23 February 2009

Di Ambang Peperiksaan

Beberapa hari tidak menulis di sini membuat hari-hari yang berlalu tidak lengkap. Walaupun saya tidak menulis dan melayari internet kerana sedikit fokus kepada peperiksaan akhir semester yang masih berbaki 3 kertas, saya tetap memenuhkan ruang yang berbaki untuk membaca buku-buku yang belum dikhatamkam lagi itu.

Bermula petang Jumaat sehingga semalam 3 kertas telah diduduki. Namun semalam telah berlaku pertindihan jadual antara peperiksaan dengan pengajian Usuluddin di UM. Saya terlepas kelas pagi, saya cepat-cepat habiskan kertas peperiksaan terus menuju ke UM tanpa sempat pun menunggu kawan-kawan yang lain keluar.

UM : Musthalah Hadis

Sesi kedua kelas telah bermula dengan maddah pengajian Mustalah Hadis oleh Prof Madya Dr Fauzi bin Deraman. Alhamdulillah memang beliau sangat berautoriti dalam bidang kemahirannya itu, tidak sesal sedikitpun saya berhempas pulas berkorban masa dan tenaga untuk ilmu yang insya-Allah akan memandu dan dimanfaatkan untuk diri sendiri dan ummah ini insya-Allah.

Banyak perkara yang diperbahaskan oleh beliau, gaya bersahaja spontan tetapi hujahan yang penuh kritis dan berilmiyyah membuatkan kami sekelas teruja. Beliau juga tanpa lokek membahaskan tentang ilmu hadis dan sejarahnya tanpa mengira status kami, katanya apa yang yang disampaikan oleh beliau pagi itu sepatutnya disampaikan dalam kelas untuk pelajar “Master”. Sedikit sebanyak kami jadi bermotivasi dan bersemangat. “Master”….hmm…insya-Allah getus hati bara saya, insya-Allah.

Sebelah petang, maddah Iman dan Kehidupan pula mengambil tempat. Penyampaian yang begitu energetic dari Ustaz Alias menyebabkan pelbagai bahasan mengambil tempat, dari berkenaan dengan akidah, meluncur kearah pemahaman syarak, kadang melintasi benua manusia dan ke alam jin malah, kelas menjadi gamat. Itulah kelebihan Ustaz Alias. Moderator, Ustaz yang berkaliber sesuai dengan kematangannya. Kami berpuas hati. Kalaulah dapat diasimilasikan segenap ilmu yang disampaikan itu maka, alim bukan mustahil untuk kami yang hanya tahu ini insya-Allah.

Musyawarah

Kelas usai jam 5:30 petang dan kami ke surau APIUM dahilu selesaikan kefardhuan solat. Selesai, sempat juga kami bermusyawarah sekejap. Antara yang masih ada ialah rakan sekelas iaitu Cikgu Rosli, Akh Hairi (penulis skrip, pengarah, pelakon. Anak Julie Dahlan), Reimi (bilal Usamah bin Zaid) dan (bilal masjid Negara).

Hairi menyuarakan pertolongan untuk meminta pendapat tentang babak yang bakal di’shooting’ kelak. Situasi hero dalam dilema dalam membuat keputusan lalu didatangi bayangan berjubah hitam yang mewakili iblis dan bayangan berjubah putih mewakili malaikat. Menarik, tidak pernah terfikir saya akan bercakap secara langsung tentang pembikinan drama atau filem.

Kami berdiskusi ringkas, banyak juga cadangan dan pendapat selain hairi telah mendapatkan pendapat Pensyarah kami. Yang dibincangkan sekarang babak untuk rakaman itu.

Akhirnya saya berijtihad dan menyatakan bahawa jika bayangan hitam dan putih itu ingin dirujuk kepada Malaikat dan Iblis maka tidak boleh. Tetapi kalau bayangan hitam dan putih itu mewakili elemen baik dan buruk dalam diri hero tersebut maka tiada masaalah. Maksudnya hero akan memainkan 3 watak :

1.Watak asal hero yang dalam dilemma.
2.Lelaki berjubah putih mewakili sifat atau elemen baik dalam dirinya sendiri.
3.Lelaki berjubah hitam mewakili sifat atau elemen jahat dalam dirinya sendiri.

Konsep pembahagian nafsu digunakan di sini, Hairi bersetuju dan akan membawa ke perbincangan dengan penerbitnya. Alhamdulillah sedikit pertolongan untuk mereka yang memerlukan adalan dituntut oleh Islam sendiri. Malah mungkin kalau ada babak yang memerlukan keadaan di mana hero tengah bersolat jemaah maka Hairi bermaksud untuk ke Masjid Usamah bin Zaid. Wallahua’lam. Saya hanya mampu tersenyum.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

No comments: