(Selepas disunting bahasanya)
Assalamualaikum wbt dan salam ziarah...
Ana salah seorang peminat setia karya-karya novel sejarah srikandi Islam. Pertama sekali ana ingin mengucapkan tahniah atas keluaran novel Rabiatul Adawiyah; Perindu Cinta Abadi, ini adalah novel sejarah srikandi islam terbaik yang pernah ana baca.
Novel ini sangat sempurna untuk ana dan keluarga, novel ini mempunyai ciri-ciri yang sangat bermutu dan boleh dijadikan pedoman dan didikan untuk muslimah-muslimah di zaman yang serba mencabar ini. Ana sangat mengagumi novel ustaz ini, ianya sangat menyentuh perasaan ana, terima kasih atas keluaran novel ini. Diharap ustaz dapat meneruskan lagi perjuangan sebegini, amin....
Yang keduanya, ana ada satu persoalan yang ingin ditanyakan kepada ustaz berkenaan hadith dha'if, soalannya adalah, "Kenapa ulama menyebut hadith dha'if dalam kitab hadith hukum?"... boleh ustaz beri penerangan terhadap soalan yang ana ajukan tersebut, diharap ustaz dapat membantu ana, terima kasih atas kesempatan ustaz membaca email ini... syukran jazilan.
Surat balas:
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah.
Alhamdulillah, tiada yang lebih manis bagi seorang penulis apabila pembaca menghargai nukilannya lantas dimanfaatkan ke jalan Allah. Alhamdulillah, ana ucapkan tahniah kepada anti sekeluarga kerana sudi memiliki naskah novel RA itu, malah ana yakin anti sekeluarga adalah keluarga yang mementingkan pembacaan dalam kehidupan seharian.
Yang hebat itu adalah Allah, yang dikurniakan kehebatan oleh Allah adalah diri Rabiatul Adawiyah itu sendiri. Ana cuma menyampaikan kembali kisah-kisah beliau dengan cara yang lebih kreatif kerana minat yang mendalam dalam bidang penulisan. Alhamdulillah, Allah kurniakan peluang ini kepada ana.
Definisi hadis daif secara umumnya ialah hadis yang tidak kuat atau punyai kecacatan, kejanggalan yang boleh dipertikaikan samada daripada sudut matan (perkataannya) mahupun perawinya (periwayatnya) itu sendiri.
Hadis daif mempunyai beberapa jenis dan yang paling teruk maqamnya adalah hadis maudu' (palsu), ianya langsung tidak boleh dipegang bagi urusan akidah mahupun syariat. Sedangkan hadis daif lain mengikut sesetengah ulama tidak mengapa jika diamalkan sebagai 'fadhail 'amal' sahaja khusus dalam urusan syariat ibadah dan masih tidak boleh digunakan dalam urusan akidah.
Apabila ada ulama menggunakan istilah hadis daif dalam hal hukum bermakna, kemungkinan beliau mahu menerangkan kepada kita mengenai perbezaan pendapat yang dijadikan rujukan sumber. Juga sebagai perbandingan antara hujah yang sebelumnya, mungkin juga mahu menunjukkan perbezaan pegangan hujah antara mazhab dan lain-lain kerana, perlu diingatkan hadis daif yang tidak jatuh ke makan maudu' (palsu) masih boleh digunakan dengan beberapa syarat antaranya, ianya dikuatkan lagi dengan hadis-hadis lain dan sebagainya.
Bagi penerangan lanjut, ana mohon anti rujuk kepada buku karangan guru ana, Prof Madya Dr Fauzi Deraman, pensyarah kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Jabatan Usuluddin. Bukunya bertajuk Ulum al-Hadith, terbitan Warisan Nabawi Enterprize, wallahua'lam.
Jazaka Allahu khairan jaza'
Wassalam.
___________________________________________________
Zahiruddin Zabidi
No comments:
Post a Comment