02 February 2011

Perlu bikin filem dakwah

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

LEWAT program wacana Unit Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama Malaysia yang mendatangkan Ustaz Fadlan Mohd Othman dan Dr Muhaimin Sulam sebagai panel. Tajuk perbincangan adalah Wacana Industri Lakonan dan Dunia Artis Menurut Islam.

Sebelum majlis bermula dan saya diminta menjadi moderatornya, saya sempat melayangkan satu sms kepada seorang tokoh penulisan kreatif yangberkelukusan PhD dan bertanyakan kepada beliau mengenai apa yang wajar saya apungkan dalam majlis tersebut nanti.

Justeru beliau menjawab sms saya dengan berkata, “Hari ini terminologi lakonan ikut Greek. Apa lakonan dalam Islam?”

Sejenak saya sekaan faham maksud beliau adalah, teori dan aplikasi dalam pengkaryaan filem di negara kita juga masih menggunakan teori seperti Puitika Aristotle yang perlu kepada sebab dan akibat, permulaan, klimaks, antagonis, protagonis, konflik dan peleraian. Tunjangnya pula ada hiburan semata-mata.

Seketika kemudian saya semacam tidak faham pula apakah maksud beliau, menyebabkan saya tidak menjawab sms beliau. Tidak lama kemudian, beliau melayangkan kembali satu sms kepada saya yang berbunyi, “Kalau terminologi ikut kafir macamana produk mahu jadi Islam?”

Jelaslah saya apa yang mahu beliau sampaikan. Apabila asas sebuah amalan atau kerja tidak terlebih dahulu menggunakan kaedah-kaedah yang wujud dalam Islam maka adalah mustahil sesuatu kerja mahupun produknya boleh menjadi Islam.

Secara amnya, memang hampir kebanyakan material, teori dan aplikasi yang wujud dalam dunia kita khususnya di Malaysia sekarang adalah hasil daripada manipulasi barat terhadap ilmu dan pengkajian, kebanyakannya pula adalah dengan menyedut dan melumati hasil daripada peradaban Islam di era kegemilangannya.

Justeru, ada satu lagi terma yang cuba digagaskan olah cendekiawan kita lewat abad mutakhir ini iaitu Islamisasi. Dalam maksud mudah, segala apa yang berasal daripada barat tanpa dapat kita nafikan banyak faedahnya perlu 'diIslamkan' agar sesuai dengan atur cara syariat yang ditentukan oleh Allah.

Ternyata banyak perkara yang perlu diIslamkan pada hari ini termasuk bidang seni termasuk bidang lakonan. Tanpa dapat lagi dinafikan bahawa sebuah filem itu mampu memberikan pengaruh dan kesan dalam jangka masa yang segera malah berpanjangan selagi mana ianya ditonton oleh khalayak.

Bayangkan sebuah filem yang diterbitkan lama dahulu seperti Charlie Chaplin, sebuah lakonan mimik tanpa suara, sehingga hari ini masih dapat ditonton dan sehingga pada hari ini juga sudah ribuan judul filem dengan teknologi yang terkini berlegar dalam dunia dengan membawa agenda dan dakyah bagi tujuan yang khusus.

Oleh yang demikian, sudah tiba masanya umat Islam khususnya organisasi yang terlibat dengan Islam secara rasmi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan di bawahnya serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan memikirkan bagi mengeluarkan produk-produk media dan seni Islam secara serius.

Kenyataannya, kita ketinggalan dan kekurangan drama-drama dan filem dakwah yang sarat dengan pencerahan dan pemurnian mengenai Islam. Filem-filem yang menjawab balik serangan-serangan pemikiran dan kebudayaan barat terhadap Islam dari dalam dan luar negara.

Mungkin di negara kita, kuasa bagi menghalang filem-filem picisan yang penuh dengan kebejatan adalah terhad namun di sana masih ada ruang bagi menjawab dan menyanggah segalanya dengan menggunakan kaedah yang sama. Dan perlu diakui Indonesia sudah mendahului kita dalam isu ini.

Saya memikirkan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih serius dengan membawa perkara ini kepada pihak yang berwajib. Insya-Allah saya akan berbincang dengan Ustaz Dzulkhairi Md. Noor bagi mengadakan lawatan, perjumpaan dan serahan memorandum kepada kementerian yang sewajarnya.

Antara yang perlu kami jumpa, berdialog dan berbincang adalah dengan pihak Kementerian Penerangan, Budaya dan Warisan, Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan mungkin pihak FINAS sendiri.

Dalam masa yang sama, PAS sebagai pendokong kepada gagasan dakwah Islam juga harus memainkan peranan dalam menekan kerajaan agar tidak terus membiarkan filem-filem tidak bermoral tersebut diberi kebebasan. Perjumpaan dengan Ketua Pemudanya, Ustaz Nasharuddin at-Tantawi dan Ketua Jabatan Kebudayaan PAS, Dr Dzulkifly Ahmad akan diadakan, insya-Allah.

No comments: