19 October 2009

Saya Punya Guru Baru

Info gambar: Puan Ainon sedang membahaskan teks saya


Alhamdulillah, semalam seperti yang dijadualkan saya telah menghadirkan diri dengan sempurna ke bengkel penulisan 'Teknik Surah Yusof' yang dianjurkan oleh PTS Publication di Sekolah Rendah Islam Al-Ikhlas Taman Permata, depan pasaraya Giant.

Untuk pertama kalinya saya dapat hadir ke kelas yang dianjurkan secara gratis itu. Dan inilah juga buat pertama kalinya saya bersua muka dengan Presiden atau Pengerusi PTS sendiri iaitu Puan Ainon bin Abdullah yang cukup bermotivasi dan berenegetik sepanjang sesi bengkel tersebut.

Alhamdulillah, sepanjang bengkel tersebut kami didedahkan dengan teknik-teknik penulisan yang pada pendapat saya adalah mazhab baru dalam aliran penulisan kesusasteraan tanah air. Banyak elemen baru yang dicerapkan, sangat bertentangan dengan aliran tradisional yang lebih bermazhab 'realism' dalam penulisan.

Alasan Puan Ainon sangat mudah, "Kita ikut teknik surah Yusof, al-Quran ialah Kalamullah, apa yang lebih indah daripada al-Quran? Sebab itu al-Quran tidak akan jemu dibaca hingga ke hari Kiamat."

Persis Ulama' Salafi dalam mentafsirkan al-Quran dan mengamalkan sunnah Baginda Rasulullah SAW. Dalam 'Teknik Penulisan Surah Yusof' juga diterangkan secara jelas apa yang perlu dan tidak perlu ada, segalanya dianalisis secara ditir satu persatu.

Saya takjub. Maka benarlah sastera Islam itu yang terindah, benar juga Al-Quran adalah ensiklopedia kesusasteraan Islam dan Melayu yang agung tiada bandingan. Tertolak terus mazhab 'realisma' jika mahu dikategorikan sebagai salah satu cabang sastera Islami.

Dengan tema 'Sastera itu memberi harapan'. Kami pasti impak yang tercalit di hati pembaca lebih berbekas. Lebih sampai dakwahnya, lebih menyuburkan roh Islam dan cintakan Allah dan Rasulnya. Itulah harapan yang dinamakan 'surrealisma'. Harapan masa hadapan, berubah sekarang.

Kami juga diberi latihan, dan yang menariknya dua teks latihan perlu ditulis di papan putih sebagai contoh umum. Dan teks yang kedua adalah teks saya. Terkejut, terngamam, semuanya ada. Saya gagahkan juga untuk mampir menayangkan tulisan picisan itu. Dan akhirnya...biarlah jadi rahsia saya dan mereka yang berkenaan sahaja.

Dan banyak lagi pengajaran yang tidak akan ternilai dengan wang ringgit didapati di dalam bengkel tersebut.

Dan yang paling menggembirakan saya ialah, saya punya seorang Guru dan ramai sahabat baru, Tuan Syafiq selaku editor yang baru bertugas di PTS juga saya hulurkan salam ukhwah fillah, sebelumnya saya hanya kenal beliau melalui tulisan blog peribadinya sahaja. Ada juga Tuan Zamri, katanya pada saya selepas berbasi-basi, "Inilah sekolah saya bermula tahun 2005 sehingga saya sekarang sudah menerbitkan 13 buah buku dengan PTS. Awak kena datang semua bengkel dan tidak mustahil awak akan jadi lebih hebat daripada saya."

Insya-Allah, kesinambungannya akan melorongkan saya hingga mengandung dan melahirkan karya saya sendiri. Maha suci Allah yang segala kekuasaan pada-Nya, saya memohon. Amin.

Untuk maklumat lanjut sila layari:

- http://universitipts.com/
- http://sasteraislami.blogspot.com/
- http://typeace.blogspot.com/
- http://www.zamrimohamad.com/

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

No comments: