04 February 2011

“Umat Islam perlu berhenti bina masjid.”

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

DOKUMENTARI drama adalah filem dokumentari yang menggabungkan unsur-unsur filen cereka. Justeru akan ada pewujudan watak, penggunaan dialog dan gubahan jalan cerita.
“Ini genre yang munasabah untuk kita terokai. Ada jalan cerita serba sedikit, ada penampilan watak, dan paling penting elemen dokumentarinya iaitu ada fakta dan mesej... ada wacana.” Zulkifli mengesat mulut dengan tisu.
Sofea angguk kecil, matanya bercahaya.
“Kita akan buat filem.” Syarifah pegun bagaikan tidak percaya.

“Seperti kata Prof. Budriz, orang Islam sudah perlu berhenti bina masjid. Yang perlu kita bina sekarang, meski menggunakan wang zakat sekalipun adalah membikin filem bagi membalas serangan kebudayaan Barat dan juak-juaknya. Demi merenung semula jati diri kita.” Sofe masih dalam kejutan.

Petikan di atas adalah salah satu wacana yang ditumpahkan ke dalam karya salah seorang penulis mapan tanah air. Beliau yang berkelulusan PhD mengaplikasikan wacana ilmiah dengan menggunakan kaedah yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru janaan Tuan Hj Affandi Hasan. Namun itu bukan isu isi yang mahu dibincangkan di sini.

Saya sendiri diamanahkan bagi membuat bacaan pruf naskhah tersebut dan saya menganggap diri saya bertuah kerana dapat membaca naskhah tulisan beliau yang masih belum dibukukan itu. Apapun yang penting di sini adalah, frasa akhir yang saya petik tersebut yang berbunyi:

“…orang Islam sudah perlu berhenti bina masjid. Yang perlu kita bina sekarang, meski menggunakan wang zakat sekalipun adalah membikin filem bagi membalas serangan kebudayaan Barat dan juak-juaknya. Demi merenung semula jati diri kita.”

Saya merenung lama malah mengulang-ulang bacaan perenggan ini, betapa benarnya penyataan ini bagi direnung oleh semua pihak khususnya organisasi dakwah kerajaan dan bukan kerajaan, organisasi dakwah berparti dan bukan parti. Apatah lagi pihak berwajib mengenai hal ehwal agama Islam bertaraf kementerian seperti Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM). Dan di sini, PAS sebagai pendokong dakwah Islam sedari dari dasar hingga ke pucuknya juga harus cakna dan memulakan langkah ke hadapan.

Pada malam 20 Januari yang lalu, satu program bertajuk Wacana Industri Lakonan dan Dunia Artis yang dianjurkan oleh Unit Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama Malaysia (PUM) sudah berlangsung di Dewan Masjid Abu Bakar, Bangsar. Antara panel yang dijemput adalah Ustaz Fadlan Mohd Othman (Ketua Ulama Majlis Syura Sekretariat Ulama Muda Umno - ILMU) dan Dr Muhaimin Sulam (penggerak kepada Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Pusat).

Dr Muhaimin Sulam dipetik berkata, sudah tiba masanya gerakan Islam di negara kita meggunakan filem bagi menyanggah dakyah-dakyah pembenci Islam sekaligus berdakwah kepada masyarakat. Beliau juga menegaskan industri yang bernilai RM60 bilion setahun itu wajar dimanfaatkan oleh gerakan Islam. Laporan lanjut boleh di baca di: http://www.harakahdaily.net/.

Ustaz Fadlan pula ketika menjawab soalan moderator memberitahu bahawa beliau mewakili diri sendiri dan ILMU sanggup bagi bersemuka dan menjadi rujukan kepada mana-mana individu dari industri lakonan seperti pengarah, artis dan sebagainya bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan jika dijemput. Beliau berkata, agak mustahil dan tidak munasabah jika pihak mereka mahu menerjah terus kepada pihak sana tanpa saluran yang betul.

Saya sendiri kemudian memautkan laporan Harakahdaily yang bertajuk Jadikan Filem Media Dakwah di atas dengan status yang bertulis sebagaimana di bawah di laman sosial Facebook.

“Parti Islam Se-Malaysia (PAS) perlu memikirkan bagi mengeluarkan modal membikin filem dengan kerjasama penulis skrip dan pengarah yang mempunyai fikrah dakwah (sudah ada sebenarnya). Kena cara filem meletup dapat untung juta-juta untuk parti. Yang akan janggal sedikit adalah suasana pawagam yang dikunjungi penonton berkopiah dan bertudung labuh. Ah, wajar sekali ianya diperhalusi sehalus-halusnya!”

Tanpa disangka status tersebut medapat respon yang sangat baik dan kritis daripada kawan-kawan saya di laman FB. Rata-ratanya menyokong cadangan bahawa gerakan Islam di Malaysia khususnya PAS perlu membikin filem bagi menyampaikan dakwah sekaligus ideologi Islamnya. Dalam masa yang sama saya masih mengharapkan JAKIM sendiri sudah mula berfikir bagi merealisasikan cadangan ini dalam konteks yang lebih luas.

Kemudian saya tegaskan kembali penyataan di atas,

“Namun perlu diingatkan bahawa penghasilan filem adalah seni, bermula daripada penulisan skrip sehinggalah kepada lakon layarnya. Namun penerbitannya adalah bisnes. Jarang pula bisnes yang berkaitan langsung dengan parti berjaya setakat ini (merujuk kepada Kohilal). Contoh yang terbaik adalah HPA, mereka mencanak naik apabila menonjolkan  identiti bisnes mereka sendiri dan bukan berlabelkan parti.”

Di sini cadangan yang terbaik adalah, pihak parti sebagai funder kepada para penggerak seni secara belakang tabir seperti penulis skrip, pengarah dan syarikat penerbitan. Kita ada Dinsman, Dr Muhaimin Sulam dan ramai lagi yang berbakat besar dalam menyumbang kepada korpus dakwah kreatif ini.”

Seorang rakan kemudian menjawab status ini dengan menyatakan persetujuan beliau dan berkata,
“Ana sangat bersetuju dengan cadangan ini. Jika PKS (Indonesia) boleh hasilkan filem dakwah Sang Murabbi, kenapa tidak PAS?”

Saya kemudian menegaskan lagi dengan penyataan yang berbunyi,

“Nampaknya pimpinan PAS wajar ditegur agar tidak sahaja sibuk dengan agenda politik sehingga mengabaikan banyak ruang dakwah yang ada... satu filem mampu memberi kesan sepanjang zaman. Dokumentari mengenai era penubuhan PAS, tokoh-tokoh juga tiada... kita masih ketinggalan dari sudut propaganda media... Penulis novel juga perlu cakna akan   hal ini. Nampaknya saya perlu mencari bahan-bahan awal PAS dan tokoh-tokohnya....”
Kemudian ada yang memberikan cadangan agar pihak Pemuda PUM berjumpa secara bersemuka dengan Ketua Pemuda PAS iaitu Ustaz Nasharuddin Hassan Tantawi bagi membincangkan hal ini. Dalam masa yang sama seorang tokoh wartawan juga memberikan cadangan agar pihak Pemuda PUM berjumpa dengan Dr Dzulkifly Ahmad sementelah beliau adalah Pengerusi Jabatan Kebudayaan PAS yang dianggap sebagai individu yang paling tepat bagi membincangkan isu ini.

Saya juga secara peribadi sudah berbincang dengan Ustaz Dzulkhairi Md Noor selaku Ketua Pemuda PUM bagi membawa perkara ini bagi dibincangkan di peringkat yang lebih tinggi. Dalam masa terdekat juga, pihak Pemuda PUM akan menganjurkan satu lagi wacana seni dan berusaha menjemput Cikgu Abu Hasan Morad selaku pengarah drama Islam, Puan Wardina Safiyah dan mungkin Amy Search atau Siti Nurhaliza bagi membincangkan isu ini.

Insya-Allah dalam masa yang terdekat, pihak Pemuda PUM akan berusaha bagi berjumpa dengan pihak PAS dan JAKIM sendiri bagi membincangkan isu ini. Semoga apa yang tertulis dalam baris novel yang bakal diterbitkan di atas menjadi realiti dan digembleng serta diambil serius oleh semua pihak.
_________________________________________________________________


Rencana ini sudah diterbitkan Harakah edisi Isnin, 7-10 Februari 2011. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah, terima kasih.

3 comments:

Nur said...

Assalamualaikum,

kehapadan yang dihormati Tuan Zahiruddin,

saya terbaca blog tuan yang sangat baik ini dan berasa sedikit hairanlah...

Dalam keadaan orang kristian bina gereja besar gedabak di Bukit Bintang untuk menarik ribuan penganut, ada pula yang menyuruh kita berhenti membina masjid???
Pertanyaan juga: adakah kita sedang membina banyak masjid? Tak nampak pun masjid-masjid indah? Surau kecik adalah...
Bukan ke masjid itu markaz/hati orang Islam? Zaman Nabi saw, orang Islam buat segala-galanya di masjid? Jadi, katalah, kita buat masjid dan kemudian, kita buat panggung oditorium di sebelah masjid untuk kegiatan keilmuan dalam apa jua bentuk: sesi seminar/sesi teater/sesi maulid/sesi bina jama'ah, bukankah itu lebih lagi baik? Jadi, kita merenung ke dalam jatidiri, bukan pandang luar dan nak melawan, sedangkan jatidiri dalaman masih berkecamuk, kan?
Walaupun saya setuju wang zakat bolehlah digunakan untuk membikin filem tetapi untuk membuat cadangan supaya kita menghentikan pembinaan tempat sujud sebanyak mungkin di mukabumi Allah ini, dimana ummah menghadap Allah, terpimpin dalam jama'ah dan dapat menjadi markaz/hati orang Islaam adalah suatu cadangan yang keji.

Hairan saya, mengapa tuan Zahiruddin boleh menerima gagasan cetek seperti itu dengan sebegitu mudah tanpa meneliti kebernasannya dulu? Ada banyak cara lain membalas serangan budaya Barat dan juak-juaknya. Misalnya, kita harus menyediakan hiburan alternatif dengan kos yang lebih rendah dan lebih efektif.
Saya pasti tuan bukanlah seorang yang memandang samada seseorang itu ada PhD atau tidak, bukan?
Kita harus lihat pada apa yang dikatakannya juga, bukan?
Entahlah.
Ma'af kalau tuan tersinggung. Saya sangat gusar dengan keadaan ummah yang kucar-kacir pemikirannya sehingga sanggup membuat cadangan seperti itu.
Ma'af sekali lagi, tuan.

Ikhlas,
Nur

Unknown said...

Ustaz Zahiruddin,

Daripada lenggok bahasa; tak sukar untuk diteka siapa penulisnya.

Tak sangka Dr Faisal sudah 'terbuka hati' untuk menulis di bawah PTS.

Tahniah kerana berpeluang menjadi orang pertama yang menjadi pembacanya.

Zahiruddin Zabidi said...

Tuan Al Ghazali,

Alhamdulillah, pertamanya tahniah atas kejayaan menyiapkan manuskrip Uwais al-Qarni. Semoga tuan terus diberi kekuatan bagi berkarya insya-Allah.

Berkenaan dengan gambaran di atas, juga benar. Alhamdulillah... semoga lebih ramai sasterawan hebat sudi bekerjasama dengan PTS selepas ini, insya-Allah.

Nota: Tidak sabar menanti kelahiran buku tuan.