19 March 2009

Diploma : Ijazah Sarjan Muda : Ijazah Sarjana


Pengajian

Minggu sudah kelas pengajian Usuluddin saya di UM cuti bersempena 12 Rabiuawwal tahun 1430 Hijrah yakni dikatakan oleh sebilangan besar ulama’ ialah hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Jadi pada hari Ahad yang lalu kelas pun bermula seperti biasa. Bermula pukul 8 pagi hingga pukul 10.00 pagi bagi pengajian bahasa Arab, kemudiannya diikuti dengan pengajian Ilmu Mustholah Hadis yang bermula pada pukul 10.30 pagi hingga 1.30 tengahari dan akhirnya kelas pengajian Usul Tafsir bermula pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang.

Alhamdulillah kekeliruan yang berpunca dari pertukaran jadual yang tidak seragam segera diatasi oleh pihak pentadbiran UMcced. Kerana pada minggu sudah kami terpaksa berputih mata apabila jadual ganti tidak dikhabarkan kepada pensyarah dan menyebabkan salah faham lalu kelas kami terpaksa dibatalkan. Kami yang amat dahagakan ilmu ini sedikit terkilan dengan insiden tersebut.

Professor Madya Dr Fauzi Deraman tidak menghadirkan diri untuk berkuliah kerana pulang ke Kelantan atas urusan peribadi. Jadi beliau telah meminta Ustaz Syahrul Nizam iaitu salah seorang tutor di APIUM yang sedang menyiapkan tesis PHD di bawah seliaannya supaya menggantikannya.

Alhamdulillah Ustaz Syahrul Nizam menjalankan tugas yang diamanahkan dengan cemerlang sekali. Walaupun agak lain caranya berbanding ‘Tok Guru’ kami yang asal namun profesinalisme Ustaz Khairul Nizam boleh dipuji, alhamdulillah lain kali pun kalau beliau yang menggantikan Dr Fauzi Deraman maka kami tidak akan ralat.


Cita-cita

Insya-Allah saya juga bercita-cita dan meletakkan tumpuan penuh untuk mencapai cita-cita tersebut. Matlamat jangka masa pendek insya-Allah akan direalisasikan pada bulan Jun 2009 ini (insya-Allah) dan matlamat jangka sederhana ialah mengkhatamkam pengajian di UUM (Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam) dan UM (Diploma eksekutif Usuluddin) untuk melayakkan saya menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam Usuluddin pengkhususan Sejarah & Tamaddun Islam juga insya-Allah di UM atau UIA, di situ kecenderongan saya.

Kerana masih berbaki hanya 6 tahun lagi sasaran jangka masa sederhana panjang saya untuk menjadi seorang pensyarah perlu direalisasikan, jadi saya perlu bekerja keras dari sekarang dan alhamdulillah saya sudah mulakan satu persatu, sehingga kini hanya takdir Allah yang mampu menghalang saya dari terus menuju dan mencapai impian tersebut.

Insya-Allah aturan hidup kita Allah ta’ala serah pada kita sendiri, namun perlu diingati bahawa keputusan haq yang paling mutlak ialah di tangan Allah samaada berjaya atau tidak, tugas kita sebagai hamba ialah usaha seboleh mungkin, itu hakikatnya.

Selain dari usaha yang berterusan, pengawalan bajet berhemah, pembahagian masa yang bijaksana serta pengjagaan kesihatan tubuh badan yang akan diperlukan tenaganya secara fizikal dan mental, doa kudus secara konsisten tanpa henti pada yang Esa juga perlu seiring. Masakan mungkin makhluk sekerdil kita boleh melakukan segala apa yang mahu dilakukan tanpa perkenan rahmat dan redha dariNya. Kalaupun mungkin permintaan kita dimakbul oleh Allah, namun ianya dikhuatiri adalah ishtidraj dariNya-wal’iazubillah.

Walau apapun doa dan usaha perlu seiring dengan nisbah 100%:100% agar Allah ta’ala berasa belas dan ihsan pada hambanya lalu ditempiaskan sedikit rahmatnya kepada kita untuk kejayaan di dunia bagi memangkin kejayaan yang lebih hakiki di akhirat kelak, insya-Allah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

No comments: