26 February 2011

Ulasan cerpen "Jalan Tengah", Tunas Cipta, Februari 2011

Oleh Dr Siti Hajar Che Man
Tunas Cipta, Mac 2011, muka surat 13-14

Menerusi cerpen “Jalan Tengah” oleh Zahiruddin Zabidi, khalayak ditemukan dengan watak Aku yang hanya dikatakan sebagai, “aku, selaku hamba yang baru mahu pulang ke agama yang diredai Allah.” Secara keseluruhannya pengarang membina watak Aku dengan permasalahan yang tersendiri, berkonflik dalam kotak fikirannya, terutamanya tentang kerisauan, kekecewaan, kecelaruan terhadap pegangan dan perbalahan dalam agama Islam melalui media baharu, umpamanya facebook, twitter, blog dan forum-forum. Watak Aku ingin melihat dan mencari kesempurnaan dan tidak ada lahi kekhilafan dalam kefahaman beragama, tidak ada lagi tuduh menuduh untuk menegakkan kebenaran dan tidak ada lagi yang mendabik dada bahawa dialah yang benar. Sehinggalah pada hari cuti kemerdekaan, Aku menghadiri suatu program diskusi dan wacana agama yang dianjurkan oleh PMIUPM bertajuk, “1 Akidah 1 Ummah”, disampaikan oleh Ustaz Muhammad Zuhri al-Mawari , kekusutan dalam minda watak Aku semakin terlerai. Itulah inti yang ingin disampaikan oleh Zahiruddin Zabidi. Maka bagaimana elemen klimaks digabungjalinkan dalam olahan cerpen ini.

Secara keseluruhan, tidak ada elemen klimaks yang ketara, maka peleraian cerpen ini tidak dibendung atau diikat dengan satu adegan yang akan menyebabkan khalayak ternanti-nanti apakah yang bakal terjadi kepada watak Aku mahupun dalam majlis wacana ilmu itu. Untuk menghidupkan elemen klimaks sekali gus menimbulkan suspens, Zahiruddin seeloknya membina peristiwa yang cukup tragis dan dramatik sebagai kemuncak cerita yang akan meninggalkan impak yang lebih mengancam. Umpamanya, persoalan kekhilafan yang mungkin ditimbulkan oleh peserta majlis yang akan memperlihatkan kewibaan Ustaz Zuhri menangani masalah tersebut, atau yang lebih mengundang rasa cemas dan tegang, watak Aku dapat mendominasi wacana diskusi untuk menyerlahkan pandangan pandangan yang selama ini berkonflik dan terpendam dalam hatinya. Saya juga terkesan bahawa Aku yang diciptakan Zahiruddin adalah watak yang tidak lepas daripada penyakit prejudis. Ada banyak prasangka dalam watak Aku yang harus diperbetulkan sebelum watak Aku melihat kelemahan atau prejudis terhadap keadaan sekeliling. Watak ini mahukan kesempurnaan dan kebenaran tetapi dalam dirinya masih ada sifat-sifat mazmumah, iaitu memandang serong terhadap orang lain.

Yang menarik perhatian ialah Zahiruddin masih mampu mengekalkan tanda tanya kepada pembaca apabila adanya elemen misteri. Kebijaksaan Zahiruddin menjalinkan elemen misteri ini telah berjaya “mengganggu” minda pembaca. Umpamanya, siapakah watak Aku sebenarnya? Persoalan ini menjadi tambah keliru dan kacau apabila ditanya, “dengan siapa ustaz berbual,” lalu jawapan ustaz, “Kawan... kawan saya yang sedang melaksanakan amanah Allah untuk berdakwah di alam sana.” Timbul lagi elemen misteri, apa yang dimaksudkan dengan “di alam sana”. Kemisterian ini selanjutnya dapat dikesan bilamana watak Aku menjelaskan kepada ustaz, bahawa, “kecelaruan di dunia manusia sudah juga menyusup ke dunia kami”. Timbul pula persoalan di mana “dunia kami” Bertambah lagi kemisterian apabila pihak ustaz menjelaskan pula “Alhamdulillah, semoga Allah merahmatimu dan duniamu sahabatku.” Sudah tentu khalayak dibingungkan lagi dengan persoalan “duniamu sahabatku” di mana pula lokasinya?

Satu adegan yang menarik dalam cerpen ini adalah bilamana mata ustaz bertembung dengan mata watak Aku seolah-olah memberikan isyarat mereka sedang berkomunikasi. Ini satu gaya yang cukup fantastik. Walaupun kekurangan elemen klimaks tetapi jika dihalusi dengan baik, cerpen ini kaya dengan elemen misteri. Andainya Zahiruddin dengan imiginasi dan kreativiti yang baik dapat menggabungjalinkan tiga elemen (klimaks+saspens+konflik), pastinya cerpen ini menjadi lebih hebat.


Nota: Tulisan di atas disalin tanpa perubahan daripada tulisan asal. Dijemput mendapatkan naskhah Tunas Cipta edisi Mac 2011 yang menjanjikan tulisan mengenai isu dan karya-karya bermutu daripada para penulis muda yang berbakat, insya-Allah. Alhamdulillah juga, sebuah puisi saya bertajuk Nikmat Di Pagi Hari turut tersiar.

No comments: