Saya tercari-cari artikel lama bagi mendapatkan maklumat tambahan agar kelak dapat dihemburkan dalam bentuk pemikiran acuan diri saya sendiri. Lapangan yang akan digunakan itu samada melalui ceramah, kuliah maghrib, penulisan dan borak-borak santai bersama kawan-kawan.
Kecenderungan saya kepada keusasteraan juga semakin ketara. Insya-Allah saya akan mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh PTS secara gratis itu untuk menjadi salah seorang penulis prolifik PTS. Ideanya sudah dicambah, tinggal lagi mahu diadaptasikan dalam bentuk kalam sahaja. Tambahan pula saya sudah berpeluang berguru dengan guru-guru yang hebat, biasanya guru yang hebat akan menghasilkan anak didik yang hebat juga.
Dalam kesibukan seharian, ada beberapa perkara yang saya kesalkan. Antaranya ialah masa yang terhad untuk membaca, isteri yang sedang alahan mengandung dan ruang ibadat yang tenang. Agak kalut saya dengan semua ini. Mungkin kerana beberapa sikap negatif lama bertandang kembali. Walaupun sudah dapat dihindarkan dahulu namun ianya berulang, insya-Allah saya cuba atasinya.
Minggu sudah, saya cerapkan beberapa buku karangan saudara Faisal Tehrani seperti Karya Nan Indah, Maaf Dari Sorga, Rahsia Ummi yang menggunakan kaedah 'realisme' dalam karyanya. Di daerah 'surrealisme' saya juga sempat cerapkan karya Abdul Latip Talib seperti Hulagu Khan dan Sultan Muhammad Al-Fateh.
Tujuannya untuk memahami teknik dan jurus fikir kedua ikon prolifik ini. Ternyata pertembungan teknik, kaedah, metod ini mendatangkan rahmat kepada pendatang baru dunia kesusasteraan seperti saya. Saya lihat begitu fleksibel sekali pilihan yang terbentang di depan mata. Terpulang kepada kreativiti diri sendiri kelak.
Dan yang pasti, saya akan cuba mengusai kedua-dua mazhab ini agar saya tidak terjerumus ke dalam lembah taklid. Perit sudah saya melihat dan membaca akibat taksub dan ghuluw umat Islam terdahulu dan kini dalam masalah mazhab. Sikap bodoh sombong menjadi asas dalam beriktikad dan berhujah, hasilnya umat Islam menjadi lemah malah hina dina di mata masyarakat dunia. Arakian juga politik yang lebih bertunjangkan iktikad akal nafsu, bukannya didasarkan dengan akidah Islamiyyah.
Sesungguhnya kehidupan, politik, sosial, sastera, teknologi dan sebagainya adalah alat untuk kita menuju Allah ta'ala. Dan saya memilih untuk berusaha menjadi hamba Allah yang sentiasa mengharap redhanya, agar kelak saya dan mereka yang saya sayang dikumpulkan di dalam syurga Allah, insya-Allah.
Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.
Nota: Saya amat tertarik dengan kenyataan Dr Mohd Puad Zarkashi selaku Timbalan Menteri Pelajaran di dalam Metro hari ini. Rujukan http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20091023083257/Article/index_html
Penulis karya sastera corak agama kurang
BIDANG kesusasteraan banyak membantu negara namun ada beberapa perkara yang menjadi kekangan termasuk kekurangan penulis karya sastera bercorak keagamaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi. Menurutnya, yang banyak ketika ini adalah penceramah politik agama manakala sasterawan agama amat kurang.
Katanya, kerajaan sangat menghargai sumbangan sasterawan dan kerana itu hadiah insentif berbentuk wang tunai ditingkatkan dari sejumlah RM30,000 kepada sejumlah RM60,000, mulai pencalonan 2005.
“Kerajaan juga mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Tetap Anugerah Sastera Negara untuk memantapkan tatacara anugerah ini serta mengkaji semula kemudahan perubatan Sasterawan Negara.
“Kerajaan dari semasa ke semasa mengkaji hadiah dan insentif untuk Sasterawan Negara,” katanya, menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang), semalam.
Sasterawan Negara Ke-10 dimenangi Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan atau lebih dikenali sebagai Anwar Ridhwan, baru-baru ini. Oleh itu, Mohd Puad berkata, pihaknya juga akan menimbang untuk mengambil karya sastera yang bermutu tinggi dan penuh unsur bernilai untuk dijadikan bahan rujukan di sekolah.
“Kementerian Pelajaran sedang melakukan persiapan terakhir transformasi kurikulum supaya pelajar tidak taksub peperiksaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment