07 February 2011

Ingin tahu siapa tanggung kos penuntut pulang ke Mesir

2011/02/07

TIADA ucapan setimpal dapat dibalas terhadap jasa baik kerajaan dalam usaha membawa balik penuntut Malaysia di Mesir. Saya yakin ramai ibu bapa, adik-beradik dan sanak saudara yang lega dengan perkembangan terkini proses pemindahan itu.

Kira-kira 9,000 orang bakal dibawa pulang sepenuhnya walaupun rekod di Kedutaan Malaysia Mesir menyatakan ada 11,000 nama yang berdaftar dengan mereka. Namun jumlah sebenar pula dianggarkan 14,000 orang.

Difahamkan Kerajaan Malaysia menanggung sepenuhnya perbelanjaan pelajar bagi dipindahkan dari Mesir ke Jeddah melalui jalan darat, seterusnya dari Jeddah diterbangkan pulang ke tanah air.

Ada juga segelintir pelajar yang menggunakan duit belanja sendiri bagi tujuan berkenaan. 

Namun di sana, ada satu kekhuatiran yang mungkin mengundangkan masalah baru kepada ibu bapa malah kerajaan sendiri. 

Apakah nanti apabila krisis di Mesir sudah selesai dan pelajar boleh kembali meneruskan pengajian mereka, perbelanjaan pulang juga akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan atau sebaliknya? 

Setakat ini, saya mendapati tidak ada satu kenyataan rasmi mahupun tidak rasmi mengenai perkara itu. Oleh demikian, disyorkan kerajaan segera mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan perkara ini. 

Kita sedia maklum bukan semua pelajar berkenaan berasal daripada keluarga berada dan mampu membeli tiket pulang dengan menggunakan wang sendiri. 

Jika kenyataan awal dibuat, mereka yang terbabit akan membuat persediaan awal bagi kos penerbangan semula anak mereka untuk menyambung pengajian di Mesir. 

ZAHIRUDDIN ZABIDI
Wangsa Maju, Kuala Lumpur. 
_________________________________________________________________

Tulisan ini sudah disiarkan dalam ruangan Surat Pembaca Berita Harian, Isnin, 7/ 2/ 2010. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Berita Harian. Sumber atas talian di sini: http://www.bharian.com.my/.

No comments: