15 February 2011

Hosni Mubarak jelmaan Abdullah bin Saba

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

TANGGAL 12 Feb 2011 bakal dikenang dalam kamus dan peta sejarah politik dunia khususnya bagi bangsa Arab. Bermula daripada pengusiran presiden Tunisia, Zainal El Abidin ben Ali seterusnya melarat kepada satu luahan perasan melalui demonstrasi besar-besaran di Mesir yang membawa kepada peletakan jawatan Husni Mubarak selepas 18 hari demontrasi jalanan di seluruh Mesir.

Ironinya, pada hari yang sama juga, pemimpin agung gerakan Islam abad moden ini dan pernah dipersetujui dan diangkat menjadi mujadid kurun lalu iaitu As-Syahid Imam Hasan al-Banna dibunuh dengan kejam menggunakan muslihat kotor pemerintah pada zamannya.

Tuntutan rakyat yang mahukan Presiden Hosni Mubarak yang sudah berada di tampuk kuasa selama 30 tahun turun terus melarat ke negara Jordan yang membawa kepada pembubaran tampuk pemerintahan kerajaan yang sedia ada oleh Raja Abdullah II.

Bahang kebangkitan rakyat terus merebak ke Mauritania, Algeria, Sudan, Yaman dan Oman. Masing-masing mengambil peluang meluahkan ketidakpuasan hati kepada para pemimpin negara masing-masing dan mereka juga keluar berdemontrasi.

Demontrasi bagi menyokong gerakan penurunan Husni Mubarak juga diadakan di kebanyakan negara di dunia seperti di Iran, UK dan Malaysia sendiri. Sekalipun ada penguasa yang tidak senang dengan sokongan tersebut seolah mereka adalah penyokong kepada regim diktator Husni Mubarak.

Dirempuh

Dalam keadaan rakyat Mesir yang sedang dilanda aspirasi bagi menentang regim tersebut, tiba-tiba kita dikejutkan dengan laporan bahawa di sana ada juga demontran yang pro-Mubarak lantas terjadi pertempuran yang menyebabkan kecederaan dan nyawa melayang.

Penyokong pro-Mubarak dikatakan cuba merempuh penunjuk perasaan yang sedang berkumpul dengan menunggang kuda dan unta. Keadaan menjadi kucar-kacir  dan menyebabkan pihak demontran terpaksa membalas provokasi tersebut lantas tercetuslah kekecohan.

Rata-rata respon balas daripada demonstran menyatakan adalah pelik apabila ada pro-Mubarak yang berani berbuat demikian dalam keadaan mereka tahu kebangkitan ini adalah kebangkitan rakyat keseluruhannya. Lantas dakwaan yang paling berasas adalah demontran pro-Mubarak yang membuat kacau adalah polis yang berpakaian preman.

Mereka sengaja membuat kacau-bilau agar pertempuran berlaku dan pihak polis akan dapat mengambil tindakan terhadap para demontran. Provokasi tersebut sengaja dicipta bagi mencipta keadaan kerajaan sekarang masih perlu dikekalkan bagi mengekang kekacauan tersebut daripada terus melarat.

Taktik ini sedikit sebanyak menyamai apa yang dilaksanakan oleh Abdullah bin Saba apabila dia dan kumpulan munafik yang ada dalam tentera Saidina Ali terhimpit dengan rundingan damai yang bakal berlaku antara kelompok Saidina Ali dan Saidatina Aisyah sebelum berlakunya Perang Jamal.

Peperangan itu terjadi kerana salah faham antara kedua belah pihak, kelompok yang menyokong Saidatina Aisyah mahu pembunuh Khalifah Uthman segera diqisas manakala Saidina Ali pula berijtihad bahawa tidak sesuai ianya dijalankan memandangkan kondisi kaum Muslimin secara keseluruhannya yang belum stabil dan belum bersatu sepenuhnya di bawah satu baiah setia kepada khalifah.

Saidina Ali yang sudah dibaiah menjadi khalifah pada masa itu beranggapan, andai sahaja hukuman tersebut tetap dilaksanakan ianya akan menyebabkan perpecahan yang lebih teruk sementelah kelompok munafik yang membunuh Saidina Uthman juga sedang bergabung dan menyebar fitnah dalam kelompok kaum Muslimin.

Pada malam tersebut, semua tentera Islam daripada kedua belah pihak bersyukur dan dapat tidur lena serta senang hati apabila menyangka masalah khilaf yang berlaku antara dua pimpinan tersebut bakal selesai pada keesokan harinya.

Namun kelompok munafik pimpinan Abdullah bin Saba tidak mampu melelapkan mata masing-masing kerana memikirkan nasib mereka apabila kedua kumpulan tersebut bergabung dan mereka pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan merancang dan membunuh Saidina Uthman.

Pada malam tersebut, mereka berjumpa dan merangcang sesuatu. Lantas satu keputusan nekad diambil. Mereka akan memulakan serangan mengejut kepada kedua-kedua pihak secara serentak pada waktu Subuh. Dan pastinya kedua belah pihak menyangka mereka sudah dikhianati oleh satu sama lain dan peperangan tercetus serta mereka akan terselamat daripada perhitungan kerana membunuh Saidina Uthman.

Apabila berlaku serangan mengejut tersebut, masing-masing menyangka bahawa serangan tersebut daripada pihak yang berlawanan walhal ianya adalah provokasi daripada Abdullah bin Saba dan orang-orangnya. Akhirnya peperangan tercetus dengan sangkaan masing-masing sudah dikhianti meskipun lafaz janji damai sudah terucap.

Akhirnya ribuan umat Islam daripada kedua-dua belah pihak ramai yang meninggal dunia. Pihak Saidatina Aisyah kalah dan beliau sendiri cedera. Saidina Ali kemudian memohon supaya Saidatina Aisyah kembali ke Makkah. (Ibnu Kathir, Bidayah Wa An-Nihayah, jld 7, hlm. 249)

Analisis

Provokasi yang menyebabkan penunjuk perasaan yang pada awalnya dilakukan secara aman hanya bertujuan mewujudkan suasana yang kucar-kacir. Begitu juga apabila banduan-banduan dalam penjara meloloskan diri, polis-polis tidak lagi menjalankan tugas mereka.

Dalam masa yang sama, para wartawan dapat mengesan mereka yang memulakan provokasi tersebut selepas merempuh kelompok penunjuk perasaan di Dataran Tahrir dengan menggunakan unta dan kuda kemudiannya masuk ke dalam hotel-hotel yang menjadi markaz tentera kerajaan.

Tujuannya tidak lain adalah bagi menimbulkan gambaran suasana yang tidak selamat kepada rakyat yang sedang bangkit, bahawa mereka masih perlukan kepada kerajaan yang sedia ada khususnya Hosni Mubarak bagi menjamin keselamatan mereka.

Hosni Mubarak sudah membuktikan bahawa dirinya adalah Abdullah bin Saba yang baru dengan menjadi munafik kepada rakyat dan dunia Islam keseluruhan. Dengan menjadi boneka kepada Amerika dan Zionis Israel, beliau tanpa segan silu  dan gerun akan azab Allah dengan terus menerus menekan, menzalimi, membunuh dan membolot segala harta rakyat.

Benar kata orang dahulu, 'orang lapar adalah orang yang marah'. Dan Hosni akan kehilangan Mubaraknya kerana menyebabkan rakyatnya lapar sehingga 30 tahun tempoh pemerintahannya. Dengan izin Allah, masanya sudah tiba bumi Kinanah kembali bersemi dengan syiar Islam sebagaimana zaman Fatimiyyah, Ayyubiyah, Mamalik dan Othmaniyah.

Dalam masa yang sama, baka Abdullah bin Saba yang akan sentiasa wujud ramai bertebaran dalam dunia Islam dan menjadi duri dalam daging wajar dicabut semuanya termasuk yang berada di Malaysia.

Sandiwara Husni Mubarak belum berakhir tika ini. Tentera yang mengambil alih pemerintahan sementera selepas pengumuman perletakan jawatan Husni Mubarak oleh naib presidennya selepas mencicit lari bersama keluarga masih punya pengaruh besar dalam kumpulan tentera yang berkuasa itu. Dan sudah pasti Zionis Israel sudah punya pelan perancangan tindakan bagi mengatasinya.

Kita mengharapkan ruang demokrasi yang lebih terbuka dihamparkan kepada rakyat dan mereka boleh memilih pucuk kepimpinan melalui pilihanraya yang sah. Ikhwan Muslimin juga dilihat mahu bertarung secara anak jantan dengan memenangi hati rakyat bagi menuju tampuk kuasa. Sekalipun mereka sudah dua kali ditipu… sebagaimana PAS yang juga dua kali tersengat dengan bisa tipu daya muslihat politik. Insya-Allah, pasti tidak bagi kali ketiga.

No comments: