11 February 2011

Rancangan agama di televisyen alternatif dakwah terbaik

Oleh Zahiruddin Zabidi

SEJAMBAK pujian harus dikreditkan kepada pihak televisyen yang tidak melupakan pengisian agama dalam siaran mereka. Alhamdulillah, perkembangan mutakhir ini menunjukkan semakin banyak rancangan bernuansa Islam memenuhi jadual penyiaran televisyen.

Sekalipun tidak secara 'live' dan sekadar siaran ulangan ianya boleh dianggap sebagai alternatif dan wadah kepada mereka yang dahagakan ilmu agama namun tidak mampu hadir ke mana-mana masjid mahupun pusat pengajian agama.

Antara rancangan yang pada saya sangat relevan dan baik ada program 'Tanyalah Ustaz'. Rancangan tersebut yang disiarkan secara langsung hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada jam 7.00 hingga 8.00 pagi dilihat sangat efektif bagi menyampaikan ilmu kepada masyarakat di Malaysia.

Waktu siarannya juga dilihat sangat relevan di mana biasanya pada waktu tersebut bagi setiap hujung minggu, warga Malaysia dalam keadaan rehat dan santai lantas boleh fokus kepada pengajian secara langsung mereka tanpa perlu bergegas ke pejabat.

Seusai sembahyang Subuh di masjid atau surau, jika tiada kuliah Subuh mereka boleh segera pulang dan menghadap pula rancangan 'Tanyalah Ustaz' yang sentiasa mendatangkan isu yang relevan dan rapat dengan masyarakat selain daripada tokoh-tokoh agama yang dilihat punya kaliber dan autoriti dalam bidang masing-masing.

Sesi soal jawab melalui telefon dan emel juga dilihat sebagai inovasi dalam rancangan secara langsung tersebut. Kedudukan ustaz jemputan yang sentiasa berubah juga memberikan kelainan kepada para penonton di rumah bagi meneruskan tontonan mereka.

Terbaharu, TV9 melalui slot Raudhah tampil pula dengan 'Tanyalah Ustazah' yang dilihat juga satu inovasi dalam dunia dakwah penyiaran Islam. Bagi kaum hawa yang dikatakan punya banyak halangan bagi menghadiri mana-mana majlis agama, kini tidak dapat lagi beralasan daripada mendengar dan menimba ilmu bagi kebaikan diri mereka sendiri.

Harapan yang tinggi juga kita letakkan kepada stesyen televiysen Islam pertama tanah air iaitu TVAlhijrah, begitu juga Astro Oasis dan khususnya RTM milik kerajaan sendiri yang masih menjadi alternatif nombor satu bagi masyarakat luar bandar.

Sekalipun rancangan agama sedemikian mampu menampun dan membawa rencana dakwah dengan begitu efektif namun keutamaan bagi seorang Muslim yang dahagakan ilmu masih lagi pada kehadiran mereka sendiri ke majlis ilmu tersebut.

Kerana keberkatan dan kelebihan sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah bagi sebuah majlis ilmu itu adalah seperti salah satu daripada kebun-kebun syurga malah ianya juga akan dinaungi oleh sayap malaikat santak ke Sidratul Muntaha.

Rasulullah SAW pernah berpesan yang bermaksud:
“Sesiapa yang memasuki sesuatu jalan bagi menuntut ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga.” (Direkod Muslim, no 4867)
Kemudian Rasulullah berpesan khusus untuk mereka yang menghadiri masjlis ilmu di masjid yang bermaksud:
“Sesiapa yang pergi ke masjid hanya bagi menuntut ilmu dan mengjarakannya, dia mendapat pahala ibarat orang yang mengerjakan haji secara sempurna.” (Direkod oleh At-Tabarani dalam Mu'jam Al-Kabir, no 7473. Hasan: Sahih Targhib wa Tarhib, no 86)
Ya, kesemua ganjaran di atas dikhususkan kepada mereka yang menuntut ilmu dengan cara menghadirkan diri ke majlis ilmu tersebut. Sebagaimana para sahabat Rasulullah yang berguru dan bertalaki dengan Rasulullah dan sebagaimana Rasulullah berguru dan menerima daripada Jibril sebagai pengantara kepada Allah.

Jika ada yang bertanya, kalau begitu bagaimana ganjaran bagi mereka yang mendengar dan menonton majlis ilmu melalui televisyen sahaja? Jawapannya adalah, menuntut ilmu yang baik menurut syarak pasti akan dikurniakan pahala oleh Allah. Yang beza adalah kadar pahalanya mungkin. 

Wa-Allahualam.
_________________________________________________________________

Nota: Versi yang diedit rencana ini sudah diterbitkan oleh Berita Harian dalam ruangan Surat Pembaca dengan tajuk Sokong Rancangan Berunsur Islam bertarik 15 Februari 2011.

No comments: