24 February 2011

Kata pengantar (karya terbaharu)

Assalamualaikum wrt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang mengaturkan perjalanan alam semesta ini daripada tiada kepada ada, dan kemudian daripada ada menuju kepada tiada. Kepada-Nya jua kita akan kembali tanpa dilambat mahupun dipercepat walau sesaat.

Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan keturunan baginda keseluruhannya, sahabat-sahabat seperjuangan baginda serta para tabi'in dan tabi' tabi'in dan seterusnya para imam, alim ulama dan cendekiawan Islam yang meninggalkan jasa yang besar kepada kita pada hari ini.

Cerita-cerita sememangnya merupakan kaedah yang sangat mesra dan akrab bagi menyampaikan dakwah kepada manusia. Menjadi fitrah manusia suka mendengar cerita sehingga terciptanya pelbagai kisah dongengan dan hikayat yang bertujuan bagi menyampaikan nasihat dan teladan kepada masyarakat zaman berzaman.

Allah dan Nabi Muhammad juga menggunakan kaedah cerita bagi menyampaikan ibrah yakni pengajaran atau hikmah kepada manusia. Dalam al-Quran sendiri sebahagian daripada kalam Allah itu adalah berbentuk cerita. Begitu juga dalam hadis yang direkodkan daripada Rasulullah SAW.

Allah taala menyatakan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.”
(Surah Yusuf, ayat 3)

Kemudian Allah sekali lagi menyatakan dalam surah sama yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”
(Surah Yusuf, ayat 111)

Justeru menggunakan penulisan sebagai medium pengantar dakwah kepada masyarakat adalah satu daripada cabang-cabang dakwah yang penting. Perlu ada golongan agamawan yang menyambung tinta ulama terdahulu yang juga selain daripada menulis bahan ilmiah yang berat dalam masa yang sama menceburkan juga diri dalam penulisan kreatif.

Kita ada Prof Dr Hamka dan Tok Kenali dan ramai lagi ulama yang menggunakan sajak, syair, cerpen, novel bagi menyampaikan dakwah Islam. Dan terbukti melalui penulisan sebegini ianya mampu memberi inspirasi dan aspirasi kepada khalayak pembaca sekaligus mampu mencetuskan perubahan dalam diri mereka.

Mutakhir ini kita ada ramai penulis sekaligus pendakwah yang menggunakan kaedah penceritaan di samping menyelitkan ibrah dan hikmah kepada pembaca secara santai tanpa mengabaikan kalam-kalam yang berbentuk nasihat, teguran, sindiran dan larangan daripada al-Quran dan hadis. Antaranya daripada Galeri Ilmu Sdn Bhd sendiri, buku-buku nukilan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Ustaz Amaluddin, Cikgu Abu Hasan Morad, Tuan Haji Zakaria Sungib, Saudara Hilal Asyraff dan ramai lagi sentiasa menjadi bahan bacaan dan rujukan yang sangat mesra dengan kehendak pembaca dewasa ini.

Saya sebagai pendatang baharu dalam dunia dakwah dan penulisan, selepas seketika melibatkan diri dalam dunia penulisan blog, novel, artikel dan rencana, kini sudah sampai masanya saya kira bagi saya membukukan kisah-kisah yang saya sendiri catat dan kutip daripada majlis-majlis ilmu khususnya kuliah Maghrib ke dalam naskhah buku.

Kisah-kisah yang saya nukilkan itu merupakan rakaman dan catatan daripada ustaz-ustaz yang seringkali kita perhatikan suka menggunakan analogi yang menarik dan indah bagi menyampaikan isi dan menghuraikan isu yang dibincangkan dalam kuliah mereka. Analogi yang diberikan sangat logikal malah memudahkan kita sebagai pendengar untuk memahami dan menghadam perbincangan tersebut meskipun isu yang dibincangkan adalah berat dan dalam.

Justeru saya tuliskan kembali analogi kisah-kisah tersebut ke dalam bahasa yang santai dan mudah bagi dikongsikan bersama dengan pembaca, insya-Allah. Malah saya mengharapkan sesiapa sahaja yang membacanya sudi pula menyampaikannya kepada sesiapa sahaja kelak. Dan semoga jua kita sama-sama berkongsi manfaat sebagaimana yang dilafazkan oleh Rasulullah berbunyi al-ilmun yuntafiu bih yang berpanjangan meskipun jasad sudah hancur dimamah bumi.

Akhir kata, terima kasih kerana sudi memiliki naskhah ini dan selamat membaca. Semoga tuan puan beroleh ibrah dan hikmah daripadanya. Dan saya sendiri sering berpegang kepada kata-kata seorang sahabat penulis, “Kita menulis adalah untuk menasihati diri kita sendiri sebenarnya.” Semoga saya terus diberi kekuatan oleh Allah bagi terus menulis sekaligus menjadi tazkirah kepada diri saya sendiri serta menjadi bahan perkongsian dengan ummah.

Maassalam ila liqa, wassalamualaikum wrt.

Yang benar,

ZAHIRUDDIN ZABIDI
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

2 comments:

Unknown said...

Ustaz Zahiruddin,

Sekalung tahniah daripada saya. Semoga terus maju jaya. :)

Zahiruddin Zabidi said...

Tuan Al Ghazali,

Alhamdulillah, terima kasih atas ucapannya.

Tahniah jua daripada saya atas kegesitan menyiapkan Uwais al-Qarni. Nampaknya tuan sudah mendahului saya.

Nanti kalau datang ke Kuala Lumpur khususnya kawasan Wangsa Maju atau Batu Caves, mohon hubungi saya ya.

Kalau lapang, jemput juga datang ke PTS.