22 October 2009

Daulat Tuanku

Acap saya berjumpa dengan Baginda di Masjid Muhammadi Kota Bharu, Baginda hanya berjubah tanpa kolar dan bersandar di dinding masjid tepi mihrab bersebelahan dengan mimbar. Di kepalanya hanya beralas kopiah yang rakyat kebanyakannya pun mampu miliki. Sungguh menyenangkan hati. Bahkan penceramah juga duduk lebih tinggi daripada Baginda. Baginda tekun mendengar.

Memang Tengku Mahkota kami, YM Tengku Muhammad Farish Petra ibni Sultan Ismail Petra menjadi sebutan dan kesenangan di mata dan hati rakyat Kelantan khususnya, hubungan baik Baginda dengan Dato' Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat juga merupakan kredit kepada rakyat jelata. Baginda dilihat sebagai anak murid kepada Dato' Tuan Guru.

Kini Baginda merupakan pemangku kepada Ayahandanya DYMM Al-Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra yang sedang ngering dan menjalani rawatan di Singapura. Rakyat terasa amat kelainannya, walaupun ada cerita kurang manis berkaitan adinda Baginda, Tengku Temenggung.

Dirgahayu kami jelata rakyat mohon amat Tuanku dengan rahmat dan rahim Allah ta'ala memerintah penuh dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Jadikanlah Ulama' sebagai pendamping dan rujukan setiap masa, hormatilah mereka dan utamakanlah mereka.

Ketegasan dan kecaknaan Tuanku terhadap permasalahan rakyat amat kami hargai. Oleh yang demikian kami dengan rela hati bernaung di bawah payungan daulat Baginda Tengku Mahkota.

Daulat Tuanku.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

Dari sumber http://www.malaysiakini.com/news/115484

Pemangku Raja sokong K'tan tuntut royalti minyak
Okt 20, 09 5:36pm


Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra menyokong usaha kerajaan Kelantan untuk menuntut bayaran royalti petroleum seperti perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975.

Baginda bertitah berasaskan data daripada Jabatan Perangkaan yang diedarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, sumbangan Kelantan kepada pengeluaran petroleum seluruh negara bagi tahun 2005 hingga 2008 adalah lebih tinggi daripada pengeluaran negeri Sabah."Pengeluarannya adalah sebanyak 5.4 peratus setahun dan mengikut catatan itu pengeluaran petroleum dari perairan Kelantan telah bermula sejak 2005."

"Kerajaan negeri hendaklah meneruskan usaha-usaha bagi mendapatkan royalti berkenaan seperti kehendak perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu hari ini.

Baginda bagaimanapun yakin di bawah prinsip dan semangat persekutuan, Petronas akan melaksanakan kehendak perjanjian berkenaan yang mengkehendaki bayaran tunai dilunaskan sebanyak dua kali setiap tahun.

Titahnya pembayaran royalti itu nanti, baik tunggakan mahupun bayaran semasa, akan meningkatkan pendapatan bagi Kelantan dan jika perkara itu terlaksana, kerajaan negeri dinasihatkan supaya membelanjakan royalti tersebut dengan sebaik mungkin."Beta difahamkan kawasan pengeluaran gas dan minyak bagi beberapa kawasan pelantar yang paling hampir adalah dengan negeri ini."

"Beta juga berharap Petronas dan kerajaan pusat dapat memikirkan penempatan aktiviti keperluan pelantar, pembaikian dan penyelenggaraan kapal-kapal ini berada di bumi Kelantan berdasarkan ia paling hampir," titahnya.Menurut baginda, jika pembangunan berkaitan aktiviti pengeluaran minyak di perairan Kelantan dapat dikembangkan, sudah tentu ia dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara dan dapat menarik pelaburan luar negara ke Malaysia.

Isu royalti minyak ini timbul apabila Kelantan menuntut sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat berdasarkan pelantar minyak itu dibina di perairan Kelantan.Kerajaan pusat bagaimanapun sedang meneliti tuntutan Kelantan itu dan kini masih di peringkat kajian secara menyeluruh sama ada Kelantan berhak menerimanya. BERNAMA

No comments: