04 December 2010

Kenapa Perlu Guna Istilah 'Pendidikan Seks'?

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my


ISTILAH-istilah yang digunakan memberikan konotasi yang khusus kepada masyarakat. Sebagai contoh perkataan 'seks' yang memang memberikan persepsi yang khusus mengenai hubungan seksual dalam konteks kita sebagai masyarakat di Malaysia. Namun apakah kewajarannya mendedahkan anak-anak seawal usia darjah satu kepada 'seks'?

Harus diingatkan bahawa bukan semua rakyat Malaysia yang begitu terbuka dalam membincangkan hal ehwal seks di khalayak umum apatah lagi apabila dibincangkan di dalam kelas pengajian peringkat sekolah rendah.

Dalam Islam urusan seputar isu seksual memang dipandang berat, namun ianya dibincangkan di bawah subjek Fiqh Umum, Fiqh Munakahat atau Fiqh Kewanitaan. Justeru ianya menjadi lebih lunak dan tidak memberikan konotasi yang negatif kepada pelajar-pelajar terbabit walaupun isi pengajian mengenai hal tersebut. Begitu kitab-kitab berkenaan adab-adab dalam Islam yang banyak membincangkan subjek-subjek bersangkutan seksualiti ini.

Saya kira walaupun kurikulum yang sudah dirangka dan bakal digunakan sangat bagus dan praktikal memandangkan kebejatan luaran dan dalaman dalam masyarakat hari ini, namun istilah 'seks' tidak perlu wewenangnya dibobrokkan kepada anak-anak kecil.

Apakah tidak boleh jika istilah Pendidikan Moral dikekalkan dengan mendatangkan silibus baru berkenaan dengan perkara di atas dibincangkan. Begitu juga tambah sahaja satu bab atau silibus khas dalam mata pelajaran Agama Islam setiap tahun dari darjah satu hingga darjah enam, kemudian dari tingkatan satu sehingga tingkatan enam berkenaan dengan urusan ini.

Kiranya ini lebih praktikal dan berkesinambungan berbanding mewara-warakan perihal 'seks' kepada anak-anak yang menyebabkan mereka matang sebelum waktunya. Jangan pula anak-anak yang masih muda pucuk ini menjadi bahan eksperimen kepada pihak-pihak tertentu kerana kesannya bukan pada hari ini, namun pada masa hadapan.

Masih belum terlambat bagi kita membetulkan dan menyelaraskan kembali dengan duduk berbincang dengan semua pihak. Buah fikir dan karangan ulama muktabar seperti Syeikh Dr. Abdullah Naseh Ulwan yang banyak mengarang berkenaan dengan pendidikan seks untuk anak-anak wajar dirujuk dan dikaji secara mendalam oleh pihak-pihak bertanggunjawab.
_______________________________________________________________________

Nota: Sudah diterbitkan dalam ruangan surat pembaca Berita Harian pada 4 Disember 2010.

4 comments:

ahya_ijja said...

Salam Ustaz ZZ.

Hingga ke hari ini, saya memikirkan adakah rasional pendidikan seks ini dilanjutkan.

Saya tertanya-tanya, adakah nanti kanak-kanak yang sudah tahu tentang 'seks' ini nanti akan lebih menjaga maruah dirinya atau akan menyalahgunakan ilmu yang tadi. Kadang manusia apabila sudah merasa tahu, kebanyakannya akan memanipulasi ilmu tersebut. Jika ke jalan kebaikan, tiada masalah, tapi jika tidak. Kiamatlah.

Sepatutnya sebelum melompat kepada pendidikan seks, terlebih wajarlah jika kefahaman dalam beragama dan mengamalkan ilmu agama itu diperhebatkan sejak awal persekolahan. Mantapkan akidah, mantapkan rasa bertuhan, pasti nasfu liar manusia dapat dipimpin dan ditenangkan.

Zahiruddin Zabidi said...

Wassalam,

Semoga pihak-pihak berkuasa dan bertanggungjawab memahami intisari tulisan di atas sebagaimana kita memahaminya. Insya-Allah.

Doakanklah, sedikit tulisan itu mampu mengusik kalbu yang salim pihak atasan itu.

Amin ya Rabb.

S.K said...

Ameeen...

Salam,

Ustaz,

kak S.K baru pulang dari muktamar pendidikan Islam di Subang dan itulah perkara yang bermain di minda sepanjang persoalan pendidikan ini disebut!
Waktu tu nak mengutarakan pandangan tapi tak sempat...
Tahu-tahu pulang, Ustaz menulis perkara yang sama :)
Rasa puas pula =D

Wassalam.

Zahiruddin Zabidi said...

Alhamdulillah,

Wassalam Kak S.K.

Semoga sedikit pandangan ini mendatangkan impak yang besar kepada pembacanya (mereka yang punya kuasa sebagai amanah).

Akan tetapi, nampaknya....

Wallahualam.