12 May 2010

Kisah 16 – Belajar Solat

Solat adalah tiang agama. Bagi orang Islam kewajipan solat adalah satu tuntutan yang amat ertinya. Banyak ayat dari al-Quran dan hadis yang membicarakan tentang solat. Bahkan pada hari ini, ada kajian sains dibuat dan mendapati bahawa solat amat baik untuk kesihatan fizikal malah emosi manusia.

Ini boleh dirujuk dalam buku Sains Solat keluaran Universiti Malaya. Mereka mengkaji kesan solat dari sudut anatominya kepada manusia. Jangan terkejut kerana salah seorang daripada pengkaji itu ialah seorang yang berbangsa Cina dan bukan beragama Islam.

“Antara perkara yang membezakan orang Islam dengan orang bukan Islam ialah solat. Namun umat Islam yang lalai dalam solat juga tidak akan terlepas dari dosa. Allah menegaskan dalam surah al-Maaun ayat tiga dan empat, “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.”

Menjadi tanggungjawab orang Islam bagi berdakwah kepada orang bukan Islam, begitu juga menjadi tanggungjawab orang yang alim bagi memberi tunjuk ajar kepada orang yang baru belajar.

Ada seorang saudara muslim yang baru ingin belajar solat. Dia telah datang berjumpa dengan seorang sahabatnya.

“Mansur, saya ingin minta tolong kamu?” sudi Lee dengan santun.

“Ya, katakanlah. Jika mampu tolong saya akan tolong awak,” jawab Mansur.

Jawapan itu sedikit sebanyak meredakan kegusaran di hati Lee.

“Kamu tahu saya baru memeluk Islam bukan?” kata Lee.

“Ya, Alhamdulillah. Saya sangat gembira. Kawan-kawan kita semuanya gembira dengan penghijrahan kamu ini.”

“Syukurlah, tapi saya masih mempunyai beberapa masalah...,” Lee terhenti di situ.

“Kenapa sahabat? Katakanlah, jika mampu saya akan tolong kamu.”

“Jika begitu kata kamu, lega hati saya.”

“Apakah masalahnya?”

“Boleh kamu ajarkan saya solat? Walaupun sudah sebulan saya Islam, namun tidak sekalipun saya solat.”

“Mengapa? Kamu tidak masuk ke kelas pengajian saudara muslim?”

“Belum berkesempatan, kamu tahulah kerja kita ini, susah ada waktu lapang. Nasib baik ada kamu dan kawan-kawan lain, boleh saya belajar dari kamu semua.”

“Itu gunanya kawan.”

Mereka berdua tersenyum.

“Bagaimana, boleh atau tidak ajarkan saya sembahyang, kalau boleh ajar baca al-Quran sekali.”

“Boleh, insyaAllah. Malam ini kamu datang rumah saya. Pakai elok-elok, tutup aurat.”

“Kita hendak ke mana?”

“Adalah, janganlah kamu banyak soal.”

“Baiklah, jika begitu petang dalam pukul tujuh saya sampai ya?”

“Bagus.”

Tepat jam lima petang mereka segera pulang ke rumah masing-masing. Ada janji yang perlu dipenuhi oleh Mansur dan ada kewajipan yang perlu dipelajari oleh Lee, saudara muslim yang baru seminggu memeluk Islam.

Hampir jam tujuh petang, kedengaran suara memeneri salam dari luar rumah Mansur.

“Assalamualaikum...,” diulang-ulang dengan nyaring, hingga masuk kali keempat. Emak Mansur keluar dan melihat Lee terpacak di depan pintu pagar rumahnya.

“Ya Allah, waalaikumussalam. Ingatkan siapa tadi, jemput naik ke rumah.”

“Maaf makcik, saya janji hendak jumpa Mansur petang ini. Hendak belajar solat daripadanya.”

“Alhamdulillah, baguslah kalau begitu. Kamu duduk di sini dulu, makcik masuk kejutkan Mansur, balik tadi dia terus tertidur, letih sangat barangkali.”

Lee senyum. Sebenarnya dia tahu, memang tabiat Mansur tidur selepas waktu asar.

Mansur bangun malas-malas.

“Kamu sudah sampai rupanya, sudah pukul berapa sekarang?”

“Pukul tujuh lebih,” jawab Lee.

“Kamu duduk sekejap, saya mandi dan siapkan diri dahulu.”

Dalam hati Lee, terdetik seketika, “Susah juga mahu belajar solat, tidak mengapa, aku harus sabar, Tuhan sayang orang yang sabar.”

Azan maghrib berkumandang. Mansur sudah siap berkain pelikat, berbaju Melayu dan berkopiah.

Lee sedikit pelik, dia bertanya, “Ke mana?”

“Ke mana lagi, ke masjidlah. Di sana kamu akan belajar cara bersolat. Marilah....”

“Baik.”

Sampai di masjid, kebetulan bilal sudah iqamah. Dalam keadaan yang singkat itu Mansur hanya sempat berpesan kepada Lee.

Katanya, “Itu adalah tempat imam,” sambil menunjukkan mihrab, “Kamu hanya perlu mengikuti setiap gerakan imam....”

Belumpun sempat Mansur menghabiskan kata-katanya, Lee yang teruja terus sahaja maju dan duduk di saf paling hadapan betul-betul di belakang imam.

Mansur tidak sempat menahan Lee, jantungnya berdebar, “Alamak....”

Solat sudah bermula, takbir imam diikut baik oleh Lee.

Menjadi kebetulan pada hari, budak yang paling nakal di kampung itu telah dipaksa oleh emaknya bagi ke masjid. Dia yang bosan dengan leteran emaknya terpaksa mengikuti perintah emaknya itu.

“Nampaknya, orang Cina itu seperti baharu masuk Islam. Tengok sahaja kain pelikatnya, amat kelakar sekali,” kata budak itu kepada kawan-kawannya merujuk kepada cara pemakaian kain pelikat Lee yang sangat tidak kemas dan kelakar.

“Ya, apa kata kita kacau dia.”

“Bagus idea kamu.”

Budak berdua itu pergi berdiri di belakang Lee berpura-pura solat.

Imam yang baru habis membaca surah lazim kemudian bertakbir seterusnya rukuk. Saat ini dua orang budak yang nakal itu telah menarik kain Lee dengan kuat sekali. Disebabkan ikatan kain itu tidak kemas, maka ianya terurai.

Lee berkata dalam hati, “Macam inikah solat, mengikut kata Mansur ikut sahaja apa yang orang lakukan.”

Tatkala itu Lee pun mendepakan tangannya dan menyentap keras kain imam yang berada di depannya. Sentapan pertama tidak berhasil kerana kilasan kain pelikat imam amat kemas sekali.

“Ini tidak boleh jadi, aku mesti kuat lagi,” getus Lee dalam hati.

Kali ini dia menyentap sepenuh tenaga... dan terlucutlah kain imam...

Imam yang dari tadi sudah berasa kurang selesa dengan gangguan itu sedang menahan marah. Namun sentakan kedua yang melondehkan kainnya hingga ke bawah menyebabkannya hilang sabar.

Dia lantas mengangkat kaki kanan dan menendang Lee tepat ke muka.

“Aduh,” Lee mengaduh, “Sakitnya dan ganas cara semabahyang, tidak aku sangka hingga ditendang dan berdarah hidung aku. Aku mesti melakukan perkara yang sama,” lurus Lee berfikir.

Dia lantas mengangkat kaki dan menendang-nendang sebanyak dua kali sekuat hati.

Budak-budak nakal menerima habuan sebiji tendangan kuda dari Lee yang tidak mereka sangka. Akibatnya, kedua mereka patah hidung dan berdarah.

Mereka menagis dengan kuat sekali.

Akhirnya sembahyang jemaah maghrib itu batal.

Lee yang kepeningan jatuh tersembam dan mamai, di belakangnya kedua budak nakal yang juga tertiarap sambil mengerang kesakitan.

Mansur datang mendapatkan Lee yang hampir pengsan, terdengar suara Lee terketar-ketar, “Ma... masyaAllah... sa... sakitnya sembahyang....”

Mansur rasa bersalah!
_____________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: