11 December 2009

Institusi masjid mesti dihormati

Tulisan ini diterbitkan oleh Harakah, Bil: 1495, 24-27 Zulhijah, 11-14 Disember 2009. Mukasurat F11.

__________________________________________________

Agama Islam adalah agama rasmi negara kita, ini sudah termaktub di dalam perlembagaan negara yang dipersetujui dan diamalkan sejak dari negara kita merdeka lagi.

Oleh yang demikian, tanpa menyisih atau menghalang kaum-kaum dan penganut agama lain mengamalkan budaya dan agama mereka, negara kita menjadi negara yang unik di mata dunia atas dasar nilai toleransi ini.

Toleransi kaum dan agama agak baik di Malaysia berbanding di negara-negara lain di sekitar kita malah di benua-benua teori seperti eropah sekalipun.

Namun amat mendukacitakan kita, apabila ada warga kota khususnya di Kuala Lumpur yang seakan tidak faham dan tidak mahu faham hakikat ini. Ianya dapat dilihat apabila segelintir daripada mereka didapati tidak senang dengan laungan azan yang menjadi syiar kepada Islam itu sendiri.

Mereka ini dengan angkuhnya memarahi dan memberi amaran melalui surat layang dan manila kad bermesej kepada pihak pegurusan masjid agar tidak lagi melaungkan azan, berdoa dan berwirid serta berkuliah dengan menggunakan pembesar suara luar masjid. Malah ada yang lebih berani menyatakan akan membuat laporan polis atau menyaman pihak masjid.

Dari satu sudut, kita bersetuju jika dikatakan pemasangan kaset mengaji yang biasanya dipasang oleh petugas 10 minit sebelum masuk waktu sedikit mengganggu terutamanya pada waktu Subuh, namun jika azan yang menjadi syiar panggilan agung Islam yang juga telah memikat hati ribuan orang bukan Islam masuk Islam juga dipertikaikan, itu adalah satu tindakan yang tidak wajar.

Dalam hal ini pihak masjid juga perlu mengira maslahah para zimmi ini. Pada perkara yang boleh kita toleransikan, maka tiada salahnya sedikit pengenduran dibuat di situ. Bukanlah ianya beerti kita menidakkan agama Islam. Namun toleransi atas nama Islam itu jugalah akhirnya menjadi hikmah kepada dakwah terhadap masyarakat bukan Islam ini.

Kepada semua warga Malaysia tidak kira anda Melayu, Cina atau India dan lain-lain seharusnya kita semua saling memahami antara sesama dan bukannya memusuhi. Hormatilah orang lain agar diri kita dihormati, jangan tunggu orang mulakan melainkan diri kita yang perlu mulakan dulu.

Dan jangan terkejut jika dikatakan, golongan sinis yang menjuarai isu laungan azan ini juga sebenarnya adalah mereka yang berbangsa Melayu. Tepuk dada tanyalah iman.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi (013-9698869)
Timbalan Ketua Pemuda PUM
Penasihat iluvislam.com
No 206, Blok A9 Seksyen 2,
53300 Wangsa Maju,
Kuala Lumpur.

10 December 2009

Dakwahnya dengan seni

SAYA cukup teruja apabila membaca perkongsian salah seorang teman laman maya ‘Facebook’. Perkongsian bertajuk ‘Ulasan program Bedah buku Ketika Cinta Bertasbih bersama Habiburrahman El-Shirazy’ sila rujuk di sini http://www.facebook.com/home.php?filter=h#/notes/wasif-wan/ulasan-program-bedah-buku-ketika-cinta-bertasbih-bersama-habiburrahman-el-shiraz/222228867386.

Ada beberapa perkara yang begitu menarik perhatian saya, ini adalah apabila sahabat itu mengatakan bahawa Habiburrahman telah mendatangkan kisah-kisah ulama silam yang berdakwah melalui kesusasteraan. Ini adalah kerana ulama itu sendiri adalah seorang sasterawan.

Jika disoroti maka benarlah dakwaan itu, saya ingin datang hanya dua tokoh yang hidup mereka hampir sezaman walaupun berlainan benua. Di Malaysia khususnya Kelantan, kita punya ulama sufi yang alim lagi karamah, beliau dikenali sebagai Tok Kenali.

Beliau merupakan pengarang prolifik yang mengarang banyak cerpen berunsur nasihat keagamaan selain merupakan pengarang kepada majalah Pengasuh. Dunia sastera melayu juga mengiktiraf beliau sebagai ulama sasterawan. Karya beliau kini diterbitkan kembali oleh syarikat Al-Hidayah Publishing.

Di negara jiran kita biasa dengan seorang tokoh ulama yang telah mengarang kitab tafsir berjudul Tafsir al-Azhar sewaktu dirinya masih di dalam penjara, beliau ialah Prof. Dr Hamka. Selain deretan karya-karya falsafah dan keagamaan. Buya Hamka juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan novel-novel bersifat falsafah yang sarat, kritis dan penuh dengan motif-motif ajaran Islam itu sendiri. Siapa tidak kenal novel ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wick’ yang amat tersohor itu.

Itulah dua orang tokoh yang belum ada penggantinya, sasterawan yang berstatus ulama dan ulama yang berstatus sasterawan. Alhamdulillah perkembangan terbaru kini sangat positif, lambakan karya-karya Islami dengan para penulisnya yang berlatar belakang pengajian tinggi Islam dari universiti-universiti Timur Tengah mahupun dalam negara, sudah ramai yang menunjukkan keseriusan masing-masing dalam menyampaikan dakwah dengan berkarya.

Contohnya kita ada saudara Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Salina Ibrahim dan ramai lagi. Kemunculan Grup Karyawan Luar Negara juga mendatangkan impak yang sangat positif kepada industri. Nyata kita tidak tandus modal insan dalam perjuangan sastera. Selain itu juga, pujian harus diberikan kepada PTS Publication & Distributor kerana hanya menerbitkan novel-novel yang 100% Islami dengan mazhabnya tersendiri yang dikenali sebagai ‘Penulisan Teknik Surah Yusof’.

Dalam ulasan sahabat saya itu juga, beliau telah mendatang cadangan daripada Habiburrahman dengan katanya, “Gerakan dakwah perlu lahirkan bintang filem.” Kenyataan ini adalah bersesuaian dengan tuntutan semasa yang menyaksikan lakon layar dan drama-drama Islami semakin mendapat sambutan yang luar biasa di dalam negara kita ini.

Di Malaysia sendiri, kita sudah buktikan bahawa drama Islami seperti ‘Nur Kasih’ mampu mengatasi jumlah kuantiti penonton sinetron-sinetron Indonesia yang semakin merimaskan industri tanah air. Dengan itu adalah bijak jika badan-badan dakwah bertindak mewujudkan akademi yang menyediakan pelakon-pelakon yang sebenarnya berlatarkan agama, agar nanti babak-babak yang memerlukan bacaan al-Quran, hadith, doa, kuliah dan sebagainya dilihat lebih ampuh dan sempurna.

Mulai hari ini saya sarankan pelajar-pelajar aliran agama supaya aktif juga dalam seni persembahan teatre selain dari aktif menulis dan bernasyid. Antara mereka yang boleh dirujuk dalam hal ini ialah aktivis teatre bebas, Dinsman. Beliau sekarang sibuk dengan sesi jelajah teater arahannya ke seluruh pelusuk negara, teater yang bertajuk ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ itu mendapatkan sambutan yang menggalakkan malah pihak Parti Islam Se-Malaysia, PAS juga dikatakan akan menganjurkan pertandingan teatre bagi menyemarakkan lagi penyampaian mesej dakwah yang praktikal melalui salah satu cabang seni ini.

Pihak Pemuda PUM dengan kerjasama beberapa agensi bukan kerajaan lainnya juga akan menganjurkan pementasan teatre ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ kepada umum khususnya untuk penduduk Pantai Dalam pada 30 Januari 2010 depan. Sila rujuk di sini http://dzulkhairi.blogspot.com/2009/10/teater-islam-mkdt.html.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidihttp://kalamkhalifah.blogspot.com/
Timbalan Ketua Pemuda PUMhttp://www.islamon9.com
Penasihat iluvislam.comhttp://iluvislam.com/
No 206, Blok A9 Seksyen 2,
53300 Wangsa Maju,
Kuala Lumpur

09 December 2009

La ilaha illa Allah: Penyelesaian khilaf

Oleh: Zahiruddin Zabidi

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Berdasarkan pemahaman secara literal ayat ini kita akan dapati bahawa Allah sememangnya sengaja mencipta manusia ini dengan penuh perbezaan. Perbezaan ini pula boleh diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu perbezaan zahir dan perbezaan batin.


Perbezaan zahir merujuk kepada sifat luaran ataupun fizikal manusia itu sendiri seperti warna kulit, rupa paras, ketinggian, berat badan, basar kecil dan sebagainya yang dapat dilihat dengan mata kasar. Perbezaan luaran ini antara faktor yang telah mengakibatkan diskriminasi yang masih boleh dilihat kesannya sehingga ke hari ini terutamanya di negara-negara maju di sebelah barat.


Perbezaan kedua adalah merujuk kepada perkara dalaman seperti pemikiran, citarasa, kemahuan dan kehendak. Ianya sangat abstrak dan bersifat subjektif, makanya jika dibiarkan manusia itu dengan sifat dalaman yang bercampur baur itu dikhuatiri akhirnya nafsu selaku elemen paling opurtunis tidak akan melepaskan peluang untuk menguasai diri manusia itu, apatah lagi rakan akrab kepada nafsu itu sendiri adalah iblis dan syaitan laknatullahialaikh.


Untuk menjadikan elemen zahiriah dan batiniah ini membentuk kesatuan, Islam telah mengajarkan umatnya tentang ajaran yang berteraskan akidah yang satu, paksinya tidak lain hanya kepada kalimah ‘La ilaha illa Allah’, dengan kalimah inilah elemen luaran seperti warna kulit, paras rupa, kedudukan dan sebagainya menjadi kesatuan yang tunggal. Begitu juga elemen dalaman tadi apabila dilandaskan dengan akidah Islam yang berteraskan kalimah tauhid itu, segalanya akan diselaraskan, secara automatis juga hawa nafsu akan dapat ditundukkan.


Kalimah tauhid atau kalimah peng-esa-an Allah SWT yang bermula dengan perkataan ‘La’ yang bermaksud tidak atau tiada, ia juga membawa erti satu penafian. Kalimah seterusnya ialah ‘ilah’ yang memberi makna yang yang selayaknya disembah, tempat meminta rezeki, memohon pertolongan.


Menjadi persoalan kepada kita kenapa kalimah tauhid ini menggunakan perkataan yang bersifat penafian di awalnya dan menggunakan perkataan ilah untuk merujuk kepada Allah, kenapa bukan perkataan rabb yang bermaksud tuhan digunakan selepas perkataan penafian ‘La’ yang berada di permulaan kalimah tauhid ini.


Sepatutnya perkataan rabb digunakan kerana ianya sesuai dengan terjemahan kalimah tauhid yang kita semua gunakan di Malaysia terutama dalam subjek Tauhid di sekolah-sekolah iaitu ‘Tiada tuhan selain Allah’. Ada kekeliruan di sini kerana terjemahan yang tepat kepada kalimah tauhid itu sebenarnya ialah ‘Tiada yang selayaknya disembah melainkan Allah’. Namun kerana bahasa Melayu itu sendiri agak miskin dalam mencari kalimah yang paling sesuai untuk menterjemahkan perkataan ilah , makanya perkataan tuhan yang merupakan terjemahan daripada perkataan rabb digunapakai untuk menterjemahkan perkataan ilah.


Ada perbezaan yang sangat ketara antara kedua kalimah ini, ilah bermaksud yang selayaknya disembah manakala rabb bermaksud tuhan. Perlu diingatkan bahawa perkataan rabb atau tuhan ini adalah perkataan umum yang boleh dipakaiguna oleh agama lain sekalipun, manakala perkataan ilah secara terang akan menafikan tuhan yang selayaknya disembah selain dari Allah. Di sinilah kekeliruan tentang kalimah tauhid itu pun bermula.


Antara faktor kebobrokan sosial dan akhlak generasi baru dalam semua aspek kehidupan yang dapat dikesan oleh para cendikiawan dan agamawan di rantau ini ialah kerana ketidakfahaman generasi baru ini dalam falsafah dan praktikal akidah Islam yang berteraskan kalimah tauhid tadi. Sistem pembelajaran yang meminggirkan subjek agama sebagai teras serta silibus yang digunapakai lebih berorientasikan ibadah praktikal semata-mata juga turut menyumbang.


Ibu bapa dan guru akan berasa bangga dan lega jika anak mereka boleh membaca al-Quran, bersembahyang dan mendapat skor A dalam subjek agama. Walhal secara hakikatnya mereka ini masih kabur tentang hakikat ‘La ilaha illa Allah’. Akhirnya lahirlah generasi yang bersembahyang lantas melakukan maksiat, berpuasa tapi makan rasuah, pergi haji namun bakhil, bersedekah tetapi tidak menutup aurat dan lain-lain. Ini adalah kerana mereka tidak benar-benar kenal Allah. Yang makruf dan mungkar bercampur tanpa gundah.


Momokan bahawa Islam itu hanya bersifat ibadah praktikal sahaja ternyata palsu jika ditelusuri secara halus kerana ianya merupakan salah satu doktrin para Orientalis untuk menyesatkan umat Islam, ianya lebih dikenali dengan istilah sekular ataupun pemisahan antara agama dengan urusan dunia, doktrin divide an rules ini juga masih menghantui umat Islam di Malaysia hari ini bukan sahaja dalam urusan pentadbiran dan politik, urusan agama juga tidak terkecuali.


Maka seharusnya, kita menyeru para pemimpin, ulama, cendikiawan dan semua umat Islam di bumi Malaysia ini bergabung dan bernaung secara utuh di bawah naungan bendera kalimah tauhid yang satu itu malah mengenepikan dan menghormati perbezaan yang tidak menafikan kalimah tauhid itu sendiri.


Sesungguhnya mereka yang ada pada diri mereka iktikad ‘La ilaha illa Allah’ adalah dijanjikan syurga oleh Allah SWT. Hargailah persamaan dan fahamilah perbezaan.


Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Timbalan Ketua Pemuda PUM http://www.islamon9.com
Penasihat iluvislam.com http://iluvislam.com

No 206, Blok A9 Seksyen 2,
53300 Wangsa Maju,

Kuala Lumpur

08 December 2009

Manuskrip ‘Srikandi Islam: Rabiatul Adawiyah’ sudah siap

Alhamdulillah, limpah kasih kurnia Allah. Saya akhirnya menamatkan penulisan novel sejarah Islam yang juga merupakan tulisan pertama saya yang akan dibukukan insya-Allah.

Saya telah menghubungi saudara Bahruddin selaku editor yang bertanggungjawab untuk mengelola projek saya ini. Katanya dia akan masukkan judul buku ini dalam senarai terbitan pada bulan Januari 2010 ini.

Dengan sedikit editing dan beberapa pembetulan asas yang akan dibuat segera, insya-Allah saya akan ke PTS untuk menyerahkan manuskrip sulung saya ini.

Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua. Terutamanya kepada isteri saya dan keluarga serta teman-teman semuanya. Mungkin saya boleh anggap ini adalah rezeki bakal anak saya yang akan dilahirkan (insya-Allah) bulan 4 tahun hadapan.

Nantikan karya saya di pasaran, Insya-Allah.

Zahiruddin Zabidi
3.36 pm
8 Disember 2009
SRAUZ, Wangsa Maju.

Tulisan saya di Harakah

Alhamdulillah, tulisan sulung saya diterbitkan oleh Harakah, Bil: 1494, 20-23 Zulhijah, 7-10 Disember 2009. Mukasurat F11.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi

Surat tawaran kedua

Alhamdulillah, limpahan rasa syukur tidak terhingga kehadrat Allah SWT.

Ternyata di sebalik satu kegagalan terdampar sejuta peluang kejayaan. Di sebalik satu kekecewaan terbentang sejuta kegembiraan.

Satu emel daripada pihak Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (syarikat penerbitan buku best-seller ‘Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga dan Rindu Bau Pohon Tin’ tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil@Abu Said http://www.saifulislam.com/) telah saya terima.
_________________________

Assalamualaikum

Semoga Tuan sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang Allah.Tuan,

1. Saya telah meneliti proposal berkenaan penulisan motivasi agama yangtelah Tuan e-melkan tempoh hari. Sukacita dimaklumkan, pihak kami berminatuntuk menerbitkan buku berkenaan.

2. Rangka kandungan yang telah Tuan senaraikan sangat relevan dengankonsep buku yang cuba diketengahkan. Cuma terdapat beberapa perkara yangsaya rasa perlukan perhatian daripada pihak Tuan untuk memantapkan isikandungan buku ini berdasarkan contoh bab yang disertakan kepada saya:

a) Kupasan persoalan dan sokongan hujah - untuk mensasarkan buku inikepada semua lapisan masyarakat dan juga golongan bukan Islam, kupasanperlulah lebih santai dan disokong dengan dalil naqli dan aqli.- Contoh Bab Poligami amat terkesan. Namun untuk Bab Al-Quran, sayasarankan dikukuhkan lagi dengan bukti-bukti saintifik (mungkin) yang bolehmenguatkan hujah.- Santai tidak bermakna kupasan yang terlalu “longgar”. Huraiannya mudahdifahami, tidak begitu berat untuk dihadam dan yang lebih penting, elemendakwah dan tarbiah sampai kepada pembaca.

b) Rujukan – saya yakin Tuan ada membuat penyelidikan untuk setiap isuyang dikupas. Diharap dapat disertakan sumber yang dirujuk di akhir setiapartikel sebagai kredit dan sokongan fakta.

3. Bersama-sama ini saya sertakan surat tawaran menulis daripada JabatanBuku Galeri Ilmu Sdn Bhd yang menandakan Tuan secara rasminya telahditerima untuk menulis bersama kami. Di dalam surat ini disertakanterma-terma umum perjanjian antara penerbit dan penulis. Satu suratperjanjian lengkap akan ditandatangani oleh Tuan apabila buku ini siapkelak.

4. Umumnya, Tuan diberi tempoh tiga (3) bulan untuk menyiapkan manuskripbuku ini. Sekiranya terdapat kekangan mendatang, diharap dapat maklumkankepada saya. Insya-Allah, saya bersama team editor sedia membantu.

5. Penghantaran manuskrip boleh dibuat secara berperingkat atau sekaligus.Tetapi saya lebih menggalakkan Tuan membuat penghantaran secaraberperingkat (bab ke bab). Ini dapat membantu saya memantau prosespenulisan dan sekiranya ada kandungan bab yang perlu diubah, bolehdikemaskini segera.Tahniah sekali lagi dan selamat menulis!

Sekian, terima kasihWassalam

NASRI BIN NASIR (013-7656245 / 03-614 21 614)
Galeri Ilmu Sdn Bhd,
No 44, Jalan Pekaka 8/3,
Seksyen 8, Kota Damansara,
Selangor.

http://www.galeriilmu.com.my/
http://bukugaleri.blogspot.com/

07 December 2009

9/10 + 1/10 = ?

Bekerja sendiri merupakan impian yang popular di kalangan kita semua. Kebebasan daripada belenggu masa dan arahan serta tanggungjawab yang berat dalam kerajaan contohnya, amatlah diimpikan. Dalam erti kata lain ramai menyedari bahawa hanya dengan berniaga sahaja mereka akan mengecapi kepuasan mutlak kendiri.

Ramai yang menggunakan hujah hadith yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW memberitahu bahawa 9/10 daripada rezeki itu adalah daripada perniagaan. Maknanya di sini 1/10 adalah merujuk kepada kategori orang makan gaji.

Apa kata jika seseorang itu adalah seorang pekerja kerajaan dan dalam masa yang sama dia mampu melaksanakan perniagaan sambilan atau secara kongsi apakah kategorinya pula? Ramai yang tidak menyangka bahawa kaedah itulah yang paling praktikal untuk pemula bagi sesebuah perniagaan.

Golongan ini adalah kategori yang paling bijak kerana termasuk dalam kumpulan bisnes + pekerja = 9/10 + 1/10 = 10/10. Namun perlu diingatkan bahawa ada etika yang perlu dipatuhi dalam kita merealisasikan hasrat yang sebenarnya tidak semudah berbicara ini.

Kita juga tidak menafikan sudah ramai yang menjalankan aktiviti serampang dua mata ini, namun akhirnya kebanyakan daripada mereka tercicir pada kerja hakiki yang menagihkan tanggungjawab kepada majikan dan pelanggan. Keluarga sendiri juga terabai kerana kesibukan yang amat ciptaan diri mereka sendiri.

Antara perniagaan sampingan yang dilihat popular di kalangan masyarakat kita ialah seperti:

1. -MLM

2. -Insuran

3. -Kraftangan

4. -Perunding Majlis

5. -Hartanah

6. -Pemasaran internet

7. -Kereta terpakai dan banyak lagi

8. -Pasar malam

Namun perlu dinyatakan bahawa janganlah kita sahaja memandang kepada keuntungan daripada perniagaan yang menunjuk nisbah 9/10 tadi. Ini adalah kerana nisbah 9/10 itu juga melibatkan pengorbanan wang, masa, risiko, usaha dan pelbagai aspek lagi yang juga menuntu nisbah 9/10 tadi.

Jangan kita hanya terpana dengan 9/10 keuntungan kerana 9/10 di sebalik kesenangan itu perlu dinisbahkan kepada ranjau yang harus ditempuhi dalam berniaga.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Timbalan Ketua Pemuda PUM
Penasihat iluvislam.com
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

05 December 2009

Kepentingan Sumber Kepada Organisasi

Antara aspek yang menentukan kejayaan sesebuah organisasi ialah sumbernya. Sumber itu pula boleh kita bahagikan kepada 2 bahagian iaitu sumber manusia dan sumber bukan manusia.

Sumber manusia bermaksud tenaga kerja yang menggerakkan organisasi sukarelawan tersebut malah sanggup berkorban masa, tenaga untuk memastikan program yang direncanakan oleh organisasi mereka mencapai matlamat. Yang paling penting dalam aspek sumber manusia ini ialah keikhlasan dan kesabaran para penggeraknya.

Sumber yang kedua ialah sumber selain daripada manusia, Hal ini dibahas panjang dalam subjek khas ‘Organisasi dan Masyarakat’ khususnya di kalangan pelajar aliran pengurusan atau pentadbiran. Dalam bab ini perkara yang paling penting dan merupakan sumber yang paling asas penggerak kepada semua perkara itu ialah, duit.

Wang bukan segala-galanya, namun hampir segala-galanya memerlukan wang.

Organisasi yang bersifat kerja sosial kemasyarakatan tentunya memerlukan dana yang besar untuk melaksanakan program-program mereka. Makanya dana harus dijana, bagaimanakah caranya bergantung kepada kebijaksaan pengurusan organisasi terbabit. Samada mereka ingin mencari duit secara bermusim dan cukup untuk belanja satu-satu program sahaja, ataupun menjadikan program yang dijalankan itu untuk kutipan dana bagi program seterusnya.

Menjadi tradisi organisasi yang berteraskan agama menggunakan metod derma sebagai jalan mudah untuk mencipta dana. Kita tidak nafikan keberkesanannya, namun sedekah pada asalnya ialah dari orang yang ikhlas mencari untuk memberi, bukan kita yang pergi menadah simpati. Kita mesti bergerak selangkah ke depan, bina satu sumbangan yang bersifat suasana menang-menang.

Ternyata banyak caranya, peluang juga luas terbentang. Cumanya pada saya adalah bijak jika sesebuah organisasi mencipta ruang janaan yang bersifat jangka masa panjang dan bersistematik dan mampu menjadi legasi. Pengurusan bagi unit ini harusnya 100% menggunakan sistem pengurusan korporat konvensional. Dalam erti kata ‘bussines is bussines’.

Bukan pula bermaksud kita menafikan sumbangan tulang empat kerat yang amat penting dalam menggerakkan organisasi kemasyarakatan sebegini. Sumber manusia ini juga penting dan saling memerlukan antara sesama, cumanya menjadi fitrah manusia perlukan bajet untuk meneruskan kehidupan walaupun sederhana.

Sehingga akhirnya tujuan kita ialah, organisasi bukan lagi bersifat menagih ihsan dari orang ramai bahkan mereka yang memerlukan pula akan diburu oleh organisasi.

Dalam perjumpaan ‘Brainstorming hala tuju Pemuda PUM’ rujuk di sini http://islamon9.com/aktiviti-p-pum/brainstorming-halatuju-pemuda-pum/ bertempat di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Salah seorang wakil jemputan dari PMIUM telah menyuarakan pendapat dengan mengatakan bahawa organisasi yang kuat antara faktornya ialah mereka yang mempunyai ‘tapak’ yang kukuh dan dikenali begitu. Kemudian baharulah mereka berkembang hinggan ke seanteronya.

Kami amat tertarik dengan cadangan tersebut dan merasakan ianya sangat relevan. Saya tidak menafikan bahawa Pantai Dalam selaku sahabat karib kepada UM, para mahasiswa dan mahasiswinya sejak berdekad lalu adalah punca mula terbaik.

Selain itu, saya mencadangkan sebuah kedai buku kelolaan Pemuda PUM akan beroperasi di situ. Kaedahnya mudah, kedai buku itu adalah milik penuh Pemuda PUM dan setelah ditolak modal dan kos-kos sampingan seperti gaji pekerja, bil-bil, sewa dan bahagian pelabur atau rakan kongsi maka keuntungan bersihnya akan secara total milik Pemuda PUM.

Di sini kami menggesa semua mahasiswa/siswi UM khususnya, pansyarah-pensyarahnya, penduduk setempat yang terdiri daripada masyarakat kelas bawahan, menengah dan tinggi supaya menjadi pelanggan tetap khutub khanah milik Pemuda PUM ini. Setiap pembelian anda kelak adakah sumbangan terus kepada gerak kerja PUM di masa hadapan.

Saya yakin pasaran yang begitu berpotensi sedang menunggu di daerah Pantai Dalam. Hanya dengan sedikit promosi yang meyeluruh, dalam masa kurang setahun khutub khanah milik Pemuda PUM ini akan menjadi sinonim dengan Pantai Dalam dan isinya.

Sehingga mereka akan berkata, “Hendak beli buku agama, pergilah ke kedai Pemuda PUM.”

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Timbalan Ketua Pemuda PUM
Penasihat iluvislam.com
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

03 December 2009

Impian

Saya dan sahabat saya, Ustaz Nor Hisham serius dalam membincangkan tentang projek masa depan kami. Kami mahu serius dalam perniagaan, kami bercadang membuka sebuah kedai buku di Serdang berdekatan UPM.

Ustaz Hisham merupakan Imam Besar Masjid Putra UPM Serdang, Sebelum ini pernah dia mencuba untuk menjual buku-buku dan makanan dan minuman ringan di masjid tersebut dan katanya jualan amat memberangsangkan kerana masjid itu sememangnya sangat strategik. Jualan yang paling tinggi ialah pada hari Jumaat iaitu sebelum dan selepas sembahyang Jumaat.

Oleh itu saya mendatangkan satu cadangan kepadanya untuk kami berkongsi dan membuka satu kedai buku-buku yang bertemakan agama persis Sarjana Media dan lain-lain. Alhamdulillah hubungan baik saya dengan beberapa syarikat penerbit juga merupakan kredit kepada kami dalam merealisasikan impian ini.

Konsep

Satu kelainan yang saya ingin tonjolkan di kedai ini ialah konsepnya, selain dari menjual buku-buku agama, motivasi dan lain-lain. Saya juga mensasarkan kedai kami membekalkan novel-novel Islami kepada para pembaca di sekitar Serdang malah mungkin akan menggunakan kaedah menyewakan novel-novel tersebut.

Kami menjangkakan lebih dari 70% buku-buku yang bakal dijual adalah produk daripada PTS Publication & Distribution Sdn. Bhd. Selain itu, buku-buku keluaran Telaga Biru, Pustaka Al-Hidayah, Galeri Ilmu dan selainnya juga akan kami sediakan.

Kami akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin koleksi novel-vovel pop Islami dari dalam dan luar negara malah novel-novel sastera berat yang bertemakan perjuangan, budaya, agama dan kehidupan dari pelbagai penerbit.

Ianya sangat bersesuaian dengan komposisi penduduk Serdang yang jauh daripada sumber buku-buku ini. Sepanjang pemerhatian saya dan Ustaz Hisham, penduduk di sekitar Serdang terpaksa ke Bangi untuk mendapatkan buku-buku agama seperti ini.

Kami juga akan menyediakan konsep ‘order list’ iaitu pembeli boleh memesan berdasarkan katalog yang disediakan jika buku yang diingini tiada dalam stok kami.

Strategik

Banyak criteria yang menunjukkan bahawa Serdang ialah kawasan yang strategik untuk memulakan perniagaan buku-buku agama, motivasi termasuk karya-karya kreatif dan novel-novel Islami.

Pasaran yang terbuka luas daripada Serdang hingga ke Seri Kembangan, populasi penduduk Melayu Islam kelas menengah dan ke atas, di samping ribuan pelajar UPM sendiri merupakan sasaran pasaran yang nyata dan terang.

Dengan sedikit promosi secara verbal (ketika berkuliah, bersembang, mulut ke mulut, jamaah masjid dan surau) dan non-verbal (cetakan penyataan promosi dalam UPM, penduduk setempat, bunting, banner dan lain-lain), penggunaan teknologi maklumat dengan maksimum, membina hubungan sosial yang baik dengan para pelajar, pensyarah, penduduk amnya. Insya-Allah sewa bulanan yang dijangka bernilai RM1000 tidak termasuk gaji pekerja dan kos seleggara bulanan, ditambah pula modal permulaan projek ini. Akan mendapat pulangan kurang daripada 1 tahun.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Timbalan Ketua Pemuda PUM
Penasihat iluvislam.com
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

02 December 2009

Sastera Islami: Ceritanya atau tekniknya?

Terasa amat teruja membaca artikel di bahagian ‘Sastera Budaya’ akhbar Mingguan Malaysia, Ahad 29 November 2009 yang memaparkan tulisan yang bertajuk ‘Contohi sastera al Quran’ laporan Salman Sulaiman.

Artikel yang mengambil lebih separuh muka surat itu secara jelas menyatakan sokongan dan dorongan sekaligus merupakan cadangan kepada para sasterawan agar menjadikan al-Quran sebagai sumber utama dalam inspirasi untuk berkarya.

Fenomena novel Ismalik amat secocok dengan perbincangan ini. Namun masih banyak kekaburan tentang genre karya Islami. Bagaimanakah klasifikasi atau identifikasi novel-novel yang dikategorikan sebagai sastera Islami ini. Adakah cukup sekadar menghiaskan muka hadapan novel-novel tersebut dengan gadis bertudung litup manis berbaju kurung atau berjubah labuh sudah dikira novel itu sebagai karya Islami?

Atau mungkin dengan melahirkan watak-watak hero yang belajar di timur tengah, dan watak pembantunya juga dari sana, malah mereka digambarkan pemuda yang sentiasa berketayap dan rajin bersolat sunat dan sebagainya. Berlatarkan pula Kaabah, pyramid, padang pasir atau tempat-tempat yang sememangnya terkenal dalam sirah nabi-nabi terdahulu. Apakah itu sudah cukup untuk mengklasifikasikan karya itu sebagai karya Islami?

Kita berterima kasih kepada penulis novel ‘Ayat-ayat Cinta’, Habiburrahman El Shirazy kerana memangkinkan gelombang positif novel pop Islami yang sehingga kini menumbuhkan penulis-penulis pop Islami yang begitu galak sekali mewarnai arena sastera tanah air. Ini secara langsung member peluang kepada penulis-penulis yang berlatar belakang pengajian Timur Tengah mengambil peluang untuk mencurahkan coretan karya mereka yang bersulamkan unsur-unsur agama yang jitu dengan tujuan berdakwah.

Namun ada ketandusan di sebalik karya-karya ini, walaupun ianya padat dan penuh dengan unsur Islami tetapi karya-karya sekaligus mengehadkan pembacaan di kalangan mad’u-mad’u. Saya yakin dan pasti hanya mereka yang punya fikrah Islam atau sudah terpikat dengan Islam sahaja yang cenderung untuk membaca karya-karya sebegini. Bagaimana pula dengan mereka yang sudah lama dan tepu dengan karya-karya pop romantika. Bilakah dakwah Islami ini akan sampai kepada mereka? Adakah buku-buku yang terlalu Islamik ini mampu menarik selera membaca mereka?

Golongan ini tentunya akan terang-terang menolak untuk membeli novel-novel yang berhias perempuan bertudung dan berjubah labuh, tambahan pula jika buku-buku ini direncahkan dengan istilah-istilah arab yang asing dan sukar difahami seolah menunjukkan karya ini hanya ditujukan kepada kelas-kelas dan kelompok tertentu sahaja. Tentunya ia amat merugikan pasaran dakwah para penulis yang berlatarkan pendidikan dari Timur Tengah ini.

Jadi bagaimanakah sebuah karya yang tidak meletakkan watak utamanya yang berpendidikan agama yang alim lagi warak, jalan ceritanya yang tidak hanya menyentuh perihal cinta sesama manusia semata-mata dan latar kepada cerita tersebut bukan di Timur Tengah tapi di mana-mana sahaja di dunia ini sebagai karya Islami?

Dalam surah Yusof ayat ketiga yang bermaksud, “Kami menceritakan kepada kamu kisah yang terbaik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu.” Ayat ini kemudiannya telah disyarahkan oleh Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin dalam Usul fi al-Tafsir dengan katanya, “Ini adalah kerana ianya mengandungi ketinggian nilai kesusasteraan dan intipatinya penuh dengan kesempurnaan.”

Apakah yang menyebabkan al-Quran yang terdiri di dalamnya kisah-kisah watak antagonis seperti Firaun, Qarun, Haman, Yahudi, Nasrani malah kafir Quraish ini sedap dibaca dan sudah dibaca oleh semua bangsa malah diamalkan serta diulang cetak hampir 1400 tahun sudah.

Makanya yang perlu kita soalkan sekarang ialah adakah cerita-cerita ini meletakkan watak hero yang Islamik semata, jikapun latarnya adalah di Timur Tengah dan jalan ceritanya yang pelbagai itu. Jawapannya ialah tidak, yang menjadikan al-Quran sungguh bernilai dari segi kesusasteraannya ialah teknik penyampaian cerita-cerita tersebut. Termasuk gaya bahasanya yang menggunakan bahasa Arab tinggi, ‘tamsil’ atau perumpaan yang menggunakan naratif perbuatan bagi menggambarkan perasaan luar biasa, hampir 86% jalan ceritanya pula adalah dialog dan tidak memperincikan perkara-perkara yang tidak berfaedah kepada pembaca seperti bentuk tubuh badan, bentuk bangunan secara dan lain-lain.

Dengan menggunakan teknik yang persis apa yang ada di dalam al-Quran, ternyata karya Islami tidak akan terkongkong dengan tema dan watak-watak Islami semata. Apa sahaja watak, yang baik mahupun tidak, jika teknik penceritaannya diislamkan menurut acuan al-Quran maka karya tersebut tetap menepati ciri-ciri sastera Islami. Proses ini akan membuahkan karya Islami yang lebih liberal. Konvensional malah boleh diterima oleh semua lapisan pembaca.

Ceritanya terbuka namun tekniknya yang tertutup, itulah ciri karya Islami sebenar. Gagasan ini telah dipelopori oleh sekumpulan penerbit buku indie yang dahulunya hanya merupakan penerbit buku motivasi kecil-kecilan. Pengerusi Eksekutifnya iaitu Puan Ainon Mohamad sendirilah yang mengepalai pengkajian mengenai teknik penceritaan al-Quran ini sehingga terhasillah mazhab baru di dalam kesusasteraan tanah air yang dipanggil ‘Teknik Penulisan Surah Yusof’.

Karya-karya sastera terbitan PTS Publication & Distribution Sdn. Bhd. terlebih dahulu mesti menepati piawaian Teknik Penulisan Surah Yusof sebelum diterbitkan, dengan itu pihak syarikat akan menyediakan bengkel-bengkel secara gratis kepada mereka yang berminat untuk berkarya bersama PTS.

Persoalan-persoalan mengenai Teknik Penulisan Surah Yusof boleh diajukan dengan melayari http://universitipts.com/ atau http://sasteraislami.blogspot.com/.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Timbalan Pemuda PUM
Penasihat iluvislam.com