26 February 2009

Usai Sudah

Alhamdulillah peperiksaan sudah selesai, walaupun keputusannya masih menjadi tanda tanya. Ianya tetap diselesaikan dengan sedikit penambahan usaha, insya-Allah walaupun diri ini agak kelam kabut zahir dan batin sejak kebelakangan ini, insya-Allah segalanya akan berlalu dengan sedikit kesabaran dan keredhaan.

Urusan ijab yang hampir separuh jalan terlaksana dan fokus kepada agenda bersama iLuvislam dot com menjadi keutamaan selepas ini insya-Allah. Saya tidak sabar untuk berjumpa akh Imran untuk bertanya khabar dan berbincang tentang agenda iLuvislam.

Selesai sahaja peperiksaan petang semalam saya terus menuju ke kolej ke-13 UPM Serdang untuk berkuliah maghrib. Walaupun hujan lebat membantai namun alhamdulillah, murah hati bakal teman hidup saya meminjamkan keretanya. Dia pulang ke Cameron Highland. Semoga Allah kurniakan pahala atas ‘sedekah’ tersebut kepada saya.

Tajuk semalam bertajuk ‘Sadaqah’, ini kerana ada pelajar di sana bertanya berkenaan ibadat tersebut malalui ‘shoutbox’ di blog ini. Saya mencari sedikit bahan dan cuba untuk menyampaikan sebaik mungkin semalam. Alhamdulillah tindak balas yang positif dari para pendengar.

Selesai mengimamkan solat Isyak berjemaah terus sahaja pulang ke rumah. Selesai membersihkan diri saya terjun terus di atas toto yang berwarna biru muda itu dan ZzzZZzz….

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

23 February 2009

Di Ambang Peperiksaan

Beberapa hari tidak menulis di sini membuat hari-hari yang berlalu tidak lengkap. Walaupun saya tidak menulis dan melayari internet kerana sedikit fokus kepada peperiksaan akhir semester yang masih berbaki 3 kertas, saya tetap memenuhkan ruang yang berbaki untuk membaca buku-buku yang belum dikhatamkam lagi itu.

Bermula petang Jumaat sehingga semalam 3 kertas telah diduduki. Namun semalam telah berlaku pertindihan jadual antara peperiksaan dengan pengajian Usuluddin di UM. Saya terlepas kelas pagi, saya cepat-cepat habiskan kertas peperiksaan terus menuju ke UM tanpa sempat pun menunggu kawan-kawan yang lain keluar.

UM : Musthalah Hadis

Sesi kedua kelas telah bermula dengan maddah pengajian Mustalah Hadis oleh Prof Madya Dr Fauzi bin Deraman. Alhamdulillah memang beliau sangat berautoriti dalam bidang kemahirannya itu, tidak sesal sedikitpun saya berhempas pulas berkorban masa dan tenaga untuk ilmu yang insya-Allah akan memandu dan dimanfaatkan untuk diri sendiri dan ummah ini insya-Allah.

Banyak perkara yang diperbahaskan oleh beliau, gaya bersahaja spontan tetapi hujahan yang penuh kritis dan berilmiyyah membuatkan kami sekelas teruja. Beliau juga tanpa lokek membahaskan tentang ilmu hadis dan sejarahnya tanpa mengira status kami, katanya apa yang yang disampaikan oleh beliau pagi itu sepatutnya disampaikan dalam kelas untuk pelajar “Master”. Sedikit sebanyak kami jadi bermotivasi dan bersemangat. “Master”….hmm…insya-Allah getus hati bara saya, insya-Allah.

Sebelah petang, maddah Iman dan Kehidupan pula mengambil tempat. Penyampaian yang begitu energetic dari Ustaz Alias menyebabkan pelbagai bahasan mengambil tempat, dari berkenaan dengan akidah, meluncur kearah pemahaman syarak, kadang melintasi benua manusia dan ke alam jin malah, kelas menjadi gamat. Itulah kelebihan Ustaz Alias. Moderator, Ustaz yang berkaliber sesuai dengan kematangannya. Kami berpuas hati. Kalaulah dapat diasimilasikan segenap ilmu yang disampaikan itu maka, alim bukan mustahil untuk kami yang hanya tahu ini insya-Allah.

Musyawarah

Kelas usai jam 5:30 petang dan kami ke surau APIUM dahilu selesaikan kefardhuan solat. Selesai, sempat juga kami bermusyawarah sekejap. Antara yang masih ada ialah rakan sekelas iaitu Cikgu Rosli, Akh Hairi (penulis skrip, pengarah, pelakon. Anak Julie Dahlan), Reimi (bilal Usamah bin Zaid) dan (bilal masjid Negara).

Hairi menyuarakan pertolongan untuk meminta pendapat tentang babak yang bakal di’shooting’ kelak. Situasi hero dalam dilema dalam membuat keputusan lalu didatangi bayangan berjubah hitam yang mewakili iblis dan bayangan berjubah putih mewakili malaikat. Menarik, tidak pernah terfikir saya akan bercakap secara langsung tentang pembikinan drama atau filem.

Kami berdiskusi ringkas, banyak juga cadangan dan pendapat selain hairi telah mendapatkan pendapat Pensyarah kami. Yang dibincangkan sekarang babak untuk rakaman itu.

Akhirnya saya berijtihad dan menyatakan bahawa jika bayangan hitam dan putih itu ingin dirujuk kepada Malaikat dan Iblis maka tidak boleh. Tetapi kalau bayangan hitam dan putih itu mewakili elemen baik dan buruk dalam diri hero tersebut maka tiada masaalah. Maksudnya hero akan memainkan 3 watak :

1.Watak asal hero yang dalam dilemma.
2.Lelaki berjubah putih mewakili sifat atau elemen baik dalam dirinya sendiri.
3.Lelaki berjubah hitam mewakili sifat atau elemen jahat dalam dirinya sendiri.

Konsep pembahagian nafsu digunakan di sini, Hairi bersetuju dan akan membawa ke perbincangan dengan penerbitnya. Alhamdulillah sedikit pertolongan untuk mereka yang memerlukan adalan dituntut oleh Islam sendiri. Malah mungkin kalau ada babak yang memerlukan keadaan di mana hero tengah bersolat jemaah maka Hairi bermaksud untuk ke Masjid Usamah bin Zaid. Wallahua’lam. Saya hanya mampu tersenyum.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

19 February 2009

Hidup Ini adalah Ujian

Peperiksaan : UUM

Insya-Allah, esok bermulalah peperiksaan akhir semester bagi pengajian jarak jauh saya bersama UUM cawangan KL (20-25 Feb). Dengan itu sehingga minggu depan saya kena tumpukan sepenuh perhatian, aktiviti-aktiviti luar daripada pembelajaran perlu direhatkan seketika, tapi dalam masa yang tersebut untuk berhenti dari berfikir bagi memastikan diri ini mampu menyumbangkan yang terbaik untuk Allah, nabi Muhammad, Umi dan Abi, bakal jauzah, adik-adik, saudara-mara seterusnya masyarakat Malaysia dan ummah keseluruhannya tidak akan mungkin terhenti insya-Allah.

Sedikit terkilan apabila permohonan untuk cuti tanpa rekod untuk mengambil peperiksaan tidak diluluskan oleh pihak atasan. Lumrah dunia, maka akurlah. Tidak mengapa asalkan ada ruang untuk saya sedikit membuat persediaan akhir sudah cukup bagi saya insya-Allah. Keadaan agak genting pada hari Ahad kerana pada hari tersebut pengajian Usuluddin di UM juga berlangsung. Ini bermakna setelah selesai peperiksaan di Plaza Warisan terus sahaja saya berkejar ke APIUM untuk mengikuti kelas di situ pulak.

Mungkin dalam saya fokus untuk peperiksaan ini akan timbul ilham dan idea-idea baru bagi pemantapan iLuvislam dot com. Lagi pulak kawan-kawan sepengajian adalah prospek seterusnya untuk menyebarkan fikrah islamiyyah yang dibawa oleh iLuvislam dot com.

Masjid

Sehari dua ini juga saya dalam proses untuk memohon secara terus bagi pertukaran dari jabatan sekarang ke unit pentadbiran Masjid Usamah bin Zaid. Alhamdulillah, hampir semua proses menunjukkan keputusan yang positif dan saya tidak dapat bayangkan betapa nikmatnya kelak jika betul saya boleh berpindah ke masjid kesayangan saya itu. Saya akan buat 2 kerja di 1 tempat. Selain penjimatan dari sudut kos dan sebagainya.

Urusan di peringkat jabatan dan kementerian telah selesai, tinggal lagi urusan JPA dengan JAWI sahaja. Alhamdulillah Ustaz Fishal, ketua penolong pengarah pengurusan kariah juga setelah diberi penerangan oleh Ustaz Mursyidi seklaku Ketua Imam@Pentadbir masjid tentang perihal ini. Maka beliau dengan berbesar hati setuju untuk menyokong permohonan itu.

Semoga Allah pastikan yang terbaik untuk hambanya ini, insya-Allah.

Membaca

Sedar tidak sedar rupanya lama sudah saya tidak membaca buku-buku baru selain buku yang masih belum selesai. Saya perasan semenjak ada talian internet tanpa talian jenama MAXIS ini telah menyebabkan kecenderungan saya kepada Internet semata. Membaca dan menulis juga banyak di laman ini sekarang.

Petang semalam sewaktu dalam perjalanan dengan Komuter ke UPM Serdang untuk ke kuliah mingguan di kolej ke-13, saya mengambil peluang untuk memulakan bacaan buku yang dah lama dipinjamkan oleh sahabat saya. Buku yang bertajuk "PEMIKIRAN ISLAM : Satu Penilaian Semula" dari K.A Rashid dari Pakistan, buku yang bertarikh tahun 1987 amat berat isinya, tetapi saya cuba hadamkan sebaik mungkin. Walaupun tidak semua yang dicernakan oleh penulis saya kena terima dan bersetuju tetapi membaca bahan ilmiyah sebegini adalah wajib jika ingin mengoptimumkan penggunaan pemikiran ini. Lalu diterjemah dengan vokal dan tulisan setelah penilaian mengikut segala kesesuaian.

Ketandusan dalam mencari fikrah yang paling sesuai untuk dikongsi di dalam blog ini masih berlarutan. Saya juga ada mengikut dengan setia beberapa laman sesawang mereka yang sudah kukuh untuk memahami teknik dan cara penyampaian berkesan bagi memastikan tulisan di blog saya tidak sia-sia melainkan ada biasan ilmiyyah walaupun tulisannya bersifat perkongsian peribadi dan lain-lain.

Penasihat

Tugas yang agak berat dan mencabar dan saya mencabar diri saya untuk berikan yang terbaik untuk iLuvislam dot com, insya-Allah saya akan mulakan perkongsian positif bermotivasi dengan rujukan dan penilaian terhadap buku, blog, artikel untuk diulas dan dikongsi khas untuk krew iLuvislam dalam YG kelak. Duta-duta iLuvislam dot com ini perlu untuk diberi semangat agar mereka sedar bahawa kerja atau amal yang dibawa portal kesayangan kita ini bukan satu perkara yang main-main lagi bahkan ianya boleh dijadikan pencetus ibrah fikriyyah islamiyyah ummah kelak insya-Allah.

Apapun teruskan bersemangat dan bermotivasi untuk memerhati, berfikir, membuat penilaian dan bertindak dalam apa jua keadaan sekalipun untuk akhirnya tiada lain hanya kerana Allah.

Insya-Allah

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

13 February 2009

Hari Minggu : Minggu ke-3 Febuari

Hari minggu yang agak sibuk sehinggakan tidak termampu untuk saya mencatit di dalam ruangan ini. Hari ini, dah mula kerja rutin macam biasa sebagai seorang penjawat awam setelah cuti mingguan 2 hari. Masuk seawal 7:30 pagi pulang 4:30. Kemudian bersiap untuk ke masjid untuk tugasan warisan Saidina Bilal ibnu Rabah di Masjid Usamah bin Zaid, insya-Allah kemuidan jika diizinkan Allah akan ke Taman Melati, rumah Kak Ti untuk mengajar anak-anak dia mengaji. Dah lama ketangguhan, kadang saya lapang mereka ada hal, begitulah sebaliknya apabila mereka lapang maka saya pula tidak.

Seawal Subuh tadi sudah ke Masjid Usamah bin Zaid untuk laungan panggilan Subuh. Sebelum ke KL Sentral. Perjalanan hampir 20 minit itu kadang-kadang banyak bahayanya. Namun apakan daya, motorsikal itulah gunanya saya. Banyak jasanya, nanti hendak dipulangkan ke kampung pula, motor di kampung enjin dicuri orang. Kesian adik-adik berkaki ayam ke sekolah, berpanas terik. Saya akan pinjam pakai dulu motorsikal sepupu, itupun kalau dibagi. Kalau tidak…hmm…

UM-Akademi Pengajian Islam


Semalam seharian di Akedemi Pengajian Islam Universiti Malaya, pengajian maddah Iman dan Kehidupan karangan Professor Dr Yusoff al-Qardawi begitu memberi kesan pada saya yang semakin kemarau ilmu ini. Kupasan Ustaz Alias seorang bekas pencen yang tenaganya bagai sang teruna jantan. 3 jam tanpa henti bersilat di dalam gelanggang dengan penyampaian yang sangat efektif. Saya dan kebanyakan kawan sekelas yang senior amat berpuas hati, tidak sesal kami di sini mengorbankan sedikit tenaga, masa dan wang ringgit. Sehingga tidak sesekali kami minta untuk ‘take 5’ sekalipun.

Perbahasan Khalaf dan Salaf diberi perhatian apabila perbahasan sifat-sifat Tauhid. Apabila perihal Tauhid Uluhiyyat, Rububiyyat dan Hakimiyyah dibahaskan secara ilmiyyah maka ramai juga yang memberi persoalan. Ibnu Taimiyyah khilaf kepada Ibnu Khaldun dan sebaliknya. Akhlak berasaskan Tauhid adalah yang terbaik dan tiada tolak bandingnya lagi di sisi manusia mahupun Allah taala.

Sebelah petang pula pengajian “Usul Tafsir” mengambil tempat, berat juga tajuknya kali ini. Lagi banyak yang dibahaskan sehingga menimbulkan polimik sementara di dalam kelas, perkataan Khalaf dan Salaf semakin jelas kedengaran. Pensyarah kali juga adalah mereka yang juga amat berpengalaman dalam bidang tersebut. Saya sendiri ambil bahagian dalam perbahasan yang dikira sangat menarik, inputnya amat berkesan. “Tangan Allah menolong mereka…” Ayat ini sudah cukup memakan masa untuk dibahaskan, tapi yang pastinya kami berbahas kerana mahukan ilmu yang terbaik untuk disampaikan kepada mereka yang akan menerimanya.

Kelas habis 5.30 petang dan saya berkenalan beberapa orang kawan senior yang dari pelbagai lapangan. 2 orang yang agaka rapat dikenali Cikgu Rosli dari Bangi, seorang cikgu kauselor dan Hairi pula seorang penulis skrip drama, pengarah dan pelakon juga, teruja juga. Persekitaran baru ini menyegarkan saya, meneroboskan urat saraf yang agak tersumbat sebelum ini. Akan saya kejar cinta ilmu kerana agamaMu ya Allah.

Taman Melewar

Selepas solat Maghrib berjamaah di Masjd Ar-Rahman, UM. Terus saya ke Taman Melewar pula kerana yang beraksi di pentas malam ini adalah Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat. Ambil aura dan berkat ulama’ dan pemimpin harakah siasah dan dakwah yang tiada galang gantinya kelak.

Pulang hampir pukul 2 baru dilelapkan mata, kemudian bangkit pula..tengok jam sudah pukul 5:30 pagi..bersiap untuk bertugas Subuh….

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

UKM : Ketibaan iLuvislam dot com


Wakil IPT UKM


Habis waktu kerja saya dengan kerajaan Malaysia pukul 4:30 petang semalam terus tercanak dengan agenda lain. Hari ini saya akan ke UKM berjumpa dengan akh Nuwar setelah mengetahui dari blognya ada forum di Kolej Keris Mas malam semalam.

Pada asalnya saya mahu ke sana dengan komuter sahaja dan meminta akh Nuwar ke stesen komuter UKM untuk ambil buku-buku tersebut. Kemudiannya rancangan berubah apabila teman saya mencadangkan untuk pergi dengan keretanya kerana waktu itu ialah waktu puncak dan warga kota balik bekerja dan ini akan menyukarkan kami untuk membawa buku-buku itu kelak.

Alhamdulillah saya menyerahkan 40 buah buku kepada akh Nuwar di masjid UKM, saya singgah di sana untuk menunaikan solat Asar dan meminta akh Nuwar ke sana sahaja, mudah. Rupa-rupanya beliau adalah pengarah program tersebut dan beliau juga baru dilantik sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Kelantan, kredit yang cukup besar malah pakej yang lengkap ada pada beliau, selain perwatakan sederhana dan mudah mesra.

Akh Nuwar dilantik sebagai Wakil IPT tidak rasmi sebelum pelantikan oleh Presiden. Saya sudah meminta beliau menghantar resume untuk tujuan tersebut insya-Allah. Rupa-rupanya iLuvislam dot com belum ada wakil IPT dari UKM lagi sebelum ini, kebetulan pula saya menjumpai akh Nuwar, maha suci Allah yang mengatur alam tanpa cacat celanya lagi, subhanallah.

Baru sebentar tadi saya menghubungi akh Nuwar untuk bertanyakan khabar program beliau semalam, alhamdulillah katanya lancar dan buku yang terjual adalah 12 buah keseluruhannya dan ianya sangat positif, akh Nuwar minta untuk menyimpan dahulu buku-buku tersebut untuk dipromosikan lagi, alhamdulillah saya berjumpa dengan orang yang betul.

Tidak lain tidak bukan semoga penjenamaan iLuvislam dot com terus pesat di Malaysia, insya-Allah. Malam ini saya kena bersedia untuk program di Universiti Malaya pulak. Beberapa panggilan akan dibuat, dan sudah ada belian susulan dari mahasiswa UM, sangat positif.

Semoga terus Allah limpahkan kekuatan, masa dan peluang untuk kami di Malaysia bagi menjenamakan iLuvislam dot com di muka bumi Allah ini, insya-Allah.

*Sekurang-kurangnya telah terqada peluang yang terlepas di MMU..hmm..

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

12 February 2009

Rancangan 2 dalam 1 iLuvislam dot com : tidak kesampaian


UPM & MMU

Sedikit terkilan kerana perancangan untuk mempamerkan buku iLuvislam di Forum Musikal di MMU Cyberjaya tergendala dek kerana ruangan yang terhimpit sesak. Saya tidak mampu ke sana sendirian kerana tidak pernah sekalipun sampai. Takut jika sesat dan tidak sempat untuk hadir kuliah Maghrib di kolej 13 UPM Serdang.

Sahabat saya Ustaz Hisyam, imam besar masjid UPM Serdang @ pegawai Pusat Islam UPM Serdang menghantar mesej jemputan untuk menyampaikan kuliah di kolej ke 13 petang semalam sejurus sebelum waktu pejabat tamat, saya katakan yang saya akan hadir dengan pakaian pejabat kerana untuk pulang mengambil jubah atau baju Melayu dan kain sarung agak tidak praktikal. Sebenarnya saya teruja untuk hadir kerana yang akan dihadapi nanti adalah adik-adik muda yang sesuai dengan penyampaian wacana saya. Saya memuat turun dari internet kertas kerja bertajuk “Adab-adab Menuntut Ilmu” yang telah dibentangkan oleh ustaz dari negara jiran untuk dibahaskan.

Surat lantikan rasmi sebagai penceramah jemputan Pusat Islam UPM Serdang juga telah dikeluarkan dan saya dijadual bertugas di surau kolej ke 13 setiap hari Rabu untuk sesi itu hingga penghujung semester dalam bulan 5. Insya-Allah akan saya gunakan kesempatan ini sebaiknya untuk menyampai dan memperingat terutama untuk diri sendiri.

A’la kulli hal, kerana kesesakan lalulintas dan maskhalah oleh akh Yus (moderator soal jawab agama iLuvislam.com) yang juga Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa MMU Cyberjaya menyebabkan saya menukar fikiran dan membatalkan misi di MMU walaupun segalanya telah diatur, sebelum itu saya telah mengambil stok dari akh Udon sebanyak 15 buah, ukh Umi (Nisa’) 20 buah dan ukh Intan (wakil IPT UIA PJ) 7 buah lalu terjumlah semuanya sebanyak 42 buah, memang saya terkilan kerana hajat tidak sampai untuk ke MMU tetapi tidak mengapa perancangan seterusnya insya-Allah akan menebus kemaslahatan malam ini. Sebelum pulang saya hadiahkan sebuah buku kepada Ustaz Hisyam untuk beliau hadamkan dan insya-Allah memudahkan promosi di UPM kelak. Saya juga sempat bersua muka dengan akh Aimi selaku wakil IPT UPM sedikit ta'aruf dengan beliau. Kebetulannya dia memang penghuni kolej ke 13.

“Kita merangcang Allah merancang, dan Allah-lah sebaik-baik perancang”

Pasti ada hikmahnya, insya-Allah saya akan adakan perjumpaan bertentang mata dengan akh Yus demi membincangkan perkara berbangkit dengan iLuvislam dot com, mungkin banyak cernaan positif akan termangkin antara duo pemikir ini insya-Allah.

Alhamdulillah

Saya cuba sampaikan kuliah maghrib semalam dengan sudut sisi yang tersendiri, adik-adik jemaah yang mencecah 20 orang nampaknya menunjukkan minat apatah lagi bila disentuh bab ikhtilat, hakikat, pemikiran, kejiwaan dan lain-lain.

Sempat juga mempromosikan http://www.iluvislam.com/ dan http://kalamkhalifah.blogspot.com/ kepada jemaah sekalian. Saya nampak sinar as-syabab yang penuh dengan fitriyyah fikriyyah islamiyyah akan menggegar dan mentransformasikan Malaysia sedikit hari lagi. Penekanan perlu diberi kepada adik siswa seawal masuk ke laman menara gading lagi maka saya yakin insya-Allah beberapa tahun kedepan medan perjuangan risalah akan dikuasai kita majoritinya. Membentuk jiwa dan pemikiran itulah sasaran saya terutamanya.

”Jiwa dan hati yang penuh ehsan akan membuahkan fikiran yang sentiasa positif lalu terlahirlah perlakuan yang baik sahaja.”

Selesai sudah bersolat Isyak diimami saya dengan berpakaian formal pejabat bersongkok hitam juga, saya diberi kepingan koyakan kertas yang bertanyakan soalan daripada muslimat. Insya-Allah minggu depan akan saya usahakan jawapan yang sebias mungkin untuk manfaat bersama insya-Allah.

Aturan

Mesej dari akh Nuar dari UKM untuk program malam ini dan ukt Amalina dari UM untuk program malam esok sehampir pasti insya-Allah. Kedua mereka menyatakan persetujuan untuk komited dalam promosi penjenamaan iLuvislam dot com melalui jualan buku sulung ini. Program NISA’ Lembah Pantai pada hari Ahad juga masih dalam landasan, cumanya diri saya yang semakin kempis dengan mehnah dunia.

Masaalah sudah dikenal pasti dan tidak perlu dibincangkan lagi, yang perlu adalah gerak kerja untuk melangsaikan masaalah tersebut. Dan saya yakin Allah ta’ala akan memudahkan segala urusan tersebut kelak dan mengembalikan nur kurniaan yang telah dicalitkan kepada kami satu masa dahulu dikembalikan insya-Allah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

11 February 2009

Di Antara : Rasionaliti dan Realiti


Realiti

Sebagai anak wajib kita mentaati ibu bapa malah memenuhi segenap ruang keperluan mereka. Walau mereka tidak meminta tetapi cukup dengan bahasa isyarat yang lumrahnya orang tua ini mereka tidak akan secara verbal berkata mahu itu dan ini.

Lain pula halnya kita semasa kecil hingga kealam sebelum bekerja sendiri. Ada kemahuan sahaja terus diajukan, jika tidak dipenuhi dengan segera mengamuk, merajuk dan segala macam pemberontakan seolah tunjuk perasaan dilakukan. Tanpa memikirkan apakah implikasi permintaan itu yang kadang-kadang menyebabkan mereka terpaksa meniriskan bajet belanjawan bulanan semata-mata untuk memenuhi kehendak seorang anak, itu jika seorang. Kalau 5 orang, 10 orang? Maka bayangkanlah!

Terkadang pula bukan mereka tidak mahu memenuhi permintaan itu tetapi hanya yang dipinta ialah tempoh masa, hujung bulan. Tetapi tidak juga mampu bersabar, terus menekan dan meminta, ,meraung malah tidak mahu bercakap dengan mencuka masam, hai anak..kenapa lakumu begitu? Mungkin tidak faham akan situasi realitinya sebagai ibu bapa lagi. Nanti dia dah berumah tangga dan mempunyai anak sendiri, akan tahulah dia pahit maung membesarkan insan yang bernama anak itu.

Agama Islam mengajar kita ketaatan itu jika menurut turutannya maka ibu bapa terletak pada makam nombor 3 selepas Allah dan Rasulnya. Antara ibu dan bapa pula, diberatkan ibu itu dalam kiraan 3 kali ganda daripada bapa mengikut hadis baginda Rasulullah sendiri.

“Maka janganlah kamu berkata walau dengan perkataan ‘uh’ (mengeluh)…..”


Rasional

Secara lumrah alam dan adab tertib kemanusiaan ditambah pula adab sunnah seorang Islam, maka berbakti dalam erti kata membalas jasa kedua ibu bapa adalah perkara yang wajib. Nak dapat tidak itulah kemestian seorang anak.

Ada perbezaan di sini antara anak lelaki dan perempuan kerana setelah seorang anak lelaki berkahwin, pertalian jasa hayat dengan ibu bapanya masih terjalin manakala seorang anak gadis yang sudah bergelar isteri maka suaminya adalah tunggak redha Allah.

Rasionaliti mungkin tidak akan memahamkan kita hakikat ini kecuali ajaran agama Islam sahaja yang mampu menghuraikan kenaifan minda akal dalam pentafsiran hukum syariah Allah berkenaan ketaatan kepada ibu bapa ini.

Apapun, memenuhi keperluan adalah keutamaan setiap anak tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, kehendak juga perlu diusahakan sedaya mungkin walau nampak zahirnya akan membebankan, tetapi yakinlah bakti kepada ibu bapa akan tunai di balas Allah di dunia lagi, segera pasti. Tidak perlu takut untuk sedikit beban yang akan tidak ternilai kiraan pahala disisi Allah itu.

Yang perlu kita risaukan dan pinta ialah keredhaan ibu bapa yang mensyiarkan redha Allah serta menjamin keberkatan hidup kita walaupun dalam apa jua keadaan, Insya-Allah. Dengan keredhaan inilah pintu segala kebahagiaan, keredhaan akan dapat dibuka dan dinikmati kelak, itulah kuncinya.

Suatu hari ketika balik bercuti ke kampung dari ibu kota saya madah dengan jelas kepada kedua ibu bapa saya selepas menunaikan solat jemaah bersama-sama :

“Umi, Abi..Abe nyusoh ko abi nga umi hampir 20 tahun lebih doh. Jadi lepah ni iktikad Abe tok sir doh nyusoh ko Abi nga Umi dale segenap hal. Cumo Abe nok dari Umi nga Abi, doa ko Allah mintok Abe berjayo dunio akhirat, insya-Allah Umi, Abi dan adik-adik akan tumpe sene insya-Allah. Selagi perkara yang Abe buat lepah ni tok langgar hukum Allah mintok Umi nga Abi redho..”

Maksudnya :

“Umi, Abi..Abang dah menyusahkan Umi dan Abi hampir 20 tahun sudah. Jadi lepas ni iktikad Abang takkan menyusahkan Umi dan Abi lagi dalam segenap hal. Cuma Abang mintak dari Umi dan Abi doakan abang berjaya dunia akhirat, insya-Allah Umi, Abi dan adik-adik akan tumpang senang insya-Allah. Selagi perkara yang Abang buat lepas ni tak langgar hukum Allah mintak Umi dan Abi redha..”


Disimpul-simpul

Perlulah disedarkan bahawa antara realiti dan rasionaliti ada satu istilah lagi yang mampu memansuhkan hegemoni pemikiran yang objektif itu. Istilah berkat adalah suatu perkataan yang tidak pernah diajar dalam silibus mata pelajaran yang berkiblatkan kebaratan. Malah ahli falsafah dahulu kala hingga sekarang jika mereka itu bukan Islam tidak pernah menyingkap serta memperkatakan tentang berkat.

Hanya Islam yang membawa, mengajar dan mengharap kepada keberkatan. Maka jika kita butuh dan berusaha dengan sepenuh harapan serta melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba kepada tuhannya, umat kepada Rasulnya dan anak kepada ibu bapanya. Jadi perlukah lagi kita sangsi tentang keberkatan? Malah terhadap kepertanggungjawaban kepada kedua ibu bapa? Fikirkanlah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

Program : iLuvislam dot com akan serang IPT Malaysia

Agenda di teruskan, langkah terus diatur satu persatu, peluang dilobi segenap mampu. Penjenamaan atau “branding agenda” bukan perkara main-main lagi. Kerana ianya perlukan kesungguhan bukan sahaja untuk berpemikiran strategik tetapi perlu disusuli daya amaliyyah bersifat usaha malah perlu sifat mahmudah terutama dalam perihal bermuamalat.

Semuanya dicipta dan dimaktubkan oleh Allah ta’ala di dalam al-Quran satu persatu tanpa keciciran. Kemudian dilengkapkan lagi dengan hadis yakni sunnah yang berbentuk sabda (kauluhu), perbuatan (amaluhu) dan perakuan (taqrir) oleh baginda junjungan besar nabi Muhammad Shollallahu alaihi wasallam.

Saya terus menerus meneroka jaringan maya dan menarik seramai mungkin pengunjung ke blog saya. Begitu juga dengan mengadakan promosi di iluvislam.com sendiri melalui artikel dan PM yang tersedia. Kelebihan yang ada sebagai krew@Penasihat iluvislam.com digunakan semaksimum mungkin untuk memastikan proses tumbesaran agenda penjenamaan iLuvislam.com di Malaysia pesat dan mantap insya-Allah.

Untuk beberapa hari keseterusnya pun sudah tersedia dengan agenda-agenda yang bakal membawa jenama iluvislam.com di Malaysia khususnya, di sini saya nyatakan alirannya. Insya-Allah dengan izinnya semuanya akan berjalan lancar kerana kerja ini juga adalah hak Allah juga.

Jadual Promosi iLuvislam Malaysia

Tarikh

Hari

Tempat

11 Feb 2009

Rabu

MMU

12 Feb 2009

Khamis

UKM

13 Feb 2009

Jumaat

UM

15 Feb 2009

Ahad

Kondo Rakyat, Pantai Dalam

Cumanya sekarang saya dikhabarkan pihak stor dah kekurangan stok, walaupun Udon baru menghantar lebihan 15 buah buku terakhir tetapi sepatutnya untuk satu-satu tempat promosi paling kurang kena ada 50 biji, saya terpaksa menghubungi wakil-wakil IPT berdekatan untuk meminjam lebihan buku mereka. Alhamdulillah mereka memberikan kerjasama yang sewajarnya.

Semoga perjalanan hari-hari seterusnya diwarnai limpah kurnia dan redha Allah. Doakan juga iLuvislam dot com terus menjadi lapangan dakwah siber seiring dengan agenda penjemaan iLuvislam dot com itu sendiri, insya-Allah.

Az-Zahir

Penasihat iLuvislam dot com

10 February 2009

Tersejat : Kuliah Maghrib


Cabaran

Kaku dan kelu bila berhadapan situasi sebenar, kalau sebelum ini saya hanya berhadapan cabaran-cabaran halus. Semalam adalah kenyataan sebenar dalam proses menjadi seorang pendakwah, penceramah dan penyampai.

Jika sebelum ini saya berhadapan dengan audien yang boleh saya uruskan tetapi jemputan kuliah Maghrib di Surau Ihsaniah, fasa 4 Kondominium Rakyat semalam betul-betul meletakkan saya dalam keadaan kekerdilan yang ketara.

Bila disebut surau maka terbayang kita jemaah yang kurang 10 orang kebiasaannya. Tetapi lain halnya di situ, bahkan jumlah jemaah yang hadir juga melebihi jemaah masjid Usamah bin Zaid yang indah tersergam berharga RM16juta itu. Terasa kelainan tatkala berjemaah di sini.

Jemaah yang mampu meruntun hati saya mengecut dan hilang daya tumpuan malah saya jadi kelu dan kaku ketika penyampaian, rupanya banyak lagi kelemahan yang perlu dibaiki kelak, akan saya usahakan. Rata-rata mereka menunggu dan mendengar dengan penuh kusyuk barangkali dengan harapan ada bias-bias ilmu yang lain sedikit kerana dinyatakan kepada mereka yang sedang berucap ini ialah seorang tokoh muda, barangkali Encik Abbas terlalu mempromosikan saya sehingga saya sendiri merasa risau.

A’la kulli hal, saya mencuba bagi yang terbaik walaupun tidak sempurna. Biasalah, ini adalah permulaan, manakan boleh mahu disamakan dengan tokoh-tokoh ilmuan yang telah tersohor dan berilmu tinggi. Laras bahasa juga menjadi permasaalahan apabila saya terpaksa bertukus lumus menjaga lidah agar tidak tergeliat dan menggunakan bahasa kampung saya, ini secara tidak langsung menyebabkan penyampaian menjadi tersekat-sekat dan menampakkan saya banyak berfikir.

Walau apapun, terima kasih kepada Encik Abbas kerana memberi peluang kepada anak muda seperti saya memulakan apa yang dinamakan dakwah bil kaul. Insya-Allah saya akan pertingkatkan lagi di masa depan.

Analisis

Betul kata hukama “Semakin kita menuntut ilmu semakin kita tidak tahu”

Banyak perkara lagi yang perlu saya perbetulkan terutama berkaitan amalan, memimumkan perkara sia-sia dan perkara yang menjurus ke arah itu, memperbanyakkan bacaan dan mendengar kuliah-kuliah, memperbanyakkan perbincangan dengan mereka yang lebih arif.

Pengalaman semalam juga mengajar saya utuk lebih bersedia apabila mahu menyampaikan kuliah dan jangan hanya bergantung kepada memori yang memungkinkan kita terbejat dalam ruangan minda malap. Sedar juga yang kita bukan para alim ulama’ yang cerah hati dan akal, fasih mulut dan indah akhlak. Tapi usaha ke arah itu tentu akan diperhebatkan. Paling kurang kena buat nota ringkas berkenaan tajuk yang hendak disampaikan.

Dengan itu diharap niat saya untuk ke Saudi 3 tahun dari sekarang menjadi kenyataan insya-Allah. Tiada lain yang diharapkan melainkan mahu menjadi haji muda dan menyambar peluang mendalami ilmu agama dan bahasa arab insya-Allah. Tapi sebelum itu perancangan untuk menimba ilmu di UM dalam bidang Usuluddin juga akan diteruskan.

Moga Allah bersimpati dengan saya lalu dengan belas ehsannya dikurniakan debuan ilmu yang bermanafaat untuk disampaikan, insya-Allah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

09 February 2009

Kursus Kahwin : iLuvislam dot com

Masjid Negara

T
epat jam 6:30 petang semalam maka selesailah sudah kursus yang dinyatakan wajib untuk mereka yang ingin membina masjid di Malaysia. Kursus wajib ini mengambil masa 1 hari setengah. Dengan bayaran RM80 seorang dengan penyertaan yang agak memberangsangkan, lagikan pula di masjid Negara. Kerana dikhabarkan sebelum ini pasangan biasanya tidak suka berkursus di masjid kerana kekangan pakaian, masa solat dan zon larangan merokok. Apatah lagi mahu bermanja-manjaan berdua-dua, amatlah tidak sopan.

Tetapi sedikit kelainan kepada kumpulan peserta ini kerana rata-rata mereka memang memilih untuk hadir ke kursus yang bertempat di masjid Negara ini, saya berfikiran mungkin kerana mereka fikir yang mahu dilaksanakan kelak istilahnya membangunkan masjid jadi untuk proses awal juga sebagusnya di masjid insya-Allah berkat, kalau begitulah ijtihad mereka semua alhamdulillah masih cerah harapan Malaysia untuk mensyiarkan Islam sesyumulnya.

Bagaimana saya, kenapa masjid negara? Malu alang saya kongsikan sahaja :

1. Untuk dambaan berkat Allah kerana masjid rumahnya manakan saya ingin membina juga masjid sejahtera malah juga di sini tempat berjemaah Zohor di hari kerja.

2. Saya hanya perlu SMS nama saya kepada Ustaz Mat Zain selaku penganjur dan hanya mendaftarkan nama pada hari kursus, "Walk-in" kiranya.

3. "Sentimental values" yang ada di masjid Negara. Pertemuan pertama secara bersemuka dengan tunang adalah di sini dan kami bermusyawarah hampir 2 jam dengan bertemankan sahabat dia di satu sudut di anjung masjid ini.


Kursus, Dakwah dan Tarbiyyah


Rata-rata peserta berumur 23 tahun dan keatas. Saya tidak ingat bila bermulanya kursus ini diwajibkan di Malaysia. Tetapi apa yang boleh difahamkan ianya sepatut menjadi salah satu platform yang sangat positif dengan tujuan pengisian tarbiyyah untuk pasangan yang bakal mendirikan masjid.

Alhamdulillah, pelbagai ustaz dari pelbagai cabang dan bidang datang membahaskan tajuk-tajuk yang telah tersedia dan perlu dibahaskan. Walaupun saya sepatutnya tidak perlu hadir ke kursus ini , tetapi memandangkan tidak salah untuk mencedok atau memotivasikan kembali diri dengan ilmu khusus maka apa salahnya. Lagikan pula takkan mahu dibiarkan si fulan berkursus bersendirian.

Walaupun hampir semua modul yang ada dalam kursus telah saya ketahui tetapi ada sesuatu yang agak menarik tentang kursus kahwin di Kuala Lumpur ialah ianya telah diswastakan kepada konsultan yang dilantik.

Baik, kiraanya sekepala ialah RM80. Pengamatan saya mengatakan jumlah yang hadir sepanjang 2 hari itu ialah 200 orang secara pukul rata, maka RM80 x 100 peserta = RM8000. Maka kena caranya setelah ditolak bahagi bayaran sewa dewan, penceramah dan makan, masih agak lumayan.

Saya tidak melihat kelumayanan hasil itu, tetapi apakah ruang yang wujud untuk mengimplimentasikan lapangan dakwah siber iluvislam dot com di sini. Pasti ada perihal yang boleh dibangkitkan di sini. Penceramah , macam biasa. Dengan kriteria masing-masing dan hampir semuanya berinformatif tetapi tiada susulan lanjutan yang ditawarkan. Setakat ini hanya beberapa ustaz dan penceramah sahaja telah mencipta ruang dakwah yang tiada batas sempadan ini.

Sayang, kerana saya yakin yang mana ada dalam dewan tersebut belum tentu samaada betul faham, separuh faham, suku faham dan paling teruk mamang tidak faham langsung kerana tertidur. Saya juga hampir beberapa kali hampir tersungkur tewas, walaupun saf hadapan menjadi pilihan. Saya melihat ruang untuk bercakap di hadapan sekumpulan hamba Allah yang beragama Islam ini satu peluang yang sangat positif untuk hal dakwah dan juga bagi lanjutan promosi penjenamaan iluvislam dot com.

Apakah mustahil jika suatu hari iluvislam dot com menganjurkan kursus kahwin dengan cara yang agak berbeza di mana kita akan tawarkan servis lanjutan melalui lapangan siber, insya-Allah di masa hadapan lagipun saya hampir terlupa yang majoriti krew dan ahli iluvislam dot com masih berjuang di medan siswa.

Tetapi saya terus menyeru ikhwan dan akhawat, krew-krew iluvislam dot com terus komited dalam menggarapkan proses penjenamaan iluvislam dot com sebagai lapangan dakwah siber utama khusus di Malaysia amnya di seluruh dunia insya-Allah.

Insya-Allah dalam masa terdekat ini (insya-Allah bulan 3) ijtimak krew iluvislam dot com dan wakil-wakil IPT akan dilaksanakan. Kita mengharapkan pencernaan pemikiran yang selari dengan jaringan maya yang tidak terbatas kerana lapangan dakwah kita adalah yang paling tidak terbatas dengan usaha yang walaupun terbatas. Semoga Allah meredhai kita dan usaha murni ini insya-Allah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

07 February 2009

Lagi Cuti 3 Hari

Lagi 15 minit ke pukul 6 pagi dan ini adalah penulisan ringkas dinihari sebelum pergi bertugas (Subuh). Ada beberapa perkara yang perlu dilaksanakan dalam masa cuti 3 hari ini.

Perancangan yang rapi itu perlu jika mahukan ruangan masa terisi dan bukan hanya lewat lalu sahaja tanpa faedah, insya-Allah.

7 Februari 2009 @ Sabtu

1. Bertugas di masjid Usamah bin Zaid (Subuh - Isyak), Zohor dan Asar minta Reimi ganti kerana berkursus.

2. Ada temujanji dengan seorang pelanggan yang mahukan buku Dr Zakir, akan buat penghantaran sendiri ke Taman Melati.

3. Menghadiri kursus pra-ikatan perjanjian kehidupan bersama di Masjid Negara bermula jam 2.30 petang hingga 6 petang.

8 Februari 2009 @ Ahad

1. Seharian berkursus dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.

2. Jalan-jalan cari barang persediaan, insya-Allah.

9 Februari 2009 @ Isnin

1. Perjumpaan dengan akh Hilmi dari MAS Engineering Training Centre bagi perbincangan 2 dalam 1 :

-Perihal gerakan usrah tempat beliau tapi kena rujuk dengan akh Dzulkhairi (Presiden GAMIS)
-Agenda iLuvislam.com di tempat beliau, akh Hilmi dipelawa sebagai Wakil IPT@krew

2. Kuliah maghrib di surau Kondo Rakyat Pantai Dalam, tajuk bebas.


Ya Allah berikanlah aku kekuatan para sahabat Rasulullah dalam mengsyumulkan Islam di bumi Malaysia yang semakin dengan kecelaruan serta kebinasaan ini, semoga juga masa-masaku dipersembahkan padaMu ya Allah dengan penuh iltizam pada redhamu semata,insya-Allah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam.com

05 February 2009

Sekitar Ummah Talk : Abu Saif


13.Penasihat iLuvislam.com dan Presiden GAMIS


12.Presiden Gamis sanggup berdiri sepanjang program
bagi mendahulukan jemaah yang hadir


11.Wakil iLuvislam.com terus komited, jazaka-Allah


10.Setiap ruang dititip ilmu yang tidak ternilai


9.Tidak dinafikan cukup berinformatif dan kritis


8.Abu Saif beraksi cemerlang, alhamdulillah


7.Mukaddimah dari Abu Saif


6.Sejurus sebelum bermula


5.Ketibaan yang dinanti, sedang bersiap


4.Ketibaan Ustaz Hasrizal diiringi Presiden Gamis dan
Ketua Biro Dakwah Gamis


3.Wakil IPT dari Matrik UIA PJ dan akhawatnya


2.Kaunter masuk


1.Buku dipamerkan

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam.com

35 Buah Buku iLuvislam.com Terjual (laporan operasi di program UMMAH TALK masjid UIA Petaling Jaya semalam)

8.30 malam


Alhamdulillah, walaupun saya kelewatan hadir ke ‘Ummah Talk’ yang dijangka bermula pada pukul 8 malam lagi, namun pengurusan untuk mempamer sekaligus menjual buku sulung iLuvislam.com yang bertajuk “Media dan Islam, Berperang atau Berdamai” lancar. Melalui beberapa panggilan telefon kepada mereka yang komited membantu, alhamdulillah proses berjalan dengan damai sekali, terimalah kasih nista kami ini Ya Allah.

Udon dan Imran telah menghantar stok buku tersebut sebanyak 50 buah keseluruhannya. Angka yang agak besar, fikir saya tidak mengapa kerana buku-buku itu bukanlah makanan atau bahan organik yang akan basi berkulat jika tidak terjual kelak. Intan, wakil UIA PJ memberikan komitmen untuk sampai ke sana seawal maghrib lagi, tahniah untuk beliau kerana kesungguhan dalam menyebarkan dakwah sekaligus membantu menyebarkan publisiti penjenamaan www.iLuivislam.com, saya mengucapkan tahniah kepada beliau dan dua rakannya.

Saya menelefon akh Dzulkhairi (Presiden Gamis) merangkap perancang utama pada malam itu untuk pengesahan tempat pameran buku. Alhamdulillah akh Dzul bersusah payah mencari wakil iLuvislam.com yang sedang menunggu di satu sudut sedangkan saya masih di atas kereta tersejat dalam kesesakan lalulintas kerana dari UKM Bangi, jazaka-Allah ahk Dzul kerana peluang yang diberikan untuk iLuvislam.com. Sejurus sebelum ke tempat kejadian saya perlu lencong ke stesen universiti kerana wakil UniKL, akh Izat sedang menunggu. Hampir sahaja saya terlupa, nasib baik satu mesej dari Izat menyedarkan saya untuk melewati dia.

Saya sampai kurang lebih 8.30 malam bersama Izat, selesai berjemaah Isyak kami tuju ke dewan. Alhamdulillah, memang ramai penyertaan dari jemaah universiti. Kebanyakan dari UM, UIA, UKM dan beberapa gerakan kampus dan individu lagi yang angkanya mencecah hampir 300 orang. Saya terkesima, ini adalah “talk underground” yangs sangat Berjaya. Di pintu masuk ditempatkan tempat mengutip yuran berharga RM2 sahaja dan meja untuk jualan buku-buku. Ada 2 jenis buku yang dijual semalam, buku keluaran iLuvislam.com dan buku bertajuk “Tokoh-tokoh Gerakan Islam Zaman Moden”. Saya sendiri membeli buku tersebut.

Fenomena ini dilihat saya sebagai faktor persatuan pemuda adalah pemangkin ummah yang paling penting di mana-mana negara sekalipun. Kalaulah 50% dari remaja dan pemuda-pemudi Islam di Malaysia mahu ditarbiyyah dan mentarbiyyah ternyata kita tidak akan ketandusan pemimpin pelapis yang penuh dengan sifat mahmudah kelak. Semoga tidak juga keluaran dari jemaah ini pemimpin yang hanya cintakan dunia melebihi kecintaan mereka pada akhirat insya-Allah.

Abu Saif

Alhamdulillah Ustaz Hasrizal beraksi cemerlang penuh karismatik seorang pendakwah bebas yang ‘multitask’. Begitu dia mengkagumkan audien dengan teori-teori hakikat disamping celahan cerita, pengalaman, isu semasa dan tidak lupa fokus malam itu “Sultan Muhammad Al-Fateh : Pembuka Kostantinopel”.

Rata-rata peserta tidak berganjak malah menumpukan setiap ruang pandangan dan minda kepada syarahan beliau, tidak kurang juga yang sedaya mungkin cuba memimumkan walau kelipan mata takut terlepas butiran-butiran hikmah dari beliau, begitu Abu Saif telah membina empayar beliau tersendiri.

Kagum saya, tetapi harus diingatkan bahawa beliau tidak hanya bergantung pada syariah semata untuk berada di tahap itu malah beliau juga meletakkan diri selari dengan sunnatullah sebagai landasan asas, “man jadda wa jada” maksudnya siapa cepat dia dapat, siapa buat dia dapat, siapa usaha dia berjaya, tidak kiralah apa yang mahu diterjemahkan secara individu tetapi yang mesti kita faham ialah kita perlukan “USAHA”. Tidak kira anda siapa. Rasul, nabi, sahabat baginda, tabiin, tabi’ tabi’in, salafus soleh, para wali, hukama, alim ulama’ dan keseterusnya. Siapa pun perlukan usaha untuk dapatkan hasil, tiada siapa yang akan hasil melainkan dengan usaha, itulah sunnatullah.

Doa itu adalah syariat dan ianya dituntut, usaha yang bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan yang tidak putus kepada Allah, itu adalah cabang sunnatullah dan insya-Allah orang itu akan berjaya, bila? Jangan dipersoal, usaha dahulu. Dah lama dah usaha, tiada hasil? Ada hikmahnya, kalau bukan sekarang Allah kurniakan masih ada peluang di akhirat kelak. Jadi pastikan kita salah seorang ahli syurga Allah walaupun layak kita hanya pada syurga Allah yang paling ‘low class’ sudah memadai mungkin. Masa itu Allah qada’kan semua permintaan yang pernah kita buat masa di dunia dulu. Nikmat kekal abadi tiada sempadan. Luar jangkauan minda dengkel insan jalang seperti kita ini.

Itu sedikit sebanyak yang saya dapat tangkap dan tampalkan dalam hati minda ini di awal permulaan ceramah Abu Saif ini.

Bersurai Dalam Kepuasan

Tamat sudah program malam tadi sekitar jam11.30 malam, Abu Saif bercanda kata “Saya takpe, janji sampai ke rumah sebelum Subuh esok, anda student..lewat balik nak pergi kelas pulak pagi esok,” disambut deruan ketawa geli hati para peserta.

Saya sekadar mendengar dari luar dewan tetapi penuh penumpuan pasti,di samping akh Dzul yang nampak agak kalut kerana “unexpected situation”, jumlah anggaran asal peserta hanya sekitar 200 orang tetapi yang hadir alhamdulillah wa masya-Allah lbh 300 orang. Kalut kerana ada lagi adik-adik jemaah muslimin dan muslimat berantaian muncul sikit demi sedikit, terpaksa berpunggah-ranggah kerusi di sebelah sana ke sini untuk meraikan para mujihidah terutamanya.

Wakil IPT iLuvisalam.com juga hanya dibekalkan sebiji kerusi yang akhirya setelah beberapa lama baru saya perasan dan kemudian diusahakan kerusi duduk untuk keselesaan para sukarelawan ini. Secara tidak langsung juga mereka menjadi penyambut tetamu bagi meraikan para jemaah yang baru sampai, begitu ukhwah telah terjalin di kalangan para jemaah yang saya kira kalau berkekalan negara akan mencapai apa yang difirman oleh Allah ta’ala yang bermaksud “Negara terbaik penuh dengan keampunan dari tuhannya.”

Buku terus terjual dan akhirnya alhamdulillah sebanyak 35 buah buku sudah terjual setelah mengucapkan perhargaan dan terima kasih terhadap komitmen akhawat bertiga, mereka pun balik ke kolej masing-masing yang hanya bersebelahan dengan masjid tersebut sahaja, memang satu kelebihan di situ.

Saya kemudian dapatkan 2 buah buku untuk di hadiahkan kepada Abu Saif dan akh Dzul sebagai penghargaan di samping mengambil kesempatan membina ukhwah diplomatis agar nanti mudah untuk saya merujuk kepada mereka kelak jika ada keperluan nasihat dan panduan insya-Allah. Peluang itu juga saya gunakan untuk bernelan secara fizikal dengan Abu Saif yang hanya saya kenali melalui AbuSaif.com dan buku beliau “Aku Terima Nikahnya” sahaja. Alhamdulillah beliau mengecam saya setelah diberitahu saya adalah Az-Zahir yang ada bertanya dan meminta pandangan dalam ruangan ‘shoutbox’ dalam blog beliau. iLuvislam.com juga bukan asing pada Abu Saif, setelah seketika bersapa mesra saya meminta diri kerana masih bersama saya akh Izat yang perlu dihantar ke apatmennya di Pantai Dalam.

Sampai rumah, jam menunjukkan 13 minit ke pukul 12 mengikut jam tangan saya. Sekadar menyalin persalinan terus akur dengan fitrah tubuh badan yang perlukan rehat. Tersungkur saya dalam kenikmatan dan kepuasan walaupun penat bermotor dan pulang dengan keadaan fizikal yang dari petang tadi tidak lagi menyegarkan badan, dengan hanya satu harapan pada Allah. Redhalah ya Rabb akan laku hambamu ini, insya-Allah.

Agenda seterusnya telah diatur bagi menjenamakan gerakan dakwah siber iLuvislam.com khususnya dan Islam umumnya di persada ummah Malaysia insya-Allah, wallahua’lam.

u/p: gambar sekitar program akan dimuat turun nanti insya-Allah

Az-Zahir

Penasihat www.iLuvislam.com

04 February 2009

Agenda terkini : iLuvislam.com

Insya-Allah malam ini tepat pukul 8 malam bertempat di Masjid Matrikulasi UIAM PJ akan berlangsungnya satu perbentangan cerna minda yang dikelolakan oleh GAMIS. Pembentang kertas kerja adalah Ustaz Hasrizal atau lebih sinonim dengan panggilan Abu Saif kerana ruangan maya ilmiyyahnya yang sangat mengujakan mereka yang mendampakan ilmu, Abu Saif.com.

Alhamdulillah juga saya telah mengadakan perjumpaan dengan akh Dzulkhairi, Presiden GAMIS yang juga bertanggungjawab menganjurkan ‘Ummah Talk’ tersebut. Saya meminta kebenaran dari akh Dzul jika dapat iLuvislam.com nanti mengadakan promosi buku Dr Zakir sekaligus membuat jualan di situ, alhamdulillah dengan ikhlas hati beliau akan membenarkan, jazaka-Allah akhi Dzul.

Saya sudah menghubungi akh Udon (Pengurus Stok) untuk penghantaran stok pada malam ini, mungkin dalam 50 biji akan dipamerkan. Berapa buah yang akan terjual atau akan laku itu kerja Allah, yang penting kita cuba untuk mempromosi buku tersebut yang akan menarik minat jemaah untuk bertanya : “Siapa penulis buku ni?”,”iLuvislam.com ni apa?” dan beberapa soalan lagi yang akan secara langsung mempromosikan iLuvislam setelah diberi penerangan. Itu tujuan utama “Menjenakan iLuvislam.com” di samping saya sendiri akan berpeluang berjumpa dengan wakil iLuvislam.com di situ, insya-Allah.

Wakil IPT juga telah saya hubungi, wakil UIA PJ alhamdulillah sudi memberi komitmen beliau pada malam ini di samping saya akan usaha untuk dapatkan 2 orang lagi dari UM dan UniKL, insya-Allah. Ini adalah permulaan dan alhamdulillah saya telah memulakan di samping Presiden yang sedang bertarung untuk menyiapkan tugasan Kejuruteraannya sementelah juga sedang dalam musim peperiksaan pertengahan semester. Doa saya untuk beliau dan semua krew iLuvislam.com keseluruhannya muslimin muslimat sekalian.

Seketika berpeluang bersama dengan akh Dzul saya manfaatkan semaksimum mungkin masa yang ada kerana tahu saya beliau seorang yang dicemburui masa. Sedikit penerangan mengenai iLuvislam.com kepada beliau dengan harapan di masa hadapan beliau sudi, insya-Allah mencurahkan pandangan dan tunjuk ajar beliau yang memang dibutuhkan kelak. Pengalaman beliau dalam mengorganisasikan sebuah pertubuhan perlu saya cedok secara langsung, insya-Allah serasa saya beliau tidak keberatan untuk itu.

Sekali lagi saya ulang, ini adalah permulaan. Saya dan Presiden sendiri telah memulakannya di Malaysia dengan harapan krew lain terkesan dengan usaha dan tindakan kami ini, insya-Allah. Sama-sama kita pastikan iLuvislam.com terjenama sebagai lapangan fikrah ummah di Malaysia khususnya malah di dunia umumnya, insya-Allah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam.com

03 February 2009

iLuvislam.com (Malaysia) Mengorak Langkah

Dengan Nama Allah : Ini Permulaanya

Semalam,selepas saya menunaikan tugas di masjid Usamah bin Zaid, pandangan saya ke hulu hilir mencari Presiden (akh Imran) yang terlebih dahulu dimesej saya tentang mesyuarat tertutup dengan seorang tokoh kemasyarakatan di daerah Lembah Pantai atau lebih tepat Pantai Dalam. Alhamdulillah, Imran hadir dengan aura seorang Presiden yang berwibawa. Itu yang saya suka pada saudara baru saya ini.

Setelah berkira-kira kami bersetuju mudik dengan kereta lipan eletrik moden jenama PUTRA LRT dari stesen Wangsa Maju ke stesen Universiti yang paling dekat dengan Pantai Dalam, jam menunjukkan pukul 9.30 malam, hmm..rasanya dah lewat juga untuk seorang pelajar jurusan Kejuruteraan seperti Imran untuk keluar pada masa itu lagikan dia sekarang sedang dalam lapangan peperiksaan pertengahan semester, timbul rasa bersalah dari lubuk hati seorang abang kepada adik.

Tetapi komitmen Imran terhadap perancangan, pemantapan, pemasaran dan penjenamaan organisasi kami tidak melunturkan semangat dia. Inilah anak muda yang berintelektual tapi sarat dengan fikriyyah islamiyyah malah sanggup membejatkan masa dia untuk memastikan apa sahaja peluang digarap dengan sempurna. Pastinya untuk memastikan web portal http://www.iluvisam.com/ menjadi fenomena fikriyyah ummah sedikit masa lagi, insya-Allah.

Kami berdua dijemput oleh sahabat perjuangan sefikrah yang walau dia dalam lapangan lain (NISA’) tetapi tetap iktikad pada haq yang satu. Kerana dia jugalah yang memperkenalkan kami atau lebih tepat lagi iLuvislam.com kepada Encik Abbas (Pengerusi Penduduk Setempat) yang selalu berprogram dengan mereka asalnya, Encik Abbas walaupun melewati umur setengah abad sudah tapi masih aktif dalam usaha meneutralisasikan masyarakat kepada fikrah Islam terutama dari kalangan remaja, saya dan Imran semakin tidak sabar untuk ketemu tokoh ini.

Dipendekkan cerita, maka sampailah kami di stesen Universiti kurang lebih 10.15 malam, hampir 45 minit dalam kereta lipan eletrik itu banyak juga yang kami wacanakan semasa dalam perjalanan. Sasaran malam ini ialah untuk meyakinkan Encik Abbas untuk kami menjadi parasit dalam slot program yang telah tersedia bagi tujuan apapun samaada kuliah, ceramah, wacana, diskusi, forum dan lain-lain. Peluang itu akan digunakan setotal mungkin untuk akhirnya mempromosikan iLuvislam.com.

Akhirnya kami tiba di rumah Encik Abbas dan setelah menunggu seberapa ketika, beliau muncul setelah pulang dari kedai. Kami dijemput masuk malah terus dijamu dengan mee goreng dan tea 'o' yang memang tersedia untuk menyambut kami mungkin, begitu indah bentukan akhlak yang dianjurkan oleh Islam, memuliakan tetamu tidak kira status apapun tetamu mereka kerana tetamu itu membawa rahmat. Itu yang diyakini oleh mereka, Allah akan membalas lebih lagi kelak, insya-Allah.

Perbincangan bermula dengan penuh konsentrasi dan liberasi. Apa yang saya dapat gambarkan perihal Encik Abbas ialah beliau seorang yang tenang tapi penuh dengan buakan semangat dan idealisma serta pengalaman yang sarat dalam pengorganisasian sukarelawan kemasyarakatan, kami berjumpa dengan orang yang tepat. Sementelah Encik Abbas salah seorang anak buah Pak Syeikh ayahanda kepada Puteri Reformasi yang kini menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai di awal tahun 70an lagi, makin kami teruja. Beliau juga tanpa kedekut menceritakan serba sedikit pengalaman dalam gerak kerja yang membuatkan kami terlopong seketika, Alhamdulillah banyak cerapan pengetahuan baru dan lama saya dan Imran diagnosiskan semalam dalam perjalanan pulang setelah hampir jam menunjukkan 12.00 malam.

Sahabat yang mengiringi juga telah sampai untuk menumpangkan kami pulang. Terima kasih 2M ini yang kemudiannya menghantar kami ke Wangsa Maju kerana kereta lipan eletrik dah tamat khidmatnya pada waktu itu, semoga Allah sahaja yang membalas budi baik kalian insya-Allah.

Keputusan dari diskusi tersebut sangat positif, Encik Abbas faham yang kami mahukan platform untuk menyampaikan dan memasarkan web portal kami dengan membawa aliran dakwah baru yang digelar “Dakwah Siber”. Secara tidak langsung beliau mewujudkan 3 peluang untuk kami :

1.Kuliah magrib pada 9 Feb ini bagi menggantikan Ustaz yang tidak boleh hadir kerana pulang ke negara asal (Indonesia) menguruskan beberapa hal.
2.Menjadi imam jemputan bagi program tahajjud di surau Kondo Rakyat kelolaan beliau pada 15 Feb jam 3 pagi.
3.Menjadi tenaga pengajar al-Quran setiap hari Sabtu 9-10malam, program masih di peringkat perancangan.

Alhamdulillah maha suci Allah yang melapangkan ruangan dakwah kami dengan memberi peluang ini, hati ini sedikit gentar malah terkesima kerana tidak menyangkakan sebegitu sekali ruang yang dibentangkan, sehingga tidak mampu saya berkekeputusan dengan kadar segera, insya-Allah sebelum Khamis minggu ini akan diberi jawapan pada Encik Abbas, jazaka-Allah kerana percaya dan bagi peluang untuk kami sebagai orang muda yang masih mentah dan alpa dengan dunia dan tersejat dengan maksiat disamping ilmu yang dengkel malah warak yang berdebu, cuma berbekal beberapa kalimah Allah dan hadis Rasulullah dan sedikit pengalaman sebelum ini selain pernah belajar dalam aliran keagamaan itupun kerana paksaan orang tua. Tetapi insya-Allah, inilah permulaannya.

Az-Zahir
Penasihat www.iLuvislam.com

02 February 2009

Buku Sulong dari iLuvislam.com

Buku Pertama iLuvislam.. Dapatkan Segera !
www.iLuvislam.com
Imran Koyube
editor : Imran Koyube


Masihkah anda ingat bagaimana bekas Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush, mengeksploitasi media untuk meng’halal’kan serangan ke atas Iraq pada tahun 2006? Selain ribuan manusia tidak berdosa mati ketika perang tersebut, kini Iraq masih dihiasi dengan letupan bom di sana sini.

Dan masihkah anda ingat bagaimana media antarabangsa digunakan sebaiknya oleh Amerika untuk melancarkan “War on Terrorists” selepas tragedi 11 September 2001? Ketika itu, fundamentalis Islam juga dilabel sebagai pengganas!

Sesungguhnya, tiada siapa dapat menafikan bahawa media kini mempunyai pengaruh yang amat besar dalam membentuk pemikiran masyarakat dan menyampaikan maklumat tentang sesuatu isu. Walaubagaimanapun kita dapat lihat bahawa pihak media antarabangsa sering memberikan maklumat yang salah dan kurang tepat mengenai agama Islam.

Atas kesedaran inilah, iLuvislam.com menerbitkan buku pertama kami yang bertajuk “Media & Islam - Berperang atau Berdamai?”. Alhamdulillah, segala puji hanya untuk Allah.



Buku ini adalah hasil usaha salah seorang krew iLuvislam.com, saudara Mohd Effy Saiful Mohd Fathil yang telah menterjemah sebuah ceramah dan soal jawab yang bertajuk “Media and Islam – War or Peace” yang disampaikan seorang pendakwah terkenal di dunia, Dr. Zakir Naik.

Buat pengetahuan anda, Dr. Zakir Naik aktif melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti dialog antara agama dan beliau digelar oleh seorang inidividu yang tidak asing lagi dalam dunia perbandingan agama; Sheikh Ahmad Deedat, sebagai “Deedat Plus” pada tahun 1994.

Pada tahun Mei 2005, beliau menerima sebuah plag daripada Sheikh Ahmad Deedat yang terpahat padanya: “Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama 4 tahun untuk mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun. Alhamdulillah.”

Antara isi kandungan buku ini adalah:

Bab 1 : Media Massa
Bab 2 : Strategi Media dalam Memburuk-burukkan Imej Islam
Bab 3 : Muslim Fundamentalis, Ekstrimis dan Terroris
Bab 4 : Satu Individu, Satu Aktiviti, Dua Label
Bab 5 : Jihad, Istilah yang Disalahfahami
Bab 6 : Pengebom Berani Mati
Dan pelbagai soal jawab dari Muslim dan non-Muslim.



Sedikit petikan dari buku tersebut:

"Ketika saya ke Los Angeles pada Oktober 2003, saya sudahpun bersedia...Kerana saya memakai tie dan code, berjanggut, berkopiah...Saya sudahpun bersedia untuk disoal siasat. Seseorang pendakwah haruslah sentiasa bersedia. Ketika saya melepasi imegresen, "Oh, berjanggut dan berkopiah...Sila ke bilik soal siasat..."

Mereka bertanya kepada saya, "Apa tujuan kamu datang ke sini?" Saya katakan, "Saya datang kerana saya akan diberikan anugerah."

"Anugerah apa??!" Saya katakan. "Anugerah Kemanusiaan." "Apa yang kamu lakukan sehingga mendapat anugerah?!" Saya menjawab, "Saya penyebar kebenaran. Jesus berkata dalam Gospel John bab 8 ayat 32, "Carilah kebenaran, dan kebenaran itu akan datang kepada kamu. saya adalah orang yang menyebarkan kebenaran."

Saya tidak berbohong...saya adalah seorang daie, dan kerja saya ialah untuk menyebarkan kebenaran. Seterusnya, untuk memendekkan cerita, ketika saya sampai di kastam, mereka memeriksa bagasi saya lalu mereka terjumpa satu kaset ceramah saya yang bertajuk 'Jihad & Terrorism".

Mereka kemudian bertanya kepada saya, "Adakah kamu percaya kepada Jihad?"

"Sudah tentu, sedangkan Jesus pun percaya kepada konsep Jihad. Jesus mengatakan , " You have to strive," dan saya percaya kepada apa yang dikatakan oleh Jesus bahawa kita haruskan berjihad."

"Tidak, tidak. Maksud saya adakah kamu percaya kepada perlawanan?"

Saya menjawab, "Ada disebutkan di dalam kitab Bible di dalam Exodus bab 22 ayat 20 bahawa kamu perlulah berlawan....Jesus sendiri pun di dalam Gospel Luke bab 22 ayat 36 bahawa ambillah pedang dan berlawanlah!"........

Selepas peristiwa 11 September, kesemua urusan menjadi sukar termasuk urusan mendapatkan visa. Tetapi alhamdulillah saya berpeluang ke Amerika, Kanada, United Kingdom, Australia, Malaysia, Singapura dan saya mendapat visa selama 10 tahun daripada kerajaan Amerika, 5 tahun daripada kerajaan United kingdom dan 2 tahun dari kerajaan Kanada, alahamdulillah. "



Berikut adalah testimonial yang kami peroleh dari mereka yang telah melihat dan membaca buku ini:

"Buku ni perlu dibaca oleh semua orang! Terutama mereka yang banyak bergaul dengan non-muslims. In fact, buku ini sesuai untuk bacaan semua, muslim dan bukan-muslim. To muslim, it's an eye-opener on what's really happening around the world that we live in, which centres very much around various forms of media; and can also be a tool for us to counter any allegations that is directed towards Islam and Muslims. To non-muslims, this is a very good reading as it explains all the misunderstandings that occur to clear the name of Islam. most importantly from this book we know who's really at fault for what's currently happening around the world; the non-muslim owned media networks. And Dr Zakir Naik being a diplomatic debater, instead of just blaming others, also offers ways to solve this problem."
~ Mushana Aisamuddin, Universiti Tun Abdul Rahman, Kuala Lumpur~

“Design buku ini sangat cantik dan menarik. Design dalamannya lain dari yang lain dan ia membuatkan saya tertarik untuk baca buku ini. Isi kandungannya selari dengan apa yang dihadapi oleh kita hari ini. Dan ia amat sesuai dibincang dan dikongsi bersama dalam sesi usrah/halaqah”
~Md. Ruzani, Area Manager Kuala Lumpur, Petronas Dagangan~

“Alhamdulillah, setelah membaca buku ini, saya lebih faham mengapa berlakunya Islamphobia dikalangan non-Muslim. Sebagai seorang Muslim, saya lebih jelas tentang apa reaksi saya jika menerima pertanyaan-pertanyaan dari non-Muslim akibat salah faham mereka terhadap maklumat yang mereka terima melalui media. Sesuai juga dijadikan hadiah kepada rakan-rakan kita terutama non-Muslim. Two thumbs up!”
~anonymous, Kuala Lumpur~



Buku ini boleh dibeli secara online(hanya untuk pasaran Malaysia) dengan harga RM 11 sahaja! (termasuk RM 1 untuk kos penghantaran. Harga buku RM 10)



Poster Promosi





Az-Zahir
Penasihat@Kaunselor iLuvislam.com