20 August 2009

Kalam Hikmah 10

BUKU ADALAH SAHABAT YANG TERBAIK . BERGAULLAH DENGAN BUKU. BERSAHABATLAH DENGAN ILMU DAN BERTEMANLAH DENGAN MA'RIFAH (PENGETAHUAN).


Dalam perkongsian yang sebelumnya saya telah kongsikan kenapa buku itu perlu menjadi sahabat baik kita. Namun sebagai umat Islam yang berakidahkan rukun Islam, Iman dan Ihsan maka ada satu buku yang semestinya perlu kita utamakan sebelum kita mengutamakan buku-buku yang lain iaitu al-Quran.

Saya pernah menekuni kelas Prof Madya Dr Mustafa Abdullah, pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang bertanggungjawab memberi saya ilmu yang amat penting dalam meningkatkan pengetahuan khusus dalam memahamkan saya tentang Ulum al-Quran. Beliau telah mencurahkan maudu' ilmu yang sangat penting yakni Usul Tafsir kepada kami semua dengan begitu komited dan telus sekali. Semoga beliau dirahmati Allah dan saya dapat lagi belajar dengan beliau insya-Allah.

Saya agak suka bertanya dalam sesi kelas beliau dan juga mengutarakan pendapat dan hujah saya secara terbuka ketika beliau mengajar mengajar dek kerana sikapnya yang terbuka. Beliau juga akan menjawab dengan sebaik mungkin untuk memberi kefahaman dan menghuraikan persoalan kami dengan dinamik sekali. Akhirnya perbincangan ataupun perbahasan di dalam kelas menjadi begitu ilmiah dan harmonis sekali. Lalu ilmu-ilmu terus dicerna melalui persoalan-persoalan bernas yang kemudian dirungkaikan dengan hikmah oleh guru saya ini.

Pemahaman al-Quran itu selain dari kita mempelajari cara bacaan, tajwid, makhraj dan lainnya. Juga jangan kita lupa bahawa al-Quran itu diturunkan sebagai petunjuk (huda) kepada sekalian manusia. Maka dengan mempelajari ilmu Usul Tafsir tersebut kita akan lebih dekat untuk memahami al-Quran dengan mengetahui kaedah-kaedah penafsiran al-Quran oleh para ulama, muktabar sepanjang zaman.

Tentunya penafsiran al-Quran yang terbaik ialah dengan ayat Quran sendiri kerana Allah dengan sifat maha mengetahui akan lebih mengatahui maksud kalam-Nya itu. Seterusnya ialah Baginda Rasulullah SAW kerana Bagindalah Rasul yang bertanggungjawab untuk menerima dan menyampaikan wahyu atau kalam Allah itu. Seterusnya ialah para sahabat sezaman dengan Baginda dan anak murid mereka (tabi'in) dan murid kepada murid mereka (tabi' tabi'in). Mereka yang terdiri dari kalangan umat 3 abad terawal inilah menjadi sumber kepada penafsiran al-Quran oleh ulama'-ulama' selepasnya hingga ke hari ini.

Teruja dan syukur sekali bila saya berpeluang untuk mengetahui bahawa kaedah penafsiran al-Quran sebenarnya terbahagi kepada 3 iaitu:

1. Tafsir bi al-ma'thur
2. Tafsir bi al-ra'yi
3. Tafsir bi al-isyari

Kemudian saya mula didedahkan untuk mengenali para mufassir-mufassir di kalangan sahabat Baginda Rasulullah SAW, tabi'in, tabi' tabi'in seterusnya ulama'-ulama' muktabar kemudiannya. Insya-Allah saya akan berkongsi terus-menerus dengan pengunjung laman saya agar lafaz bersahabatlah dengan ilmu dan bergaullah dengan makrifah (pengetahuan) bukan hanya slogan yang ditulis dan diucap namun diamalkan juga (al-amalu bil jawarih) insya-Allah.

Zahiruddin Zabidi

No comments: