14 December 2010

Idea Dari Langit

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

BERMULA tahun sudah saya semakin giat menghantar karangan pendek berbentuk surat pembaca ke akhbar-akhbar perdana seperti Harakah, Berita Harian selain daripada artikel, esei, rencana, puisi, cerpen. 

Alhamdulillah setakat ini sudah ada 10 buah surat yang berkisarkan kritikan, saranan, teguran dan pandangan seputar isu semasa  tersiar dalam akhbar-akhbar terbabit. Harapannya adalah, sedikit tulisan itu mampu memberikan gambaran mengenai hasrat kelompok yang bernama rakyat agar dicakna oleh kelompok yang bertanggungjawab.

Insya-Allah saya akan terus menulis dan menghantar kepada pihak yang berwajib itu agar setiap nukilan yang terhasil daripada pemerhatian dan penelitian daripada seorang rakyat memberikan aspirasi kepada sekelompok rakyat demi kepentingan rakyat keseluruhan.

Tanpa menafikan bukan semua pihak yang akan bersetuju dengan setiap nukilan saya, namun saya akan sentiasa cuba memilih isu umum yang melibatkan kepentingan bersama sebagai rakyat dalam melontarkan kritikan, cadangan dan bantahan bermula dari sekecil-kecil masalah sehingga sebesar-besar masalah.

Menjadi kebiasaan juga kita mendengar para penulis sibuk menghimpun dan menjilid tulisan mereka terutama puisi dan cerpen yang sudah tersiar di akhbar perdana bagi diantalogikan. Namun saya, insya-Allah jika diberi peluang mahu mengantalogikan surat-surat tersebut dalam sebuah buku khusus selepas ianya mencapai 100 naskhah keluaran.

Mungkin ianya akan menjadi satu-satunya dalam sejarah pembukuan di Malaysia, namun yang penting adalah saya sebagai seorang penulis sekaligus ditaklif sebagai seorang pemikir dan pendakwah sudah sedikit sebanyak mula menyumbang kepada masyarakat Malaysia khususnya umat Islam lewat tulisan-tulisan tersebut.

Semoga Allah menilainya dengan pahala, amin.

2 comments:

Anonymous said...

Salam.

Boleh saya ulas ayat yang akhir itu?

Benar, kita mengharapkan pahala dan tidak mahukan dosa; kerana ganjaran pahala itu syurga, insya-Allah, dan dosa akan ke neraka, nauzubillah.

Tetapi seharusnya kita menganggap harapan dan ketakutan itu sebagai permulaan latihan dan didikan pada hati; untuk melakukan sesuatu kerana mencintai Allah dan ajaran-Nya.

Inilah tahap yang paling benar dalam melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan; bukan kerana pahala dan dosa, atau syurga dan neraka. Tetapi kerana cintakan Allah semata-mata.

Ikhlas itu tiada sebab.
Wassalam.

Zahiruddin Zabidi said...

Wassalam, terima kasih atas teguran dan ulasan daripada Tuan Pembaca Buku yang dihormati.

Tingkatan iman itu berlapis-lapis:

Daripada muslim menuju mukmin, daripada mukmin menuju muttaqin, daripada muttaqin menuju mukhlisin.

Nah, saya benar tidak berani meletakkan diri di mana-mana maqam di atas itu.

Hanya Allah diserahkan segalanya.