“Ajaklah kepada jalan Allah dengan berhikmah, bantahlah mereka dengan kebaikan.”
Titah Sultan Al-Zahir kepada para Ulama’ yang bakal berdebat dengan Paderi-Paderi dari Gereja Saint Paul. “Insya-Allah, dengan pertolongan-Nya kita bukan sahaja mampu menang debat ini bahkan mereka semua akan dikurniakan hidayah oleh Allah ta’ala, bukankah begitu ajaran Nabi kita wahai guruku?”
Para Ulama’ yang hadir bersidangan hari itu tersenyum mendengar titah Sultan Al-Zahir yang menampakkan kecerdasan dan kealimannya. Syeikh Muhimmah kemudiannya berkata, “Benar Tuanku, patik mewakili saf Ulama’ berbangga dan bersyukur bernaung di bawah seorang Sultan yang beriman dan bertakwa seperti Tuanku.”
“Janganlah kalian ucapkan begitu, jika dibandingkan dengan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi, Sultan Muhammad Al-Fateh dan ramai lagi, beta ini hanya picisan. Semoga Allah meredhai beta dengan tanggungan amanah yang maha berat ini. Beta hanya tidak mahu masuk neraka.”
Sultan Al-Zahir menangis di hujung titah, para hadirin diminta bersurai. Kecuali seorang sahaja, Syeikh Muhimmah. Dia adalah penasihat dan guru kepada Baginda Sultan Al-Zahir, beliau mendampingi baginda semenjak baginda merah lagi. Hinggalah baginda memegang tampuk pemerintahan Negara Masaya.
Ketika berdua dengan Syeikh Muhimmah, Sultan Al-Zahir menceritakan perihal mimpinya semalam. “Guruku, kamulah makhluk yang beta sayang sesudah kaum keluargaku, beta ingin meluahkan apa yang terbuku di hati beta kepadamu.”
Syeikh Muhimmah tenang, sambil melurut janggut putihnya lalu berkata, “Silakan, Tuanku bukan hanya Sultan pada patik, bahkan tidak kurang dari seorang anak.”
Sultan Al-Zahir terharu, hampir sahaja menitis air mata ukhwah. “Semalam beta bermimpi, aneh sungguh mimpinya. Gusar beta memikirkan. Tujuh biji bintang di langit telah berguguran lalu menerpa tepat ke arah istana dari langit, memang keadaan Negara Masaya jadi gegak gempita, bintang-bintan itu seperti meluncur tanpa belas kasihan dan bakal sahaja memusnahkan kita semua.”
Baginda terhenti sejenak, berkerut muka, matanya dilontar jauh ke angkasa. Baginda menyambung, “Hampir sahaja bintang-bintang itu ke bumi, tiba-tiba segala bintang itu berpecah dengan secepat kilat lantas menjadi abu kerana sebiji batu bumi yang hitam lagi hodoh melanggar mereka. Apakah firasatmu guruku?”
Lama Syeikh Muhimmah membatu, matanya dipejam. Dia lantas bangun, “Tuanku, adalah baik kita bermunjat kepada Allah agar dapat kita rungkai mimpi Tuanku.”
“Baiklah, ayuh.”
Usai mereka berdua sembahyang sunat hajat dua rakaat secara berjemaah, Syeikh Muhimmah berpaling kepada Sultan Al-Zahir dan berkata sambil tersenyum, “Alhamdulillah, kita memohon kepada Allah diberi ilham dan Allah perkenankan.”
“Maksud guru...”
“Ya, Allah ilhamkan padaku dengan kekuasaannya untuk menafsirkan mimpi tuanku. Insya-Allah segalanya akan terungkai.”
Debat akan bermula bila-bila masa sahaja, orang ramai sudah berkumpul di dewan terbuka Suukil Fawakih. Lima orang paderi Nasrani yang paling alim akan berentap untuk menguji kebenaran agama Islam.
Anwar, si pedagang kurma berkata, “Mustahil mereka boleh menumpaskan Guru-guru kita yang alim-alim belaka.”
Sahabatnya Daud juga mengiakan, “Insya-Allah dengan pertolongan Allah, Dia sentiasa bersama orang yang menegakkan agamanya.”
“Jangan terlalu yakin saudara, paderi-paderi ini telah mengalahkan ramai alim ulama’ di Negara Islam lainnya. Mereka itu hebat berkata-kata untuk mematikan hujah, logik akal mereka juga membisukan lawan.”
Seorang munafik bernama Khazzab bersuara, dia lantas menambah, “Kalau mereka menang maruah Islam akan tercalar. Sultan dan Ulama’ juga akan dipandang hina.”
Orang sekeliling tidak mempedulikan kata-kata Khazzab, mereka tahu benar perangai si munafik itu. Kalau bukan sebab dia masih mendirikan solat, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji serta mengucap dua kalimah syahadah. Sudah pasti dibunuh.
Pusingan pertama bermula, saf Ulama Masaya ditanya, “Kalian mendakwa Islam itu adil, dan banyak ayat al-Quran menyuruh berlaku adil.”
“Benar katamu”
“Namun kenapa perempuan sahaja yang perlu menutup aurat? Bukankah itu satu bentuk kezaliman?”
Syeikh Yusuf, anak murud Syeikh Muhimmah mohon untuk menjawab. “Tidak benar katamu, kerana Islam tidak hanya menyuruh perempuan sahaja yang menutup aurat bahkan lelaki juga sama.”
“Buktikan?”
“Kamu membaca al-Quran?”
“Ya.”
“Tahu maknanya?”
“Kami fasih berbahasa Arab.”
“Cuba tengok ayat ke tiga puluh surah An-Nur, apakah maknanya?”
Mereka lantas mencapai dan membelek-belek mushaf al-Quran yang dibawa bersama.
Salah seorang membaca dengan lantang, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
Syeikh Yusuf menambah, “Maka jelaslah bahawa Islam bukan hanya mewajibkan kepada kaum perempuan untuk menutup aurat, kaum lelaki juga tidak terkecuali. Cumanya berbeza pada pelaksaannya.”
“Itulah maksud kami, kenapa terdapat perbezaan antara lelaki ddan perempuan. Kalau perempuan diwajibkan memakai niqab, jilbab dan sebagainya. Maka kaum lelaki juga begitu, tetapi aurat lelaki hanya bermula dari pusat hingga ke lutut manakala aurat perempuan keseluruhan tubuh melainkan tapak tangan dan muka, bahkan ada sesetengah Ulama’ Islam mewajibkan menutup muka.”
Bentak salah seorang paderi panjang lebar, rakannya menambah, “Inilah ketidakadilan yang kami maksudkan, kami mohon penjelasan.”
Syeikh Mahmud kemudiannya memohon kebenaran untuk berhujah, beliau memula kata-katanya dengan pujian kepada Allah dan Rasulullah lantan berkata, “Betul kata tuan, banyak bedanya syariat aurat lelaki dan perempuan. Cumanya saya ingin persoalkan, adakah secara zahirnya lelaki dan perempuan itu sama?”
“Tentu sekali tidak.”
“Nah, tuan sendiri sudah menjawab persoalan tadi.”
“Maksud tuan hamba?”
“Apabila secara zahirnya lelaki dan perempuan berbeza maka pensyariatan ke atas mereka pun berbeza dalam perkara khusus seperti aurat. Ini adalah kerana wanita itu dijadikan dengan penuh keindahan. Dan Islam meletakkan keindahan itu pada tempat yang sewajarnya.”
Syeikh Waliullah yang dari tadi hanya mendiamkan diri pun bersuara, “Izinkan saya menyuarakan pandangan saya, saya kira jika saya bagi bukti dari ayat-ayat suci kami tentunya pihak tuan akan tolak mentah-mentah, ini adalah kerana tuan-tuan tidak beriman dengannya.”
Tambahnya lagi, “Izinkan saya mengguna logik, jika kita ke kedai permata untuk membeli permata yang elok, baik dan bermutu. Agaknya tuan di mana letaknya permata itu?”
Plato, salah seorang paderi itu menjawab, “Tentunya disimpan rapi.”
“Makanya Islam juga begitu, wanita dipandang mulia dan mempunyai haknya tersendiri di dalam Islam tanpa menafikan hak orang lelaki. Ini adalan sangat berbeza sekali dengan peradaban dan kepercayaan agama lain sejak dulu. Dan tentunya permata yang bermutu dan berharga itu perlu dijaga, dibungkus, dipamerkan ketika hanya perlu. Bukannya dilonggok dan bukannya didedahkan di khalayak sesuka. Itu sudah tentu barang yang sudah hilang nilai harganya.”
Paderi-paderi tidak berpuas hati. “Maksudnya walaupun ianya kelihatan tidak adil?”
“Adil atau tidak bukan nilaian kita, kami orang Islam apabila sesuatu perkara itu merupakan arahan Tuhan kami, kami akan ikut tanpa banyak soal. Kami yakin bahawa Allah ada hikmahnya tersendiri di sebalik pensyariatan aurat itu.”
Paderi-paderi yang hadir hampir kebuntuan akal. Kemudiannya salah seorang daripada mereka bersuara, “Baiklah, kami mengakui Islam itu lengkap dan indah. Namun, kenapa masih ramai umat Islam sendiri yang tidak mengamalkan malah menentang ajaran Islam itu sendiri?”
Syeikh Muhimmah berkata, “Masalah ini berpunca dari orang-orangnya bukan agamanya. Sepeti juga kamu, berapa keratkah yang benar menganuti dan mengamalkan ajaran Kristian yang sebenar melainkan sudah ramai yang semakin jauh dengan ajaran kamu sendiri.”
Sekali lagi para Paderi itu terbisu. Dan sesi hari itu berakhir dengan kemenangan moral memihak kepada orang Islam.
Pusingan baru bermula, para Paderi kembali mengutarakan persoalan, “Baiklah, hari ini hanya satu soalan yang akan kami tanya.”
Semua hadirin termasuk Sultan, Ulama’ dan rakyat jelata diam membisu. Hati masing-masing menari tanpa rentak.
Gusar. Namun terus tetap berdoa kepada Allah agar kemenangan moral ini milik Islam.
“Kamu semua percayakan tuhan itu Esa?”
“Tentu sekali.”
“Tidak beranak dan tidak diperanakkan?”
“Ya, tiada sangsi kami dalam hal ini.”
“Soalannya, dengan kekuasaan tuhanmu yang hebat itu mustahil dia tidak mampu untuk menunjukkan dirinya, maka tunjukkan diri tuhanmu kepada kami dan apakah pekerjaannya sekarang?”
Tersentak para hadirin. Mereka yang suam suku imannya mula mengcongak kira ada benarnya kata para paderi itu. Malah kelihatan mereka yang munafik juga tersengih senyum, gembira barangkali para ulama’ dan Sultan mendapat malu jika tidak terjawab soalan itu.
Syeikh Muhimmah kemudiannya bersuara, “Tuanku, izinkan patik membuat permohonan.”
Sultan Al-zahir bertitah, “Silakan guruku.”
“Patik mohon tuanku membebaskan Abduh, hamba yang ditangkap atas tuduhan mengintai walaupun belum terbukti kesohehannya dibebaskan. Hanya dia yang dapat menjawab persoalan ini.”
Sultan dan hadirin sekaliannya tersentak. Semua rakyat tahu Abduh telah ditangkap kerana dakwaan mengintai anak-anak dara sedang mandi di sungai.
Sultan seakan tidak berkenan dengan usul itu, “Tapi guruku, bukankah dia bersalah kerana mengintai. Adalah tidak wajar kita bebaskan dia sekarang.”
“Tuanku, Abduh telah ditangkap kerana tuduhan mengintai gadis-gadis sedang mandi, namun kita tidak boleh salahkan dia sahaja. Gadis-gadis itu juga harus dipersalahkan kerana mandi di tempat terbuka tanpa menutup aurat. Haram hukumnya, walhal si fulan hanya kebetulan ke sungai yang sama untuk member minum kambing-kambing tuannya. Andai kata saya melalui kawasan gadis-gadis itu sedang mandi, nescaya saya juga akan dituduh begitu. Kalau Tuanku sendiri yang ....”
“Cukup, baiklah. Bebaskan Abduh, bawa dia kemari.”
Sultan juga menurunkan titah, “Mulai hari ini beta haramkan rakyat beta untuk mandi di sungai secara terbuka. Beta akan arahkan tentera untuk membina tempat-tempat mandi untuk rakyat jelata. Tempat lelaki dan perempuan akan diasingkan, dan sesiapa yang melanggar peraturan ini akan dikenakan hukuman takzir.”
Syeikh Muhimmah dan saf ulama’ lainya tersenyum mengangguk bersetuju dengan titah Sultan. Kata mereka, “Alhamdulillah”
Abduh dibawa mengadap ke dewan bersidang. Gementar hatinya, menyangka dia bakal dihukum.
“Abduh, beta sudah tahu hal sebenarnya dan engkau dibebaskan. Namun engkau haru berdepan dahulu dengan para paderi ini.”
Gembira hati Abduh, “Titah Tuanku patik junjung, tapi sebelum itu patik mohon untuk solat dua rakaat.”
“Silakan.”
Perbahasan dimulakan semula setelah beberapa ketika rehat. Para ulama’ buntu untuk member jawapan yang logik di akal untuk menjawab persoalan paderi-paderi itu. Akhirnya mereka hanya berdoa dan bermunajat semoga Allah memberi ilham kepada Abduh, hamba yang terpilih itu.
Abduh mula menjawab, “Bohong jika katamu Allah tidak akan tunjukkan dirinya. Allah dengan kekuasaannya akan menunjukkan dirinya kelak. Tapi tentunya bukan pada hari ini.”
“Habis, bilakah waktunya?”
“Di akhirat kelak. Tapi dengan syarat.”
“Apakah syaratnya?”
“Kamu mestilah seorang Islam yang mukmin.”
“Omong kosong!”
Abduh memulakan provokasi kepada para paderi, “Tuhanmu pernah menampakkan dirinya?”
“Ya, kami melihatnya tergantung di salib setiapa hari.”
“Bohong, itu hanyalah patung yang diukir dan dilukis. Sesungguhnya Isa Al-Masih sudah diangkat ke langit dan kamu semua tidak pernah juga berjumpa dengannya sendiri, hebatkah tuhanmu?”
“Adakah kamu mempunyai nyawa?”
“Tentu sekali.”
“Tunjukkan juga padaku di mana letaknya nyawa itu? Bagaimanakan bentuknya? Apakah warnanya?”
Bungkam lidah para paderi, terkejut dengan hujah si budak hitam lagi abdi itu. Mereka tidak menyangka begitu sekali cerdas otaknya.
“Apa pula kerja tuhamu sekarang?”
“Benar kalian mahu tahu?”
“Kalian perlu turun ke bawah dan aku perlu keatas.”
Mereka semua pun turun kebawah, sehingga hanya si budak abdi yang hitam bernama Abduh sahaja di atas mimbar.
“Saksikanlah wahai rakyat Masaya, kepada yang muslim mahupun tidak. Mereka bertanya apakah yang tuhanku sedang buat, maka aku akan menjawabnya.”
Seluruh mata dan telinga menumpu kearah Abduh.
“Lihatlah olehmu, saksikanlah Allah tuhanku sedang menurunkan yang batil, yang berkuasa, yang alim ke bawah. Dan dia dengan kekuasaa-Nya yang maha agung itu telah menaikkan seorang abdi yang hitam, tidak berpendidikan, tidak berkuasa dan dituduh bersalah ke atas makam yang tertinggi. Tiada yang mustahil bagi Allah, ketahuilah kalau kita tidak beriman dengannya maka kita akan tergolong dari kalangan mereka yang rugi.”
Semua yang mendengar berasa sungguh terharu dan insaf, hingga ada yang menitiskan air mata. Syeikh Muhimmah berbisik kepada Sultan Al-Zahir, “Inilah maksud mimpi tuanku.”
Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.
No comments:
Post a Comment