04 May 2010

Kisah 12 – Melaka diserang portugis

Komunikasi yang lemah adalah antara faktor yang menyumbang kearah keruntuhan institusi kekeluargaan. Suami yang tidak berkomunikasi dan berinteraksi dengan isterinya dengan baik akan membibitkan jurang yang besar dalam perhubungan mereka. Jika tidak dibendung dan diatasi dengan segera, ia akan mendatangkan masalah yang lebih besar.

Perceraian!

Anak-anak yang miskin komunikasi dan interaksi dengan ibu bapa akan lebih selesa bersama dengan rakan-rakan sebaya. Jika baik rakan mereka, baiklah mereka. Namun jika sebaliknya, ibu bapa juga yang merana akhirnya.

Pada suatu ketika....

Sebuah kerajaan di pesisir pantai sedang menghadapi krisis peperangan. Negeri mereka bakal dilanggar Portugis.

Laksamana mengangkat sembah, menyampaikan berita kepada baginda sultan. “Ampun tuanku, patik datang melaporkan.”

“Silakan Datuk Laksamana,” titah sultan.

“Patik mendapat laporan daripada pasukan perisikan bahawa pihak musuh semakin hampir dengan pantai negeri kita.”

“Benarkah begitu?” ada riak kerisauan di wajah sultan.

“Benar tuanku, mereka sekarang sedang berkampung di teluk balik bukit di sebelah barat negeri,” Datuk Laksamana juga kelihatan keresahan.

Sultan bangun, baginda mudar-mandir di atas singgahsana.

“Panggilkan semua orang besar istana datang mengadap, kita adakan mesyuarat.”

“Menurut perintah tuanku.”

Setelah beberapa lama, ruang balairong seri hingar-bingar dengan cakap-cakap para orang besar istana.

Semua hadir.

Sultan masuk dan memulakan mesyuarat, baginda bertitah, “Negeri kita sekarang berada di hujung tanduk. Kita bakal diserang pada bila-bila masa sahaja. Bukan kita takut, tapi bala tentera kita sudah dihantar ke sempadan untuk berperang dengan negara jiran. Kita tersepit sekarang. Apa pandangan datuk-datuk sekalian?”

Hening seketika balairong seri.

“Patik cadangkan kita menghulurkan jalan pendamaian dengan pihak musuh.” Usul datuk bendahara kepada sultan.

“Maksud datuk?”

“Kita jemput mereka dan berbincang, jika tuntutam mereka mampu untuk kita tunaikan, apa salahnya? Asalkan negeri kita tidak tertakluk oleh mereka.”

Tiba-tiba, Datuk Laksamana menyanggah keras. “Hamba tidak bersetuju, Melayu apa kita jika tunduk kepada musuh sebelum bertarung!? Mana maruah dan jatidiri kita? Islam tidak mengajar kita tunduk kepada musuh yang tidak seakidah dengan kita!”

Ramai yang menyokong Datuk Laksamana.

“Jika begitu, Datuk Laksamana ada cadangan lain?” tanya baginda sultan.

Setelah mengangkat sembah, Datuk Laksamana mula berbicara, “Kita mempunyai banyak tanah jajahan, begitu juga sekutu. Inilah masa yang sesuai untuk kita mengerahkan mereka bagi menolong kita.”

“Benar kata Datuk Laksamana!” laung salah seorang hadirin.

“Ya, kami setuju!”

Hampir semua yang hadir bersetuju. Datuk Bendahara juga akhirnya bersetuju setelah mendapati majority datuk-datuk orang kuat istana menyokong usul Datuk Laksamana.

“Beta titahkan Datuk Laksamana menguruskan perihal meminta bantuan ketenteraan daripada mereka itu.”

“Titah dijunjung tuanku.”

Datuk Laksamana telah pergi mengadap sultan Negeri Sembilan untuk mendapatkan bantuan.

“Baiklah, beta bersetuju bagi menghantar tentera ke Melaka. Tapi ada syaratnya.”

“Sebutkan, tuanku,” kata Datuk Laksamana.

“Panglima tentera beta yang akan mengetuai peperangan itu. Semua tentera harus mengikut arahan panglima Negeri Sembilan.”

Mahu tidak mahu Datuk Laksamana terpaksa mengalah dan menerima syarat itu.

“Baiklah, jika itu syaratnya tidak menjadi masalah. Lagipun, memang layak panglima tuanku yang mengetuai peperangan kali ini.”

Sultan Negeri Sembilan dan panglimanya tersenyum bangga. Melaka yang kuat dan gah itu terpaksa meminta pertolongan mereka. Ini adalah kemenangan moral bagi mereka.

Dari pesisir pantai sudah kelihatan jelas ratusan armada yang gagah sedia merempuh ke pantai.

Penduduk negeri itu tidak mungkin akan membiarkan sahaja kedaulatan mereka dirobek. Bantuan sudah diminta. Kini, gabungan tentera mamak yang berasal dari India dan Negeri Sembilan. Tentera mamak adalah askar upahan kerajaan Negeri Melaka.

“Arahkan para tentera mamak ke pantai, suruh mereka cat badan mereka dengan warna putih berbentuk bulat di perut,” panglima Negeri Sembilan mula memberi arahan.

Tentera-tentera tempatan segera mengikut arahan itu. Walaupun timbul keraguan dalam diri masing-masing, apakah tujuannya.

“Pelik, apakah tujuan arahan ini?” tanya seorang tentera Melaka kepada tentera Negeri Sembilan.

“Ini adalah penyamaran bagi mengelirukan musuh.”

“Maksud kamu?”

“Kebanyakan tentera mamak adalah buncit perutnya. Apabila perut mereka dicat dengan warna putih, dari jauh mereka kelihatan seperti meriam.”

“Ya, benar sekali.”

Dan, hasil daripada helah itu pihak Portugis kelihatan teragak-agak untuk menyerang. Setelah beberapa lama, tentera mamak yang berdiri di tepian pantai mula keletihan apatah lagi hampir seharian berdiri di bawah terik matahari.”

“Tuan, nampaknya apa yang kita nampak bukan meriam. Ia hanya manusia yang dicat,” kata pembantu kapten kapal.

“Jika begitu, ayuh kita maju ke darat. Sudah sampai masanya untuk kita menyerang mereka.”

“Ayuh!”

Keadaan semakin genting. Setelah menyedari taktik mereka tidak menjadi, panglima Negeri Sembilan pun mengarahkan semua tentera yang bersedia di pantai untuk bersedia menerima arahan.

“Apabila hamba minta serang, baharulah kita semua serang penjajah itu.”

“Baiklah!” laung semua hulubalang bersemangat.

Musuh semakin dekat dan akhirnya mereka mendarat di Pantai Melaka.

Saat itulah, dengan penuh bersemangat panglima Negeri Sembilan menyeru para hulubalang. Namun, tanpa disangka, di saat yang genting dan mencemaskan itu, panglima Negeri Sembilan telah tersalah menggunakan dialek daerahnya.

“Sorang...!”

“Sorang...!”

“Sorang...!”

Hasilnya, para hulubalang pun keluar berdepan dengan tentera Portugis seorang demi seorang. Akhirnya tentera Melaka kalah dan ditawan oleh Portugis.

Hanya kerana berlaku sedikit kesilapan dalam komunikasi, ianya boleh menyebabkan kecelakaan yang besar.
_________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: