29 October 2009

Satu..Dua..Mula..!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Sungguh saya rasa agak iri hati (yang positif) kepada sahabat-sahabat yang sudah ada karya sendiri. Dan ini secara langsung terus menerus memotivasikan saya. Tapi saya sedar mereka juga bermula seperti saya.

Alhamdulillah, hari sabtu dan Ahad ini padat dengan aktiviti bengkel penulisan. Saya sedar walaupun kita minat menulis dan berbakat menulis, kaedah dan teknik penulisan yang betul harus dipelajari dahulu.

Tambahan pula setiap syarikat penerbitan ada skema dan mazhab yang tersendiri dalam proses penerbitan. Jadi, tunjuk ajar secara langsung dari editor adalah proses pembelajaran yang paling penting buat penulis-penulis dan bakal penulis.

Namun tidak salah jika kita berupaya untuk menguasai beberapa kaedah yang berbeza ini. Ini akan dianggap fleksibeliti dan kreativiti seorang penulis. Makanya peluang untuk penulis itu menapak dan menbarkan jaringnya dalam dunia kesusasteraan adalah lebih terbuka.

Buat masa ini saya akan menumpukan perhatian terhadap corak penulisan dan penerbitan mazhab PTS kerana saya amat berminat untuk menjadi salah seorang penulis syarikat itu. Insya-Allah saya akan konsisten dalam menuntun setiap bengkel ilmu yang dianjurkan pula secara gratis.

Kita tentu pernah dengar dialog ini, "Mana ada barang percuma sekarang ini, nak masuk tandas pun kena bayar RM0.30 sen di Kuala Lumpur."

Tapi di PTS, yang mustahil itu telah menjadi kenyataan. Bengkel hampir sehari, dari pukul 8 pagi hingga 12 tengahari kemudian disambung pada pukul 2 petang hingga 4 petang itu dijalankan secara percuma, saya ulang...percuma. Masakan mampu saya menolak rezeki ini.

Sasaran untuk menyiapkan paling kurang sebuah buku sebelum 1 Januari 2010 akan dikotakan. Tiada alasan lagi, sebenarnya sudah agak lama saya mula menulis. Namun seperti yang dikatakan sebelum ini, menulis tanpa kaedah dan teknik yang bertepatan dengan syarikat penerbit akan menghampakan kita akhirnya.

Jadi saya cuba meniru kaedah sahabat Rasulullah yang mengambil masa sehingga 8 tahun untuk menghafal surah Al-Baqarah kerana menggunakan kaedah hafal satu ayat, faham da amalkan terlebih dahulu kemudian barulah hafal ayat yang seterusnya.

Yang pasti, saya sudah bermula dan saya tidak akan berpaling lagi. Kertas kerja untuk penulisan saya sudah siap dan insya-Allah saya akan berjumpa dengan penerbit PTS untuk berbincang projek saya tersebut.

Selain itu saya juga kena memperbanyakkan membaca buku keluaran PTS untuk mencerap lebih roh PTS dalam berkarya kelak. Tunjuk ajar dari sifu-sifu PTS seperti Puan Ainon, Tuan Syafiq, Tuan Zamri dan ramai lagi amat diperlukan.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

No comments: