Saya akan meneruskan pengajian, insya Allah. Khususnya dalam bidang agama dan kali ini pilihan saya adalah bumi para anbia. Mungkin Mesir, mungkin juga Yaman, Jordan, Syria mahupun Makkah dan Madinah.
Saya sedang merancang. Mengumpul kekuatan fizikal dan material, beberapa sahabat sudah menyampaikan beberapa berita gembira dan maklumat-maklumat yang berguna. Saya dapat rasakan ianya tidak mustahil dan bukan omongan kosong. Sedikit masa lagi, saya akan menginjak ke salah satu bumi anbia ini, insya Allah.
Jika saya ke sana, anak dan isteri akan turut serta. Saya akan bawa mereka bersama. Kami akan tinggal bersama-sama di sana dengan status saya sebagai pelajar dan penulis sepenuh masa.
Insya Allah, ini bukan angan-angan kosong, saya sasarkan impian ini tercapai dalam masa kurang lima tahun daripada sekarang dan ianya akan menjadi kenyataan, insya Allah.
Oleh yang demikian, saya perlu bekerja keras daripada sekarang. Rehlah ilmu ini hanya akan berjalan dengan keizinan Allah. Selain dapat melangsaikan hutang ilmu tersebut, saya juga yakin mampu memberikan perkongsian yang lebih kepada ummah kelak. Ianya akan dilakukan melalui penulisan mahupun komunikasi verbal.
Sebab itu saya menulis dan menjadi seorang penulis. Memberi, bagi mendapatkan kembali dan dikongsikan kembali.
Saya akan pergi dan menyara hidup saya di perantauan dengan hasil penulisan yang sedang saya tanam dan bajai mulai daripada hari ini. Apabila di sana pula, saya akan terus menerus menulis, lagi dan lagi.
Apakah impian ini adalah khayalan kosong jika nilai royalti hasil tulisan saya persis Pak Latip saban tahun?
Inilah impian dan inilah harapan saya. Hanya kepadaMu ya Allah, hambaMu ini berharap dan diri ini akan terus berusaha.
Amin.
__________________________________________Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/