20 September 2010

Buah Tangan Sulung Sebagai Editor (PTS Islamika Sdn. Bhd.)

Alhamdulillah, selepas tiga bulan bersama PTS dan banyak belajar mengenai dunia penerbitan saya semakin jelas akan perjalanan sebuah syarikat penerbitan buku walaupun agak terkejut dengan dunia yang bernilai jutaan ringgit ini.

Apa yang boleh disimpulkan adalah, penulisan merupakan satu cabang seni manakala penerbitan pula adalah salah satu cabang perniagaan. Sebagai penulis saya mengejar cita-cita dan sebagai editor saya menolong membangunkan cita-cita.

Saya masih tetap dengan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang sudah ditetap tidak lama dahulu. Secara sunnatullah ianya akan terjadi selepas menjana kadar usaha yang kuat, namun qada dan qadar Allah adalah akhiran setiap natijah, keredaan terhadapnya adalah keredaan terhadap Allah. Justeru rukun Iman yang kelima adalah beriman dengan qada dan qadar Allah.

Bulan Ogos lalu juga lebih bermakna kepada saya apabila karya pertama yang saya uruskan sebagai editor siap dengan sempurnanya dan mendapat pujian daripada beberapa pihak termasuk puan pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd.

Namun, itu bukan bermakna prestasi buku itu sudah dikira bagus. Yang menentukan buku itu bagus atau tidak bagus adalah banyak manakah nanti ianya akan terjual di pasaran. Hanya kepada Allah dapat diserahkan segala urusan, kita hanya berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Nota: Buku ini ditulis bersama Ustazah Muzayyanah dan Puan Rohayati Bakri.
_____________________________________________________________

Laporan wartawan PTS, Cikpuan Roziyah yang menemubual penulis buku 501 Soal Jawab Darah Wanita. Laporan asal di sini http://pts.com.my/.
_____________________________________________________________

Buku 501 Soal Jawab Darah Wanita Jawab Persoalan Berkait Wanita
Buku 501 Soal Jawab Darah Wanita Jawab Persoalan Berkait WanitaRoziyah — 20 Sep 2010

Wanita seringkali dibelenggu dengan masalah dan persoalan yang berkaitan dengan darah.

Menstruasi atau haid yang lebih dikenali 'datang bulan' merujuk kepada satu fisiologi tetap dan teratur yang dialami oleh perempuan yang berada dalam lingkungan umur yang berupaya mengandung. Semasa kedatangan haid, seorang wanita dicirikan dengan perubahan ritma pada rembesan hormon yang diperlukan bagi pembiakan. Corak ritma ini dikenali sebagai kitaran haid.

Rangkuman soalan dan jawapan yang dikumpulkan dalam buku ini mampu memberikan pencerahan kepada persoalan yang bersarang dalam diri wanita seterusnya mendorong mereka menjadi wanita solehah.

Jika sebelum ini, buku-buku persoalan berkaitan wanita diterangkan dengan panjang lebar namun buku 501 Soal Jawab Darah Wanita ini menjelaskan darah wanita dengan menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas.

Menurut salah seorang penulis buku 501 Soal Jawab Darah Wanita, Puan Rohayati Bakri, buku ini menjelaskan persoalan yang timbul dalam diri wanita.

"Kebanyakan daripada kita tidak mengetahui dengan jelas mengenai hukum berkait dengan darah wanita ini. Mungkin kita tidak diberitahu mengenai perkara ini dan sekiranya tahu mungkin secara dasarnya sahaja," jelas Puan Rohayati.

Bagi Puan Rohayati, persoalan ini perlu dijawab secara jelas kerana darah wanita ini akan memberi kesan kepada ibadat, kesihatan dan keturunan. Buku ini memberi panduan lengkap dan ringkas berkaitan masalah darah wanita.

Beliau berkata, buku ini tidak terhad kepada wanita sahaja kerana lelaki sebagai ketua keluarga juga harus mengetahui mengenai hukum darah wanita ini.

"Lelaki akan berhadapan dengan isteri dan anak yang mengalami masalah ini. Oleh itu mereka harus mengetahui hukum darah wanita agar dapat memantau ibadat ahli keluarganya," jelas beliau.

Lebih istimewa lagi, buku ini juga menyediakan jadual dan cara pengiraan haid wanita.

Puan Rohayati berharap maklumat dalam buku ini mampu tersebar dan memberi informasi lengkap kepada pembacanya.

"Mungkin sebelum ini kita tidak mengetahui mengenai hukum darah wanita ini atau mungkin caranya juga tidak betul."jelas beliau lagi.

Beliau berharap buku ini mampu memberi kesedaran tentang hukum darah wanita. Hal ini kerana walaupun hal ini dilihat remeh namun ia berkait dengan ibadat, kesihatan wanita itu sendiri.

Antara persoalan dan jawapan yang dimuatkan dalam buku ini termasuklah berkaitan haid, Kehamilan, keguguran, kelahiran, Nifas, Istihadhah, Menopause, kaedah mandi wajib dan banyak lagi.

Dapatkan buku 501 Soal Jawab Darah Wanita terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd di pasaran berdekatan tuan puan yang mampu memberi penjelasan mengenai soal jawab berkait darah wanita.

1 comment:

YaQuut @ Firdaus said...

Assalamualaikum.

Tahniah diucapkan kepada Tuan serta tim PTSI atas kelahirannya. Dari kejauhan, saya tumpang berbangga. Ia terhasil setelah setahun lebih kami merangka, mencambah idea dan info serta bertungkus-lumus mengerjakannya walaupun saya tidak sempat menguruskannya sehingga terbit. (Ada sedikit rasa terkilan). Namun, sedikit usaha itu diharapkan mendapat nilaian Allah buat bekalan ke akhirat. Allah ma'ana.