P. Ramlee dalam lirik lagu nyayiannya menyifatkan bahawa mereka yang ingin berpoligami ‘mesti pandai pembohong, mesti pandai temberang’. Ini adalah sinikal yang menjadi igauan masyarakat Melayu Islam khususnya di Malaysia.
Poligami pada asalnya adalah sebagai mekanisma pembasmian masalah sosial sebagaimana yang perlu dicontohi dari nabi Muhammad SAW. Namun kerana ketidakfahaman masyarakat Islam khususnya kaum wanita dengan melihat poligami sebagai penindasan terhadap mereka.
Bila dibuat penilitian kembali, tidak wajar juga kaum wanita dipersalahkan secara total kerana pihak lelaki yang berpoligami juga sebenarnya yang menggambarkan poligami itu sebagai sunnah yang tidak baik.
Atas dasar poligami mereka berkahwin sehingga 4 orang kemudian tidak mampu berlaku adil dari sudut zahir dan batin. Ini menyebabkan masalah sosial yang lebih besar sebenarnya. Kurang perhatian dan kasih sayang daripada seorang bapa boleh sahaja menyebabkan sesebuah keluarga menjadi tidak stabil.
Awas! Poligami bukan alat untuk kaum lelaki mengambil kesempatan terhadap wanita dengan melapikkan hujah kepada agama. Fahami dengan jelas syarat dan tanggungjawab dalam berpoligami agar nanti azab Allah terlepas daripada kita.
Diceritakan seorang lelaki telah berkahwin dengan dua orang wanita. Mereka duduk berasingan dan si lelaki sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada kedua-dua orang isterinya.
“Aku kagum pada kamu Zali.” Kata rakan sepejabatnya, Fahmi.
“Apa yang kamu kagumkan?”
“Buat tidak tahu pula kamu ini. Dalam ramai kawan-kawan kita, hanya kamu yang mempunyai dua...” Fahmi tersenyum nakal sambil menunjukkan dua jarinya kepada Zali.
“Ada-ada sahaja kamu ini. Jika kamu ingat berpoligami ini seronok sangat, kamu silap kawan. Berpoligami bermaksud kita juga terbeban dengan tanggungjawab yang lebih besar. Silap caranya....”
Zali tidak mahu meneruskan kata-katanya.
Zali sebenarnya sudah lali dengan cakap-cakap orang mengenai dirinya yang mempunyai dua orang isteri. Ada yang memuji, tidak kurang yang mengeji.
Hari ini, giliran Zali balik ke rumah isterinya yang kedua. Biasanya dia akan sampai selepas waktu Maghrib, dia terlebih dahulu akan berjemaah di masjid sebelum pulang.
Hendak dijadikan cerita, pada hari itu Zali sampai awal di rumah. Isteri keduanya yang bernama Hamidah sedikit terkejut dan gembira dengan kehadiran Zali. Ini bermaksud dia mempunyai masa yang agak panjang untuk dihabiskan bersama suami yang dikongsinya dengan Hasanah, madunya yang juga isteri pertama Zali.
“Abang, saya ada satu permintaan....”
Zali yang sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami juga bersedia menjadi pendengar yang setia.
“Ya, isteriku....”
“Kalau boleh malam ini kita berjemaah, maghrib dan isyak.”
Lega hati Zali, ingatkan apa pula permintaan isteri mudanya itu.
“Insya-Allah, kalau begitu abang naik bersiap dulu ya?”
“Baiklah, saya pun hendak sudahkan dahulu makan malam kita ini.” Jawab Hamidah sambil meneruskan tugasnya di dapur.
“Saya tunggu awak di atas ya.”
Hati hamidah berbunga-bunga, sudah lama dia berharap dapat berjemaah berimamkan suaminya. Dia tahu suaminya bukan calang orang, dia adalah bekas pelajar sekolah agama sehingga tingkatan 5, hanya kerana tidak melanjutkan pengajian aliran agama ketika menuntut di universiti, dia tidak menjadi seorang ustaz.
Setelah Zali menyiapkan diri, dia kemudian menghamparkan sejadah untuk kedua mereka. Hamidah yang sudah siap memasaka segera membersihkan diri kerana waktu maghrib sudah tiba.
Sementara menunggu isteri mudanya itu siap, Zali terlebih dahulu membaca kitab suci al-Quran.
Lunak dan beralun indah bunyinya.
Hamidah yang terdengar suara suaminya mengaji berkata di dalam hati, “Tidak rugi aku bersuamikan abang Zali walaupun terpaksa berkongsi, bukan sahaja dia seorang yang kuat agamanya. Hak kami berdua sentiasa tidak diabaikan dan sentiasa bersikap adil antara kami. Aku mohon padaMu ya Allah, semoga hubungan kami suami isteri dan juga maduku akan bertambah baik, amin.”
Azan maghrib berkumandang.
Zali sudah menunggu di sejadah yang dihamparkan sejak tadi. Hamidah datang dan mereka kemudian menunaikan solat bersama-sama.
Bacaan dan gerak tubuh, yang wajib dan yang sunat semuanya dibuat oleh Zali yang diikuti oleh Hamidah dengan sempurna.
Selesai solat dan berwirid, Zali pun melafazkan doa. Hamidah mengaminkan doa tersebut.
Zali melafazkan doa demi doa dengan lancar dan fasih sekali, Hamidah mendoakan setiap doa itu walaupun tidak sepatah pun yang difahaminya kerana doa itu dalam bahasa Arab. Entah dalam doa itu Zali meminta untuk kahwin lagi pun dia tidak tahu.
Cumanya, ketika Zali melafazkan doa yang berbunyi ‘Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil akhirati hasasah, wa kina ‘azabannar....’ tidak semena-mena air muka Hamidah berubah. Zali tidak menyedari hal ini sehinggakan selesai doa dibacakan.
Ketika bersalaman dan Hamidah mengucup kedua tangannya, baharulah Zali perasan isterinya seakan merajuk. Zali tidak mengendahkannya.
Acuh tidak acuh.
Fikirnya, rajuk perempuan jika dilayan semakin menjadi. Dia juga arif benar sikap Hamidah yang sedikit manja itu.
Zali mengambil kembali al-Quran dan menyambung bacaannya. Hamidah hanya diam membisu sambil mulut memuncung-muncung.
Selesai sahaja bacaan Surah Yusuf. Zali mula bersuara.
“Kenapa?”
“Abanglah....”
“Apa yang abang buat?”
“Masa baca doa tadi.”
Zali masih tidak mengerti.
“Abang sebut dua kali nama kakak. Dua kali abang sebut Hasanah, nama saya sekalipun tidak. Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil akhirati hasanah....”
Hampir sahaja berderai tawa Zali, namun ditahan-tahan takut isteri mudanya itu kecil hati pula.
“Janganlah berkecil hati ya, nanti waktu isyak insya-Allah abang akan sebut nama Hamidah pula.”
Hamidah sedikit gembira dengan kata-kata suaminya. Namun rajuknya belum habis.
Dibuat-buat sebenarnya.
Isyak masuk dan mereka pun menunaikan solat bersama sekali lagi. Hamidah pula teringat-ingat janji suaminya sebentar tadi. Dia menantikan saat itu.
Setelah mengangkat takbir, membacakan doa iftitah dan selesai membacakan al-Fatihah dan satu surah lazim. Zali rukuk diikuti Hamidah.
Di saat ingin iktidal yakni berdiri tegak seketika selepas rukuk sebelum sujud. Zali mengeraskan suaranya.
“Sami’allahuliman Hamiiiiidah!” Keras dan dalam.
Hamidah tersenyum, hatinya kembali berbunga.
Begitulah seterusnya hingga selesai solat mereka.
Selesai sembahyang, berwirid dan berdoa. Hamidah mendapatkan suaminya dan berkata. “Terima kasih abang, nama Kak Hasanah hanya dua kali abang sebut, tapi nama saya empat kali abang sebut tadi. Janganlah abang risau, saya tidak akan memberitahu Kak Hamidah akan hal ini.”
Hamidah senyum menggula.
“Abang Zali lebih sayangkan aku berbanding Kak Hasanah.” Fikirnya di dalam hati.
Zali hanya mampu tersenyum sambil hatinya terus berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan untuk menanggung amanah ini.
Amanah berpoligami!
______________________________________________
Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment