Oleh Zahiruddin Zabidi
CUTI akhir tahun persekolahan sudah bermula, namun ibu bapa masih tetap bekerja. Dalam situasi ini kebanyakan ibu bapa berhadapan dengan konflik bagaimana mahu mengisi masa luang anak-anak dengan aktiviti yang paling berfaedah dan bermanfaat.
Kebanyakan ibu bapa mengambil peluang ini bagi menghantar anak mereka ke bengkel-bengkel, kem atau seminar motivasi dan berkaitan dengan kesedaran Islam, alhamdulillah ianya adalah tindakan yang bagus. Namun ramai juga yang membiarkan anak-anak mereka menghabiskan masa yang luang tersebut mengikut kehendak mereka sahaja.
Justeru, tidak pelik jika pasaraya dan pusat-pusat hiburan di masa cuti sekolah dipenuhi dengan anak-anak muda yang masih merupakan palajar sekolah sebenarnya, jika tidak dibenarkan keluar rumah maka masa yang terluang akan dihabiskan oleh anak-anak dengan bermain permainan video, internet, menonton DVD dan sebagainya.
Sedang anak-anak, khususnya yang berumur 13 tahun ke bawah sepatutnya dibantu dan dipantau oleh kedua ibu bapa mereka agar masa cuti mereka terisi dengan perkara-perkara yang berfaedah. Antara cadangan saya, membawa anak-anak bertumas di perpustakaan adalah satu tindakan yang bijak. Ibu bapa yang masuk bekerja pada pukul lapan pagi membawa anak mereka bagi dihantarkan ke perpustakaan setiap hari dan boleh mengambil mereka pada waktu petang.
Di sini juga pihak perpustakaan perlu peka dan kreatif dalam menarik minat golongan muda ini kepada perpustakaan. Apa salahnya dalam setiap waktu cuti sekolah diadakan program-program khusus yang melibatkan buku dan ilmu dalam perpustakaan dan sebagainya. Sediakan hadiah yang menarik dan mungkin juga boleh dianjurkan bengkel-bengkel penulisan, syarahan, berpantun, bersajak, berpuisi, pertandingan mewarna, melukis dan lain-lain lagi.
Kerapkan juga sesi berjumpa dengan penulis-penulis kegemaran mereka. Adakah juga syarahan umum atau kelas umum dengan sasterawan negara mahupun para penulis tersohor tanah air. Bekerjasama dengan pihak masjid tempatan bagi mewara-warakan aktiviti di perpustakaan adalah satu kaedah promosi yang yang berkesan dan murah kosnya. Mungkin usaha ini akan menarik minta golongan muda remaja agar menjadikan perpustakaan sebagai tempat 'lepak' mereka.
Usaha ke arah menjadikan perpustakaan 'cool' kepada anak-anak adalah satu usaha yang perlu digembleng bersama. Insya-Allah dengan adanya pelbagai aktiviti di perpustakaan maka ianya mampu menarik minat golongan remaja agar rajin ke perpustakaan dan menjadikan perpustakaan tempat lepak dan santai mereka bersama kawan-kawan.
2 comments:
Cadangan yang bernas, tapi relitinya kita lihat pustaka kian suram dan kelam. Mana letaknya kempen "Bangsa Membaca Bangsa Berjaya"
Insya-Allah jika pihak perpustakaan punya inisiatif dalam hal ini malah dapat bekerjasama dengan masjid dari sudut promosi, pasti perpustakaan akan kembali ceria.
Khususnya di desa-desa yang punya perpustakaan awam namun hanya kelibat pegawai perpustakaan sahaja yang saban hari dampak berada di dalamnya.
Post a Comment