15 October 2009

Politik

Saya amat jarang bermadah tentang politik di sini. Mungkin kerana kurang menggemari elemen negatif yang sentiasa membaluti arena politik. Namun tidak beerti saya anti politik malah memboikot politik. Setiap susur alur politik tanah air tercinta saya perhatikan.

Rasulullah SAW adalah seorang ahli politik selain seorang usahawan bahkan CEO kepada syarikat dagang Siti Khatijah binti Khuwailid. Sahabat-sahabat baginda yang lain juga turut berpolitik sehingga Islam gah ke seluruh alam. Tidak dapat dinafikan oleh sesiapun.

Tiga elemen sosial yang akan membuntuti manusia sepanjang zaman ialah agama, politik dan budaya. Tidak terlepas juga politik di dalamnya.

Adalah tidak wajar jika kita katakan politik bukanlah fungsi untuk kecemerlangan di dunia mahupun akhirat. Namun awas, politik bukan matlamat, ianya cuma alat. Tok Guru Nik Aziz mengumpamakan politik sebagai bekas yang menampung Islam di dalamnya.

Apa yang lebih jelas ialah politik itu sebagai wadah dan wasilah untuk menegakkan kalimah Tauhid. Pada saya ketika ini, jika UMNO tiba-tiba menggunakan kaedah Tauhidiyyah sebagai asas perjuangan, masalah umat di Malaysia banyak yang selesai.

Dr Mohd Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis dalam kenyataannya menyatakan jika UMNO ingin selamat, mereka perlu kembali kepada Islam yang sebenarnya, rujuk di sini http://drmaza.com/home/?p=738.

Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak dilihat sangat berhati-hati dalam gerak kerjanya, dia jarang melatah. Setiap komen dan pertanyaan dijawab sekadar sahaja, agar tidak kontroversi. Yang dilihat agak lancang membuta ialah Timbalannya Dato' Seri Muhyidin Yasin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia masa ini.

Hari ini, UMNO sekali lagi bersidang di PWTC. Kubu tegak sarang berpusat. Dulu, kini dan selamanya. EGM, persidangan agung luar biasa. Pindaan terhadap 7 dasar parti dan menggariskan 4 rukun kelangsungan UMNO yang diwara-warakan oleh Timbalan Presiden mereka. Dan banyak lagi usul-usul hebat yang dilaungkan oleh perwakilan pemuda, puteri dan wanita UMNO yang masing-masing tidak mahu kalah dengan pembesar suara.

Saya tertarik dengan 4 usul kelangsungan yang menggunakan istilah-istilah Arab lagi Islamik, rencana apa agaknya. Teori-teori kelangsungan barat gagal mendapat tempat dalam persidangan kali ini. Walaupun 4 usul ini didakwa diciplak dari pertubuhan Islam lain, namun sudut nilai positifnya ialah UMNO sudah menampakkan tranformasinya.

Atau mungkin kerana ramai sudah pimpinan tertinggi dan jemaah menteri yang terkena panahan jiwa ESQ165, maka terhasilnya rasa ingin transformasi ini. Saya hanya mengagak, hidayah itu miliknya Allah. Mutlak hak-Nya pada siapa mahu dihidangkan. Kita hanya berusaha, kalau UMNO berusaha mentransformasikan ke arah yang lebih jelas iaitu 'bertaubat nasuha' dan kembali kepada Allah maka berbahagialah kita, umat Malaysia yang berbilang tara bangsa dan agama.

Sama-sama kita lihat kesinambungannya kelak. Harap masih ada ruang perubahan untuk Islam.
Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

No comments: