19 March 2009

Ujian Kecil

Ke Serdang

Semalam setelah pulang dari rutin mingguan berkuliah Maghrib di kolej ke-13 UPM Serdang, Saya tidak jadi singgah ke rumah sahabat saya Ustaz Hisham kerana dia ke Gombak, datuknya sakit. Jadi saya terus sahaja balik ke Masjid Usamah bin Zaid.

Perjalanan yang memakan masa lebih setengah jam itu dirasakan agak mencabar, rupanya sudah lama jugak saya tidak ke sana dengan motorsikal saya itu. Sebulan lalu samaada saya ke sana menggunakan komuter dan balik dengan Ustaz Hisham yang mengambil jauzahnya, Dr Hayati di Setiawangsa atau saya ke sana dengan kereta pinjaman bakal teman hidup saya sahaja.

Jadi perjalanan semalam agak meletihkan kiraan saya walhal sebelum ini walau lebat hujan malah badai taufan pun saya redah dengan redha sahaja untuk ke Serdang, begitu sekali cepatnya manusia berubah.

Perkongsian malam itu diteruskan dengan saya menyentuh bab mimpi Rasulullah yang merujuk kepada satu artikel di dalam http://www.iluvislam.com/ bertajuk “Mimpi Rasulullah SAW”. Petikan hadis itu menurut artikel tersebut telah diriwayatkan dari Imam As-Sayuti, At-Tabrani, Al-Hakim, At-Tirmizi dan Al-Isfahani. Namun ada sedikit kegusaran pada saya dalam menasabkan hadis ini sahih dari Rasulullah, insya-Allah saya akan merujuk kepada mereka yang pakar dalam meletakkan kepastian status hadis ini. Artikel itu telah diambil dari laman tripod link dibawah ini sebelum diubahsuai ke portal iLuvislam dot com:

http://tazkeerah.tripod.com/usrahcollection.html#MimpiRasulullah**

Alhamdulillah penyampaian sederhana baik dan kehadiran para pelajar juga konsisten, hampir 30 orang pelajar mengambil peluang berkongsi malah saya dihujani soalan bertulis yang agak banyak dari pelajar muslimat setelah selesai berkuliah,insya-Allah saya rasa sesuai saya jawab dalam blog ini sahaja nanti.

Tiba-tiba

Beberapa meter sahaja lagi untuk saya sampai ke masjid tiba-tiba motor saya terhentak kuat kerana terjun ke dalam lubang yang terhasil dari hakisan hujan barangkali lalu menyebabkan kunci motor bersama yang lainnya terpelanting ke tengah jalan di dalam gelap beserta deruan kereta yang sedang menuruni bukit selepas lampu isyarat.

Saya terpaksa membuat pusingan semula dan mula mencari kunci-kunci saya itu, setelah beberapa kali berpusing akhirnya saya menjumpai kunci-kunci itu namun dukacitanya apabila mendapati kunci bilik saya dan salah satu kunci bilik bertugas masjid juga telah patah digilis kereta yang berlalu. Pada awalnya saya tidak gusar kerana kunci gantian ada tersimpan dalam pejabat masjid, namun ada ujian lain akan menyusul.

Saya mendapatkan bantuan Abang Yusof untuk mendapatkan kunci simpanan untuk membuka bilik saya. Ujian kedua datang apabila pintu bilik saya gagal dibuka. Setelah diperiksa ianya bukan berpunca dari kunci terbabit tetapi tombolnya yang seakan tersekat untuk membenarkan anak kunci tersebut memainkan peranannya. Hampir satu jam berusaha kami akhirnya mengalah, saya mengambil keputusan untuk tidur di rumah sewa lama dan terpaksa meminjam baju salah seorang dari mereka untuk bekerja keesokan harinya.

Pulang dari pejabat terus saya menuju ke bilik. Tanpa berfikir panjang saya menghadiahkan 2 kali tendangan padu seakan pujukan kepada daun pintu, saya nekad. Jika rosak sekalipun akan saya gantikan sendiri kelak, daripada terus terkunci dari luar. Setelah itu saya mendapatkan kunci simpanan dari Abang Yusof kembali dan Alhamdulillah tombol pintu licin sahaja berputar mengikut arah anak kunci itu dipulas. Syukur atas sedikit ujian dan nikmat Allah ini.

Termenung seketika dan bertafakkur, apakah ini kifarah Allah ta’ala atas kesilapan atau dosa yang sengaja ataupun yang tidak disengajakan oleh saya. Ada benarnya, maka beristighfar dabn bertaubat serajin mungkin perlu untuk setiap hambanya, kerana Allah kasih yang saying kepada hambanya yang sentiasa memohon keampunan dariNya.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

No comments: