08 February 2011

Respon terhadap rencana "Umat Islam perlu berhenti bina masjid." (Harakah, edisi Isnin, 7-10 Februari 2011)

RESPON PEMBACA:

Assalamualaikum,

kehapadan yang dihormati Tuan Zahiruddin,

saya terbaca blog tuan yang sangat baik ini dan berasa sedikit hairanlah...

Dalam keadaan orang kristian bina gereja besar gedabak di Bukit Bintang untuk menarik ribuan penganut, ada pula yang menyuruh kita berhenti membina masjid???


Pertanyaan juga: adakah kita sedang membina banyak masjid? Tak nampak pun masjid-masjid indah? Surau kecik adalah...


Bukan ke masjid itu markaz/hati orang Islam? Zaman Nabi saw, orang Islam buat segala-galanya di masjid? Jadi, katalah, kita buat masjid dan kemudian, kita buat panggung oditorium di sebelah masjid untuk kegiatan keilmuan dalam apa jua bentuk: sesi seminar/sesi teater/sesi maulid/sesi bina jama'ah, bukankah itu lebih lagi baik? Jadi, kita merenung ke dalam jatidiri, bukan pandang luar dan nak melawan, sedangkan jatidiri dalaman masih berkecamuk, kan?


Walaupun saya setuju wang zakat bolehlah digunakan untuk membikin filem tetapi untuk membuat cadangan supaya kita menghentikan pembinaan tempat sujud sebanyak mungkin di mukabumi Allah ini, dimana ummah menghadap Allah, terpimpin dalam jama'ah dan dapat menjadi markaz/hati orang Islaam adalah suatu cadangan yang keji.

Hairan saya, mengapa tuan Zahiruddin boleh menerima gagasan cetek seperti itu dengan sebegitu mudah tanpa meneliti kebernasannya dulu? Ada banyak cara lain membalas serangan budaya Barat dan juak-juaknya. Misalnya, kita harus menyediakan hiburan alternatif dengan kos yang lebih rendah dan lebih efektif.


Saya pasti tuan bukanlah seorang yang memandang samada seseorang itu ada PhD atau tidak, bukan?


Kita harus lihat pada apa yang dikatakannya juga, bukan?


Entahlah.


Ma'af kalau tuan tersinggung. Saya sangat gusar dengan keadaan ummah yang kucar-kacir pemikirannya sehingga sanggup membuat cadangan seperti itu.


Ma'af sekali lagi, tuan.

Ikhlas,
Nur

__________________________________________________

JAWAPAN SAYA:


Waalaikumussalam, didoakan saudari sentiasa dirahmati dan disayangi Allah, amin.

Pertamanya saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi singgah di laman saya yang tidak seberapa ini. Semoga kita sama-sama mengambil manfaat daripadanya, saya teringat pesan seorang sahabat penulis kepada saya. Beliau berkata, “Kita menulis adalah untuk memberi nasihat kepada diri kita sendiri sebenarnya.”

Sebelum itu saya ingin memaklumkan kepada puan serba sedikit mengenai latar belakang saya. Sebelum saya meletak jawatan dan menjadi editor di PTS, saya adalah salah seorang kakitangan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan ditempatkan di Bahagian Pengurusan Kariah. Bahagian ini adalah bahagian yang menguruskan semua masjid, surau Jumaat dan surau yang berdaftar dalam Wilayah Persekutuan.

Buat pengetahuan puan, sehingga hari ini tidak kurang daripada 55 buah masjid yang sudah dibina tidak termasuk puluhan surau Jumaat dan ratusan surau-surau kecil yang mendaftar dan tidak mendaftar dengan JAWI. Jumlah keseluruhan dalam Malaysia pula, mungkin puan boleh rujuk kepada JAKIM bagi mengetahui jumlah semasa.

Semoga ianya memadai bagi menjawab kemusyhkilan pertama puan tadi. Saya yakin jumlah masjid, surau orang Islam tidak perlu dibandingkan dengan pembinaan rumah ibadat agama lain. Bukankah ini negara demokrasi berparlimen dan Islam sendiri tidak pernah melarang kebebasan beragama kecuali pembinaan rumah ibadat mereka menyalahi undang-undang sivil dan moral serta menggugat kesejahteraan masyarakat.

Yang perlu kita soal adalah, dengan jumlah masjid dan surau yang sedia ada, apakah ia sentiasa dipenuhi oleh mereka yang dipanggil Islam? Kualiti yang kita perlukan bukan kuantiti. Masjid pada zaman Rasulullah hanya bertiangkan tamar, berbumbungkan pelepahnya dan beralaskan pasir. Namun dapat menjalankan fungsi dan roh masjid hidup membugar merakam sejarah kegemilangan umat Islam zaman Rasulullah.

Saya kemudian sangat bersetuju dengan luahan dan cadangan puan pada perenggan seterusnya, itulah yang sepatutnya dan menjadi sunnah Rasulullah menjadikan masjid sebagai nadi pengurusan dan pentadbiran. Memang itulah yang sepatutnya, hakikatnya pada hari ini apakah kita mampu merealisasikannya andai pemimpin tertinggi yang padanya kuasa pemutus dan gedung dana berada tidak tergolong dalam mereka yang hatinya cinta kepada masjid. Insya-Allah kita mengimpikan komplek masjid sebagaimana yang dicadangkan oleh saudari.

Keutamaan dakwah hari ini bukan hanya dengan membina masjid, kerana ada sesetengah golongan itu tidak langsung datang ke masjid. Jadi, bagaimana kita mahu katakan masjid memainkan perannya dengan baik? Yang perlu dilakukan adalah memberikan cetusan dan rasa mahu kepada sahabat-sahabat kita di luar sana agar mereka mula merapatkan diri dengan masjid.

Sungguhpun siapa yang boleh menghalang kita daripada membina masjid, namun cadangan dan gagasan serta maksud yang mahu disampaikan oleh pengarang adalah, “Asyik bina masjid sahaja sehingga tertinggal banyak lompong dalam perkara yang lebih mustahak dan penting.” Lagipun tidak ada satu nas pun yang mewajibkan kita membina 'masjid', apatah lagi dalam jumlah yang sangat banyak. Lebih teruk pula jika ia membabitkan pembaziran duit rakyat sedangkan penggunaannya amatlah limit. Masjid tempat saya bertugas dahulu kosnya adalah RM25 juta.

Saya fikir kalau RM1 juta diberikan kepada penggiat seni Islam bagi membikin filem dakwah dengan kerjasama penulis skrip, pengarah dan pelakon yang fikrahnya Islam. Subhana-Allah, bayangkan kesannya kepada masyarakat. Malah ia akan terus ditonton sampai bila-bila. Jadi apa kurang pentingnya dakwah dengan filem, novel dan sebagainya.

Masjid pada hari ini hanya menjadi simbol dan bukannya komponen utama dalam masyarakat. Ianya seakan khusus untuk ibadah ritual sahaja sedangkan masyarakat pula terus jauh daripadanya. Berdakwah menggunakan seni budaya (tsaqafah) sudah lama diaplikasikan oleh alim ulama. Antaranya adalah Wali Songo yang berjaya mentransformasikan masyarakat Hindu-Buddha kepada Islam melaluinya.

Dan yang terakhirnya adalah, dalam Islam ada satu kaedah fikah yang digagaskan Oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi melalui bukunya yang bertajuk Fiqh al-Awlawiyyat (Fikah Keutamaan). Sehingga itu, agak-agaknya sekarang, bagi menarik dan memberi peringatan dan dakwah kepada masyarakat hari ini, antara terus membina lebih banyak masjid yang hanya penuh pada hari Jumaat atau laburkan sedikit daripada peruntukan membina masjid itu untuk membuat filem dakwah, yang manakah lebih utama? Wallahualam.

9 comments:

Nur said...

Assalamualaikum,

kehadapan Ustaz Zahiruddin yang semakin dihormati dan dimuliakan,

Ma'af ya, tuan ni Ustaz, rupanya...
Sebab tu, blognya sangat baik sekali, alhamdulillah...

Terima kasih memberikan respons yang sangat baik...
Saya berikan respons juga, ya?

"Buat pengetahuan puan, sehingga hari ini tidak kurang daripada 55 buah masjid yang sudah dibina tidak termasuk puluhan surau Jumaat dan ratusan surau-surau kecil yang mendaftar dan tidak mendaftar dengan JAWI."

Lima puluh lima sahaja, Ustaz???
Rakyat kita berapa juta, ya, Ustaz...
Cukup ke 55 masjid dan puluhan surau Juma'at (untuk juma'at sahaja!) dan ratusan (sahaja!) surau kecik menampung jutaan rakyat?
Ustaz telah pun membuktikan klaim saya yang kita tak nampak pun banyak mana masjid di bumi Islam sehingga selama ini, tak mampu mentarbiah anak-anak Islam dengan akhlak qurani dan cinta masjid!

"Saya yakin jumlah masjid, surau orang Islam tidak perlu dibandingkan dengan pembinaan rumah ibadat agama lain. Bukankah ini negara demokrasi berparlimen dan Islam sendiri tidak pernah melarang kebebasan beragama kecuali pembinaan rumah ibadat mereka menyalahi undang-undang sivil dan moral serta menggugat kesejahteraan masyarakat."

Ustaz, sekiranya dilihat dari segi fizikalnya saja sudah mengganggu penglihatan mata. Negara Islam tapi tempat ibadat orang bukan Islam sebesar gedabak, astaghfirullah.

Dilihat pula dari aspek spiritual, masjid yang melaungkan azan dan disambut malaikat dan seluruh alam ini, bersahutan pula dengan jin/jin syaitan dari tempat peribadatan berdekatan...

Kita mahu kalimah Allah lebih bergema atau dakyah syaitan/jin bergema di mukabumi Malaysia ni, Ustaz?

"dengan jumlah masjid dan surau yang sedia ada, apakah ia sentiasa dipenuhi oleh mereka yang dipanggil Islam? Kualiti yang kita perlukan bukan kuantiti."

Sangat benar, Ustaz.

"Yang perlu dilakukan adalah memberikan cetusan dan rasa mahu kepada sahabat-sahabat kita di luar sana agar mereka mula merapatkan diri dengan masjid."

Juga sangat benar, Ustaz. Kita sefikrah, Ustaz.

"Saya fikir kalau RM1 juta diberikan kepada penggiat seni Islam bagi membikin filem dakwah dengan kerjasama penulis skrip, pengarah dan pelakon yang fikrahnya Islam. Subhana-Allah, bayangkan kesannya kepada masyarakat. Malah ia akan terus ditonton sampai bila-bila. Jadi apa kurang pentingnya dakwah dengan filem, novel dan sebagainya."

Sangat-sangat benar, Ustaz. Tabik, Ustaz!

Tiada siapa yang kata tak perlu beri pada golongan seni ini, Ustaz. Lebih-lebih lagi yang akan berdakwah melalui karya seninya. Sebab tu, saya jenis sokong buat panggung oditorium sebelah masjid(yang boleh dijadikan panggung filem bila ada filem islami! mesti best, punye... errrr, saya pengemar filem, Ustaz, huhuhu...)

Yang saya pertikaikan ayat sebegini, menurut pos Ustaz sendiri sebelum ini:

“Seperti kata Prof. Budriz, orang Islam sudah perlu berhenti bina masjid. Yang perlu kita bina sekarang, meski menggunakan wang zakat sekalipun adalah membikin filem bagi membalas serangan kebudayaan Barat dan juak-juaknya. Demi merenung semula jati diri kita.” Sofe masih dalam kejutan.

perkara pertama: sudah perlu berhenti bina masjid,

Kata Ustaz, tiada siapa yang boleh menghalang, jadi, mengapa penulis mempunyai keinginan untuk menghalang??? Astaghfirullah...
Mengapa sehingga ekstrim begitu sekali pemikiran penulis? Saya khuatir, sekiranya ramai penulis sebegini menyebarkan idea begini, akan kurang makmurlah simbol jelas Islam di bumi Islam sendiri...
(lebih-lebih lagi, baru 55 masjid untuk jutaan rakyat, isy, isy, isy...)

perkara kedua: membikin filem bagi membalas serangan kebudayaan Barat dan juak-juaknya. Demi merenung semula jati diri kita.

Pasti ada cara lain untuk menghalang penyebaran ideologi barat ni, Ustaz, TANPA menghentikan pembinaan masjid. Ada cara-cara lain untuk merenung semula jati diri kita, Ustaz, TANPA menghentikan pembinaan masjid. Kan, Ustaz?

Nur said...

"Masjid pada hari ini hanya menjadi simbol dan bukannya komponen utama dalam masyarakat. Ianya seakan khusus untuk ibadah ritual sahaja sedangkan masyarakat pula terus jauh daripadanya. Berdakwah menggunakan seni budaya (tsaqafah) sudah lama diaplikasikan oleh alim ulama. Antaranya adalah Wali Songo yang berjaya mentransformasikan masyarakat Hindu-Buddha kepada Islam melaluinya."

Sangat benar tu, Ustaz!
Jadi, bukankah dana itu boleh juga digunakan untuk membuat strategi untuk menarik orang Islam ke masjid dengan apa cara juga termasuk filem TANPA menghentikan pembinaan masjid di mukabumi Allah?

"Sehingga itu, agak-agaknya sekarang, bagi menarik dan memberi peringatan dan dakwah kepada masyarakat hari ini, antara terus membina lebih banyak masjid yang hanya penuh pada hari Jumaat atau laburkan sedikit daripada peruntukan membina masjid itu untuk membuat filem dakwah, yang manakah lebih utama? Wallahualam."

Ustaz, melihatnya dalam hitam putih: samada masjid mahal/kosong atau filem islam.
Saya tidak. Tak sanggup buat pilihan tersebut. Saya melihatnya sebagai menggunakan dana untuk menarik rakan-rakan di luar sana ke masjid, bina lebih lagi masjid dan gerakkan masjid, dan gunakan juga dana untuk buat filem.
Kedua-duanya impian, bukan?

Ustaz dan saya punya impian yang sama, iaitu, masjid haruslah dimakmurkan. Bezanya Ustaz dengan saya: Saya tidak akan pernah sekali-kali melaungkan "BERHENTILAH MEMBINA MASJID".
Nauzubillah...
Lebih-lebih lagi... baru berapa? 55 masjid sahaja?

Ustaz kata, tiada siapa yang boleh menghalang pembinaan masjid, tapi, dua perkara telah berlaku dalam pos/rencana Ustaz. Yang pertama, Ustaz meletakkan header besar "Berhenti membina masjid" seolah-olah Ustaz menyokong idea tersebut, (nauzubillah), malah, rencana tersebut telahpun tersiar di Harakah yang pastinya disokong oleh puak-puak sekular/liberal dalam PAS, dan yang kedua, Ustaz menyokongnya menghentikan pembinaan masjid itu juga dengan memberi justifikasi mengapa penulis menulis begitu, seolah-olah Ustaz bersetuju dengan pandangan sebegitu. Walaupun Ustaz kata tiada siapa boleh menghalang, tetapi, Ustaz telah menyokong orang yang ingin menghalang pembinaan masjid!

Saya minat filem dan minat buku, Ustaz... dan cari bahan bacaan yang baik... tapi, kalau orang tak tahu dan tak menganalisa, maka, dikatanya, hah! betullah kata penulis, buat filem lah, tak perlu lah sibuk-sibuk bina masjid yang mahal tu, rugi duit saja - jalan pintas (short cut) berlandaskan apa ini? Akal? Nafsu? Mengapa tidak beri cadangan untuk memakmurkan masjid-masjid tersebut? Dan dana yang masih ada, sebahagiannya diberikan pada filem... barulah boleh saya yakini kebenarannya... moga penulis yang liberal sebegini tidak melebar pengaruhnya... takut jugak, jatuh Islam di tangan mereka ini kerana sebegitu sekali memperkecil dan menghina institusi utama Islam yang menjadi hati orang Islam...

Saya mohon pada Tuhan supaya menjadi penonton/pembaca yang lebih bijak untuk menilai, amin...

'Ala kulli hal, ini hanya pandangan seorang saya yang kerdil. Terima kasih Ustaz menjawab. Moga Allah merahmati Ustaz dan keluarga (dan anak yang comel itu jadi solehah), amin.

Wassalamu'alaikum.

Zahiruddin Zabidi said...

Waalaikumussalam kepada saudari yang berhemah lagi bijaksana.

Alhamdulillah, respon daripada saudari menyedarkan saya di sana masih ada harapan bagi Islam bertapak secara kaffah (menyeluruh) dengan melunaskan al-Quran dan hadis sebagai perlembagaan tertinggi.

Sekurang-kurangnya tujuan meletakkan tajuk yang kontroversi itu mendatang wacana dan perbahasan. (Sebenarnya ianya adalah tajuk yang diubah oleh editor Harakah, tajuk asalnya adalah PAS PERLU MENDEWASAKAN DAKWAH).

Saya terbayangkan, alangkah bagusnya rencana ini juga dibaca oleh pihak Jakim dan Pas sendiri lantas dapat memberikan respon yang sekritis saudari.

Apapun, terima kasih kerana menjadi umat Islam yang cakna dan sayang kepada Islam dan tidak malas membaca dan terus mencari.

Wassalam.

Nur said...

Assalamualaikum,

Ustaz, harapan orang kecil seperti kami berada pada tuan penulis seperti Ustaz, yang berdakwah melalui seni...

Orang pandai-pandai ada berkata, "Jangan lihat siapa yang berkata, lihatlah apa yang ditulisnya".

Kami mengharapkan pendakwah seperti Ustaz untuk mempertahankan zat Islam. Usahlah membenarkan sesuatu yang kedengaran tak kena, kerana kita mengira siapa yang berkata, ada PhD, ke, penyokong gagasan apa-apa ke... Ustaz harus kritis bagi pihak kami, Ustaz...

Janganlah Islam jatuh di tangan penulis liberal seperti ini yang mungkin punya agenda menjatuhkan Islam tanpa kita sedari (kerana itu, cuba menghentikan kita daripada membina dan memakmurkan masjid di bumi orang Islam sendiri - mana kita tahu, kan...)...

Harapan kami berada atas pundak pendakwah seperti Ustaz untuk mempertahankan.

Kami doakan Tuhan memberi keberkatanNya dan sentiasa bersama Ustaz dalam perjuangan dakwah Islam ini, Amin.

Terima kasih kerana berkongsi di blog yang terlalu berharga ini.

Wassalamu'alaikum.

Hasbullah Mohamed said...

Assalamualaikum wbt tuan tanah, sahabat lama yg lama tak jumpa..

izinkan ana mencelah di celah hangat perbincangan ini. walaupun ana ustaz tapi ana tidaklah begitu alim, dan itulah takat lebur serta panjang ukur pendapat ana selepas ini.

enta seorang sasterawan Islami begitu juga ana (kalau ada yg sanggup anggap ana sasterawanlah, layak ke ana?hehe) ...dan kita selalu menulis maksudnya lapis-lapis.

perlu hentikan bina masjid? 55 buah untuk juta2 rakyat? sefaham ana maksud enta 55 buah masjid beratus surau adalah yang wujud di Kuala Lumpur shj, tak termasuk di negeri lain. ana rasa lebih dari cukup utk penduduk Kuala Lumpur, kerana tuan maksudkan JAWI bkn dibawah majlis agama lain...

buat masjid besar-besar pun jemaah waktu zohor pun tak sampai satu saf! itulah yang saya rasa terkilan umat Islam Malaysia zaman ini. pengalaman saya di Kuala Lumpur buat pengetahuan Puan Nur, walaupun tidak sampai ke 55 buah masjid (ape ke halnya saya nak melawat semua masjid saya pun bukan pegawai JAWI) tapi kebanyakan masjid saya telah sampai termasuk masjid di mana tuan Ustaz kita ini pernah bertugas, cuma tidak sempat menunaikan permintaan ceramah atau kuliah oleh Ustaz Zahir. (ana pernah singgah masjid wangsa maju untuk solat jumaat)

persoalan pokok sekarang ialah kesedaran umat Islam khususnya di Malaysia kerna skop khas dakwah kita sbg orang malaysia ialah orang malaysia juga, kenapa? ya, kerana orang kita tak kurang juga jauh dari kebenaran Islam..kenapa? pelbagai media di hujung jari, dan mereka lebih suka melayan nafsu berbanding menyuap rohani agar subur dengan ruh Islam. subahanallah..

masjid banyak terbina pada hari ini, jauh lebih banyak berbanding zaman dulu tapi umat jahil tukil sampai tak tahu mengucap pun ada! ya perkara ini biasa saja berlaku di Sabah bumi tercinta tanah darah tempat saya berkhidmat demi tegakkan Islam! dulu, masjid tidak banyak tapi koman-koman nenek yg tak pernah sekolah pandai mengaji Quran. hari ni? Pendidikan Islam disekolah tidak cukup utk menanam ruh Islam kpd anak-anak. masjid? dikunci dikawal rapi, diguna untuk solat jumaat saja pun ada! yg dibuka 2 kali setahun solat raya punnn ada! apa guna masjid banyak tapi yg punya kuasa (dunia saja) buat begini kepada rumah ibadat agama mereka sendiri?

insaflah kita, dakwah masih tidak cukup digerakkan oleh para guru agama saja, bahkan mereka yg ada kesedaran mesti juga. anak bini sedara mara kita adalah tanggungjawab kita. usah bermegah dgn masjid yg gah dan cantik tp masjid itu tidak hidup dgn aktiviti agama. masjid kristal dan yg sewaktu dgnnya, cukupkah sekadar di mata? cukupkah sekadar ambil gambar kenangan sahaja? ayuh kita muhasabah. subhanallah...

Zahiruddin Zabidi said...

Waalaikumussalam Tuan Hasmora,

Terima kasih atas respon balas.

Tidak balik kampung ko?

Lama sangat tinggal di sana, lama takut tidak balik langsung.

;)

Isma Ae Mohamad said...

Assalamualaikum,

Saya baru baca artikel itu(terlewat), apa yang saya faham, ''Umat Islam Perlu Berhenti Bina Masjid'' hanyalah metafora daripada tuan, saya rasa begitu.Bukan bermakna masjid baru tak perlu dibangun lagi...

Zahiruddin Zabidi said...

Waalaikmussalam, Tuan Isma Ae yang bijaksana. Terima kasih atas respon tuan.

Soalnya siapa yang boleh menghalang kerajaan atau sesiapa sahaja bin masjid? Jawapannya adalah tiada.

Yang hendak dijelaskan di sini adalah:

1. Pihak kerajaan dengan duit yang ada jangan hanya fikir mahu bina masjid dengan alasan itulah syiar Islam sedangkan fungsi masjid itu sangatlah terbatas. Ada satu hadis Rasulullah yang menerangkan bahawa di akhir zaman masjid-masjid dibina dengan gah bagi bermegah-megah sedangkan fungsinya tiada. Justeru pihak kerajaan jangan abaikan ruang dakwah dalam dunia kreatif yang sangat luas itu. Jikapun tidak mampu mahu menghalang kemasukan filem-filem yang penuh dengan unsur bertentangan denga Islam, maka buatlah filem-filem bagi melawan balik dakyah tersebut.

2. Pihak PAS sendiri juga tidak boleh hanya fokus dan terlalu obses kepada isu politik sedangkan di sana banyak lagi ruang dakwah yang boleh diterokai selain daripada berpolitik. PAS juga perlu buat filem dakwah.

Dan dialog yang mengandungi penyataan itu bukan tulisan saya, namun saya petik daripada sebuah novel yang bakal terbit nanti. Dan saya bersetuju dengan penyataan tersebut.

Cuba baca tajuk artikel dengan nada sinis atau nyenyer... ;)

Nur said...

Salam,

"Dan dialog yang mengandungi penyataan itu bukan tulisan saya, namun saya petik daripada sebuah novel yang bakal terbit nanti. Dan saya bersetuju dengan penyataan tersebut."

Astaghfirullah.
Apakah akan jadi pada ruh ummah apabila agamawan sendiri ingin memberhentikan pembinaan tanah sujud kepada Allah s.w.t. di tanah Islam sendiri...

Saya tidak akan dapat mempercayai Ustaz di blog ini lagi atau karya Ustaz (yang mulanya mahu saya dapatkan).

Moga bahagia, Ustaz.

Wassalam.