19 October 2010

Surat Kepada Media Massa, Kod Etika Pakaian di IPTA dan IPTS: Satu Teguran Kepada Pihak Berwajib

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

Percaya atau tidak, zaman ini bukan sahaja wanita yang didiskriminasikan namun lelaki yang lebih dominan sebagai pendiskriminasi turut menjadi mangsa diskriminasi. Contoh yang paling ketara adalah dalam bab kod etika pemakaian di tempat awam khususnya di pusat pengajian tinggi dan jabatan-jabatan kerajaan.

Saya mengambil contoh di beberapa IPTA dalam negara seperti UUM yang begitu terkenal dengan ketegasan mereka dalam memastikan pelajar mereka khususnya siswa mematuhi kod etika pakaian. Tali leher sememangnya diwajibkan bagi pelajar lelaki bahkan mereka tidak dibenarkan membuat urusan rasmi apatah lagi menghadiri kelas jika tidak bertali leher.

Lain pula halnya kepada siswi. Satu-satunya universiti yang mempunyai kod etika pakaian yang jelas dan patuh syariah adalah UIAM yang mana mereka mewajibkan pelajar mereka bukan sahaja menutup aurat bahkan mereka diwajibkan bertudung dalam masa yang sama.

Keadaan ini tidak berlaku di universiti lain yang lebih menitik beratkan pemakaian tali leher kepada siswa berbanding pemakaian tudung dan penutupan aurat kepada siswi. Tidak keterlaluan jika saya katakan, antara sebab jenayah seksual meningkat adalah kerana sikap wanita-wanita dalam berpakaian.

Di sana sini kita boleh melihat siswi begitu bebas memperagakan kepelbagaian feksyen pakaian ke kelas tanpa ada sebarang sekatan. Pembukaan aurat begitu menjadi budaya walaupun siswi tersebut adalah seorang Melayu Islam. Isu mereka tidak ingin menutup aurat di luar kampus adalah isu lain. Namun pemakaian yang patuh syariah di kampus semestinya diwajibkan oleh pihak pengurusan universiti kerana mereka akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.

Saya juga yakin kita semua tahu menilai antara kewajipan pemakaian tali leher siswa dan penutupan aurat para siswi, yang manakah lebih utama dan relevan serta akan diredai oleh Allah. Jangan sampai kita terpaksa menanggung dosa yang orang lain buat di akhirat nanti. Kerana seksaan Allah itu sangat pedih dan zalim.

Dengan itu saya menyarankan kepada pihak pengurusan semua universiti membuat undang-undang kecil di bawah kuasa yang diperuntukkan kepada mereka agar mewajibkan pemakaian yang menutup aurat seperti baju kurung, jubah dan bertudung kepala kepada siswi Melayu Islam dan pakaian yang sopan kepada siswi bukan Islam.

Kepada kumpulan aktivis mahasiswa Islam setiap universiti khususnya, wajib menjadikan isu ini isu yang diperjuangkan sepanjang zaman dan desakan mesti dibuat sehingga ianya diwartakan menjadi undang-undang sah universiti di seluruh negara.

'Tiada aurat, terpelihara umat!'
_____________________________________________________________


Nota: Saya cuba panjangkan surat ini kepada ruangan surat beberapa media cetak, semoga ia sampai kepada sasaran yang dimaksudkan. Insya Allah.

18 October 2010

Dua Buah Puisi dalam Projek Meditasi Dampak 70 Kemala

KANDUNGAN

Meditasi/Meditation
oleh Kemala terjemahan Nazel Hashim Mohamad

KEMALA:
Sajak Hari Lahir Pon Mariam
Kasyaf Danau
Namaku Ahmad
Tuhan Membujuk

LK ARA:
Mengingat Kau, Sujud Pertama di Arafah, Arafah I

HASYUDA ABADI: Wirid, Gemeresik Bisik, Di Mata Pedang Selendang

SHAMSUDIN OTHMAN:  Pohon Tujuh Puluh

KARDY SYAID:  Di masjid Negara, Pantai Purnama, Orang-orang Lupa

NORIDAH KAMARI:  Bertukar Mimpi, Potek, Ilham
  
SUTAN IWAN SOEKRI  MUNAF:  Ketika Sepi Itu Sampai Juga, Pesawat Cinta, Catatan Di Panorama
Bukittinggi

MUHAMMAD MUHAKKAM EL-ZEIN:  Pyramid, Ramadhan, Tiga Kerinduan Hujan

A. MUZIRU IDHAM:  Aksara Kehidupan, Membunuh Nafsu Atas Puncak Kehidupan

AHMAD DAVID KHOLILURRAHMAN:  Selengan Dahan Ramadhan, Jum'at Marbot,
Menyirat-nyirat zakat

EMONG SOEWANDI: Kepada Orang-orang yang Merenung Lalu Menaruh harapnya pada Mimpi'
Perjalanan Dalam Tahajud, Kafilah

EMMY MARTHALA:  Menjadi Gelombang, Angin Kering dan Wajah Jembel

KAMAL SUJAK:  Ketika B ulan di Lastik, Hari Ini Dingin Sekali

LAILATUL KIFTIAH:  Pada Musim Kembang Kali Ini, Cerita Rembang, Nyanyian Keheningan

JUSUF HAKIM:  Jalan Lurus Tak Berhujung, Goretan, Jejak Rindu

HAZWAN ARIFF HAKIMI:  Pada Prenghujung Musim, Papakerma, Tetamu Cinta

NUR HASILAH JAMIL: Kembara Muhasabah, Jabat Sepakat

MD. ANDI ARDANA:  Kau Mengingatkanku Pada, Dzikir angin Muson, Tafakur di Telingaku

S. IQRAM:  Tentang Kamu..Su,  [PUISI] Tentang Puisi, Laut Persahabatan

AIZA AIZAN:  Salahkan Saja Diriku, Belasungkawa

ZAHIRUDDIN ZABIDI:  Di hujung Gading, Dendam Mimbar

DAMIRI MAHMUD:  Suasanaku Beritau Aku, Bau Apakah Ini?, Ramadhan

MUHAMMAD ARIF BAZLI:  Nyanyian Lorong, Buat Kuasawanku

HASIMAH HARUN:   Kecantikan Rasa, Malam Yang Yakin, Malang Rumput di Tanganku

IRWAN ABU BAKAR:  Rahmat, Pantai Haeundae Berkabus Semula, Setangkai Mawar Berwarna Ungu

KWEK LI NA:  Saputangan Pemetik Kecapi, Perempuan Di Sebuah Kehidupan, Cinta di Jantungmu

SITI FATIMAH:  Di Hujung Senja Ramadhan

RAJA RAJESWARI SEETHA RAMAN:  Membaca Didaktika Semesta, Menterjemah Anugerah, Berbaring
di Tanah Hangat Ini

AHMIR AHMAD:  Meditasi (i), Meditasi (ii), Waktu

KAMEL KINALY SULEMAN:  1997, Tanda Alam, Nyanyian Senja

BADRUL MUNIR CHAIR:  Surat Laut 1,  Jika yang Kau Lihat Bukan Laut, Wassalam Selamat Malam

DJAZLAM ZAINAL:  Melambai, Siapa yang Menggunting Dada, Bila  Bulan Beralih Bulan Kado Indah Dari Surga

HARSANDI:  Sepenggalan Syair Ramadhan, SenyumTengku, Perdebatan Dua Wajah

NIMOIZ TY:  Degup Puisi Di Jantung Puisi, Ada Cinta di Margin Mata Kasih

SITI ATIQAH MOHD SAID:  Dimensi Cinta Kita

AS-SYRAMY:  Tuhan, Tuan dan Aku,  Satu Realiti, Mencari Ruang

SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY:  Kuntum-kuntum Kehidupan, Di Kamar Kesabaranmu, Mencari Latif

ASRARUDIN HAMID:  Biarkan aku Menari, Hujan Malam Ini, Ratna Juwita Lima

ABDULHADI MUHAMAD:  Dari Wilayah Bergolak, Meninggal Dunia, Jalan Bersimpang

BUDI SETYAWAN:  Tarian Akar, Krekasihku (5), Mencari

VIDDY AD DAERY:  Sajak Renungan Tentang Usia, Jantung Pisang Raja, Tanah Air Mata Kami

AF ASTRID:  DI Almanak Sebuah Umur Tertanggal

ROSMIATY SHAARI:  Mim Apa Kemala?,  Munajat Hamba,  Ceritera Lapangan

ARISEL BA:  Bercerita Sungai Pahang dan Pasirnya, Bercerita Anak Tiram dan Mutiara, Namaku Tsunami

AMPUAN AWANG:  Mimpi Seorang Penyair, Mimpimimpi Sang Pemimpi, Pulanglah Anak

MUHAMMAD IBRAHIM ILYAS:  Menjelang Maghrib, Penantian, Malam Warna Warni I

NITA WIDIATI EFSA:  Terjebak Aku,  Di 16 Januari, Nyanyian Kabus

MH ZAILANI TAMMAKA:  Surat Dari Suatu Tempat Yang Tak Tercatat Dalam Peta Dunia, Pengembaraan
Adam, Dunia Dalam Sebuah Film Kartun

LILY SITI MULTATULIANA S ISKANDAR:   Detik

D KEMALAWATI:   Ketika Kau ucapkan Ungu Untuk Warna Puisimu, Ketika Kartini Berkunjung ke Aceh,
Mabuk Mukjizat

MAULINA:  Perjalanan

SILFIA HANANI:  Berkelana di Syurga Ke Sembilan, Berziarah Ke Tanah Kudup

AROELIKA MUNAR:  Nai
__________________________________________________________


15 October 2010

Mendalami Ilmu Sastera di ASWARA


Oleh: Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

Sehingga saat saya habis menulis novel kedua, saya masih tidak tahu secara tuntas apakah hukum-hukum dan sejarah serta falsafah sebuah karya sastera atau lebih tepat proses pembikinannya.

Sehingga pada 30 September 2010 yang lalu, saya dan lima orang rakan editor mendapat peluang mendalami ilmu penulisan yang dianjurkan oleh ASWARA. Kelas yang berlangsung selama 13 minggu pada setiap hari Sabtu, jam 10.00 - 1.00 tengahari itu dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Haji Faisal Tehrani.

Sebagai mukadimahnya, kami diperingatkan kembali dengan hukum-hukum dan ciri-ciri asas sesebuah karya sastera dan sejarah asal usulnya. Sehingga itulah baharulah kami difahamkan apakah itu plot, latar, watak, perwatakan, logik dan beberapa hukum penting dalam perkaryaan.

Dan ternyata selepas memahami hukum-hukum ini, proses penulisan saya sekarang menjadi lebih teratur, maksudnya saya menulis dengan mengetahui hukum yang menjadi asas sesebuah karya sastera.

Meskipun ada beberapa perkara yang saya tidak setuju dengan sengaja namun ilmu berkenaan amatlah penting bagi seseorang yang ingin pergi jauh dalam dunia sastera.

Saya sempat bertanya kepada beliau, "Bagaimana jika saya tidak mahu mematuhi hukum-hukum ini?"

Jawabnya, "Boleh, akan tetapi syaratnya adalah kita mesti tahu hukumnya terlebih dahulu."

Secara jujurnya saya masih berpegang kepada mazhab rasmi PTS yakni Teori Teknik Surah Yusuf yang saya lihat banyak kelebihannya kepada penulis baru yang tidak mempunyai asas pengetahuan sastera.

Namun kepelbagaian ini tanpa saya nafikan, mampu memberikan ritma penulisan yang pelbagai kepada saya dalam proses penulisan di hari mendatang. 

Saya yakin jika seseorang penulis itu mampu faham akan aplikasi teori-teori sastera yang sedang bertebaran dalam jagat sastera saat ini, dia mampu menerbitkan laras faham penulisannya yang tersendiri kelak. Bayangkan gabungan Teori Takmilah, Gagasan Persuaratan Baru, Teori Teknik Surah Yusuf dan beberapa teori yang dilabel Islam ini disatukan dalam sebuah karya.

Kita lihat sahaja hasilnya kepada dakwah dan umat mendatang.

Nota: Hukum di sini bermaksud syarat-syarat yang perlu ada dala sebuah karya berdasarkan ciri yang disebut oleh Aristotle dalam karyanya dikenali sebagai Puitika Aristotle. 

09 October 2010

Penambahbaikan dalam Novel RA Cetakan Kedua

Alhamdulillah, Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah: Perindu Cinta Abadi sudah menerima arahan ulang cetak kali kedua dalam masa kurang lima bulan. Bulan ini juga menyaksikan karya kedua, 'Aminah: Cinta Puteri Quraisy' bakal berada dalam pasaran.

Banyak respon positif yang sampai kepada saya melalui emel, facebook, sms dan lain-lain. Ada juga teguran-teguran yang bernas daripada pembaca. Dengan senang hati saya meraikan semua. Memang diakui naskhah yang pertama terdapat beberapa kecacatan yang agak ketara dan ianya sudah diatasi pada cetakan kedua ini.

Beberapa penambahan seperti ruang dedikasi, rujukan bibliografi dan testimoni dimasukkan bagi menambahkan lagi seri novel RA. 

Jujurnya, saya punya harapan yang tinggi terhadap karya-karya ini agar ianya laku keras di pasaran. Tidak perlu saya ulang mengapa. Cukup saya katakan, saya masih berada di atas haluan itu, menuju ke arah itu, ianya hanya akan dapat direalisasi apabila royalti tahunan saya melebihi RM20 ribu setahun. Dengan izin Allah.

Saya juga tidak mahu hipokrit dengan menjaja kepada khalayak bahawa saya menulis bukan kerana duit, suka dinyatakan di sini antara sebab saya menjadi penulis adalah kerana duit. Namun yang pasti saya bukan menjadi penulis kerana duit semata-mata. (Mohon rujuk di sini Penulis, Pelajar & Impian)

Saya tidak mahu menjadi seperti sesetengah penulis yang lantang bercakap bahawa mereka menulis bukan kerana duit. Namun apabila ada pertandingan atau sayembara mereka masuk, tatkala menang dan hanya diberi hadiah dalam ringgit yang tidak seberapa mulalah mereka melaung-laungkan pula rasa tidak puas hati, menyalahkan pihak penganjur tidak menghargai karya seni mereka.

Saya akan terus menulis.

Rancangan penulisan 2011 sudah saya serahkan kepada pihak editorial PTS Litera Sdn. Bhd. dan bagi sasaran tahun ini, saya masih ada dua buah buku berkaitan tokoh. Salah satunya sudah siap 50% manakala penulisannya sedikit terganggu kerana saya sedang fokus bagi menulis sebuah i-Novela yang berkisar kisah perjuangan dakwah seorang jururawat yang sentiasa disalah anggap oleh masyarakat awam.

Insya Allah ianya disasarkan sudah bulan ini juga. Doakan saya agar ilham dan idea mencurah tanpa sangkak di mana-mana dengan izin Nya.

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

06 October 2010

Alhamdulillah - Buah Tangan Kedua


Zahiruddin Zabidi. (2010). Aminah: Cinta Puteri Quraisy. Selangor: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

Boleh baca laporan wartawan PTS di sini Aminah: Cinta Puteri Quraisy

04 October 2010

Resensi Proses Kreatif Dua Penulis dari Dua Benua

Ada dua penulis yang amat saya kagumi, keduanya ada sedikit sebanyak persamaan terutamnya daripada sudut pembangunan karier mereka sebagai penulis. Persamaan antara keduanya adalah mereka mula menulis karya kreatif tanpa terlebih dahulu ada pendedahan awal mengenainya. Bahkan kedua mereka bukanlah pembaca karya kreatif sebelumnya.

Penulis yang saya maksudkan adalah Andrea Hirata (Indonesia) dan Bahruddin Bekri (Malaysia). Saya kira perjalanan hidup kedua penulis tegar novel inspiratif motivasi ini penuh dengan kekuatan dan kelebihan masing-masing yang menjadi faktor dan fenomena dalam dunia penulisan kreatif tanah air.

Fenomena Andrea Hirata



Nama Adrea Hirata mencanak naik seiring kejayaan karya fenomentalnya berjudul ‘Lasykar Pelangi’ yang akhirnya difilemkan dan mendapat sambutan yang amat luar biasa di Indonesia. Versi Bahasa Melayunya yang sudah diterjemahkan oleh PTS Publication & Distribution juga mendapat sambutan yang menggalakkan.

Beliau kemudian yang menyedari bahawa bakatnya dalam dunia penulisan tidak boleh dibazirkan terus menulis sehingga kini sudah berjujutan karyanya dalam masa kurang lima tahun. Selepas Lasykar Pelangi (2005), muncul Sang Pemimpi (2006) yang juga sudah difilemkan, diikuti Edensor (2007), Maryamah Karpouv (2008) dan yang terbaharu Padang Bulan & Cinta Di Dalam Gelas (2010).

Andrea Hirata, ketika ditemu bual dalam sesi persidangan akhbar di Pesta Buku Kuala Lumpur pada tahun 2008 menjelaskan, “Saya tidak tahu apa-apa mengenai sastera dan dunianya, bahkan saya tidak pernah membaca karya sastera sehingga buku ini (Lasykar Pelangi) ditulis, saya juga tidak pernah bermimpi bagi menjadi seorang penulis sastera.”

Beliau menambah lagi dengan berkongsi bagaimana akhirnya beliau menjadi penulis. Ceritanya, “Pada suatu hari saya pulang ke Belintong dan menziarahi Bu Mus (gurunya dalam novel tersebut), lantas Bu Mus yang sedang sakit bertanyakan kepada saya tentang satu janji yang saya lafazkan dahulu. Ya, saya pernah berkata kepadanya, ‘Apa yang berlaku di sekolah kita ini akan saya tuliskan suatu hari nanti, untuk ibu.’”

Sambungnya lagi, “Saya lantas tersedar bahawa saya memang berjanji kepada beliau lantas kembali pulang dan terus menulis dan menulis, tanpa sedar jumlah muka surat sudah 500 lebih. Segera saya cetakkan dan hantarkan naskahnya kepada Bu Mus di Belintong, langsai sudah hutang janji saya kepada Bu Mus.”

Apa yang menarik terangnya, “Pada suatu hari, sahabat sepejabat saya kepingin meminjam laptop dan saya benarkan, justeru dia terbaca tulisan-tulisan saya itu dan menyarankan saya menghantarnya ke penerbitan. Saya tidak hiraukan, dalam diam dia menghantar naskah tulisan saya itu ke percetakan dengan meniru tandatangan saya dan saya kemudian menerima satu panggilan daripada percetakan yang pada peringkat awalnya ragu akan kesohehan tulisan tersebut saya yang punya, sangkanya saya penulis mapan yang sudah tersohor menggunakan nama samaran, Ikal.”

Fenomena Bahruddin Bekri



Mungkin ada yang tidak bersetuju apabila saya angkatkan Bahruddin Bekri atau nama sebenarnya Muhammad Baharuddin bin Bekri yang berasal dari Sarawak ini sebagai satu fenomena. Namun ada sisi istimewa penulis muda yang berbakat ini wajar dikongsi.

Saya yang berpeluang berkenalan dengan beliau secara peribadi juga banyak belajar dan meminta petua serta teknik penulisan yang menyebabkan dia mampu berada di tahap sekarang.

Apakah pencapaian yang dapat dibanggakan daripada penulis muda ini, bayangkan beliau yang berkelulusan Bachelor Ekonomi dari UPM ini hanya menulis selepas menjadi editor di sebuah syarikat penerbitan buku berbahasa Melayu yang tersohor di ibu kota.

Bermula tahun 2008-2010, iaitu dalam masa kurang tiga tahun beliau sudah menulis sebanyak 11 buah buku dan dua antologi cerpen bersama penulis lain bagi susunan khas edisi hari raya terbitan PTS, kini kesemuanya hasil buah tangan beliau bertebaran dalam pasaran dan rangkaian kedai buku seluruh negara.

Antara bukunya adalah Perang Kucing (2008), Dunia Ini Sederhana Kecil (2008), Adi Gempa: Evolusi (2009), Puisi Untuk Nadina (2009),  Doa Untuk Aku (2009), Detektif Bertudung Hitam (2009), Di Mana Terangnya Bulan (2009), Kita Hanya Di Seberang Jalan (2010), Diari Mat Despatch (2010), Lelaki Berkasut Merah (2010) dan terbaharu adalah Penyiasat Masjid (2010).

Dua lagi adalah antologi cerpen projek raya yang bertajuk Baju Raya Dari Syurga (2010) dan Remaja@PTS One 2010 (2010). Kesemua naskah karya beliau diterbitkan oleh PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Saya pernah bertanyakan kepada beliau bagaimana mungkin beliau sebegitu produktif, beliau menyatakan, “Saya menggunakan ruang waktu yang ada sebaiknya.” Beliau juga tidak lokek bagi berkongsi rahsia penulisan yang produktif itu.

Antaranya menurut beliau, menulis perkara yang akrab dengan diri kita sendiri akan memudahkan proses kreatif tersebut. Ini termasuk dalam aspek pengalaman yang mana menurut beliau ada tiga aspek yang penting dalam proses pengkaryaan bagi memastikan sesebuah karya itu sedap dan bermakna kepada pembaca.

Faktor yang dimaksudkan adalah pertama pengalaman, kedua imaginasi dan ketiga ilmu. Kombinasi dua antara mana-mana tiga aspek ini sudah cukup memungkin seseorang penulis itu berkarya namun bagi sesebuah karya yang disifatkan sebagai perkongsian dan menyampaikan yang mempunyai makna yang tersendiri, ketiga-ketiga elemen perlu dipastikan wujud dalam setiap karya seseorang penulis.

Tambah beliau lagi, gagasan Teori Teknik Surah Yusuf, Bahasa Melayu Tinggi dan Syariah Compliant yang dianjurkan PTS melalui puan pengerusinya, Puan Ainon Mohd juga antara faktor di mana karya-karya ini lebih ‘lancar’ dihasilkan malah lain daripada yang lain berbanding novel-novel kreatif lain yang berada dalam pasaran. 

Selain itu ungkapan ‘Jangan menilai buku daripada kulitnya’ juga dilihat sudah tidak relevan kerana menjadi sifat semulajadi dan fitrah manusia mencintai, menyukai sesuatu yang cantik dan indah. Maka desain-desain kaver yang indah oleh Tim Grafik PTS juga memainkan peranan dalam memastikan buku beliau diterima baik oleh remaja di luar sana khususnya.

Kini Bahruddin Bekri adalah fenomena kepada anak-anak remaja yang suka membaca, karya terbaharunya sentiasa dinantikan malah atas inisiatif beberapa orang peminat tegar beliau tertubuhlah Bahruddin Bekri FC yang dijana melalaui laman web sosial Facebook bagi mereka berinteraksi terus dengan penulis kesayangan mereka ini.

Citra Islam dalam karya mereka

Walaupun karya kedua-dua penulis ini tidak diangkat dan diletakkan sebaris dengan karya-karya Islami pengarang tersohor lain namun citra Islami yang tidak betah berpisah daripada jatidiri Melayu Islam itu amat jelas terpampang dalam karya mereka.

Watak-watak yang dinukilkan dalam suasana dan latar Islam, isu-isu yang diangkat bermula daripada masalah akidah sehingga masalah feqah, akhlak dan sejarah. Penceritaan santai yang mampu mengusik kalbu pembaca khususnya remaja menerima teguran dan kritikan halus dan ikhlas, dakwah yang disampaikan secara tidak langsung dan perkara-perkara beginilah yang sepatutnya diperbanyakkan dalam pasaran kita bagi dihidangkan kepada pembaca sebagai makanan jiwa yang seimbang antara hiburan dan pengajaran.

Kedua-dua penulis ini juga membuktikan bahawa bagi menjadi seorang penulis yang bagus tidak semestinya kita terlebih dahulu perlu secara rasminya menjadi orang sastera. Sesiapa sahaja mampu menulis, asalkan sahaja bermula menulis dan bersungguh-sungguh, ikhlas serta istiqamah. Menulis juga perlu dari hati agar sampai juga ke hati para pembaca. Faktor fiskal yang lain akan menyusul dengan sendirinya kemudian.
_____________________________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

01 October 2010

Mawar Putih Itu


Satu anugerah
jua amanah
kelak memungkinkan pahala
yang bergelimpangan
penyejuk ranah barzakh
mohonku.

Mulanya fitrah
putih bersih dan suci
daripada nista dosa
hanya Allah dan Rasul
harus diikuti
tanpa lagi jenuh
akan 
masa nanti.

Zahiruddin Zabidi
Wangsa Maju.

30 September 2010

Sedekah Ilmu Melalui Buku; Pengganti Sedekah Wang dan Barangan

http://www.bookcafe.com.my/my/senarai-wakaf-ramadan-2010-my/
Bulan Ramadan yang berlalu pergi mencatatkan 1001 kenangan dalam ingatan. Selain daripada dapat lagi bertemu dengan ibadah-ibadah sunat dan wajib yang hanya didapati dalam bulan Ramadan seperti berpuasa dan bertarawih, amalan-amalan sunat lain juga rancak berlangsung.

Masing-masing daripada kalangan umat Islam berebut-rebut menggondol ganjaran pahala dengan tawaran yang hebat daripada Allah sehinggakan pahala ibadah sunat diganjarkan dengan pahala ibadah wajib dan sebagainya. Ini tidak termasuk jika seseorang itu dipilih Allah bertamu kepada malam lailatul-qadr, malam seribu bulan.

Tidak salah jika dikatakan bulan Ramadan adalah bulan yang paling dinanti-nantikan oleh anak-anak yatim yang kurang bernasib baik dan sebagainya. Semoga bulan Ramadan juga menjadi bulan hiburan buat mereka walaupun agak tidak patut mereka hanya diberi perhatian pada bulan Ramadan sahaja.

Sedekah

Antara amalan sunat yang sangat dituntut dalam bulan Ramadan antaranya adalah sedekah. Rasulullah sendiri sebagaimana yang dilaporkan oleh isterinya Aisyah, menjadi sangat pemurah dalam bulan Ramadan.

Rasulullah menjelaskan melalui katanya yang direkod Imam Bukhari yang diambil daripada Abu Dzar yang bermaksud, Beberapa orang sahabat Nabi Muhammad pernah berkata kepada beliau, ‘Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.’
Jawab Rasulullah, “Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.”
Mereka bertanya, ‘Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?’
Jawab Rasulullah, “Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.””
Beberapa ayat al-Quran juga menjelaskan mengenai kelebihan bersedekah.
Allah menjelaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Dalam surah yang sama ayat 261 pula Allah menjelaskan kelebihan bersedekah dengan firmannya yang bermaksud, “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan Nya.”
Banyak lagi ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah yang menjelaskan tentang kelebihan bersedekah. Ini ditambah pula dengan kehadiran Ramadan yang menjanjikan segala amalan dinilai dengan nialaian yang berganda-ganda.

Di Malaysia juga tidak dinafikan ramai individu dan kumpulan-kumpulan tertentu yang mengambil peluang mengadakan program infaq mereka sendiri kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan lain-lain. Kebiasaannya sedekah ini adalah berbentuk makanan dan pakaian dan perkara yang berkaitan dengannya. Tidak kurang juga dengan membiayai perbelanjaan mereka menyambung pelajaran, membayar bil-bil tempat mereka dan sebagainya.

Namun, tanpa sedar masih ada sisi sedekah yang sangat penting kurang mendapat perhatian daripada masyarakat kita. Ianya adalah sejenis sedekah yang mampu menjana pahala yang berpanjangan sekaligus memberi mereka ilmu bagi digunakan di dunia dan akhirat.

Sedekah Ilmu

Beberapa pemerhatian dan soal selidik dibuat sekitar rumah anak yatim Lembah Kelang dan pihak kami mendapati hampir 90% daripada rumah anak-anak yatim ini tidak mempunyai perpustakaan bahkan sudut membaca sekalipun. Apatah lagi buku-buku bagi mengisi gizi tumbesaran minda dan sakhsiah mereka itu sendiri.

Ini adalah satu kerugian yang besar kerana peluang bagi anak-anak ini diasuh minat membaca adalah sangat besar.Mereka yang menginap di asrama mempunyai banyak lebihan masa yag wajar dididik agar lebih berminat membaca buku daripada asyik menonton televisyen dan sebagainya.

Justeru, pihak rumah penerbitan PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd. bersetuju menjalankan program infaq Ramadan dengan menyedekahkan buku-buku yerpilih kepada rumah-rumah anak yatim tersebut.

Penyerahan yang dilakukan secara berperingkat mengikut rumah sukan masing-masing bebas memilih lokasi rumah anak yatim yang mahu mereka serahkan buku-buku beserta sebuah rak. Selain buku, pihak pengurusan juga berbesar hati memberikan sejumlah wang RM800 kepada setiap rumah sukan bagi digunakan sewajarnya bertujuan juga disedekahkan kepada rumah anak yatim tersebut. RM800 itu juga boleh ditukar dengan buku tambahan bagi mereka yang tidka mahu memberikan selain daripada buku dalam proses infaq mereka itu.

Berkongsi Program Sedekah Ilmu

Berita baik kepada sesiapa sahaja di luar sana yang berminat memberikan infaq ilmu yang diyakini pahalanya berpanjangan ini adalah pihak PTS juga sudah membuka penyertaan kepada mereka yang berminat bagi turut menyumbang sama dalam program ‘Wakaf Buku PTS 2010’ ini.

Dengan hanya bermodalkan RM200, para penyumbang boleh memilih sendiri pakej yang mereka ingini serta lokasi yang mahu dihantarkan buku-buku tersebut. Buku-buku tersebut juga sudah didiskaunkan sebanyak 20% bagi setiap pakej. Ini dilihat sebagai satu peluang kepada mereka di luar sana turut berpeluang menyumbang dalam program wakaf ini.

Program yang bermula 17 Ogos lalu dan akan berakhir pada 31 Disember 2010 ini dijangka akan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat di luar sana yang mencintai kebajikan dan ilmu.

Bagi maklumat lanjut, tuan puan boleh melayari alamat: http://www.bookcafe.com.my/my/senarai-wakaf-ramadan-2010-my/ atau terus menghubungi pejabat PTS di nombor 03-6188 0316.

28 September 2010

Sebuah Sinopsis

Naurah Salsabila binti Abdul Ghafar, anak sulung daripada 5 adik-beradik yang sederhana taraf sosial mereka. Ayahnya bekas polis yang bekerja sebagai Ketua Pegawai Keselamatan dan emaknya pula masih menjawat sebagai kakitangan kerajaan. Beliau yang kemudiannya melanjutkan pelajaran peringkat Diploma Kejururawatan Universiti Malaya kemudian terjumpa satu permulaan baharu dalam hidupnya. Bermula dengan usrah, beliau kemudian aktif melakukan kerja dakwah sehingga dilantik menjadi orang penting dan pengarah program kemasyarakatan organisasi dakwah yang disertainya. Dalam masa yang sama beliau juga dihambat dengan isu-isu cinta kawannya dan dirinya sendiri yang belum menemukan cinta hati. Konflik demi konflik membantai namun dirempuh dengan jiwa yang utuh sebagai seorang yang membawa mesej dakwah.
Naurah mula cenderung kepada dakwah selepas berpeluang mendekati dan akrab dengan Ustazah Humairah yang mengajar subjek Pengajian Agama Islam kelasnya. Keakraban mereka membawa kepada perkongsian dan tarbiyah dalam tidak sedar. Banyak buku-buku agama dan novel dakwah milik ustazah dipinjamkan kepada Naurah. Ini secara tidak langsung membina fikrah Naurah walaupun keluarganya bukan daripada kalangan agamawan.

Tamat belajar tingkatan lima dia yang pada asalnya bercita-cita mahu menjadi doktor tidak kesampaian kerana tidak lulus matapelajaran fizik. Kerana minatnya yang men dalam dalam bidang perubatan sedari dia juga daripada aliran sains tulen, dia memohon mengikuti kursus diploma jururawat di Universiti Malaya. Sebenarnya, kawan kepada emaknya yang mengesyorkan mereka mengisi boring yang diambilnya itu.

Ironinya hanya dia seorang sahaja yang diterima, yang lain samada diterima ataupun tidak mahu pergi atau mendapat tawaran lain.

Dalam konflik bagi menerima atau tidak, sekali lagi Ustazah Humairah memainkan peranannya. Akhirnya Naurah menerima tawaran tersebut.

Sepanjang menjadi pelajar kejururawatan Naurah tidak pernah lupa dia ada tugasan yang penting iaitu dakwah. Bermula dari saat ini, kehidupannya semakin mencabar dalam erti kata mencari hakikat dakwah itu. Dia kemudian aktif dalam Persatuan Mahasiswa Islam, terlibat dengan usrah dan program ceramah, seminar, bengkel dan apa sahaja kaitannya dengan dakwah khususnya dalam kolej kediaman dan fakultinya.

Kelangsungan dakwahnya diteruskan apabila beliau sudah habis belajar dan menjadi salah seorang staf jururawat wad ICU di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Dia semakin keras melakukan kerja dakwah apabila mula menjadi ahli Akhawat, satu NGO dakwah khusus bagi remaja perempuan, dinaungi oleh dewan muslimat sebuah parti Islam secara tidak langsung. Kemudian dia dilantik menjadi salah seorang ajk kanan senggang tidak lama selepas itu disebabkan potensinya yang disedari awal.

Kini dia adalah jururawat dan dalam masa yang sama beliau adalah ahli gerakan dakwah. Hampi 24 jam dalam hidupnya disumbangkan kepada dakwah, sehinggakan saru per satu kawannya sudah berkahwin namun dia masih belum terfikir bagi berkahwin.

Kemuncak kisah ini adalah siri-siri keterlibatannya dengan bagaimana konflik yang dihadapinya tatkala menguruskan anak-anak yang terjebak dalam gejala sosial, cinta yang diharap tidak menjadi kenyataan manakala yang tidak disangka menghulur salam. Tidak kurang juga konflik yang terpaksa dihadapi tatkala berlaku krisis kepimpinan dalam NGO dan parti politik yang menaungi mereka.

Peristiwa menarik juga berlaku apabila beliau dilantik menjadi pengarah program satu program kemasyarakatan yang melibatkan penduduk Pantai Dalam, di sini bagaimana beliau berperngalaman berurusan dengan YB kawasan malah ada tawaran menjengah kemudiannya.

Apapun, satu perkara yang sentiasa dia dan sahabat-sahabatnya dalam gerakan dakwah adalah, masih ramai yang skeptikal dan tidak percaya bahawa mereka adalah jururawat kerana di luar waktu bekerja mereka adalah ahli gerakan dakwah yang berpakaian muslimah lengkap. Bertudung labuh, bertudung dan berstokin di samping baju yang loggar.

Tapi itulah mereka, sekumpulan jururawat yang penuh dengan kesedaran Islam dan dakwah, malah menganggap kerja mereka sebagai salah satu cabang dakwah yang mulia. Di samping keterlibatan secara khusus dalam NGO dakwah itu sendiri. Dan Naurah serta sahabat-sahabatnya berusaha bagi mengubah persepsi itu malah mengangkat golongan jururawat adalah pendakwah yang paling tepat posisinya.

Nantikan kisahnya, Naurah Salsabila... dengan pegangan dan falsafah hidupnya, “Hargailah persamaan dan fahamilah perbezaan”, “Dakwah adalah perkongsian”.

Kandungan cadangan.
Bab keseluruhan : 30 
Muka surat : 250 - 300
Jangka masa : 2 bulan (insya Allah).

26 September 2010

Berguru di ASWARA

Alhamdulillah, ada sahabat berpesan kepada saya dengan katanya, "Peluang itu perlu dicari, jangan diharap ia datang sendiri. Namun, jika ianya sudah ada di depan mata, perlu disambar segera andai jelas kebaikan daripadanya."

Peluang kadang-kadang yang membedakan nasib dan keputusan dalam hidup kita masing-masing. Namun yang lebih tepat adalah keputusan terhadap peluang itu yang lebuh penting. Setiap manusia sentiasa punya peluang yang Allah kurniakan, nah, sekali lagi keputusan di tangan kita.

Apabila secara tidak sengaja saya terlihat satu roll-bar di TV1 menunjukkan satu hebahan mengenai kursus jangka pendek akan diadakan oleh ASWARA. Dan antara kursus yang ditawarkan adalah Penulisan Novel Remaja khusus di bawah Fakulti Penulisan, saya segera menterjemahkan ianya sebagai peluang.

Laman web rasmi dibuka, borang segera dimuat turun lantas apabila ke pejabat segera saya berkongsi dengan rakan khususnya Tuan Bahruddin Bekri, novelis remaja dan editor PTS Litera (editor bagi karya saya). Beliau dengan segera bersetuju. Entah bagaimana, ada empat orang lagi yang juga mahu turut serta bersama kami.

Ini bermakna, separuh dozen warga PTS ini akan menjadi rakan sekelas, sesuatu yang tidak diduga akan berlaku. Lebih ironinya adalah, dengan bantuan beberapa orang ketua unit yang prihatin, yuran pendaftaran kursus tersebut yang berjumlah RM500 juga dipersetujui oleh pihak atasan bagi ditanggung mereka.

Subhana Allah, Alhamdulillah, Allahuakbar!

Namun saya masih punya satu harapan iaitu... semoga pensyarah yang bertanggungjawab bagi mengajar kami kelak adalah seorang penulis mapan yang saya ingin faham pemikirannya, beliau adalah Dr. Haji Faisal Tehrani.

Kelas bermula

Sabtu, 25 September 2010. Hari pendaftaran dan kelas bermula. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan barangkali. Benarlah Dr. Haji Faisal Tehrani yang akan bersama kami selama 13 minggu kursus jangka pendek ini berlangsung.

Kelas pertama berlalu dengan cukup bermakna, malah kami sempat disapa dan diraikan oleh Datuk Dr. Anwar Ridhwan, dekan fakulti penulisan sekaligus Sasterawan Negara ke-10.

Dr. Haji Faisal Tehrani yang pada awalnya agak terkejut apabila mendapati majoriti yang berada dalam kelasnya adalah warga PTS kemudiannya memulakan pengajian dengan memberikan kami pengenalan kepada asal usul dan sejarah pengkaryaan dalam tamadun manusia.

Tidak keterlaluan jika kami katakan bahawa, pada hari itulah baru kami tahu sejarah di sebalik bagaimana terciptanya kaedah plot dalam pengkaryaan, apakah peristiwa di sebalik berlakunya teori plot dan siapakah yang bertanggungjawab membangunkan kaedah plot dalam pengkaryaan. Kami teruja.

Kami juga sudah diberikan tugasan dengan setiap daripada kami yang berjumlah sembilan orang itu diminta menulis senaskah cerpen dan dihantarkan kepada beliau sebelum hari Khamis ini. Saya mungkin akan menghantar cerpen yang sudah sedia ada.

Apapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini. Peluang itu perlu dicari, jangan diharap ia datang sendiri. Namun, jika ianya sudah ada di depan mata, perlu disambar segera jandai jelas kebaikan daripadanya.

Semoga lebih banyak ilmu, makna dan hikmah yang akan dapat saya pelajari daripada insan hebat ini bagi kelangsungan dakwah saya dalam dunia kesusasteraan bagi menyampaikan apa yang masyarakat perlu, bukan sahaja apa yang saya mahu.

Bersama Dr. Haji Faisal Tehrani di Seminar Pencinta Buku anjuran ITNM beberapa hari sebelum menjadi pelajarnya di ASWARA.
_____________________________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/