26 October 2009

Damaikanlah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Ribut sekali jagat raya dengan adegan-adegan kehidupan yang pelbagai. Antara peristiwa yang berlaku ialah EGM UMNO yang masih hangat lagi, dan hari Jumaat sudah kita dihidangkan dengan perbentangan bajet 2010 yang di sampaikan oleh YAB Perdana Menteri.

Sekali lagi kita gempar dengan kenyataan bahawa PAS juga akan mengadakan EGM, dan yang mengusulnya pula adalah Tok Guru Mursyidul Am sendiri. Begitu banyak sekali cakap-cakap tentang hal ini. Positif dan negatif, menyokong dan menyanggah semuanya mengambil bahagian.

Saya hanya mampu memerhati dan mengambil iktibar dari segala yang berlaku. Belum masanya untuk terjun ke lautan onar itu. Namun dari sini, saya punya agenda dan matlamat tersendiri.

Insya-Allah saya akan bersama dengan Ustaz Dzulkhairi dalam Pemuda Persatuan Ulamak Malaysia, panjang kami berdiskusi hari Sabtu sudah. Sungguh, bersama sahabat yang mampu mengingatkan kita akan akhirat adalah nikmat yang merupakan anugerah dari Allah.

Pelbagai agenda sudah dirangka oleh beliau, dan saya kagum sekali dengan Ustaz Dzulkhairi yang jelas kesungguhannya apabila sudah menanggung amanah, istiqamahlah yang paling penting dalam sekalian hal ini. Insya-Allah saya juga sedang berusaha untuk bertransformasi bersamanya.

Pengurusan adalah aspek yang penting dalam kehidupan. Pengurusan hidup yang baik akan membuahkan hasil yang baik. Allah sudah mengajar kita melalui kalamnya dan Rasulullah juga sebagai uswah hasanah yang terbaik dalam pengurusan juga.

Pernahkah kita bayangkan bagaimana Baginda Rasulullah SAW sebagai seorang rasul, pemimpin, suami, ayah, datuk, panglima perang, pendakwah, sahabat dan banyak lagi jawatan-jawatan penting dalam hanya satu masa.

Bahkan Rasulullah mampu untuk mneguruskan rumahtangganya yang mempunyai lebih dari seorang suri. Begitu sekali adil dan saksama serta bijak Rasulullah dalam pengurusan kehidupan hariannya.

Jika kita mendabik dada dan mengaku bahawa kitalah manusia yang paling sibuk. Sehingga tercicir dari melakukan ibadah-ibadah wajib seperti solat lima waktu, ibadah sunat pula tidak bertambah. Maka bandingkanlah diri kita dengan Nabi Sulaiman AS, betapa baginda mengusai dunia dan segala isinya termasuk jin, iblis dan zat-zat alam yang lainnya. Apakah kesibukan kita mengatasi kesibukan Baginda?

Insya-Allah saya yakin apabila kita balik kepada konsep pengurusan hidup cara Islam dan disiplinnya maka tidak mustahil untuk mencapai apa yang dirancang dalam masa terdekat, antaranya:

- Menyiapkan sebuah buku sebelum 1/1/2010 dengan PTS
- Menulis sebanyak mungkin karya dan artikel ke akhbar
- Meluangkan masa yang secukupnya untuk isteri dan bakal anak
- Memastikan pengajian berjalan lancar
- Memperbanyakkan bacaan ilmiah, fiksyen dan bukan fiksyen
- Komitmen dengan jawatan-jawatan di luar kerja hakiki
- Komitmen untuk kerja-kerja hakiki di masjid

Ya Allah hanyasalah pada-Mu aku memohon, dijauhkan fitnah dunia dan akhirat. Hanya pada kekuasaan-Mu-lah terletak segala harap dan taat.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

No comments: