Assalamua'alaikum,
Terima kasih pada Allah untuk respon positif kalian, tak tahu kenapa semenjak dua menjak ni mood membaca saya beralih kepada novel-novel Islami selain bacaan ilmiyah lain, setakat ni saya dah hampir habis baca novel 'Terasing' karya saudara Hilal Asyraf keluaran Telaga Biru, dan baru beli novel tulisan Faisal Tehrani yang bertajuk 'Keampunan Dari Sorga'. Dan mungkin akan terus membeli kesemua koleksi karya dua orang penulis ini, tidak diketahui pula mengapa masih belum berselera untuk menatap karya Fatimah Sharha. Mungkin, suatu hari.
Soal asasnya, apakah tulisan cerpen dan novel sebegini mampu akhirnya memahamkan pembaca kepada akidah Islam yang sebenar selain penerapan nilai-nilai Islam lainnya, begitu juga unsur Syariatik yang menggariskan keperluan dan kehendak mad'u-mad'u dakwah, sampaikah kepada pembaca? Saya bereksperimen.
Cinta dan tulisan hanya alat, iLuvislam juga adalah alat. Tujuannya untuk mendapat redha Allah, kerana dengan redha, rahmat dan rahim serta belas kasihan Allah sahajalah kita akan diterima ke dalam syurga, insya-Allah.
Selepas ini saya akan ke HQ PTS, hajat di hati hendak beli kesemua koleksi novel Islami figura Islam tulisan Abdul Latip Talib atau Pak Latip, kesemuanya ada 12 jilid dengan kos biasa lebih kurang RM250. Tapi sekarang PTS buat promosi untuk ahli kelab peminat FaceBook PTS dengan diskaun sebanyak 30%, jadi kesemua buku tersebut akan didapati dengan harga kurang RM200, saya takkan lepaskan peluang ini, lagipun gaji baru masuk semalam. Isteri saya juga bersetuju setelah dipujuk, dia agak jeles sebenarnya melihat keutamaan saya melayan buku-buku saya. Tapi sebenarnya dia faham.
Terima kasih Sayangku.
Semoga ada mutiara-mutiara hikmah dari kalam-kalam yang saya tatap dan tenung saban hari ini untuk dirembeskan menjadi cairan idea dan ilham untuk torehan kalam saya kelak.
Semoga juga setiap untaian kalam saya memberi kesan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada siapapun yang membacanya terutama diri saya sendiri yang penuh dengan kefaqiran dan kedhaifan.
Mungkin sebenarnya saya berazam mahu menyampaikan dan mensyarahkan al-Quran dan Sunnah merujuk kepada karya Ulama' muktabar melalui kalam kreatif, cerpen dan novel!
Apa kata anda?
Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.
1 comment:
Alhamdulillah
terharu saya membaca stori tuan. Terima kasih kerana membeli novel sejarah Islam. Selamat mambaca semoga sama-sama mendapat manfaatnya. Beruntung tuan mendapat isteri yang memahami kesukaan suaminya membaca buku-buku agama. Semoga kekal bahagia dunia dan akhirat.
Post a Comment