28 September 2010

Sebuah Sinopsis

Naurah Salsabila binti Abdul Ghafar, anak sulung daripada 5 adik-beradik yang sederhana taraf sosial mereka. Ayahnya bekas polis yang bekerja sebagai Ketua Pegawai Keselamatan dan emaknya pula masih menjawat sebagai kakitangan kerajaan. Beliau yang kemudiannya melanjutkan pelajaran peringkat Diploma Kejururawatan Universiti Malaya kemudian terjumpa satu permulaan baharu dalam hidupnya. Bermula dengan usrah, beliau kemudian aktif melakukan kerja dakwah sehingga dilantik menjadi orang penting dan pengarah program kemasyarakatan organisasi dakwah yang disertainya. Dalam masa yang sama beliau juga dihambat dengan isu-isu cinta kawannya dan dirinya sendiri yang belum menemukan cinta hati. Konflik demi konflik membantai namun dirempuh dengan jiwa yang utuh sebagai seorang yang membawa mesej dakwah.
Naurah mula cenderung kepada dakwah selepas berpeluang mendekati dan akrab dengan Ustazah Humairah yang mengajar subjek Pengajian Agama Islam kelasnya. Keakraban mereka membawa kepada perkongsian dan tarbiyah dalam tidak sedar. Banyak buku-buku agama dan novel dakwah milik ustazah dipinjamkan kepada Naurah. Ini secara tidak langsung membina fikrah Naurah walaupun keluarganya bukan daripada kalangan agamawan.

Tamat belajar tingkatan lima dia yang pada asalnya bercita-cita mahu menjadi doktor tidak kesampaian kerana tidak lulus matapelajaran fizik. Kerana minatnya yang men dalam dalam bidang perubatan sedari dia juga daripada aliran sains tulen, dia memohon mengikuti kursus diploma jururawat di Universiti Malaya. Sebenarnya, kawan kepada emaknya yang mengesyorkan mereka mengisi boring yang diambilnya itu.

Ironinya hanya dia seorang sahaja yang diterima, yang lain samada diterima ataupun tidak mahu pergi atau mendapat tawaran lain.

Dalam konflik bagi menerima atau tidak, sekali lagi Ustazah Humairah memainkan peranannya. Akhirnya Naurah menerima tawaran tersebut.

Sepanjang menjadi pelajar kejururawatan Naurah tidak pernah lupa dia ada tugasan yang penting iaitu dakwah. Bermula dari saat ini, kehidupannya semakin mencabar dalam erti kata mencari hakikat dakwah itu. Dia kemudian aktif dalam Persatuan Mahasiswa Islam, terlibat dengan usrah dan program ceramah, seminar, bengkel dan apa sahaja kaitannya dengan dakwah khususnya dalam kolej kediaman dan fakultinya.

Kelangsungan dakwahnya diteruskan apabila beliau sudah habis belajar dan menjadi salah seorang staf jururawat wad ICU di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Dia semakin keras melakukan kerja dakwah apabila mula menjadi ahli Akhawat, satu NGO dakwah khusus bagi remaja perempuan, dinaungi oleh dewan muslimat sebuah parti Islam secara tidak langsung. Kemudian dia dilantik menjadi salah seorang ajk kanan senggang tidak lama selepas itu disebabkan potensinya yang disedari awal.

Kini dia adalah jururawat dan dalam masa yang sama beliau adalah ahli gerakan dakwah. Hampi 24 jam dalam hidupnya disumbangkan kepada dakwah, sehinggakan saru per satu kawannya sudah berkahwin namun dia masih belum terfikir bagi berkahwin.

Kemuncak kisah ini adalah siri-siri keterlibatannya dengan bagaimana konflik yang dihadapinya tatkala menguruskan anak-anak yang terjebak dalam gejala sosial, cinta yang diharap tidak menjadi kenyataan manakala yang tidak disangka menghulur salam. Tidak kurang juga konflik yang terpaksa dihadapi tatkala berlaku krisis kepimpinan dalam NGO dan parti politik yang menaungi mereka.

Peristiwa menarik juga berlaku apabila beliau dilantik menjadi pengarah program satu program kemasyarakatan yang melibatkan penduduk Pantai Dalam, di sini bagaimana beliau berperngalaman berurusan dengan YB kawasan malah ada tawaran menjengah kemudiannya.

Apapun, satu perkara yang sentiasa dia dan sahabat-sahabatnya dalam gerakan dakwah adalah, masih ramai yang skeptikal dan tidak percaya bahawa mereka adalah jururawat kerana di luar waktu bekerja mereka adalah ahli gerakan dakwah yang berpakaian muslimah lengkap. Bertudung labuh, bertudung dan berstokin di samping baju yang loggar.

Tapi itulah mereka, sekumpulan jururawat yang penuh dengan kesedaran Islam dan dakwah, malah menganggap kerja mereka sebagai salah satu cabang dakwah yang mulia. Di samping keterlibatan secara khusus dalam NGO dakwah itu sendiri. Dan Naurah serta sahabat-sahabatnya berusaha bagi mengubah persepsi itu malah mengangkat golongan jururawat adalah pendakwah yang paling tepat posisinya.

Nantikan kisahnya, Naurah Salsabila... dengan pegangan dan falsafah hidupnya, “Hargailah persamaan dan fahamilah perbezaan”, “Dakwah adalah perkongsian”.

Kandungan cadangan.
Bab keseluruhan : 30 
Muka surat : 250 - 300
Jangka masa : 2 bulan (insya Allah).

No comments: