25 May 2010

Kisah 17 – Solat jemaah tiga musafir

Antara keringanan atau rukhsah dalam Islam adalah apabila seseorang muslim itu sedang bermusafir. Jika seorang muslim itu sedang berpuasa maka dibenarkan bagi dia membuka puasanya itu.

Biasanya keringanan ini digunakan oleh para muslim yang bermusafir dalam solat. Mereka juga boleh menjamak yakni menghimpun solat dalam satu masa dan menqasarkan yakni memendekkan rakaat solat dalam satu-satu masa.

Antara syaratnya, jarak mimimum bagi seseorang itu layak menggunakan rukhsah tadi ialah dua marhalah bersamaan dengan 90 batu dan lebih. Walaupun sekarang jarak 90 batu adalah suatu jarak yang tidak jauh dek kemajuan kenderaan yang dimiliki manusia, namun rukhsah itu tetap dikekalkan kerana ianya dianggap sebagai hadiah daripada Allah dan Rasul kepada umat Islam.

Namun jangan terkejut jika kita dapati masih ramai yang tdiak bersolat walaupun Islam memberi banyak kelonggoran kepada umat Islam. Mereka malah menggunakan alasan yang tidak munasabah bagi menghalalkan sikap mereka itu.

Jauh di sebuah hamparan padang pasir terdapat satu pondok yang sederhana besar bagi para musafir berehat. Pada hari itu, lewat senja sampailah tiga orang musafir dari arah yang berbeza menuju kearah yang berbeza.

Pertemuan mereka bertiga di pondok yang menjadi singgahan para musafir itu membibitkan peristiwa yang luar biasa.

Setelah mereka bertiga menyimpan tunggangan dan barangan masing-masing di tempat yang selamat, barulah mereka duduk bersama dan bertegur sapa.

“Tuan dari mana?” Tanya Ahmad, musafir yang terawal sampai. Dia bertanya kepada Mahmud dan Jamal.

Mahmud membalas, “Saya dari Utara.”

Jamal kemudian menjawab, “Saya dari Timur.”

Ahmad seakan menjadi tuan rumah kepada mereka berdua. “Selamat datang, nampaknya malam ini hanya kita bertiga di sini. Saya dari Selatan.”

“Begitulah nampaknya, jadi apakah menu kita pada malam ini. Saya ada bawakan sedikit roti jika perlu,” Mahmud cuba memesrai kedua sahabat musafirnya itu.

“Kalau begitu baguslah, saya juga ada bawakan sedikit manisan,” tingkah Jamal pula.

“Kalau begitu nanti kita makan bersama-sama, lebih berkat,” kata Ahmad.

Mereka kemudian berborak lagi. Pelbagai isu yang dibincangkan.

“Jadi Ahmad, apa tujuan kamu pergi ke barat?” Tanya Mahmud.

“Saya ingin pulang ke kampung halaman saya, sudah belasan tahun saya meninggalkan kampung bagi menuntut ilmu. Ibu saya hanya membenarkan saya pulang setelah benar-benar cukup ilmu di dada,” jawab Ahmad.

Ahmad kemudian menyoal Mahmud dan Jamal, “Bagaimana pula tuan berdua, apakah tujuannya bermusafir ini.”

Mahmud memberikan isyarat kepada Jamal bagi bersuara dulu.

“Saya dahulu orang yang jahat, tidak taat kepada Allah dan Rasul malah kedua ibu bapa saya. Kini saya insaf, saya ingin berhijrah dan menuntut ilmu agama.”

“Alhamdulillah...,” serentak Ahmad dan Mahmud menyahut.

Kini giliran Mahmud pula, “Saya pula ke bandar kerana ingin mencari peluang pekerjaan yang lebih baik. Di kampung saya peluang pekerjaan kurang, jikapun ada, tidak sesuai bagi orang muda seperti saya ini. Jadi saya ingin ke bandar dan mencuba nasib di sana.”

Ahmad mengulas, “Ya, apapun tujuan kita selagi mana ianya diniatkan kerana Allah. Maka ia dikira ibadah. Bukankah Rasulullah pernah bersabda bahawa setiap amalan itu perlu dimulai dengan niat. Bahkan niat yang baik, jika tidak sempat kita lakukan sudah dikira pahala, sedangkan kalau kita berniat jahat, selagi kita belum melakukannya tidak akan dikira dosa.”

“Ya, saya pernah mendengarnya,” jawab Jamal.

Mahmud yang kelihatan sedang memikirkan sesuatu tiba-tiba bertanya, “Wahai Ahmad, saya ini orang yang kurang ilmu agama. Saya ingin bertanya, bagaimanakah caranya seorang musafir itu bersolat. Saya dengar tetapi entah di mana, saya kurang pasti, penceramah itu mengatakan bahawa orang yang bermusafir dihadiahkan keringanan oleh Allah. Benarkah begitu?”

Ahmad tersenyum lanta memulakan bicara, Jamal mendengar tekun, “Benar sahabat, ianya dinamakan rukhsah iaitu keringanan kepada mereka yang memerlukan. Contohnya kita yang sedang bermusafir, Allah kurniakan keringanan dalam ibadah solat namun dengan beberapa syarat.”

“Apakah syaratnya?” Jamal tidak sabar ingin tahu.

“Jarak musafir itu mestilah lebih daripada dua marhalah yakni bersamaan 90 batu perjalanan. Dan hanya solat yang tertentu sahaja yang boleh diberi keringanan samada jamak ataupun qasar. Jamak bermaksud menghimpunkan solat-solat tersebut dalam satu masa manakal qasar bermaksud memendekkan bilangan rakaat.”

Mahmud menggeleng-geleng kepalanya, “MasyaAllah, begitu sekali Allah menyayangi kita. Solat yang wajib pun diringankan semata-mata untuk kita.”

“Tapi ingat, hanya solat zohor, asar dan isyak sahaja yang boleh diqasarkan. Subuh dan magrib tidaklah boleh dikurangkan.”

Mereka bertiga gelak.

Ahmad menyambung lagi, “Kalau kita mahu menghimpunkan dua waktu solat iaitu zohor dan asar dalam satu masa dan dalam masa yang sama kita ingin pendekkan rakaatnya, ia dinamakan jamak qasar, samada taqdim iaitu mendahulukan ataupun takhir iaitu mengakhirkan. Caranya, jika taqdim kita himpun solat zohor dan asar dalam waktu zohor dan sembahyang zohor dua rakaat serta sembahyang asar dua rakaat sahaja.”

Kedua musafir itu mendengar dengan teliti.

“Saya baru tahu, Alhamdulillah, terima kasih Tuan Ahmad atas ilmu yang amat berguna itu,” ucap Jamal ikhlas.

“Ya, sebelum ini, saya tidak pernah jamak mahupun qasar setiap kali bermusafir. Inilah sebabnya kita perlu menuntut ilmu,” kata Mahmud pula.

Ahmadbagun dari tempat duduknya dan mengibarkab sejadah sambil berkata, “Kalau begitu, ayuh kita bersolat.”

“Ya, baiklah,” jawab mereka berdua.

Tanpa mereka sedari, sebenarnya Jamal ada sejenis penyakit iaitu kuat melatah.

Setelah wuduk diambil, mereka berimamkan Ahmad di satu penjuru menghadap dinding batu.

Setelah habis bacaan al-Fatihah dan surah lazim, mereka rukuk dan diikuti dengan iktidal.

Di saat Ahmad mengucapkan, “Sami-Allahuliman hamidah.”

Tiba-tiba seeokor tikus yang hampir sebesar kucing melompat dari atas atap. Kala itu juga Jamal yang terkejut dan terpegun melihat tikus itu memanculkan kata-kata, “Ya Allah, besarnya tikus!”

Mahmud yang berada di sebelahnya segera menyiku Jamal sambil berkata, “Saudara, dalam sembahyang mana boleh bercakap!”

Tanpa diduga, dari depan mereka kedengaran satu suara yang lunak berkata, “Nasib baik saya tidak bercakap!”
_________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: