perkongsian dan tarbiyah dalam tidak sedar. Banyak buku-buku agama dan novel dakwah milik ustazah dipinjamkan kepada Naurah. Ini secara tidak langsung membina fikrah Naurah walaupun keluarganya bukan daripada kalangan agamawan.

Tamat belajar tingkatan lima dia yang pada asalnya bercita-cita mahu menjadi doktor tidak kesampaian kerana tidak lulus matapelajaran fizik. Kerana minatnya yang men dalam dalam bidang perubatan sedari dia juga daripada aliran sains tulen, dia memohon mengikuti kursus diploma jururawat di Universiti Malaya. Sebenarnya, kawan kepada emaknya yang mengesyorkan mereka mengisi boring yang diambilnya itu.

Ironinya hanya dia seorang sahaja yang diterima, yang lain samada diterima ataupun tidak mahu pergi atau mendapat tawaran lain.

Dalam konflik bagi menerima atau tidak, sekali lagi Ustazah Humairah memainkan peranannya. Akhirnya Naurah menerima tawaran tersebut.

Sepanjang menjadi pelajar kejururawatan Naurah tidak pernah lupa dia ada tugasan yang penting iaitu dakwah. Bermula dari saat ini, kehidupannya semakin mencabar dalam erti kata mencari hakikat dakwah itu. Dia kemudian aktif dalam Persatuan Mahasiswa Islam, terlibat dengan usrah dan program ceramah, seminar, bengkel dan apa sahaja kaitannya dengan dakwah khususnya dalam kolej kediaman dan fakultinya.

Kelangsungan dakwahnya diteruskan apabila beliau sudah habis belajar dan menjadi salah seorang staf jururawat wad ICU di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Dia semakin keras melakukan kerja dakwah apabila mula menjadi ahli Akhawat, satu NGO dakwah khusus bagi remaja perempuan, dinaungi oleh dewan muslimat sebuah parti Islam secara tidak langsung. Kemudian dia dilantik menjadi salah seorang ajk kanan senggang tidak lama selepas itu disebabkan potensinya yang disedari awal.

Kini dia adalah jururawat dan dalam masa yang sama beliau adalah ahli gerakan dakwah. Hampi 24 jam dalam hidupnya disumbangkan kepada dakwah, sehinggakan saru per satu kawannya sudah berkahwin namun dia masih belum terfikir bagi berkahwin.

Kemuncak kisah ini adalah siri-siri keterlibatannya dengan bagaimana konflik yang dihadapinya tatkala menguruskan anak-anak yang terjebak dalam gejala sosial, cinta yang diharap tidak menjadi kenyataan manakala yang tidak disangka menghulur salam. Tidak kurang juga konflik yang terpaksa dihadapi tatkala berlaku krisis kepimpinan dalam NGO dan parti politik yang menaungi mereka.

Peristiwa menarik juga berlaku apabila beliau dilantik menjadi pengarah program satu program kemasyarakatan yang melibatkan penduduk Pantai Dalam, di sini bagaimana beliau berperngalaman berurusan dengan YB kawasan malah ada tawaran menjengah kemudiannya.

Apapun, satu perkara yang sentiasa dia dan sahabat-sahabatnya dalam gerakan dakwah adalah, masih ramai yang skeptikal dan tidak percaya bahawa mereka adalah jururawat kerana di luar waktu bekerja mereka adalah ahli gerakan dakwah yang berpakaian muslimah lengkap. Bertudung labuh, bertudung dan berstokin di samping baju yang loggar.

Tapi itulah mereka, sekumpulan jururawat yang penuh dengan kesedaran Islam dan dakwah, malah menganggap kerja mereka sebagai salah satu cabang dakwah yang mulia. Di samping keterlibatan secara khusus dalam NGO dakwah itu sendiri. Dan Naurah serta sahabat-sahabatnya berusaha bagi mengubah persepsi itu malah mengangkat golongan jururawat adalah pendakwah yang paling tepat posisinya.

Nantikan kisahnya, Naurah Salsabila... dengan pegangan dan falsafah hidupnya, “Hargailah persamaan dan fahamilah perbezaan”, “Dakwah adalah perkongsian”.

Kandungan cadangan.
Bab keseluruhan : 30 
Muka surat : 250 - 300
Jangka masa : 2 bulan (insya Allah).

26 September 2010

Berguru di ASWARA

Alhamdulillah, ada sahabat berpesan kepada saya dengan katanya, "Peluang itu perlu dicari, jangan diharap ia datang sendiri. Namun, jika ianya sudah ada di depan mata, perlu disambar segera andai jelas kebaikan daripadanya."

Peluang kadang-kadang yang membedakan nasib dan keputusan dalam hidup kita masing-masing. Namun yang lebih tepat adalah keputusan terhadap peluang itu yang lebuh penting. Setiap manusia sentiasa punya peluang yang Allah kurniakan, nah, sekali lagi keputusan di tangan kita.

Apabila secara tidak sengaja saya terlihat satu roll-bar di TV1 menunjukkan satu hebahan mengenai kursus jangka pendek akan diadakan oleh ASWARA. Dan antara kursus yang ditawarkan adalah Penulisan Novel Remaja khusus di bawah Fakulti Penulisan, saya segera menterjemahkan ianya sebagai peluang.

Laman web rasmi dibuka, borang segera dimuat turun lantas apabila ke pejabat segera saya berkongsi dengan rakan khususnya Tuan Bahruddin Bekri, novelis remaja dan editor PTS Litera (editor bagi karya saya). Beliau dengan segera bersetuju. Entah bagaimana, ada empat orang lagi yang juga mahu turut serta bersama kami.

Ini bermakna, separuh dozen warga PTS ini akan menjadi rakan sekelas, sesuatu yang tidak diduga akan berlaku. Lebih ironinya adalah, dengan bantuan beberapa orang ketua unit yang prihatin, yuran pendaftaran kursus tersebut yang berjumlah RM500 juga dipersetujui oleh pihak atasan bagi ditanggung mereka.

Subhana Allah, Alhamdulillah, Allahuakbar!

Namun saya masih punya satu harapan iaitu... semoga pensyarah yang bertanggungjawab bagi mengajar kami kelak adalah seorang penulis mapan yang saya ingin faham pemikirannya, beliau adalah Dr. Haji Faisal Tehrani.

Kelas bermula

Sabtu, 25 September 2010. Hari pendaftaran dan kelas bermula. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan barangkali. Benarlah Dr. Haji Faisal Tehrani yang akan bersama kami selama 13 minggu kursus jangka pendek ini berlangsung.

Kelas pertama berlalu dengan cukup bermakna, malah kami sempat disapa dan diraikan oleh Datuk Dr. Anwar Ridhwan, dekan fakulti penulisan sekaligus Sasterawan Negara ke-10.

Dr. Haji Faisal Tehrani yang pada awalnya agak terkejut apabila mendapati majoriti yang berada dalam kelasnya adalah warga PTS kemudiannya memulakan pengajian dengan memberikan kami pengenalan kepada asal usul dan sejarah pengkaryaan dalam tamadun manusia.

Tidak keterlaluan jika kami katakan bahawa, pada hari itulah baru kami tahu sejarah di sebalik bagaimana terciptanya kaedah plot dalam pengkaryaan, apakah peristiwa di sebalik berlakunya teori plot dan siapakah yang bertanggungjawab membangunkan kaedah plot dalam pengkaryaan. Kami teruja.

Kami juga sudah diberikan tugasan dengan setiap daripada kami yang berjumlah sembilan orang itu diminta menulis senaskah cerpen dan dihantarkan kepada beliau sebelum hari Khamis ini. Saya mungkin akan menghantar cerpen yang sudah sedia ada.

Apapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini. Peluang itu perlu dicari, jangan diharap ia datang sendiri. Namun, jika ianya sudah ada di depan mata, perlu disambar segera jandai jelas kebaikan daripadanya.

Semoga lebih banyak ilmu, makna dan hikmah yang akan dapat saya pelajari daripada insan hebat ini bagi kelangsungan dakwah saya dalam dunia kesusasteraan bagi menyampaikan apa yang masyarakat perlu, bukan sahaja apa yang saya mahu.

Bersama Dr. Haji Faisal Tehrani di Seminar Pencinta Buku anjuran ITNM beberapa hari sebelum menjadi pelajarnya di ASWARA.
_____________________________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

25 September 2010

Sajak Perpisahan Seorang Sahabat


















Sesama Islam berpisah tiada

Di alam barzakh kita berkampung
Amalkan Islam sepanjang masa
Hindarkan mazmumah termasuk sombong
Di syurga juga kita bertembung
Insya Allah, itulah yang kita mohon.


Ustaz Nashol @ Nasir
24 September 2010

22 September 2010

Ustaz Azman @ Ibnu Ahmad al-Kurauwi: Agamawan Perlu Menjadi Sasterawan

Alhamdulillah, zaman kebangkitan Hamka moden sedang melanda negara. Maksud saya adalah apabila diperhatikan dalam arena penulisan kreatif khususnya, semakin ramai para agamawan yang memilih bidang penulisan kreatif sebagai wadah dakwah mereka.

Barisan nama seperti Dr. Haji Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Khusyri Amiza, Nazmi Yaakub, Syafiq Zulakifli, Ahmad Ubaidillah Alias, Salina Ibrahim serta ramai lagi yang seangkatan dengan mereka adalah antara penulis kreatif yang mempunyai latar pendidikan agama secara profesional paling kurang di peringkat ijazah sarjana muda dalam pengajian Islam dan juzuknya.

Jika zaman dahulu kita diceritakan bagaimana karya-karya sastera berbentuk novel, puisi, sajak, seloka dan pantun sangat sebati dengan unsur-unsur dan nilai keagamaan yang tinggi sekaligus memberikan didikan kepada masyarakat secara kreatif. Ini adalah kerana para ulamalah yang menguasai dan membangunkan arena persuratan pada zaman itu.

Siapa tidak kenal Syed Syeikh al-Hadi, siapa tidak kenal Tok Kenali, siapa yang tidak pernah tahu mengenai Hamka dan ramai lagi. Para ulama ini pada zaman mereka sedar bahawa perlunya satu pendekatan yang kreatif bagi menyeimbangkan antara hiburan dan dakwah kepada ummah.

Hasilnya, sangat jarang dan boleh dikatakan tidak ada orang Melayu Islam yang murtad pada zaman itu meskipun mereka adalah tali barut British, penjudi dan penzina serta segala macam kejahatan lagi. Namun akidah mereka, kepercayaan kepada Allah tetap utuh.

Kini saya boleh namakan sebaris penulis yang mendapat luhur pendidikan peringkat ijazah sarjana muda bidang agama malah dari luar negara sudah sudi berpencak silat dalam arena sastera dan persuratan tanah air.

Fenomena ini dilihat sangat positif. Masing-masing sudah mempunyai buah tangan yang sedang berlegar dalam masyarakat dengan cereka yang penuh dengan unsur Islam dan dakwah itu samada novel, cerpen, naskah drama pentas, skrip drama, sajaka, puisi, syair dan sebagainya. Karya-karya mereka juga sangat diterima baik lantaran menjadi alternatif kepada kebejatan karya-karya picisan yang penuh dengan perkara mungkar yang disengajakan.

Salah seorang yang saya maksudkan adalah Ustaz Azman bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ibnu Ahmad al-Kurauwi. Salah seorang lulusan Universiti Muktah, Jordan, dalam jurusan Bahasa Arab dan Kesusasteraan.


Walaupun profesion penulisan kreatif beliau bermula agak lewat yakni selepas pulang dari Jordan, namun beliau membuktikan bahawa ianya bukan penghalang bagi menghasilkan buah tangan yang baik bagi dikongsikan dengan ummah atas nama dakwah.

Setakat ini, selepas hampir tujuh tahun berkecimpung dalam dunia penulisan kreatif secara serius beliau sudah menghasilkan jujutan cerpen dan novel termasuk tulisan bukan kreatif. Antara novel yang sudah dilahirkan adalah Tinta Elipsis (DBP: 2007), Insyirah (DBP:2007), satu antologi cerpen yang diberi judul Di Dadanya Kalam Tuhan (DBP: 2009) yang merupakan himpunan cerpen-cerpen beliau yang tersiar di akhbar perdana sepanjang 2002-2009.

Terbaharu beliau cuba mengorak langkah dengan memilih sebuah syarikat penerbitan swasta iaitu PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. Dengan itu lahirlah naskah yang diberi judul Punya Cinta Ramadan (PTS Litera Utama: 2010) yang dikatakan mendapat sambutan yang hangat serta sudah diulang cetak kurang daripada enam bulan selepas cetakannya yang pertama.

Ini sedikit sebanyak menyemarakkan semangat beliau bagi terus berkarya dan manuskrip seterusnya bersama PTS kini dalam proses pemurnian oleh editor dan dijangka berada dalam pasaran sebelum hujung tahun ini. Kisah yang diangkat seputar peristiwa berdarah Natrah yang berlaku sebelum merdeka itu pasti menggugah rasa para peminat sastera Tanah Air serta peminat beliau sendiri, insya Allah.

Sastera dan Dakwah

Saya pernah beberapa kali bertemu dan berbincang dengan beliau merujuk kepada minat dan kecenderungan yang sama yakni berdakwah melalui penulisan kreatif, kerap juga perbualan dan perbincangan larut hingga ke dalam Facebook.

Menurut beliau, antara sebab mengapa beliau terjun ke dalam dunia penulisan kreatif kerana terkesan dengan tulisan salah seorang tokoh haraki dan dakwah terkenal Ikwan al-Muslimin Syria iaitu Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam buku karangannya yang bertajuk ‘Mendidik Anak Dalam Islam’.

Antara kesalahan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan adalah dengan membenarkan anak-anak membaca novel-novel picisan yang mencetuskan kepada kemahuan syahwat lantas melorongkan mereka kepada maksiat yang meruntuhkan akhlak.

Oleh itu, Ustaz Azman al-Kurauwi berpendapat menjadi kewajipan para ulama dan golongan agamawan menyediakan bahan bacaan kreatif yang selari dan selaras dengan al-Quran serta hadis lantas mampu mendidik dan mentarbiah anak muda. Pendakwah bukan penghukum sebaliknya pendakwah adalah pemberi harapan, begitu juga sastera. Semoga dengan membaca karya para agamawan ini, para pembaca dicetus rasa ingin bertaubat dan ingin kembali kepada Allah. Apakah kebahagiaan yang paling besar kepada seorang penulis selain daripada perkara ini?

Jika semua agamawan bersikap lepas tangan lantas membiarkan karya-karya kreatif berstatus picisan berlegaran di pasaran tanpa menyediakan santapan alternatif kepada para pembaca khususnya para remaja, ianya akan dikira dosa walaupun pada asalnya usaha dakwah dalam penulisan kreatif ini hanyalah fardu kifayah.

Selain daripada itu, beliau juga amat mengagumi ketokohan Prof. Dr Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang sangat faqih dalam urusan fiqh dan usul fiqh namun dalam masa yang sama adalah seorang penyair dan penyajak yang banyak mengembangkan idea dan nasihat lewat puisi-puisinya. Resmi ini adalah warisan yang ditinggalkan oleh al-Imam as-Syafie yang juga seorang ulama yang banyak menghasilkan sajak-sajak dan syair lewat lontaran ilmu dan nasihat kepada ummah.

Kemudian pula, ada Jalaluddin ar-Rumi yang menjadi fenomena di Turki dengan syair-syair sufinya dan seterusnya di Nusantara pula, Syeikh Nuruddin ar-Raniri mula melakar nasihat dan pandangan lewat syair dan sajak yang menjadi kebanggaan orang Islam Nusantara termasuk Tanah Melayu.

Alhamdulillah, tanpa menafikan gelombang ‘Ayat-Ayat Cinta’ karya Habiburrahman El-Shirazy yang sedikit sebanyak mengangkat karya golongan agamawan ini agar lebih diterima dan diberi perhatian pada hari ini walaupun sebenarnya karya-karya sebegini sudah lama berlegar dalam masyarakat, cuma ianya masih ditenggelamkan oleh lautan novel picisan yang menjadi kegilaan remaja.

Dengan itu, kerjasama antara penerbit yang syariah compliant dengan para penulis yang me ndasarkan perjuangan dan dakwah dalam larik pena mereka pasti akan mengubah lanskap pasaran karya kreatif negara suatu hari nanti. Ini adalah cabaran bersama semua pihak yang terlibat dalam dunia kreatif ini dan bukannya urusan individual, jemaah diperlukan bagi memantapkan secara tuntas usaha dakwah kreatif ini.

Sehingga itu, kita menyeru para agamawan agar bersatu dan terus berkarya bagi dikongsikan kepada ummah khususnya di Malaysia yang masyarakatnya amat dahagakan bahan bacaan yang baik dan mampu memberi kebaikan. Semoga semuanya dinilai pahala oleh Allah di akhirat kelak.
___________________________________________________________

Zahiruddin Zabidi

20 September 2010

Buah Tangan Sulung Sebagai Editor (PTS Islamika Sdn. Bhd.)

Alhamdulillah, selepas tiga bulan bersama PTS dan banyak belajar mengenai dunia penerbitan saya semakin jelas akan perjalanan sebuah syarikat penerbitan buku walaupun agak terkejut dengan dunia yang bernilai jutaan ringgit ini.

Apa yang boleh disimpulkan adalah, penulisan merupakan satu cabang seni manakala penerbitan pula adalah salah satu cabang perniagaan. Sebagai penulis saya mengejar cita-cita dan sebagai editor saya menolong membangunkan cita-cita.

Saya masih tetap dengan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang sudah ditetap tidak lama dahulu. Secara sunnatullah ianya akan terjadi selepas menjana kadar usaha yang kuat, namun qada dan qadar Allah adalah akhiran setiap natijah, keredaan terhadapnya adalah keredaan terhadap Allah. Justeru rukun Iman yang kelima adalah beriman dengan qada dan qadar Allah.

Bulan Ogos lalu juga lebih bermakna kepada saya apabila karya pertama yang saya uruskan sebagai editor siap dengan sempurnanya dan mendapat pujian daripada beberapa pihak termasuk puan pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd.

Namun, itu bukan bermakna prestasi buku itu sudah dikira bagus. Yang menentukan buku itu bagus atau tidak bagus adalah banyak manakah nanti ianya akan terjual di pasaran. Hanya kepada Allah dapat diserahkan segala urusan, kita hanya berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Nota: Buku ini ditulis bersama Ustazah Muzayyanah dan Puan Rohayati Bakri.
_____________________________________________________________

Laporan wartawan PTS, Cikpuan Roziyah yang menemubual penulis buku 501 Soal Jawab Darah Wanita. Laporan asal di sini http://pts.com.my/.
_____________________________________________________________

Buku 501 Soal Jawab Darah Wanita Jawab Persoalan Berkait Wanita
Buku 501 Soal Jawab Darah Wanita Jawab Persoalan Berkait WanitaRoziyah — 20 Sep 2010

Wanita seringkali dibelenggu dengan masalah dan persoalan yang berkaitan dengan darah.

Menstruasi atau haid yang lebih dikenali 'datang bulan' merujuk kepada satu fisiologi tetap dan teratur yang dialami oleh perempuan yang berada dalam lingkungan umur yang berupaya mengandung. Semasa kedatangan haid, seorang wanita dicirikan dengan perubahan ritma pada rembesan hormon yang diperlukan bagi pembiakan. Corak ritma ini dikenali sebagai kitaran haid.

Rangkuman soalan dan jawapan yang dikumpulkan dalam buku ini mampu memberikan pencerahan kepada persoalan yang bersarang dalam diri wanita seterusnya mendorong mereka menjadi wanita solehah.

Jika sebelum ini, buku-buku persoalan berkaitan wanita diterangkan dengan panjang lebar namun buku 501 Soal Jawab Darah Wanita ini menjelaskan darah wanita dengan menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas.

Menurut salah seorang penulis buku 501 Soal Jawab Darah Wanita, Puan Rohayati Bakri, buku ini menjelaskan persoalan yang timbul dalam diri wanita.

"Kebanyakan daripada kita tidak mengetahui dengan jelas mengenai hukum berkait dengan darah wanita ini. Mungkin kita tidak diberitahu mengenai perkara ini dan sekiranya tahu mungkin secara dasarnya sahaja," jelas Puan Rohayati.

Bagi Puan Rohayati, persoalan ini perlu dijawab secara jelas kerana darah wanita ini akan memberi kesan kepada ibadat, kesihatan dan keturunan. Buku ini memberi panduan lengkap dan ringkas berkaitan masalah darah wanita.

Beliau berkata, buku ini tidak terhad kepada wanita sahaja kerana lelaki sebagai ketua keluarga juga harus mengetahui mengenai hukum darah wanita ini.

"Lelaki akan berhadapan dengan isteri dan anak yang mengalami masalah ini. Oleh itu mereka harus mengetahui hukum darah wanita agar dapat memantau ibadat ahli keluarganya," jelas beliau.

Lebih istimewa lagi, buku ini juga menyediakan jadual dan cara pengiraan haid wanita.

Puan Rohayati berharap maklumat dalam buku ini mampu tersebar dan memberi informasi lengkap kepada pembacanya.

"Mungkin sebelum ini kita tidak mengetahui mengenai hukum darah wanita ini atau mungkin caranya juga tidak betul."jelas beliau lagi.

Beliau berharap buku ini mampu memberi kesedaran tentang hukum darah wanita. Hal ini kerana walaupun hal ini dilihat remeh namun ia berkait dengan ibadat, kesihatan wanita itu sendiri.

Antara persoalan dan jawapan yang dimuatkan dalam buku ini termasuklah berkaitan haid, Kehamilan, keguguran, kelahiran, Nifas, Istihadhah, Menopause, kaedah mandi wajib dan banyak lagi.

Dapatkan buku 501 Soal Jawab Darah Wanita terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd di pasaran berdekatan tuan puan yang mampu memberi penjelasan mengenai soal jawab berkait darah wanita.

18 September 2010

Catatan Peserta Kuliah 1 Akidah 1 Ummah di UPM (selepas diedit)

___________________________________________________________

Kembara Perrrghhh Ramadan: Satu Akidah Satu Ummah
___________________________________________________________

~Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janji Nya pasti ~

Hari ini, 31 Ogos 2010 bersamaan dengan hari kemerdekaan Malaysia telah diadakan ceramah bertajuk "Satu Akidah Satu Ummah" sempena sambungan siri-siri @ aktiviti Kembara Perghh Ramadhan.... Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Zahiruddin Zabidi di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM. Serba sedikit pandangan saya mengenai ustaz adalah, ceramah yangg disampaikan beliau sangat mantap dan banyak memberikan persoalan yang audiens perlu fikir dan jawab. Satu perkara yang saya kagum dengan ustaz ini ialah beliau baru berusia 25 tahun tetapi cara penyampaiannya sangat terkesan seperti orang yang sudah banyak pengalaman. Beliau adalah penulis dan editor buku Rabiatul Adwaiyah, Perindu Cinta Abadi. Mari berkongsi ilmu!

                                                    Ustaz Zahiruddin Zabidi

Satu akidah satu ummah... apakah yang dimaksudkan dengan akidah? Sebenarnya akidah berasal daripada perkataan bahasa arab 'AKADA' iaitu ikatan, pegangan, itu dari segi istilah bahasanya. Apakah bezanya akidah kita dengan orang bukan islam? Yang membezakan kita ialah akidah Islam telah berpaksikan kepada kalimah "Laila ha illa Allah" iaitu tiada Tuhan selain Allah. Bagi orang bukan Islam pula, pada fitrahnya mereka masih percaya adanya Tuhan, tetapi akidah yang mereka pegang itu salah. Contohnya, bagi orang Kristian mereka percaya kepada konsep trinity (banyak Tuhan). Bagi mereka Nabi Isa itu adalah anak Tuhan, nauzubillah, telah disebutkan dalam al-Quran dalam surah al-Ikhlas, ayat 3, “Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan”. Jauh sekali menyimpang dari apa yangg tertulis dalam al-Quran apa yang mereka percaya.

Berbalik kepada tadi, sesungguhnya kalimah tauhid 'La ila ha illa Allah’ sangat mendalam maksudnya. Kata ustaz, kalau kita benar-benar memahami kalimah ini, pastinya masalah akidah akan selesai, kerana apa? Kita lihat sendiri maksud kalimah ini... ‘LA’ iaitu bermaksud tiada, memang tiada. ‘ILLAHA’, menurut pakar bahasa pustaka, tiada perkataan yang betul-betul boleh menterjemahkan maksud perkataan ini. Tapi dari segi maksud arabnya kita tahu ialah Tuhan. Tetapi sebenarnya lebih tepat sekali ialah tempat segalanya-segalanya. Maksudnya di sinilah tempat kita meminta pertolongan ,mohon perlindungan, minta segala-galanya... segala-galanya... subhana Allah! Kemudian, ‘ILLA’ bermaksud kecuali, ‘ALLAH’ Tuhan sekalian alam yakni Tuhan kita semua.

Keseluruhannya bermaksud memang tiada tempat segalanya-galanya KECUALI Allah... Ya Allah, kalau kita betul-betul faham kalimah ini,memang kita tidak punya masalah walaupun ketika ditimpa musibah apa sekalipun. Sepatutnya, isu akidah ini sudah tidak perlu ada lagi, sebab dah lama kita persoalkan mana Allah? Macam mana rupa Allah? Bayangkan dari zaman para nabi dahulu hingga sekarang kita persoalkan benda yang sama (isu akidah). Sebenarnya di mana Allah, bagaiman rupa Allah itu adalah urusan Allah sendiri. Kita sebagai manusia di dunia ini buat urusan kita. Fikirkan masalah yang lebih serius sekarang ini contohnya masalah pembuangan bayi. Itu yang patut kita bincangkan iaitu bagaimana cara untuk selesaikan... bukannya bincang punca berlakunya masalah pembuangan bayi seperti yang media lakukan. Itu semua orang sudah tahu. Asyik bincang punca bila perkara hendak selesai bukan? Sepatutnya kita bincang cara hendak selesaikannya....

                                                          Hampir 150 orang yang hadir.
___________________________________________________________

17 September 2010

Solat Tarawih: Satu Analisis dan Kebijaksaan Ijtihad Fiqh Uruf Makan (tempat) Diperlukan.



Solat Tarawih adalah ibadah khusus yang hanya boleh dilaksanakan pada bulan Ramadan. Rasulullah berpesan kepada kita yang bermaksud, “Sesiapa yang mendirikan (solat) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

                                                                                            (Mutafaqqun alaih)


Solat Tarawih antara lapan dan dua puluh adalah isu yang berlanjutan buat sekian lamanya, dengan berhujahkan hadis Aisyah golongan yang beriktikad lapan menegakkan hujah, walhal sekembalinya Rasulullah daripada sembahyang lapan itu disambungnya pula entah sampai berapa rakaat yang tepat.

Dengan menggunakan hadis yang lain pula golongan yang menyokong ijtihad Umar al-Khattab dalam menyelaraskan sembahyang tarawih daripada disembahyangkan secara individu kepada berjemaah malah rakaatnya yang berbeda kepada dua puluh pula berhujah menegakkan kaulnya.

Pada hakikat hukum, kedua-duanya tidak menjadi salah kerana hukum sembahyang tarawih adalah sunat sahaja. Namun antara keduanya yang mana lebih praktikal dan relevan dengan zaman dan umat ini?

Izinkan saya majukan buat tatapan semua, analisis ringkas antara dua situasi daripada sudut pandang peribadi saya daripada pemerhatian sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Di Kuala Lumpur, rata-rata masjid dan surau bersembahyang tarawih sebanyak 20 rakaat. Di Selangor pula, semenjak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) memerintah, masjid dan surau diberi pilihan dan kelonggaran samada mahu sembahyang 20 rakaat tanpa tazkirah atau sembahyang lapan tapi perlu ada tazkirah. Situasi ini tidak pernah berlaku sewaktu kerajaan Barisan Nasional memerintah dahulu.

Saya bersembahyang (bertugas) di masjid dalam kawasan wilayah yang perlu bersembahyang 20 rakaat dan dalam masa yang sama, pada malam tidak bertugas saya akan ke Masjid Wilayah Jalan Duta atau Masjid Asy-Syakirin, KLCC yang juga bersembahyang 20 rakaat tarawih.

Di sini ada satu pandangan yang klise dan berlaku setiap tahun iaitu para jemaah hanya akan benar-benar memenuhi masjid pada 10 malam awal sahaja, bahkan akan balik awal selepas rakaat kelapan. Keadaan ini semakin ketara lewat malam-malam akhir yang sepatutnya dikejar lailatul qadar. Masjid tempat saya bertugas hanya tinggal satu setengah saf sahaja. Saya kira masjid di tempat lain khususnya di Kuala Lumpur juga begitu.

Kebanyakan imam hafiz yang dijemput di masjid yang bersembahyang 20 rakaat akan membaca dengan laju di samping gerakan yang juga cepat di antara rukun. Khuatir kadang-kadang akan tamakninahnya. Ini adalah kerana mahu mengejar habis sebelum jam 10.30 malam. Jika tidak, ada sahaja yang akan komplen nanti!

Keadaan ini jauh berbeda dengan kebanyakan masjid di Selangor yang kini hanya bersembahyang lapan rakaat. Kebetulan saya dijemput menyampaikan tazkirah di satu kawasan perumahan. Imam hafiznya membaca surah dengan panjang dan tenang di samping suaranya yang merdu dan gemersik, saya kira mereka yang tidak faham bahasa Arab sekalipun merasa kenikmatannya.

Saya menjangkakan mereka akan berhenti selepas empat rakaat pertama tamat dan memberi laluan kepada sesi tazkirah yang dianggarkan dalam 20-30 minit itu. Jangkaan saya meleset, mereka meneruskan solat tarawih habis lapan rakaat diikuti witir kemudian barulah sesi tazkirah mengambil tempat. Jangkaan saya, jemaah akan lari pulang sebab sembahyang sudah habis. Namun jangkaan saya meleset….

Hampir 100% jemaah yang hadir samada daripada kalangan warga emas, orang muda bahkan kanak-kanak masih tetap di masjid sambil menunggu tazkirah yang bakal disampaikan. Masya Allah, ini satu fenomena. Tazkirah mengambil tempat dalam setengah jam dan diikuti pula dengan program tadarus al-Quran juga disertai anak-anak. Saat tazkirah habis, jam saya menunjukkan pukul 10.30 malam juga.

Maka jika saya bertanya, antara keduanya (solat 20 atau 8) yang mana lebih relevan bagi kita zaman ini? Apakah jawapan anda?

Zaman ini menyaksikan kebejatan akhlak yang teruk khususnya di Kuala Lumpur antara lain sebabnya adalah kerana masyarakat Melayu Islam di sini sangat jauh dengan majlis ilmu yang berbentuk ceramah, tazkirah dan sebagainya. Jika datang ke masjid pun pada hari Jumaat bagi mendengar khutbah, itupun jika tidak terlelap. Sedangkan manusia perlu sentiasa diingatkan dengan agama Allah.

Dan di sinilah peluangnya wujud, pada pandangan saya. Tempat berkumpulnya ramai umat Muhammad di Malaysia selepas sembahyang Jumaat adalah sewaktu mahu bersolat tarawih. Saat inilah yang perlu digunakan dengan sebaik-baik oleh para daie dan pentazkir bagi memberikan input-input yang membuka hati dan minda mereka kepada Islam yang sebenar.

Ini terbukti dengan testimoni daripada ramai rakyat Selangor yang pada asalnya agak melenting dengan perubahan ini, namun apabila mendapati cara ini tidak membebankan malah mendamaikan jemaah (kerana boleh rehat selepas lenguh berdiri lama dek bacaan panjang), mereka juga akhirnya berterima kasih kerana hati dan sanubari mereka juga diberi makan dengan ilmu kerana ilmu adalah makanan jiwa. Ini adalah bertepatan dengan falsafah solat tarawih yang mana maksud tarawih itu sendiri adalah rehat, suka saya gunakan perkataan ‘santai’ di sini.

Berapa ramai yang akhirnya terjentik hati mereka lantas berubah dan menjadi jemaah tetap masjid bahkan mungkin berubah sikap dan akhlak serta kehidupan. Asalnya mungkin mereka datang ke masjid kerana terpaksa atau malu muka sebab semua jiran pergi, selepas mendengar tazkirah lantas Allah dengan pemurahnya merahmati hidayah kepada mereka dan terus berubah menjadi insan yang lebih baik. Bayangkan pula berapa ramai yang bersembahyang tarawih seluruh negara, dengan kaum ibu dan kanak-kanaknya.

Semua ini tidak akan berlaku jika tiada sesi tazkirah. Yang menjadi tabu kepada orang Islam adalah angka. Kerana mereka menggunakan logik akal dan logik matematik. Antara 20 dan lapan tentunya 20 lebih banyak dan meletihkan serta lebih lama. Namun apabila tahu di satu masjid itu hanya bersembahyang lapan walaupun ada tazkirah, mereka mampu menunggu sampai 10.30 malam juga, sama waktu tamat dengan masjid yang yang melakukan tarawih 20 rakaat.

Sehingga itu, suka saya syorkan semua masjid di seluruh negara mengamalkan sembahyang lapan disertakan dengan tazkirah bermula pada tahun hadapan dan kita akan lihat kesannya yang sangat positif kepada umat Islam di Malaysia, saya yakin insya Allah.

Kelantan sudah memulakan sesi sebegini lama dahulu bermula di Dataran MPKB, ianya adalah cetusan idea Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan dan kini diteruskan dan diperhebatkan lagi dengan meluluskan bajet khas bagi program Qaryah Ramadan (perkampungan Ramadan).

Zahiruddin Zabidi

14 September 2010

Salam Aidilfitri Daripada Tim PTS Islamika Sdn. Bhd.


Dari belakang kiri: Zahiruddin Zabidi, Imran Azmi, Rohidzir Rais, Jonos dan Amirul.

Dari depan kiri: Dahlia dan Asyuraa.

11 September 2010

Baca Khutbah @ Surau An-Naim, Wangsa Maju

                            

            
Nota: Terima kasih kepada zaujah, Umi Mawar binti Abdul razak dan Wardah Humairah binti Ahmad Zahiruddin yang sudi menemankan abang/ walid ke sini. Terima kasih juga atas gambar-gambar yang diambil.

08 September 2010

Catatan Raya Kami di Rantauan


Daripada....


Walid.

Ibu.

Wardah Humairah.
___________________________________________________________

Daripada kami sekeluarga: Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi, isteri saya Umi Mawar binti Abdul Razak dan anakda puteri sulung kami Wardah Humairah binti Ahmad Zahiruddin.

Raya tahun ini adalah raya kedua saya sebagai seorang suami dan raya pertama saya sebagai seorang walid. Ini juga merupakan raya pertama saya sebagai editor dan penulis, alhamdulillah.

Raya tahun ini kami tidak balik kampung kerana saya akan bertugas di Masjid Usamah bin Zaid (mungkin buat kali yang terakhirnya), isteri juga melunaskan tanggungjawabnya sebagai pengamal perubatan moden di wad ICU, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Insya Allah akan pulang ke Jengka pada hari raya kedua kerana keluarga belah isteri berkumpul ramai-ramai. Selepas habis sif pagi pada tengahari itu, kami akan bertolak pulang ke sana dan akan kembali sejurus habis majlis.

Persiapan sederhana dibuat di rumah, sekadar dua tiga jenis kuih. Kami menantikan sahabat yang sudi bertandang dengan penuh kesederhanaan insya Allah.

Saya dijemput menyampaikan khutbah raya menggantikan sahabat saya, Ustaz Khuzairi di Surau An-Naim, Seksyen 4, Wangsa Maju berdekatan Carefour Wangsa Maju. Semoga dipermudahkan.

Apapun, salam sayang dan salam kemaafaan daripada kami sekeluarga kepada semua yang mengenali diri kami. Tiada ucapan yang lebih indah mampu kami ucapkan melainkan, "Taqabbala Allahu minna wa minkum taqabbal ya Karim... amin."
____________________________________________________________

Nota: Mungkin saat ini adalah saat yang paling sesuai bagi saya melunaskan beberapa karya yang sedang tertunggak: 1. Bacaan pruf Aminah. 2. Penulisan Fatimah yang masih berada di bab 10 walaupun disasarkan siap pada bulan ramadan.

07 September 2010

Hadiah Penghujung Ramadan: Puisi di Harakah


Dendam mimbar

Mimbar siaraya
tersergam utuh
antara ruangan sujud
di bawah gelembung
naungan kubah agam.

Setiap Jumaat dilaung dari pundaknya
kata nasihat penyemarak taqwa
tersedia sebilah tombak waja
seakan ingin sahaja menerpa
merejam tepat
dasar sanubari ummat
yang terbuai dan terkulai
akan igauan khailullah.

Sambil membisik di cuping basyirah mereka,
“Wahai saudara, solat Jumaatmu tidak sempurna!”

ZAHIRUDDIN ZABIDI
3 Mac 2010
Seksyen 2, Wangsa Maju.
____________________________________________________________

Nota: Puisi ini sudah diterbitkan oleh HARAKAH bertarikh 6-9 September 2010/ 27-30 Ramadan 1431, sebarang cuplikan atau pautan perlu juga dikreditkan kepada ruangan Sastera & Budaya akhbar terbabit.
____________________________________________________________

Puan Guru di Harian Metro

____________________________________________________________

Petikan Harian Metro: Ainon berniaga cara Islam

Roziyah — 06 Sep 2010

Artikel dipetik daripada Harian Metro Online oleh Norainon Othman pada 5 September 2010
____________________________________________________________

"PALING penting, buku Melayu mesti menyebabkan orang Melayu bangga memegangnya. Buku menjadi aksesori, mesti cantik dan mesti mahal. Dulu orang malu hendak kepit buku Bahasa Melayu dalam bas atau kapal terbang, tetapi keadaan berubah apabila buku Bahasa Melayu semakin menarik dan berkualiti," kata Pengerusi Kumpulan PTS (PTS), Ainon Mohd, 60, selepas me nyedari kelemahan buku Melayu dan berusaha mengatasinya.

Memperjuangkan Bahasa Melayu, pendidikan dan penerbitan dalam Bahasa Melayu, bekas kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berharap akan ada pasar raya buku Melayu yang memudahkan pembaca mencari semua bahan di situ.

Kecintaannya pada Bahasa Melayu dan perjuangannya memartabatkan bahasa kebangsaan menyebabkan pakar Bahasa Melayu itu melepaskan jawatan di DBP selepas 14 tahun berkhidmat bagi membangunkan syarikat penerbitan sendiri, kira-kira 10 tahun lalu.

Bermodalkan RM100,000, Ainon dan dua saudara kandung, Ariffin, 58, dan Abdul Aziz, 63, membangunkan syarikat penerbitan, PTS Publication & Distributors Sdn Bhd. Pada awal penubuhan syarikat, beliau hanya menerbitkan bukunya sendiri sebelum menerbitkan karya orang lain.

“Dulu buku dalam Bahasa Melayu tidak cantik, menyebab kan kurang minat pembaca memilikinya. Waktu itu, orang tidak percaya buku Bahasa Melayu boleh diketengahkan.

“Kalau lihat di kedai buku elit dan yang dimiliki bukan Bumiputera, sukar mencari buku Bahasa Melayu kerana mereka lebih suka menjual buku Bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun, perkemba ngan sekarang membanggakan. Buku Bahasa Melayu duduk di depan kedai. Jualan buku Bahasa Melayu menyumbang perolehan besar kepada kedai buku.

“Mengapa dulu buku Bahasa Melayu tak masuk kedai buku? Sebab buku Bahasa Melayu tak cantik. Kedai buku hendak buku yang cantik untuk dijual. Penerbit Melayu tidak perlu takut bayar untuk mendapatkan pelukis berbakat yang melakar ilustrasi cantik dalam buku dihasilkan,” katanya.

Ainon berkata, orang Melayu mempunyai wang untuk membeli buku yang mahal harganya dan ia dibeli keluarga berpendidikan yang mahu menggalakkan anak membaca.

“Saya cuba memenuhi dan mengenal pasti kehendak pembaca. Misalnya, untuk budak lelaki, kami mengeluarkan komik yang ada maklumat dan motivasi selain buku sejarah dan fiksyen menarik.

“Kanak-kanak lelaki yang membaca komik, lama kelamaan akan memegang teks. Ini adalah kebiasaan kerana ia membantu memupuk minat membaca,” katanya.

PTS menerbitkan 3,000 karya dalam masa enam bulan. Kemudian penerbit buku Bahasa Melayu itu semakin rancak dengan menerbitkan antara 6,000 hingga 8,000 buku dalam tempoh dua bulan, dan enam bulan selepas itu buku berkenaan diulang cetak.

Menurut Ainon, syarikatnya mengamalkan perniagaan yang bersih daripada rasuah dan riba, manakala semua kemudahan perbankan diperoleh daripada perbankan Islam.

“Semua produk dihasilkan juga mematuhi syariah iaitu dalam novel cinta tiada babak berpegang tangan atau pasangan kekasih mengadakan temu janji. Malah, kisah dua lelaki berebut seorang wanita atau sebalik nya juga tidak ada dalam buku diterbitkan PTS.

“Apabila berniaga cara yang bersih, Allah akan tolong. PTS tidak pernah mendapat bantuan kerajaan tetapi didukung dua bank milik bukan Bumiputera. Peniaga lain perlu ada keyakinan kita orang Melayu boleh berniaga dengan bangsa lain.

“Ini kerana, PTS berurusniaga dengan pembekal, bank, pencetak dan kedai buku milik orang Cina. Pelanggan terbesar buku keluaran PTS juga syarikat Cina iaitu Popular dan MPH.

“Tanggapan orang Cina tidak menolong usahawan Melayu harus dikikis kerana ia tidak benar. PTS mencetak buku bernilai beratus ribu ringgit dan yang memberi kredit tanpa cagaran ialah bank Cina,” katanya.

Menurutnya, orang Cina sang gup memberi kredit kepadanya kerana PTS tidak mempunyai rekod lari daripada hutang.

“Orang berniaga tidak harus lari daripada hutang. Jika tidak menjelaskan hutang, pembekal tidak berani membekalkan barangan kepada kita. Siapa hendak bekalkan barangan kalau tidak bayar.

“Satu prinsip yang saya amalkan ialah dahulukan pembayaran hutang. Biar berlapar tetapi hutang mesti dibayar. Ini bagi menjaga kepercayaan pembekal dan penulis buku,” katanya.

PTS sentiasa berhutang RM3 juta kepada pencetak yang memberi tempoh kemudahan kredit tiga bulan manakala PTS pula memberi kemudahan kredit kepada kedai buku selama tiga bulan. Di samping itu, syarikat itu mengagihkan RM1.9 juta bayaran royalti kepada penulis.

“PTS mempunyai pasukan bagus sebagai pengutip hutang dan pengarang. Alhamdulillah dengan bantuan Allah, kami membayar zakat setiap bulan daripada kutipan hutang kedai buku sebelum membayar gaji pekerja,” katanya.

Ainon berkata, mendukung semangat 1 Malaysia, pegawai tinggi PTS juga menjadi penerbit buku Cina yang lebih berjaya sebagai mentor.

Penerbit buku Cina tidak lokek memberi nasihat mengenai pembelian kertas bagi membolehkan kos menghasilkan buku lebih murah.

Sebagai penerbit buku Melayu paling aktif di pasaran iaitu menghasilkan 40 judul buku sebulan, PTS mensasarkan menerbitkan 1,000 buku setahun.

Lebih membanggakan, PTS turut mengeksport judul buku-nya ke Indonesia. Sebanyak 100 judul buku kanak-kanak, sastera berat, perniagaan dan motivasi disunting dengan di alih ke dalam Bahasa Indonesia, manakala muka depan buku dihasilkan semula.

Syarikat itu mempunyai lebih 100 pekerja dengan 70 daripadanya di bahagian editorial.

“Saya melatih penulis sendiri menggunakan Bahasa Melayu tinggi dan bahasa yang diang gap ‘skema’. Malah, komik pun menggunakan bahasa tinggi. PTS menjaga Bahasa Melayu seperti DBP menjaganya.

“Mereka yang membaca buku keluaran PTS dapat menguasai tatabahasa dan ejaan betul kerana tujuan kita memang mahu menjadikan buku PTS sebagai alat bantu mengajar Bahasa Melayu dan memudahkan guru,” katanya.

Beliau berkata, jika remaja kurang minat membaca buku agama, tetapi buku agama keluaran PTS sangat laris di pasaran.

Cerita hadis dan al-Quran ditulis semula, dicetak dengan cantik dengan muka depan buku yang ranggi menyebabkan remaja tertarik untuk membaca dan berkongsi maklumat daripada pembacaan dengan rakan sebaya.

04 September 2010

Sekolah Agama Terima Wakaf Buku PTS

Setiap karyawan PTS melalui rumah sukan masing-masing diamanahkan menyampaikan sejumlah buku dan wang ringgit kepada mereka yang difikirkan perlu. Kebanyakan rumah sukan memilih bagi menginfakkan buku-buku serta sedikit makanan kepada rumah anaka yatim.

Kumpulan kami melakukan sedikit kelainan dengan mendermakan buku-buku serta menambah lagi jumlah buku dengan menggunakan wang yang diberikan. Lokasi pilihan kami juga bukanlah rumah anak yatim namun Sekolah Rendah Agama Usamah bin Zaid, Wangsa Maju. Sekolah tempat saya bertugas sebelum ke PTS.

Memandangkan sekolah ini masih belum mempunyai perpustakaannya yang tersendiri, kami berbesar hati memulakan pembinaannya dengan harapan pihak sekolah akan meneruskan rancangan itu.

Ikuti laporan wartawan PTS mengenai aktiviti kami di bawah.
___________________________________________________________

Roziyah — 03 Sep 2010 12:39 PM •


Sekolah Rendah Agama Usamah Bin Zaid menerima wakaf buku sumbangan PTS sempena program Infaq Ramadan PTS.

Sebahagian ahli rumah sukan PTS iaitu kumpulan Win Win meletakkan buku di perpustakaan sekolah agama tersebut bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar menambahkan ilmu pengetahuan dengan membaca.
Selain itu, kakitangan PTS yang terlibat juga memasang sebuah almari yang menempatkan buku-buku wakaf tersebut.

Pengetua sekolah Rendah Agama Usamah Bin Zaid, Puan Rozita Abdul Kadir mengucapakan jutaan terima kasih atas kesudian pihak PTS memberikan buku-buku kepada pelajar di sekolah tersebut.

Beliau juga berharap pelajar mendapat manfaat melalui buku-buku yang diwakafkan dan semoga program seperti ini diteruskan agar ilmu berterusan dapat disalurkan kepada pelajar.

Selain mewakafkan buku dan almari, PTS juga memberikan sejumlah wang tunai bagi meringankan beban pengurusan sekolah berkenaan.

Program Infaq Ramadan PTS 2010 memberi peluang kepada warga PTS menyumbang bakti dan tenaga sempena bulan Ramadan ini.

Program ini juga sebagai satu usaha PTS bagi meningkatkan semangat ingin membaca di kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

Setiap warga PTS dibahagikan kepada beberapa kumpulan agar lebih banyak rumah dan pusat pertubuhan yang kurang berkemampuan dapat menerima sumbangan dan bantuan daripada PTS.

02 September 2010

Armagedon 2010: Buku Yang Dinanti-nantikan Sudah Terbit.

Antara buku yang menjadi kesukaan pembaca di Malaysia adalah yang bersifat 'ghaibiyah', mungkin kerana sifat manusia itu sendiri yang sentiasa ingin tahu apa yang mereka tidak tahu bahkan kadang-kadang apa yang mereka tidak perlu tahu.

Sebagai contoh, sehingga sekarang isu seputar Allah seperti sifatnya, kedudukannya menjadi perbahasan yang tidak kunjung sudah. Sedangkan kita sebagai hamba mempunyai taklifan lain yang lebih penting bagi difikir dan diuruskan.

Rasa ingin tahu ini lantas menjelmakan satu penilaian yang bersifat emosional. Dengan itu, apabila PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. melalui penulisnya Muhammad Alexander @ Wisnu Sasongko menerbitkan buku bertajuk 'Yakjuj Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung' dan 'Alexander Adalah Zulqarnain', ianya mendapat sambutan yang sangat hebat sehinggakan kedua-duanya sudah terjual lebih daripada 10 ribu naskah semenjak ia diterbitkan.

Pakejing isu yang dibahaskan dan penyampaian material dari sudut kecantikan kaver dan susun letak serta Bahasa Melayu Tinggi yang digunakan memberikan buku-buku tersebut satu pakej yang tidak ada pada buku lain. Selain daripada itu jika dibandingkan ketebalan buku tersebut dengan harganya ternyata ianya juga sangat berbaloi bagi dimiliki.

Kini Muhammad Alexander kembali dengan karyanya yang terbaharunya. Satu kajian tuntas mengenai kiamat, menjawab kembali dakwaan barat mengenai kiamat yang bakal berlaku. Mohon rujuk di bawah:


SINOPSIS DARI BUKU (TERBITAN PTS)

Pada bulan November 2009, dunia dikejutkan dengan filem arahan Ronald Emmerich yang bertajuk 2012. Idea asal filem ini dipetik daripada kalendar kaum Maya yang mendakwa kitaran besar dunia tempoh ini akan berakhir pada tahun 2012 atau lebih tepat lagi pada 21 Disember 2012.

Selain disokong oleh kalendar kaum Maya yang banyak didakwa berlaku secara 'kebetulan', mereka juga mendakwa pada 2012, sistem suria kita (Galaksi Bima Sakti) akan mengalami konfigurasi luar biasa, medan magnet bumi menjadi lemah dalam masa yang pantas, fenomena hubungan perubahan medan magnet bumi dan hubungan manusia berlaku dan lebih menarik lagi adalah perlanggaran planet Nibiru (Planet X) dengan
bumi.

Filem ini turut dibahas dan dikaji oleh ramai para intelek termasuk daripada NASA sendiri. Muhammad Alexander mengkaji peristiwa kiamat ini sebelum filem 2012 ini ditayangkan.

Kajian ini dimuatkan di dalam buku Armageddon: 2012 yang membahas kekeliruan para intelek dalam menghasilkan filem 2012 serta membahas fenomena kiamat yang disebut di dalam al-Quran dan hadis secara kronologikal.

Turut dimuatkan gambar, carta dan hasil-hasil kajian mengenai kiamat yang dilakukan oleh para saintis. Ini menjadikan

buku Armagedon 2012 sebagai buku yang membahaskan tentang kiamat yang terlengkap, tersusun dan gambaran yang mudah difahami.

Penulis adalah pesyarah di Universiti Brawijaya, Indonesia. Beliau kini dalam proses mendapatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sejarah dan Peradaban.

Beliau banyak menghasilkan kajian mengenai Yakjuj & Makjuj, Zulqarnain dan hari kiamat. Antara buku bestseller beliau adalah Yakjuj & Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung (2009) dan Alexander adalah Zulqarnain (2010).

BAB 1: Filem 2012.

BAB 2: Kalendar dan Ramalan Kaum Maya.

BAB 3: Tompok Matahari, Perubahan Kutub Magnetik Bumi & Konfigurasi Planet.

BAB 4: Tarikh Kiamat: Kultus yang Meramal Tarikh Kiamat dan Kejadian Bunuh Diri Beramai-ramai.

BAB 5: Rekrontruksi Kronologi 10 Tanda Besar Kiamat.

BAB 6: Kemunculan Dajal dalam Tempoh 40 tahun: Dajal Membuat Kerosakan di Bumi.

Bab 7: Hentaman Meteor Besar pada Bulan Ramadan: Asap Tebal Memenuhi Bumi.

BAB 8: Tempoh 40 hari Dajjal: Asap itu membuat dahi Dajal tertulis “Kafir”.

BAB 9: Nabi Isa Turun Ketika Asap Menyelimuti Bumi.

BAB 10: Hentaman Meteor Merosakkan Teknologi: Yakjuj Makjuj Keluar Semula.

BAB 11: Matahari Terbit dari Barat: Pintu Taubat Tertutup.

BAB 12: Angin Lembut Mencabut Roh Orang Beriman.

BAB 13: Kiamat Besar: Kehancuran Alam Semesta.

BAB 14: Astronomi dalam al-Quran.

BAB 15: Kronologi Kiamat Berdasarkan al-Quran.

BAB 16: Kiamat Fasa 1: Sangkakala Pertama Ditiup: Gelombang Dahsyat.

BAB 17: Kiamat Fasa 2: Langit Bergoncang dan Terbelah.

BAB 18: Kiamat Fasa 3: Supernova Mega.

BAB19: Kiamat Fasa 4: Bencana Dahsyat Di Bumi.

BAB 20: Kiamat Fasa 5: Kematian Seluruh Manusia.

BAB 21: Sangkakala Kedua Ditiup: Seluruh Manusia Berkumpul di Padang Mahsyar.

BAB 22: Persamaan dan Perbezaan Antara Filem 2012 dengan kenyataan al-Quran dan Hadis.
____________________________________________________________

Karya bestseller Muhammad Alexander sebelum ini terbitan PTS:

2010


2009

___________________________________________________________

Kepada tuan puan yang ingin memberli terus secara on-line boleh dirujuk di alamat ini: