04 February 2009

Agenda terkini : iLuvislam.com

Insya-Allah malam ini tepat pukul 8 malam bertempat di Masjid Matrikulasi UIAM PJ akan berlangsungnya satu perbentangan cerna minda yang dikelolakan oleh GAMIS. Pembentang kertas kerja adalah Ustaz Hasrizal atau lebih sinonim dengan panggilan Abu Saif kerana ruangan maya ilmiyyahnya yang sangat mengujakan mereka yang mendampakan ilmu, Abu Saif.com.

Alhamdulillah juga saya telah mengadakan perjumpaan dengan akh Dzulkhairi, Presiden GAMIS yang juga bertanggungjawab menganjurkan ‘Ummah Talk’ tersebut. Saya meminta kebenaran dari akh Dzul jika dapat iLuvislam.com nanti mengadakan promosi buku Dr Zakir sekaligus membuat jualan di situ, alhamdulillah dengan ikhlas hati beliau akan membenarkan, jazaka-Allah akhi Dzul.

Saya sudah menghubungi akh Udon (Pengurus Stok) untuk penghantaran stok pada malam ini, mungkin dalam 50 biji akan dipamerkan. Berapa buah yang akan terjual atau akan laku itu kerja Allah, yang penting kita cuba untuk mempromosi buku tersebut yang akan menarik minat jemaah untuk bertanya : “Siapa penulis buku ni?”,”iLuvislam.com ni apa?” dan beberapa soalan lagi yang akan secara langsung mempromosikan iLuvislam setelah diberi penerangan. Itu tujuan utama “Menjenakan iLuvislam.com” di samping saya sendiri akan berpeluang berjumpa dengan wakil iLuvislam.com di situ, insya-Allah.

Wakil IPT juga telah saya hubungi, wakil UIA PJ alhamdulillah sudi memberi komitmen beliau pada malam ini di samping saya akan usaha untuk dapatkan 2 orang lagi dari UM dan UniKL, insya-Allah. Ini adalah permulaan dan alhamdulillah saya telah memulakan di samping Presiden yang sedang bertarung untuk menyiapkan tugasan Kejuruteraannya sementelah juga sedang dalam musim peperiksaan pertengahan semester. Doa saya untuk beliau dan semua krew iLuvislam.com keseluruhannya muslimin muslimat sekalian.

Seketika berpeluang bersama dengan akh Dzul saya manfaatkan semaksimum mungkin masa yang ada kerana tahu saya beliau seorang yang dicemburui masa. Sedikit penerangan mengenai iLuvislam.com kepada beliau dengan harapan di masa hadapan beliau sudi, insya-Allah mencurahkan pandangan dan tunjuk ajar beliau yang memang dibutuhkan kelak. Pengalaman beliau dalam mengorganisasikan sebuah pertubuhan perlu saya cedok secara langsung, insya-Allah serasa saya beliau tidak keberatan untuk itu.

Sekali lagi saya ulang, ini adalah permulaan. Saya dan Presiden sendiri telah memulakannya di Malaysia dengan harapan krew lain terkesan dengan usaha dan tindakan kami ini, insya-Allah. Sama-sama kita pastikan iLuvislam.com terjenama sebagai lapangan fikrah ummah di Malaysia khususnya malah di dunia umumnya, insya-Allah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam.com

No comments: