10 December 2010

Tidak Wajar Menjadikan Sin Chan Sebagai Ikon Anak-Anak

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

JANGAN terkejut andai tiba-tiba anak anda berumur kurang tujuh tahun melondehkan seluar serta menunjukkan punggungnya sambil menggoyangkannya dan berkata, “Punggung....” Timbul persoalan, dari mana mereka belajar perkara sebegitu?

Ini secara jelas adalah pengaruh yang tidak sihat daripada rancangan kartun kegemaran kebanyakan kanak-kanak termasuk sesetengah ibu bapa sendiri iaitu Sin-Chan. Sedarkah kita bahawa, bukan semua kartun adalah selamat bagi ditontonkan kepada anak-anak mutakhir ini.

Sebagai contoh rancangan Sin-Chan sendiri yang banyak dengan unsur lucah, siri Sponge Bob yang menjadikan 'Bikini Bottom' sebagai tempat tinggal mereka. Tidak kurang juga kebanyakan kartun yang menjadikan tema pergaduhan, perbalahan dan membalas dendam sebagai tema dan jalan cerita. Tidak kurang juga kartun yang mempromosi adegan seksual dan cara berpakaian yang tidak senonoh serta tidak mengatup aurat.

Tanpa menafikan kartun mampu menjadi instrumen pendidikan yang terbaik untuk anak-anak namun dalam masa yang sama ianya juga amat berpengaruh dalam menanamkan budaya dan akhlak yang tidak baik kepada anak-anak.

Lantas, adalah menjadi kesalahan yang besar apabila ibu bapa sendiri yang mendorong anak-anak mereka bagi menonton siri-siri yang ternyata lebih besar kesan negatif berbanding kesan positif. Namun, dalam masa yang sama kita berterima kasih kepada pihak yang berjaya mencipta watak Upin dan Ipin, watak kartun animasi yang diciptakan oleh warga tempatan.

Kejayaan Upin dan Ipin sebagai produk animasi Malaysia yang berjaya menambat hati kanak-kanak tempatan dan luar negara wajar dipuji dan diangkat menjadi ikon kanak-kanak terkini dengan lebih penambahan unsur didaktik secara langsung mahupun tidak langsung.

Di Indonesia sebagai contoh, ikon Upin dan Ipin digunakan semaksimum mungkin dengan melekatkan dan mengaitkan watak tersebut termasuk pada buku-buku agama.Ini tidak lain adalah bertujuan bagi menarik dan mendapatkan perhatian anak-anak dan secara tidak langsung terhadap bahan-bahan bacaan agama.

Kesimpulannya adalah pemantauan dan penyaringan terhadap rancangan-rancangan kartun di televisyen perlu dilakukan oleh ibu bapa apabila anak-anak di rumah sementelah pada waktu cuti sekolah sekarang ini. Dalam masa yang sama pihak televisyen bertanggungjawab menyiarkan hanya rancangan yang berfaedah dan mendidik kepada anak bangsa.
_______________________________________________________________________


Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan oleh Malaysiakini (edisi BM), Berita Harian dan www.iluvislam.com.

5 comments:

MKriza said...

Salam Tuan.
Sewajarnya perlu diperbanyakkan kartun-kartun bercirikan tempatan. Pujian kepada Upin dan Ipin yang muncul tepat pada masanya. Tidak lama lagi akan muncul boboiboy, hasil buah tangan pencipta Upin Upin. Kita perlu memberi alternatif tempatan kepada kanak-kanak dan peminat kartun.

Zahiruddin Zabidi said...

Wassalam,

Alhadmulillah, artis-artis seperti tuan yang perlu kita ramaikan. Insya-Allah PTS pada suatu hari nanti akan ada syarikat produksinya sendiri dan Komik-M terbitannya akan dianimasikan ke dalam rancangan televisyen, insya-Allah.

Mungkin tuan salah seorang daripadanya?

Abu Huzaifah said...

assalamualaikum.Teguran yang sangat sesuai kpd para ibubapa.Hari ini..sesetengah ibubapa tidak mengawal rancangan yg perlu ditonton anak2 seolah semuanya halal.Minta izin untuk salin ke blog hamba pada masa terdekat.Jazakallah

Abu Huzaifah said...

assalamualaikum.teguran membina.Mohon izin utk salin ke blog hamba.Jazakallah

Zahiruddin Zabidi said...

Waalaikumussalam,

Tafadal ya ustaz, terima kasih kerana sudi menyebarkannya. Semoga ianya menyumbang sedikit sebanyak kepada ummah.