Gegak gempita alam buana dengan kemelut politik yang tidak sudah-sudah. Bosan, bahkan mual dengan sikap para politikus yang seakan tidak mengerti dosa pahala, syurga dan neraka.
Sesungguhnya Allah sedang memerhati dan para malaikatnya mencacat setiap gerak laku malah detik niat kita.
Setakat ini saya sudah menghabiskan 3 buah buku novel sejarah Islam karangan Abdul Latip Talib yang diterbitkan PTS Publication. Selain daripada memerhati dan mengkaji metod penulisan Pak Latip dari sudut penampilan ideanya yang digarap melalui idea asal yang sudah tersedia, saya juga cuba untuk memahami dan memahirkan diri saya dengan kaedah penulisan Surah Yusof yang menjadi mazhab rasmi kepada penulis dan bakal penulis PTS Publication.
Setelah selesai mencerap judul Sultan Muhammad Al-Fateh, Hulagu Khan dan Salahuddin Al-Ayubi. Tiba-tiba saya menyedari, selain dari pemerhatian dari sudut kesusasteraan saya dapat rasakan hampir 100% cerita mengenai para pahlawan ini ialah kehebatan mereka dalam berpolitik. Sebagai seorang pemerintah, panglima, ayah, suami dan sahabat.
Bahkan mereka berpolitik sehingga ke medan perang yang telah mengorbankan beratus ribu malah berjuta nyawa jika dihitung kesemuanya. Mereka juga berpolitik sehingga terpaksa menumpahkan darah saudara sebangsa dan seagama. Apakah rasionalnya di sebalik sejarah ini.
Justeru, saya melihat proses politik masa kini juga tidak terlepas dari konflik yang melibatkan sesama bangsa dan agama. Kerana terdapat dua kelompok dalam politik yakni kelompok pertama berpolitik kerana kuasa politik menjadi tujuan mereka namun di sebelah pihak lagi berpolitik kerana Allah.
Niat inilah yang membezakan orang Islam dan kafir malah orang Islam dan juga Islam, sesungguhnya orang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang bertakwa kepada-Nya.
Maka saya sedar, di sebalik mereka yang mencari kuasa politik kerana ingin menegakkan syiar Islam pasti tentangnnya dari dalam dan luar. Sejarah sudah membuktikan, cuma senjata dan latan yang digunakan sekarang lebih moden, khabar yang menjadi fitnah boleh tersebar dalam hanya beberapa saat ke seluruh dunia.
Saya cuba berlapang dada, mencari cerita positif di sebalik segala-mala hal yang ditatapkan saban hari. Rogol, bunuh, zina, liwat, kemalangan, dadah, dedah, rempit dan segala macam bagai lagi masalah yang seharusnya dicari cara untuk menyelesaikannya, sekalipun tidak mampu cukuplah jika kita berusaha mengurangkannya.
Berita gembira yang saya maksudkan ialah pasukan bola sepak Kelantan telah menang selesa 2-0 terhadap Perlis semalam di Stadium Sultan Muhammad IV dan akan ditentang balik di tempat lawan bagi menentukan mereka layak ke peringkat akhir.
Berita kedua ialah, Kelantan mengekalkan rekod bersih rasuah secara konsisten selama 19 tahun pemerintahan di bawah Kepimpinan Ulamak, fikir-zikirkanlah. Yang mana manikan yang mana jauhari.
Saya menyokong segala kebaikan, namun bukan pula beerti saya tidak akan membantah segala kemungkaran. Walaupun ianya dari pihak yang sama.
Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.
No comments:
Post a Comment