02 April 2009

Kerinduan

Saya masih mencari dan terus tercari-cari identiti penulisan untuk perkongsian bermanfaat dan konsisten dalam setiap ‘entry’ di laman saya ini. Saya suka menulis dan akan terus menulis, malah mempunyai cita-cita untuk menulis buku kelak, insya-Allah. Kerinduan saya kepada matlamat masa depan tidak dapat dibendung lagi.

Matlamat jangka masa pendek, sederhana dan panjang sudah dirangka mengikut ketetapan Sunnatullah namun ianya masih perlu selari dan seiring dengan tuntutan Syariatullahi ta’ala.

Kerinduan Pada Masa Depan

Teringat semasa mengikuti salah satu sesi kuliah Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil @ saifulislam.com, beliau telah memberikan gambaran tentang hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehingga mereka mencintai aku (Rasulullah) lebih daripada Ibu bapa, anak-anak dan sekalian manusia”

Begitu sekali Rasulullah seolah menggambarkan kepentingan dirinya untuk dicintai malah menjadi kemestian untuk melebihkan cinta terhadap baginda berbanding mereka yang mahu juga kita cintai dan sayangi.

Bagi mereka yang nampak hadis ini secara kasar sahaja maka mereka mampu untuk berkata yang Rasulullah begitu mementingkan diri malah membesarkan dirinya dengan kenyataan yang sebegitu rupa. Namun adakah kita mengerti dan tahu sukatan cinta Rasulullah pada kita yakni ummatnya.

Pada suatu malam Rasulullah telah menziarahi Baqi’ yakni tanah perkuburan di Mekah bersama para sahabat baginda, tiba-tiba baginda bersabda :

“Aku sangat merindui saudara-saudaraKu,” kata Rasulullah.

Sahabat baginda yang bersamaNya bertanya : “Bukankah kami ini saudaraMu ya Rasulullah.”

“Ya, kamu adalah saudaraku, namun aku amat merindukan ummatKu selepas kamu,” jelas Rasulullah.

Gambaran daripada perbualan ini jelas menunjukkan bahawa tahap kecintaan Rasulullah terhadap kita yang hidup lebih 1400 tahun dahulu telah wujud. Masakan mungkin merindukan sesuatu yang belum jelas kewujudannya, itulah kecintaan Rasulullah terhadap kita. Melangkaui batas masa dan zaman.

Bilamana kita bertanyakan kawan kita yang termenung sakan siang dan malam seakan dibius sakti cinta,

“Hai…aku tengok kau asyik termenung je kebelakangan ni, kenapa Mat?” tanya Saad.

“Aku rindu la…” jawab Mat ringkas.

“Rindu kat siapa?” soal Saad lagi.

“Bakal isteri,” spontan jawapannya.

“Ewah-ewah, bila masa pulak sahabat aku ni nak kahwin, Alhamdulillah…siapa calonnya?” Saad ingin mendapatkan kepastian.

“Entahlah, aku pun tak tahu siapa dia…” sambil mengangkat punggung berlalu pergi.
Saad termanggu seorang diri.

Kejadian di atas juga boleh dikatakan ada bias-bias dengan pengalaman saya sendiri. Pada awal tahun 2007 keinginan untuk mendirikan rumahtangga timbul. Antara topik perbualan seharian bersama teman dan rakan-rakan, malah kadang-kadang saya melontarkan vokal yang berbaur provokatif itu di depan kedua orang tua dan pakcik dan makcik saya. Maka timbullah pelbagai polemik yang sudah dijangkakan.

Kerinduan Rasulullah

Hampir seminggu Rasulullah ngering dan baginda telah meminta izin dari para isterinya yang lain untuk menetap di rumah Saidatina Aisyah RA sambil juga ditemani oleh sanabat agung yang juga bapa mentua Rasulullah sendiri, Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA.

Di hening Subuh, tatkala Abu Bakar yang sedang membetulkan saf para sahabat bersolat Subuh. Tiba-tiba perhatian sahabat teralih kearah tabir yang memisahkan ruang solat dengan tempat Rasulullah berehat. Rasulullah telah menyelak tabir tersebut seraya melemparka senyuman yang sangat manis menyebabkan para sahabat berasa sangat gembira kerana menyangkakan Rasulullah sudah beransur sembuh dan akan bersama mereka semula.

Namun pada hari itu, waktu Dhuha 12 Rabiu’Awwal tahun 10 hijrah, hari Isnin. Baginda meninggalkan fana dunia buat selama-lamanya. Sedetik selepas melafazkan : “ummati,ummati,ummati..”

Az-Zahir

No comments: