16 October 2009

Kehilangan

Menjadi adat di dunia ini, ada saatnya kita akan kehilangan dan terasa akan kehilangan tersebut.
Kehilangan seringkali dikaitkan dengan kesedihan. Kerana kehilangan akan mengurangkan apa yang pernah ada pada diri kita. Maka orang yang beriman akan terus redha dan orang yang kufur akan terus ingkar pada Allah.

Kehilangan itu mungkin boleh berlaku dengan kematian, kecurian, keciciran, kecuaian, sikap tidak prihatin dan banyak lagi asbab musabab yang memunasabahkannya.

Pada pemerhatian saya, ada banyak jenis kehilangan. Namun dapat saya kategorikan dalam tiga kumpulan besarnya iaitu:

-kehilangan orang tersayang.
-kehilangan barang tersayang.
-kehilangan sifat baik.

Kehilangan Orang Tersayang

Keadaan ini biasa berlaku apabila berlaku kematian. Terutamanya ahli keluarga kita dan sahabat handai malah tidak dilupakan guru-guru dan pemimpin yang kita sayangi, pastinya kita akan merasakan ianya satu kehilangan yang besar kepada diri kita apabila mereka mendahului kita ke alam baqa'.

Kehilangan Barang Tersayang

Kemusnahan, kerosakan, kecurian mungkin punca kehilangan barangan tersayang ini. Mungkin juga kerana sifatnya yang tidak kekal akan menyebabkan ianya perlu ditukar ganti. Lantas kita terpaksa menggantikan ia dengan barangan baru, walaupun barang itu kita sayang malah penuh dengan elemen kenangan.

Kehilangan Sifat Baik

Ini adalah kehilangan yang paling teruk dan paling susah untuk digantikan. Kematian seorang isteri mungkin boleh diganti oleh isteri yang lain walaupun tidak sama keadaannya, begitu juga dengan barangan yang lainnya. Kereta, rumah dan apa sahaja barangan yang hilang boleh diganti lagi.

Namun kehilangan sifat baik hanya mengundang bencana. Bencana moral. Sudah menjadi fitrah manusia suka kepada kebaikan dan berbuat kebaikan. Hanya kerana terpesona dengan kaedah-kaedah keseronokan sementara hasil talbis Iblis dan Syaitan itu makanya jauh kita terpesong. Kehilangan sifat baik ini digantikan dengan sifat jahat. Ini adalah kerana sifat baik dan jahat tidak mungkin bersama. Sebab itu Allah jadikan syurga dan neraka.

Saya

Saya juga pernah rasa kehilangan, alhamdulillah kehilangan sikap dan sifat buruk adalah sesuatu yang positif. Dan saya juga amat takut kini jika diuji lagi dengan kehilangan.

Kehilangan rasa dan sifat ingin menjadi hamba Allah yang terbaik, umat Baginda Nabi Muhammmad SAW yang memperjuangkan sunnahnya, anak yang taat kepada kedua orang tua dan suami yang soleh kepada isteri saya serta Abuya terbaik untuk anak-anak.

Adalah satu petaka.

Saya boleh sabar dan redha dengan kehilangan motorsikal Honda Wave yang sudah sekian tahun saya tunggang semenjak bertugas di Kuala Lumpur. Malah banyak kenangan ketika kami mula-mula kahwin dengan motor itu. Hampir berbulan menunggang bersama untuk menghantar isteri ke tempat kerja.

Dan baru pagi tadi, setelah bersiap untuk ke tempat kerja. Saya sedikit awal. Tiba-tiba saya terngamam apabila menyedari motor tersebut tiada di parkir apartment saya. Redha. Namun tindakan segera perlu dibuat, laporan Polis.

Sebelum itu saya sedikit haru apabila menyedari salah sebuah buku saya hilang dari rak. Memang ada rasa kekurangan pada papan kayu yang menampung buku-buku saya itu. Bila ditenung mata, difikir minda, diingat rasa akhirnya sedarlah saya buku sulung Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 'Aku Terima Nikahnya..' sudah tiada di rak! Dan sehingga sekarang saya tidak tahu siapa yang meminjamnya, samada orang tersebut ambil tanpa saya tahu atau saya tidak ingat kepada siapa saya pinjamkan buku tersebut.

Apa yang termampu ialah bersabar dan kuntumkan bunga redha atas kehilangan-kehilangan tersebut. Yang pastinya ialah kehilangan yang lebih besar akan menjengah, bila-bila masa dan di mana sahaja. Kita, saya dan anda semua pasti akan merasainya, kehilangan yang kekal tidak berpenghujung.

Soalnya, adakah kita bersedia? Tepuk dada dan tanyalah Iman.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

No comments: