06 May 2010

Kisah 13 – Di manakah Allah?

Kadang-kadang kita membicarakan perkara yang tidak sepatutnya kita bicarakan. Contohnya tentang perkara yang sudah terang akan halal dan haramnya. Bagaimana mungkin seorang yang mengaku Islam dan beriman masih mempertikaikan tentang keharaman arak dan judi sebagai contoh.

Ada perkara asas yang tidak patut kita sebagai orang Islam pertikaikan. Contohnya tentang kewujudan Allah.

Dalam satu kursus yang berjalan sehari suntuk, para peserta sangat digalakkan untuk berkenalan antara sama lain. Pada waktu rehat, masing-masing mengambil tempat dalam kelompok masing-masing. Pelbagai isu dibincangkan.

Perkara yang tidak lekang dari bibir segelintir anak muda ini ialah isu agama.

“Saya kurang setuju dengan Ustaz Asrul,” kata Mahad, dia adalah pengusaha kedai roti.

“Kenapa?” tanya Wahid, kawan sebelah tempat duduknya di dalam dewan kursus.

“Bukankah dia seorang Wahabi?”

“Wahabi!?” Wahid sedikit terkejut.

“Ya.”

“Kenapa dengan Wahabi?”

“Akidah mereka salah, tidak betul. Mereka menolak Imam Syafie.”

“Siapa yang cakap?”

“Saya dengar-dengar orang sedang hangat bercakap.”

“Apa kaitannya dengan Ustaz Asrul?”

“Ustaz Asrul pendokong kuat aliran itu.”

“Pernah dia sebut dalam kenyataannya, maksud saya mengakuinya?”

“Tidak pernah secara terang-terangan, namun cara dia berceramah, rujukan dalam penulisan dan blog peribadinya menggambarkannya.”

“Dengan itu tidak wajarlah kita menuduh beliau begitu dan begini.”

“Nampaknya saudara membela Ustaz Asrul?”

“Saya baca hampir keseluruhan bukunya. Sangat ilmiah, penuh dengan fakta dan perbandingan yang kritis.”

Perbualan mereka berdua menjadi lebih rancak.

“Boleh saya bertanya?” tanya Mahad kepada Wahid.

“Ya, silakan.” Jawab Wahid.

Mahad sekadar ingin menduga dengan soalan yang sedikit menjerat.

Dia bertanya, “Di manakah Allah menurut saudara?”

Wahid tahu soalan itu adalah untuk menduganya. Jika dia menjawab Allah bersemayam di atas langit maka serta merta dia akan dicop sebagai Wahabi.

Dia cuba berhelah.

“Tuan, ada perkara yang lebih penting daripada kita bahaskan tentang di mana Allah, bagaimana rupanya dan sebagainya. Bagi saya, apabila kita masih membincangkan perkara-perkara yang ghaib ini, ianya seolah-olah menunjukkan kita masih lagi tidak beriman dan percaya kepada Allah sepenuhnya.”

“Maksud tuan?”

“Rasulullah diutuskan di muka bumi membawa kalimah tauhid untuk mengesakan Allah dan menjadi utusanNya. Dengan itu perihal yang berkaitan dengan isu akidah sepatutnya sudah selesai 1400 tahun dahulu lagi. Datangnya Rasulullah itu sendiri untuk membetulkan akidah kita dengan kalimah Lailahaillallah.”

Wahid menyambung, “Bagaimana selama ini kita bersolat jika kita masih ragu tentang akidah kita? Maksud saya kita banyak membuang masa dengan sia-sia kerana membincangkan perkara yang sudah jelas termaktub dalam al-Quran dan hadis.”

“Maksud kamu tidak payah bincangkan tentang akidah? Bagaimana pula pengajian akidah ini mahu disampaikan kepada orang awam?”

“Saya maksudkan janganlah dibincangkan atau lebih tepat disebabkan ingin menegakkan fahaman akidah mengikut aliran kefahaman masing-masing, jika yang salaf perlu begini dan begitu, jika khalaf begini dan begitu. Bukankah akidah itu satu, sejak dari waktu Nabi Adam hingga ke hari kiamat? Hanya syariat yang banyak berubah, namun yang halal dan haram yang sudah terang-terangan dijelaskan dalam al-Quran juga tidak wajar lagi dipertikaikan.”

Wahid menyambung, “Mengajar kepada kanak-kanak dan orang jahil itu perlu apatah lagi jika ingin memberi penerangan kepada orang bukan Islam. Cuma yang saya maksudkan janganlah ada dalam kalangan ustaz-ustaz berdebat, berhujah dan berkrisis tentang asas akidah ini hingga membibitkan perpecahan. Inilah kerugian yang sebenar kepada umat Islam. Bayangkan kita berbahas hingga menimbulkan ketegangan mengenai kedudukan Allah, rupaNya, kekuasaanNya. Ini semua adalah salah satu taktik syaitan untuk para ilmuan ini berbalah sesama sendiri.”

Mahad mengangguk-angguk, entah faham atau tidak hal-hal yang dimaksudkan oleh Wahid.

Kemudian dia bertanya, “Mengikut pandangan saudara pula, apakah hal yang patut ilmuan Islam bincangkan?”

Seketika Wahid mendiamkan diri, dia dilihat sedang memerah otak.

“Saudara, walaupun al-Quran dan sunnah yakni hadis adalah panduan lengkap kepada umat Islam, namun dunia tetap berubah. Banyak perkara baharu yang muncul menyebabkan perlunya ijtihad dalam bidang fiqah. Sebagai contoh derma organ, zaman Rasulullah tiada. Bagaimana jika kita ingin menderma kepada orang bukan Islam, bolehkah? Bagaimana pula jika kita sebagai penerima daripada orang bukan Islam, halalkah? Kemudian dalam bab muamalat, perbankan Islam dan sebagainya, banyak lagi yang perlukan perbincangan kaji selidik yang lebih teliti dan sangat praktikal untuk umat kerana ianya bersabitan dengan kehidupan seharian. Kebanyakan daripada perkara-perkara baharu ini tiada di zaman Rasulullah SAW. Tapi kita masih disibukkan dengan bab asas akidah malah berbalah kerananya. Sungguh malang....”

“Saya bersetuju dengan saudara....” kata Mahad. Dia kemudian meneruskan soalannya, “Maka, benar atau tidak Ustaz Asrul adalah seorang Wahabi?”

Wahid sedikit terkejut dengan soalan yang di luar jangkaan itu, sambil mengurut dada, hanya satu lafaz sahaja yang kedengaran.

“Astaghfirullah....”
__________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

2 comments:

Rafi Harumin said...

Astaghfirullah... tak taulah faham ke tidak..

terima kasih, sangat 'memberi'..

wassalam

ikhlaskahaku? said...

setelah panjang lebar penjelasan, yang tu jugak yang timbul
:(