Jawapan:
Wassalam saudara, kesedihan merupakan fitrah dan lumrah hidup seorang manusia. Soalnya sekarang bagaimana kita menguruskan kesedihan yang melanda diri kita. Setelah kita tahu bahawa punca kesedihan yang berpanjangan ini adalah kerana kegagalan cinta kita terhadap seseorang yang bernama wanita.
Soalnya apakah cinta itu hanya layak untuk seorang wanita yang belum tahunya menjadi hak kita yang sah yakni isteri. Wajarkah kita melabur segala perasaan kasih sayang, cinta dan harapan kepada sesuatu yang tidak pasti? Sangat berisiko dan ramai sudah yang kecundang. Dan Islam amat melarang melakukan sesuatu perkara yang memudaratkan diri kita sendiri bahkan orang lain sekalipun.Apakah kepastian cinta dan kasih dari Allah serta Rasulnya tidak mendapat tempat dalam hidup kita?
Bagaiman pula dengan cinta dan kasih sayang tanpa syarat seorang ibu dan ayah serta adik beradik kita yang sudah bersama kita ketika senang dan susah, apakah sedikitpun mereka tiada peranan untuk mendapat cinta dan kasih sayang kita?
Apabila kita sudah tersilap parkir kereta kita di tempat yang salah, maka segera alihkan sebelum terlambat. Walaupun sudah terlambat sekalipun, masih sempat jika yang terlambat itu masih bernadi dan bernafas. Ya, kesalahan kita ialah meletakkan perasaan cinta itu pada tujuan, waktu dan orang yang salah. Saya nak kita renungkan satu ayat dari surah An-Nur ayat 3 yang berbunyi:
ٱلزَّانِى لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوۡ مُشۡرِكَةً۬ وَٱلزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَآ إِلَّا زَانٍ أَوۡ مُشۡرِكٌ۬ۚ وَحُرِّمَ ذَٲلِكَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
Maksunya:
Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.
Pernah ketika saya sedang berbual-bual dengan beberapa orang kawan, tiba-tiba salah seorang kawan berkata kepada saya: " Syeikh, tolongla ana cari isteri. Tapi, kalau boleh nak yang cantik, pandai dan kaya.." katanya dengan nada bergurau.
Saya terngamam, tinggi sungguh selera sahabat saya ini. Saya lantas menjawab ringkas: "Boleh, takde masaalah, cuma satu sayaratnya."
"Apa syaratnya?" bersungguh benar nampaknya dia.
"Awak kena jadi macam tu dulu." Jawapan itu membuatkan dia terdiam dan tersipu, kawan-kawan lain pula gelakkan dia.
.....................................................................................
Islam tidak pernah menafikan hak cinta kita. Bahkan Islam adalah agama yang amat menggalakkan percintaan. Cinta yang diletak pada tempat yang haknya:
Cintailah Allah dengan mensyukuri segala rahmatnya dan tidak mengkufurinya. Dalam erti kata lain menjadi hamba yang soleh.
Cintailah Rasulullah dengan mempelajari dan mengamalkan sunnah baginda.
Cintailah ibu bapa dan kaum kerabat kita dengan mentaati dan menghargai mereka.
Cintailah hanya wanita yang bernama isteri.
......................................................................................
Kesedihan boleh diatasi dengan memperbanyakkan aktiviti yang boleh menenangkan hati dan jiwa. Jauhkan suasana yang mendorong kepada kesedihan tersebut agar segala elemen dalaman termasuk pemikiran kita lebih terarah dan tahu sifat kesedihan yang Allah anugerahkan itu bila harus digunakan. Bukankah dengan mengingati Allah jiwa dan hati akan menjadi lebih tenang? Letakkan kesedihan pada tempatnya kerana kesediihan itu akan lebih bererti:
- Sedihlah bila sedar diri kita banyak berdosa kepada Allah.
- Sedihlah bila sunnah Rasulullah tidak kita amalkan malah tidak mampu berbuat apa-apa bila ianya dipersendakan.
- Sedihlah bila kita sedar kita bukan anak yang soleh kepada kedua ibu bapa kita.
- Sedihlah bila melihat kezaliman yang terpaksa ditanggung oleh saudara muslim kita di seluruh dunia.
Dan banyak lagi kesedihan yang wajar kita sedihkan daripada terus terpana kesedihan kerana cinta pada seorang perempuan yang bukan hak kita. Aktifkan paradigma, lakukan anjakan. Jika dibandingkan dengan kesedihan mereka apalah sangat kesedihan kita ini, malu kita pada Allah. Kini katakana, laungkan! Aku mahu berubah! Aku kena berubah! Ah diri, jangan kau siakan ruang dan luang yang masih ada, ayuh:
- Perkasakan ibadat wajib dan maksimumkan ibadat sunat.
- Jadikanlah al-Quran sebagai basahan lidah, kalau boleh ditadabburkan yakni dibaca bersama dengan maknanya sekali.
- Banyakkan hadir ke majlis ilmu atau aktiviti sosial kemasyarakatan.
- Banyakkan bergaul dengan orang baik-baik, soleh dan berilmu.
- Banyakkan mendengar dan meminta nasihat daripada mereka.
- Banyakkan membaca buku-buku motivasi Islam dan sebagainya.
Tetapkan jadual harian yang padat dan asimilasikan sebaik boleh, tanamkan iktikad yang aku mahu berusaha jadi yang terbaik, sebagai hamba kepada Allah, umat kepada nabi Muhammad SAW, anak kepada kedua ibu bapa dan seterusnya.
Dan yakinlah di sebalik segala kesedihan ada kegembiraan, di sebalik segala kesulitan ada kesenangan, di sebalik segala penderitaan ada kebahgiaan. Allah tidak akan menguji hambanya melainkan dengan ujian yang mampu ditanggung oleh hambanya itu.
Bersangka baiklah pada Allah. Qada’ dan qadar Allah tentunya yang terbaik untuk kita walaupun secara zahirnya nampak tidak. Yang disukai, dikasihi dan dicintai kita tidak semestinya yang terbaik untuk kita namun sebaliknya yang dibenci, dicerca dan dihina mungkin sekali bukan yang terburuk untuk kita.
Yang penting, yakinlah dengan janji Allah. Jika kita cukup dengan Allah maka Allah akan cukupkan kita.
Apakah mustahil bagi Allah untuk menemukan kita dengan gadis yang akan kita cintai dan dia jua mencintai kita apabila cinta Allah bersama kita. Dan amatlah manis jika siapapun gadis itu, ketika kita melafazkan kalimah dan menterjemahkan cinta kita padanya, dia adalah seorang yang bernama isteri. Wallahua’lam.
Zahiruddin Zabidi
*Saya cadangkan sesiapa yang bersedih supaya memiliki buku-buku ini:
- “La Tahzan” karangan Dr Abdullah Aidh Al-Qarni
-“Aku Terima Nikahnya” karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
-“Tentang Cinta” karangan Pahrol Md Joui
2 comments:
alhamdulillah satu perkongsian yang benar2 menarik....insyaAllah perkongsian ini akan membantu seorang sahabat yang berada dalam situasi sama sebegini...
terima kasih ustaz...
buku 'la tahzan' da 'aku terima nikahnya; memamg buku yang amat bagus isi kandungannya....love to read it...=)
Alhamdulillah..sama-sama kita sebarkan nasihat kerana agama itu sendiri adalah nasihat, insya-Allah.
Post a Comment