27 February 2011

Sinopsis karya terbaru

CAROLYNN JOSHEPINE, gadis 22 tahun itu adalah anak kepada pegawai diplomatik kerajaan British yang pernah berkhidmat di Malaysia selama 10 tahun. Ayahnya sering bercerita tentang Malaysia selain pandai bercakap bahasa Melayu. Carolynn juga pernah tinggal di Malaysia sehingga umurnya 5 tahun.

Carolynn yang melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana mudanya telah mengambil kursus kajian bahasa dan mengfokuskan pengkajian dalam bahasa Melayu, ini menyebabkan Carolynn telah terbang ke Malaysia untuk berkursus bahasa Melayu di fakulti bahasa moden UPM selama 3 bulan.

Di sana Carolynn telah didedahkan dengan pembelajaraan kesusasteraan Melayu dan sejarah Tanah Melayu. Perkaitan dengan penjajahan British dan kesannya kepada Tanah Melayu, secara tidak langsung Caroline mula terdedah dan tertarik kepada Islam.

Ketika di UPM, Carolynn cuba rapat dengan seorang pemuda yang menjadi fasilitator program tersebut. Pemuda bernama Rihazuddin bin Habibuddin atau Rihaz itu adalah pelajar tahun akhir fakulti tersebut, dia berasal dari Kelantan.

Rihaz lebih dikenali sebagai ‘ustaz’ kerana kebolehan dan kefahamannya dalam agama selain selalu berceramah dan berkuliah, ini adalah kerana Rihaz adalah lulusan diploma dalam bidang Usuluddin sebelum mengambil keputusan menyambung ijazah sarjana muda dalam bahasa Melayu kerana kecintaannya kepada kesusasteraan Melayu yang sangat akrab dengan kesusasteraan Islam itu sendiri.

Rihaz juga aktif berpesatuan dan merupakan mantan setiausaha agung PMIUPM. Kini Rihaz banyak memfokuskan tarbiyah adik-adik pelapis melalui aktiviti usrah selain sibuk berkarya.

Carolynn banyak berbincang mengenai Islam selain tentang bahasa Melayu itu sendiri. Sebenarnya Carolynn sudah lama memendam perasaan ingin tahu tentang Islam namun tidak disuarakan kerana tidak tahu kepada siapa ingin dia bertanya. Pertemuan dengan Rihaz merupakan serampang dua mata bagi Carolynn, selain boleh dirinya merujuk dan bertanya tentang masalah bahasa Melayu sekaligus perbincangan agama menjadi kelaziman mereka.

Hal ini berterusan walaupun selepas Carolynn kembali ke Britain setelah tamat berkursus selama tiga bulan, perbincangan mereka semakin rancak dan mereka saling berbalas emel sehinggalah Carolynn tertarik kepada Islam.

ZAHIRUDDIN ZABIDI
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

4 comments:

Isma Ae Mohamad said...

Assalamualaikum tuan, sinopsis yang menarik.

Saya ingin sedikit kongsi maklumat iaitu tuan mesti berhati-hati membangunkan watak orang putih terutama warga UK berkaitan--asal-usulnya, budayanya, kedaerahannya, nama, timangan dan lain-lain. Pernah seorang penulis dari Asia mencipta watak orang putih tanpa mempedulikan itu semua menyebabkan ia di'smash' teruk. Seperti orang putih membangun watak orang Melayu tanpa membuat penyelidikan, ia akan jadi kaku. Saya percaya tuan sudah buat penyelidikan tentang hal ini...:)Sekadar berkongsi..

Zahiruddin Zabidi said...

Waalaikumussalam, semoga tuan sentiasa dirahmati Allah dan menjadi penulis rakyat yang disayangi oleh kedua-dua ranah tinggal, amin.

Terima kasih atas peringatan daripada tuan. Insya-Allah saya akan berhati. Cunanya perincian watak dalam naskhah ini tidak sedetil novel biasa kerana ianya bercorak surat-menyurat.

Jika tuan pernah membaca 'Surat-Surat Perempuan Johor' karya Dr Hj Faisal Tehrani. Itulah bentuknya....

Apapun, terima kasih atas kecaknaan dan keprihatinan pihak tuan.

Nota: Tidak sabar menanti Putera Langkasuka.

Isma Ae Mohamad said...

'Surat-surat perempuan Johor' adalah novel berbahasa Melayu yang kedua saya baca selepas 'Naratif Oghonsoto'dalam bah tahun 2005(saya agak terlewat membaca novel Melayu). Ia menarik.

Lagi, saya cadangkan, bangunkan watak ayah Carolynn yang sangat membenci Melayu, Islam dan Malaysia. Dari kebencian itu membuatkan Carolynn ingin lebih tahu tentang mengapa ayahnya benci. Kalau saya, yang orang haram dan larang itulah saya nak tahu sangat-sangat. Hanya cadangan. Selamat menulis.

Nota: Putera Langkasuka, terpaksa saya tulis semula, saya seimbang dengan sumber Siam.

Zahiruddin Zabidi said...

Terima kasih atas cadangan, Tuan Isma Ae yang saya hormati.

Saya sangat teruja dengan cadangan tersebut, namun apakan daya ianya sudah siap dan watak Tuan James sangat akrab dengan anaknya malah mendorong anaknya mendalami Islam sekaligus dirinya sendiri.

Sedikit tragis apabila Tuan James mati mengejut dalam keadaan mereka dua beranak sedang rancak mengkaji Islam....

Nota: Nampaknya selepas ini saya akan menelefon Tuan Isma Ae bagi mendapatkan buah fikir, boleh ya...?